ZUL kira dia sedang bermimpi jika dia tidak mendengar suara Rashid. Rashid Sion, rakan sejawatnya di Jabatan Penjara Sandakan, yang juga merangkap pak ciknya; sepupu umi daripada sebelah nenek. Sembari jemari Rashid mencengkam kedua-dua lengannya; menarik tubuhnya perlahan dengan dibantu oleh beberapa orang lelaki berkopiah yang tidak jelas wajah mereka.
Sungguh! Zul tidak yakin dia masih hidup jika dia tidak mendengar suara ringkikan kuda yang nyaring bersahutan seiring bunyi gemeresik logam yang saling beradu. Nyala obor menerangi samar di kiri kanan jalan. Kabus menyeruak dingin. Bunyi cengkerik tingkah-meningkah dengan sayup suara mergastua yang menyedarkan Zul, bahawa mereka sedang memasuki kawasan hutan. Ada semacam perasaan aneh. Kecipak air lopak jalanan terlindas putaran roda pedati yang ditarik oleh dua ekor kuda, sesekali tubuhnya terhincut-hincut lemah di pangkuan Rashid. Pelita gantung berayun-ayun di atas kepalanya.
“Zul.” Rashid menepuk-nepuk pipinya. “Jangan tidur.”
Zul cuba bersuara atau sekadar mengangguk atau mengenyitkan mata, tetapi sungguh; dia tidak mampu bergerak walau sedikit pun. Kesakitan di sekujur tubuhnya terasa melumpuhkan urat sarafnya. Dia terasa ada aliran panas sedang membuak dan cuba keluar dari pelipis sebelah kiri.
“Darahnya mengalir terus.”
“Tahan dengan tuala ini. Tadi sudah direndam dengan air penawar daripada Tok Ketua.”
Terasa sejuk menyentuh seputar dahi. Nyaman dan tenteram. Zul memejamkan mata.
“Zul.” Suara Rashid lagi. “Jangan tidur.”
Tapi sungguh Zul ingin tidur. Ingin beradu tenang dia di perbaringan yang paling aman. Dia tidak ingin memikirkan apa-apa. Dia tidak ingin melayan aneka soalan yang mulai bertandang. Biar dia istirahat dahulu. Dia tahu, dia dan Rashid baru sahaja terlibat dengan satu kemalangan. Pacuan empat roda yang dipandunya entah bagaimana boleh terbabas dan menjunam jatuh ke tebing curam, persis di pintu gerbang masuk jalan ke Kampung Bambangan. Sebuah kampung pesisir laut yang biasa dia lawati sekadar untuk memenuhi hobi memancingnya. Dia cukup kenal selok-belok jalan menuju ke kampung itu, tapi entah mengapa perjalanannya menjelang maghrib hari Sabtu itu justeru kecundang.
Mungkin kerana mendung yang tiba-tiba. Hujan yang tiba-tiba. Kabus tebal yang tiba-tiba. Lalu tiba-tiba pula pemanduan Zul jadi hilang arah. Tiba-tiba konsentrasinya buyar tatkala di sisi kanan jalan; seorang wanita muda sedang mengejar seorang anak laki-laki yang cuba berlari menyeberang jalan. Sepantas kilat kelibat umi membayang dan suara Rashid terngiang.
“Jangan keterlaluan, Zul. Nanti ketulahan. Dosa derhaka pada ibu kandung akan Allah bayar tunai. Entah bala apa yang nanti menimpamu. Ingat! Seburuk-buruknya umimu, dia tetap wanita yang melahirkanmu. Reda Allah pada hidupmu bergantung pada reda umimu.”
“Aku bukannya mahu derhaka pada umi. Aku cuma mahu melindunginya. Aku khuatir lelaki itu hanya mengambil kesempatan. Umi memang bukan janda kaya seperti Siti Khadijah, tapi rumah, kereta dan gaji pencen arwah bapa, cukup membuat lelaki itu hanya seperti tinggal cuci tangan menikahi Umi.”
