SEBUAH jambatan. Bukan menceritakan “Jambatan Emas,” salah satu daripada tujuh syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Bukan juga mengenai kisah seram “Jambatan Emily,” yang dikatakan dihuni oleh hantu gadis bernama Emily. Akan tetapi perihal sebuah jambatan kampung sebagai penghubung antara dua tempat.
Sebatang sungai. Airnya mengalir permai di bawah jambatan, menjadi nadi kehidupan warga kampung. Kanak-kanak pun seronok bersantai dan melepak di sana sementara menanti senja menjelma. Jernih. Wajah kecil kami terbias di permukaan air umpama memandang cermin peribadi. Sesekali teringat bait-bait lirik lagu “Tanya Sama Pokok”:
“…Lihat dalam air,
Nampak bayang-bayang,
Campak satu batu,
Bayang pun hilang.”
Ikan-ikan pula menari dengan riang. Seolah-olah menggoda hati kami untuk segera menjeratnya. Rerumput sekitar subur menghijau dan mendamaikan minda. Ketenangan air sungai menarik perhatian kami sebagai jaguh renang kampung. Kesejukan airnya dikecapi bersama. Gambaran nyata, bukan sekadar lukisan pemandangan indah yang terpamer di ruangan studio seni.
Keghairahan kami turut mengundang kerisauan ibu bapa, terutamanya jika terleka bermandi-manda tanpa ditemani oleh orang dewasa. Pahit, manis dan pelbagai lumrah kehidupan telah dinikmati bersama. Jambatan dan sungai, berseminya satu ikatan.
Jambatan itu dahulunya mula dibina menggunakan kayu. Hanya mampu dilalui oleh kenderaan ringan seperti basikal dan motosikal. Kerosakannya sering dirawat secara gotong-royong oleh warga kampung. Masih terbayang lagi suasana sedemikian, terutamanya ketika memasak juadah kenduri perkahwinan, membersihkan persekitaran tanah perkuburan, mencuci kawasan masjid dan sebagainya.
Beberapa tahun kemudian, kawasan kampung mulai menerima kemajuan. Projek meluaskan sungai telah dirancang. Pada awalnya penduduk kampung membantah. Namun, projek itu turut menjanjikan pembinaan jambatan baharu. Maknanya, jambatan kayu akan berubah wajah kepada jambatan besi dan konkrit yang lebih selesa. Bahkan, kenderaan berat dapat melaluinya. Oleh sebab itu, penduduk kampung akhirnya tertarik dan bersetuju.
Sejujurnya, penduduk kampung tidak dapat menolak arus pembangunan yang datang. Demi mendapatkan sesuatu yang lebih baik, sememangnya memerlukan pengorbanan.
Ya, suasana lalu terpaksa dikorbankan. Kami sebagai kanak-kanak, semakin hilang kawasan untuk bermain. Ibu bapa tentunya melarang keras mandi-manda di sungai yang arusnya semakin dalam, meluas dan mengalir deras. Akan tetapi, siapakah yang memahami perasaan kami ketika itu?
Hari demi hari berlalu. Jambatan yang berwajah baharu itu masih lagi berlaku kerosakan. Ketika itu, siapakah pula yang akan dipersalahkan? Permukaan jambatan telah dibina menggunakan plat besi. Sudah beberapa kali plat tersebut terkopak, bengkok dan patah. Mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja yang melaluinya. Kekurangan jambatan itu terserlah pada waktu malam. Pengguna yang melaluinya tidak nampak kerosakan yang berlaku. Maka, sering terjadinya kemalangan. Tambahan pula, jambatan itu semakin sesak dengan pelbagai jenis kenderaan.
Setiap lima tahun, jambatan itu menjadi mangsa pencabulan parti-parti politik. Mengapa tidaknya? Pelbagai poster, bendera dan kain rentang telah dipasang dan digantung di atas jambatan tersebut. Padahal ada dalam kalangan mereka yang tidak menghayati dan memahami nilai makna pada logo serta warnanya. Yang ada sekadar memandang dengan nilai wang ringgit. Sama seperti yang tergambar pada wajah kanak-kanak dan remaja yang melakukan kerja-kerja sedemikian. Menerima upah sekupang dua walaupun dikatakan sebagai kerja sukarela.
Terkadang kami merasakan kehangatan sambutan pilihan raya lebih bersifat patriotisme berbanding sambutan Hari Kemerdekaan negara. Sayangnya, segala yang tergantung itu akhirnya menjadi sampah sarap yang terbiar. Gugur merata mengganggu ekosistem sungai. Malah turut mengganggu pengguna jalan raya kerana menghalangi pemandangan mereka sehingga mengundang kepada kemalangan. Memikirkan masalah itu, kami semua rindukan jambatan lama. Merindukan suasana sungai yang dahulu.
Teringat saat pertama kali jambatan itu dibina. Terlihat megah, gagah, tampan, baharu dan menjadi kebanggaan warga kampung. Bahkan, sentiasa ada warga tua yang setia merawatnya. Namun, warga tua semakin dimamah usia. Semakin ramai yang telah meninggalkan dunia.
Ternyata tanggungjawab jambatan itu berubah kepada perjanjian manifesto yang hanya giat dibaiki jika ada kepentingan peribadi.
Tambahan pula, kos membaikinya semakin meningkat. Walaupun kini jambatan itu beberapa kali telah berwajah baharu, tetapi sebenarnya semakin tampak hodoh, tua, cacat dan tempang serta penuh luka akibat hilangnya suasana tidak seperti pertama kali ia dibina.
Pun begitu, jambatan berkenaan tetap menjadi sejarah sebagai penyumbang berjasa sepanjang usianya. Banyak kali menjadi penyelamat nyawa, ibarat penghubung antara manusia, alam dan pencipta. Malah menjadi saksi kebaikan atau kejahatan seseorang manusia dalam meniti jambatan kehidupan di dunia.
Begitu juga dengan sebatang sungai. Dahulunya kelihatan indah permai dengan airnya mengalir tanpa halangan. Khazanah hidupan di dalamnya sentiasa membiak dengan pantas biarpun kawasannya tidak luas. Sekarang, sekadar nampak hebat atau gah di mata manusia, namun habitat asal sungai banyak yang telah musnah. Percaya atau tidak, air sungai kini tidak lagi sejernih dahulu. Warnanya sudah berubah seperti teh ais bercampur dengan lumpur, membawa pelbagai jenis sampah sarap. Bukan sekadar tiada selera untuk mandi-manda kerana keadaannya yang semakin tidak selamat, malah bimbang kekotorannya bakal menjejaskan kesihatan.
Sebuah jambatan, sebatang sungai. Banyak menyimpan cerita dalam lipatan manuskrip tua sepanjang usianya. Buktinya, lihat kepada pelbagai ragam manusia, binatang, kenderaan dan sebagainya yang pernah singgah di sana. Jika boleh, tinggalkan segala yang malang melibatkan keegoan manusia. Biarpun berlalu waktu, kenangan tetap terpateri indah. Kami semua telah pun dewasa dan bakal menuju hari tua.
***
“Ayuh, kita segera pulang! Sudah hampir waktu maghrib,” ajakku kepada anak-anak dan isteriku. Sengaja petang itu aku mengajak mereka melawat kawasan kampung setelah beberapa tahun tidak pulang.