“Bagaimana jika lelaki itu ialah aku? Pak cikmu ini. Tidak salahkan aku mencintai umimu dan menikahinya?”
Zul seperti tidak percaya Rashid yang bersuara.
“Pak cikku mencintai umi. Drama apa ini?” Zul tahu banyak lelaki yang meminati umi tetapi dia tidak terfikir salah seorang daripadanya ialah Rashid.
Apakah pemanduannya yang terbabas pada waktu menjelang maghrib hari Sabtu itu adalah bala yang sedang menimpanya?
‘Balakah ini? Inikah bala? Inikah makna ketulahan? Tulah seorang umi? Betulkah tadi aku berbaring di atas kereta kuda? Kabus yang menyeruak itu? Sinar obor di kiri kanan jalan?’ Beruntun pertanyaan datang bersama nyanyian cengkerik dan unggas mergastua yang seakan menarik ujud Zul jauh ke dalam hutan belantara.
Sebetulnya Zul mengharapkan van ambulans dengan sirennya yang membingitkan itu yang membantunya. Kecekapan kakitangan Unit Kecemasan yang mengangkat tubuhnya ke katil hospital. Suasana putih hospital dengan para jururawat yang rupawan. Zul mengharapkan figura seorang doktor dengan stetoskop bergantung di leher yang memeriksanya. Dia mengharapkan bau-bauan hospital yang berciri khas iodin itu yang memenuhi inderanya. Tetapi nyatanya, harapan hanya tinggal harapan. Realiti yang Zul harapkan tidak menjadi kenyataan apabila seorang lelaki tua berkopiah putih duduk bersila di sisi kanannya.
Kepulan asap setanggi dan bau minyak atar ditingkah wangian cendana berbaur aroma ambar kasturi yang membawa fikiran Zul menerawang entah ke mana. Ke jemaah solat Jumaat yang hanya dia ikuti sebulan sekali. Ke upacara memandikan jenazah. Ke majlis kenduri tahlil yang pernah dia hadiri mulai daripada kematian arwah atuk nenek, arwah bapa, Pak Long dan Mak Long. Bahkan kemudian Zul seperti berhalusinasi. Dia berada dalam kerumunan jemaah haji yang sedang tawaf mengelilingi Kaabah.
Tiba-tiba pula kelibat umi membayang antara kerumunan jemaah tawaf itu.
“Jangan fikirkan sangat siapa lelaki yang bakal menemani akhir hayat umi tapi fikirkan diri Zul. Zul sudah hampir 33 tahun. Bila lagi Zul nak bawa bakal isteri jumpa umi?” Terasa suara Umi berbaur dengan kepul asap wangi-wangian.
Zul cuba membesarkan anak mata. Cuba membeliak. Tetapi masih samar penglihatannya. Dia tidak pasti di mana dia berada. Bentuk ruangan itu tidak jelas ukurannya. Apa-apa objek yang melekat pada dinding juga tidak jelas gambarannya. Dia tidak melihat Rashid. Dia tidak melihat siapa-siapa selain orang tua itu. Bibir orang tua itu sedang kumat-kamit membacakan ayat-ayat Al-Quran. Dia mendengar Ta’awwuz orang tua itu yang dia rasa begitu merdu. Dia mendengar basmalah orang tua itu yang dia rasa bagai belati menghiris jantungnya. Pedihnya sampai ke urat saraf mata. Perihnya mampu memecahkan empangan air mata.
‘Sentuhan apakah ini?’ Zul terpinga-pinga.
‘Salamun ‘ala Sulaiman fil ‘alamin.’
Tiga kali mengucapkan kalimah itu, suara orang tua itu bagai menarik pandangan Zul ke satu arah. Ke arah nyala samar sebuah lampu yang mirip cerek kecil. Mirip lampu Aladdin dalam kisah Seribu Satu Malam. Mendadak sekujur tubuh Zul terasa dingin. Bacaan al-Fatihah, ayat Kursi, al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas terus berirama terlafaz dari bibir orang tua itu.
‘Ya Allah, ya Rab. Aku berada di mana?’ Zul mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Ada yang tidak beres pada keadaan yang dia lalui sekarang. Tetapi kemudian, aneka fikiran yang bercelaru, aneka perasaan yang berkecamuk, hanya membuat sekujur tubuhnya semakin sakit.
‘Itulah bala atas tulah seorang umi!’
Zul seperti mendengar orang tua itu berbicara. Seiring itu pula rembesan darah pada pelipis kiri semakin deras alirannya. Pandangan Zul mendadak berpusing. Luka inikah yang meletihkan? Sedih dek rasa berdosa inikah yang mendodoikan? Atau sebetulnya orang tua itu adalah jelmaan malaikat Izrail yang akan mencabut nyawanya?
‘Ya Allah, belum cukup amalanku. Dosa dan salah silap pada Umiku,’ Zul merintih sebelum semuanya menjadi gelap.
* * * * *
“Zul. Bangun.” Sayup suara Rashid.
Kelopak mata Zul terbuka perlahan. Perlahan pula dia menggerakkan tangannya, membuka tutup genggaman jemarinya. Cuba memastikan yang dia tidak bermimpi. Rashid menghampiri bersama aroma bubur ayam, capati dan kuah dal. Lapar dan dahaga menjadi sangat luar biasa. Zul cuba menggerakkan tubuh. Terasa perih dan ngilu.
“Ini jus kurma bercampur susu kambing. Susu kambing yang diternak di kampung ini.” Rashid menyuguhkan segelas minuman berwarna putih keperangan. Ada nada kagum dalam suaranya. “Dan luar biasanya lagi, jus kurma ini juga terhasil daripada buah kurma yang ditanam di kampung ini.”
Walau dalam separa mamai, Zul agak terkejut juga mendengar penjelasan Rashid, tapi dahaga menghalangnya untuk bertanya lebih lanjut. Zul duduk bersandar. Bukan di atas katil. Tetapi di atas hamparan tikar mengkuang yang mengalasi sebuah perbaringan berbentuk dipan setinggi empat inci. Tiang dipan itu hanya terdiri daripada sebatang kayu beruti melintang ukuran dua kali empat dengan lebar lantai sepanjang tiga kali lima. Cukup untuk satu orang. Dia menggerak-gerakkan genggaman jemarinya; cuba membuat senaman kecil yang dia harap dapat memulihkan pergerakannya.
‘Nyala samar dari lampu yang mirip ceret kecil?’
Anak mata Zul mencari lampu Aladdin dalam kisah Seribu Satu Malam. Barangkali Zul masih berfikir yang dia bermimpi didatangi seorang lelaki tua, jika dia tidak melihat lampu Aladdin yang masih terletak di situ. Di atas meja kecil di hadapan cermin yang tersangkut pada dinding, di sebelah kirinya. Beberapa objek berupa figura yang memuat tulisan kaligrafi ayat al-Quran tergantung cantik pada dua sisi dinding. Sisi atas bahagian kepalanya dan sisi bawah bahagian lunjuran kakinya. Di sebelah kanannya berjuntai langsir antisinar violet yang kini telah disebak Rashid.
“Masya-Allah.” Rashid berdecak kagum. “Kau tengok jendela ini. Mereka melapisi cermin longgor dengan penutup papan daripada kayu salangan batu.” Rashid membuka papan penutup yang diperbuat daripada kayu salangan batu. Ringan sahaja jemarinya menolak ke tepi.
Sinar matahari menerjah masuk seiring bunyi siulan dan kicau ceria beburung. Terang-benderang dan meriah seluruh ruang. Pandangan Zul sedikit silau. Sambil menikmati hidangannya, dia kini pasti bahawa ruangan yang didudukinya itu diperbuat daripada simen konkrit keseluruhannya.
‘Tapi kita berada di mana sekarang?’ Belum lagi soalan itu terluah, suasana tenteram sedikit terganggu oleh bunyi dari luar. Terdengar derap kaki saling berkejaran diiringi suara saling berteriakan.
“Rumah ini saja peninggalan arwah abah untuk kita.” Suara anak kecil diiringi tangisan.
“Arwah abah tinggalkan rumah ini untuk diwakafkan.” Terdengar pula suara seseorang dalam usia remaja.
Zul terhenyak. Bahkan sedikit tergodam oleh adu bicara dua kanak-kanak itu. ‘Suara akukah itu?’ Nalarnya bertanya. Tiba-tiba membesit sembilu sesal bagai menghiris jantungnya. Rasa berdosa kembali menyelimuti. Mengiang pula suara umi.
“Rumah peninggalan arwah bapamu sudah umi wakafkan. Itu amanah arwah bapamu!”
“Along… Adik…,” terdengar suara wanita memintas suara umi. “Kenapa ni?”
“Umi.” Terdengar suara si kecil. “Adik hanya mahu tengok siapa yang tinggal di rumah abah ini. Adik rindu abah.” Suara kecil itu mengongoi.
‘Suara akukah itu?’ Air mata Zul bergenang.
“Hukum qisas tidak dibawa mati. Di dunia ini saja kita sudah dapat balasannya.” Suara arwah nenek!
Kepala Zul kembali berdenyut.
‘Kifarah!’ Zul mulai oleng. Goyah.
“Adik.” Suara lembut penuh kasih wanita itu. Zul seperti dapat melihat wanita itu mendakap si kecil.
‘Suara umikah itu? Akukah itu? Aduh! Gambaran apa ini?’ Bibir Zul tanpa sedar terketar-ketar. Kunyahannya terhenti.
“Adik rindu abah. Adik mahu tengok siapa yang bermusafir ke rumah abah kali ini.” Suara si kecil mengongoi lagi. “Umi indak percaya mimpi adik. Abah suruh adik ke Gerbang Desa. Kata abah, kawannya ada bawa khabar pasal abah. Tapi umi indak percaya.”
“Adik…,” suara si wanita lembut. “Umi sudah cakap, setiap kali mimpi tentang abah, adik terus ambil wuduk dan baca al-Quran. Itu yang dapat menolong abah di alam sana.”
“Sebetulnya adik harap abah yang pulang. Adik harap abah yang ada dalam rumah itu. Adik tak mahu ada orang lain dalam rumah abah.” Terdengar suara si anak kecil.
‘Ya Allah, suara akukah itu?’ Ada rasa insaf yang sangat menyakitkan. Rasa sesal yang peritnya lebih pedih daripada rasa perih pada keseluruhan tubuhnya.
“Adikkk…,” terdengar renyah ketawa wanita itu. “Rumah ini sudah abah wakafkan untuk musafir. Adik harus belajar ikhlas membiarkan rumah ini dihuni orang lain. Pahalanya nanti mengalir untuk abah.” Ringan gemeresik dan merdu suara wanita itu.
“Siapa tahu pak cik di dalam itu betul-betul kawan abah macam yang abah beritahu dalam mimpi adik? Siapa tahu pak cik itu ada bawa khabar pasal abah?”
“Adik! Itu cuma mimpi!” Terdengar keras suara anak lelaki yang lebih remaja. Suara bernada marah.
Si wanita menambah. “Ingat, adik! Kerana ulah adik yang lari ke Gerbang Desa Sabtu lepas, pak cik yang di dalam itu terjunam ke tebing. Adik tak rasa bersalah?”
“Sebab itu adik mahu minta maaf pada pak cik itu.” Suara adik terdengar sayu.
Zul cuba menarik nafas berat yang terasa payah untuk dihela. Dia seperti dapat melihat wajah sesal si anak kecil. Bungkam seketika. Zul dan Rashid saling berpandangan. Zul cuba menggerakkan tubuhnya. Cuba untuk bangun. Tetapi Rashid menegah. Dia menjenguk keluar jendela dan bersuara.
“Assalamualaikum. Apa cerita ni, puan? Kenapa budak-budak ini?”
“Waalaikumsalam…err … Encik Rashid.” Wanita itu menjawab ramah.
Zul mulai panasaran. Bingkas bangun, dia tidak menghiraukan lagi denyut sakit di kepalanya. Dia tidak mempedulikan lagi perih nyilu pada sekujur tubuhnya. Dia cuba berdiri, bertatih ke arah jendela dan melihat keluar.
‘Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar.’
Barangkali seumur hidupnya, di usianya yang hampir menjangkau 33 tahun; itulah untuk pertama kali Zul mendengar bibirnya melafazkan tahmid, tasbih dan takbir. Dia terpesona dan terkesima. Kekuatan apakah yang telah menggerakkan bibirnya? Sinergi apakah yang telah memicu tenaganya? Lalu pemandangan seindah apakah yang telah menghipnotis matanya sehingga dia khayal seketika; terpesona dan tertawan jadinya.
Wujud wanita bersama tiga orang anaknya itukah? Dengan busana putih berhijab. Bidadari dan malaikatkah mereka? Sehingga Zul terasa seperti mengawang di syurga. Apakah riak gelombang laut biru nun berkaca-kaca di bawah sana? Apakah hamparan tumbuhan hijau yang beralun gemalai di antara lembah-lembah? Apakah awan-gemawan yang bergantungan bak kapas putih di langit terbuka? Ataukah semilir angin sepoi bak siulan halus itu yang meniupkan semangat baharu dalam dadanya, dalam jiwanya? Zul tidak pasti.
Yang dilakukan kemudiannya adalah, dia cuba mencari pintu dan cuba melangkah keluar dari ruangan itu. Dia harus mencari tahu tempat apakah itu? Kawasan apakah itu? Dia hanya tahu kawasan Kampung Bambangan. Kampung pesisir laut tempat dia melepaskan gian memancingnya. Tetapi Zul agak sempoyongan ketika cuba mengimbingi tubuhnya. Dia memejamkan mata sekuatnya dan cuba meraih apa jua objek untuk berpaut. Pandangannya mulai berbinar-binar.
‘Kenapa aku boleh berada di tempat ini? Seharusnya Rashid dan orang-orang yang menolongku membawa aku ke hospital. Bukan ke tempat yang tidak jelas seperti ini. Kampung Bambangan dan Hospital Duchess of Kent bukannya jauh. Hanya 25 minit saja.’
Zul cuba menggagahkan diri. ‘Aku harus keluar! Mungkin ini hanyalah sebuah mimpi. Khayalanku semata. Mungkin tempat ini adalah alam ghaib. Alam bunian.’
Tetapi ada suara lain yang entah dari mana seperti sedang memerli Zul. ‘Walaupun alam bunian, mereka Muslim tegar! Buktinya kumat-kamit bibir orang tua yang merawatmu. Buktinya pertuturan sang wanita dengan dua anaknya. Buktinya Rashid dan wanita itu saling berbalas salam.’
Buktinya…? Ya…Yang terbukti kemudian Zul hanya terlantar kembali di atas hamparan tikar mengkuang yang mengalasi dipan setinggi empat inci. Yang terbukti kemudian dia masih lemah jiwa dan raga untuk mencerna semua kejadian yang baru dia alami. Masih tidak pasti dia berada di alam mana walaupun jelas nyata gegendang telinganya mendengar suara Rashid. Dahinya terasa sejuk dek tuala dingin yang dilekapkan. Tetapi sungguh, Zul masih tidak dapat mengagak di manakah dia berada.
* * * * *
“Astaghfirullah al-Azim.” Tidak berhenti Zul melafazkan permohonan ampun. Tanpa henti, seiring tarikan dan hembusan nafasnya. Istighfar yang ingin dia ucapkan terus dalam sepanjang hayatnya; dalam jaga dan lenanya. Terasa sungai insaf mengalir deras di sekujur kudrat empat keratnya.
“Betul-betul luar biasa Kampung Akhir Zaman ini.” Rashid berdecak kagum menggegarkan kekhusyukan zikir Zul.
Seketika Zul menatap wajah Rashid.
“Aku belum mati, kan?” Pertanyaan konyolnya yang spontan itu mengundang tawa Rashid.
“Allahuakbar…” Tawa Rashid jadi meleret-leret. “Ya. Aku faham kau masih tidak faham. Kau kebingungan. Kau asyik meracau sepanjang kau tidak sedar. Menyeru-nyeru arwah bapamu dan umimu.” Rashid membantu Zul bangun.
Sekujur tubuh Zul masih terasa nyilu tetapi ada semacam kekuatan telah meresapi raganya sehingga dia mampu bangun, melangkah perlahan dengan dipapah Rashid. Seluruh jiwanya terus berzikir. Beristighfar. Memohon keampunan. Memohon kekuatan dengan keyakinan bahawa dia akan sembuh. Rashid membuka daun pintu.
“Masya-Allah.” Hanya itu yang mampu diucap.
Zul kini duduk di anjung rumah. Terpinga kagum melihat landskap di luar sana. Susunan 33 buah rumah yang dipisahkan oleh dua lorong. Rumah berukuran 20 kali 30 kaki yang keseluruhannya diperbuat daripada simen konkrit. Utuh konkrit mulai dari lantai hingga ke bumbungnya. Setiap halaman rumah dinaungi oleh sebatang pohon palma yang berdaun rimbun dan kelihatan tundun buahnya yang lebat. Rashid menjelaskan itulah pokok kurma tropika. Zul terperongo.
Zul terus mendengar sambil pandangannya melihat keluasan kawasan perumahan itu. Ia persis diapit dua buah bukit. Menganjur di tengah lurah atau persisnya seperti kawasan lembah yang dikelilingi tumbuhan hijau semata-mata. Ke arah selatan tampak sedikit hijau gelap oleh rimbun Hutan Simpan Kabili yang bersebelahan dengan kawasan rehabilitasi Orang Utan Sepilok seliaan ketat Jabatan Perhutanan Sandakan. Sehampar padang rumput ragut menghijau bak permaidani membentang ke arah timur dan barat. Kawasan perumahan itu tepat menghadap ke arah Telukan Utara Sandakan. Telukan Utara yang berbinar-binar dek riak air laut yang hijau kebiruan seluas mata memandang. Rumah-rumah penduduk Kampung Bambangan nun di bawah sana, tampak seperti miniatur sebuah perkampungan yang menganjur di sepanjang pesisir paya bakau. Nun di sana, Pulau Sanghai dan Pulau Timbang bak sosok dua orang jeneral yang mengawal sepanjang perairan teluk.
“Sangat bertuah penduduk Kampung Bambangan,” ujar Rashid. “Sepertinya mereka tidak akan pernah kelaparan selagi mereka rajin mengolah sumber alam yang tersedia. Laut Telukan Utara ini kaya dengan makanan laut. Udang, ketam, ikan kerapu, ikan merah, belais dan banyak lagi. Ke darat, kaya pula dengan tanaman pisang, ubi-ubian, sayuran dan buah-buahan tempatan,” tambah Rashid lagi.
“Dan yang paling mengagumkan aku ialah Kampung Akhir Zaman yang diasaskan oleh tok ketua. Lihat padang rumput itu…” Suara Rashid membawa pandangan Zul ke arah padang rumput tempat menternak kuda, lembu dan kambing.
Walau tidak begitu jelas, Zul dapat melihat pergerakan dua tiga ekor kuda yang tangkas berlari diiringi anak-anaknya. Lembu gemuk yang lamban meragut rumput. Dan embek kambing bebiri yang terkedik-kedik mengejar kawanannya. Kawanan tiga haiwan peliharaan itu saling terpisah oleh tiga lorong berpagar yang mengelilingi padang rumput. Satu pemandangan yang mengingatkan Zul pada Desa Cattle Dairy Farm di Kundasang.
Rashid melanjutkan, “Tok ketua membuka Perkampungan Bambangan Baru atas bukit ini sekembalinya dia dari umrah. Dia memilih kawasan ini sebab lahan tanahnya sesuai untuk budi daya pokok kurma tropika. Tok ketua mendapat inspirasi daripada sahabatnya, dua orang ustaz dari Indonesia yang juga membuka Perkampungan Akhir Zaman di Kawasan Perbukitan di Jawa Barat.”
Banyak keanehan yang memicu rasa ingin tahu Zul. Banyak soalan yang perlukan jawapan. Mengapa mesti membuka perkampungan akhir zaman yang keadaannya sangat berkontradiksi? Struktur bangunan dan kawasannya tampak moden tetapi cara hidupnya membawa kita seperti kembali ke zaman batu. Tanpa lampu elektrik dan air paip. Yang ada hanya lampu kecil mirip lampu Aladdin dan lampu pelita bercorong kaca. Lorong-lorong jalanan hanya diterangi oleh nyala obor minyak yang terhasil daripada minyak kelapa. Dapur memasak pula hanya berupa tungku yang walaupun reka bentuknya tampak moden dan bebas asap, masih menggunakan bahan bakar daripada kayu, arang atau tempurung kelapa, dan terkadang menggunakan pelepah kelapa sawit.
“Air di sini lebih bersih dan sihat kerana diambil langsung dari mata air di perbukitan batu sebelah sana dan dialirkan langsung ke rumah-rumah. Kau sendiri dapat rasa segar air yang komposisi mineralnya hampir menyamai air zamzam.”
Zul hanya melongo. Tidak tahu mahu berkata apa. Yang difikirkannya hanyalah umi. Teringat hasrat umi yang ingin melihat Zul membawa bakal isteri menemuinya. Teringat rumah umi di taman perumahan Sri Rimba. Teringat kereta jenis sedan peninggalan arwah bapanya. Tiba-tiba Zul rasa bodoh dan malu pada diri sendiri. Semua harta benda peninggalan arwah bapanya yang dia khuatir akan dieksploitasi oleh lelaki oportunis, ternyata tidak seberapa jika dibandingkan dengan Perkampungan Akhir zaman yang telah mempertemukan dia dengan Nur Hidayah dan tiga orang puteranya.
‘Betapa jahilnya peribadi seorang pegawai penjara yang selama ini asyik bergelumang dengan tugas-tugas di penjara. Yang tanpa sedar telah memenjarakan pemikirannya dalam hal-hal duniawi. Syok benar membetulkan orang salah, padahal diri sendiri terperangkap dalam pemikiran yang salah. Duhhh… betapalah…’ Zul menghela nafas panjang.
Pandangannya kini kian terhipnotis oleh riak gelombang laut biru nun berkaca-kaca di bawah sana. Kian terpesona dia oleh sedulang set minum petang yang terhidang di hadapan mata. Jus kurma tropika hasil tanaman Kampung Bambangan. Bersulam wajah suci nan jelita Nur Hidayah, wanita yang dia anggap jelmaan bidadari. Bidadari yang telah mencuri hatinya. Hamparan tumbuhan hijau yang beralun gemalai di antara lembah-lembah. Meningkah keletah comel Along, Angah dan Adik, anak-anak Nur Hidayah yang mati-mati mengira Zul ialah utusan abah mereka. Tetapi Zul memang telah siap untuk menjadi seorang abah. Menjadi seorang imam.
Awan-gemawan bergantungan bak kapas putih di langit terbuka seakan meraih perasaan bahagia Zul. Bersamaan dengan itu, semilir angin sepoi bak siulan halus membawa suara ringkikan kuda yang jelas bersahutan seiring bunyi gemeresik logam yang saling beradu. Putaran roda pedati yang ditarik oleh dua ekor kuda terdengar sedikit berdesit saat berhenti persis di hadapan gapura taman.
Rashid menyambut tangan umi. Tidak sabar Zul menyambut mereka. Memeluk cium wanita yang pernah bertaruh nyawa melahirkannya. Tunduk sungkum bersujud di hadapan umi dan memohon keampunannya. Mata tua umi berkaca-kaca. Dia melihat ke arah Nur Hidayah yang menghampirinya.
“Alhamdulillah, cantik bakal menantu umi.” Mereka berpelukan. “Dan umi dianugerahi tiga orang cucu. Masya-Allah.” Umi terkekeh senang sembari duduk memeluk cium Along, Angah dan Acik.
“Syukur, ya Allah. Aku mengharapkan menantuku yang mendatangi aku, tapi rupanya Allah SWT masih menguatkan kudratku untuk mendatangi menantuku, Subhanallah.”
Semakin merimbun bahagia Zul melihat wajah ceria umi. Tok ketua diiringi dua orang pembantunya dan beberapa orang kampung, menghampiri mereka.
“Alhamdulillah, dengan sedikit bantuan teknikal kedoktoran, kita cuba menerapkan rawatan syifa dengan ayat-ayat al-Quran. Cuba menyembuhkan apa jua penyakit melalui efek plasebo. Insya-Allah dengan keyakinan zikirullah daripada pesakit, ia akan menjadi semacam sugesti.” Tok ketua membawa mereka duduk di halaman taman rumah wakaf peninggalan arwah Doktor Mohammad Fairus, suami Nur Hidayah. Rumah tempat Zul dirawat.
Rashid berbisik lirih. “Aku sengaja tidak membawamu ke hospital kerana aku dapat mengagak kau akhirnya tertarik dan suka pada kehidupan di Perkampungan Akhir Zaman ini.” Zul menangkap nada lelucon pada kerlingan mata Rashid yang lucu.
“Sebetulnya aku tak mahu kau sedar, agar aku boleh menikahi umimu.” Rashid menambah. Ada ketawa besar yang Zul telan diam-diam.
Tidak pernah bosan Zul menikmati alam sekitarnya. Sambil pendengarannya menangkap perbualan dari pelbagai arah dan topik antara Rashid, tok ketua dan dua tiga orang lelaki penduduk kampung. Sembang antara umi, Nur Hidayah dan dua tiga orang wanita penduduk kampung. Lalu keceriaan putera-putera Nur Hidayah. Dari dataran tinggi itu, pandangan Zul merata pesisir kampung bakau di bawah sana dan lautan berbalam berkelip bersinar disimbah cahaya matahari menjelang petang.
Sebenarnya, banyak perkara yang masih simpang-siur dalam kotak fikiran Zul. Berkeliaran dalam arus bawah sedarnya. Tentang Rashid Sion, rakan sekerjanya yang merangkap pak cik dan kini telah sah menjadi ayah tirinya. Tentang Al-Quran yang menyembuhkan sebarang penyakit melalui efek plasebo. Tentang luka parahnya akibat kemalangan yang boleh sembuh hanya dengan rawatan herba dan sugesti daripada zikirullahnya. Tentang takdir cintanya pada Nur Hidayah bersama tiga orang puteranya. Tentang Doktor Mohammad Fairus, suami Nur Hidayah, seorang tentera Al-Qassam yang syahid di Syria. Tentang Desa Wawasan Kampung Bambangan di pesisir laut Telukan Utara Sandakan yang melahirkan Kampung Akhir Zaman… tentang tundun buah kurma tropika.
Sekilas cuma, tanpa sengaja, Zul melirik wajah Nur Hidayah yang sedang berbual mesra dengan uminya. Sekilas cuma dan tanpa sengaja pula Nur Hidayah mengangkat wajah lalu tatapan mereka beradu seketika. Seketika cuma namun mampu membiaskan sejuta makna. Ada setundun harapan menggugurkan butiran senyum.
‘Owahhhh….’ Lalu kemudian Zul berasa, wajah Nur Hidayah yang semanis kurma tropika itu telah menjawab segala pertanyaannya. Menenteramkan bingung dan seluruh gundah-gulananya. Menghilangkan semua kesakitannya.