APA khabar kauketika ini, Khairul? Doa dan harapanku semoga kausentiasa dirahmati Allah di samping keluarga dan tugas-tugas harian. Bagi diriku di desa ini, alhamdulillah sihat walafiat.
Khair, kedatangan warkahku ini diharapkan tidak mengganggu situasimu. Aku mohon maaf seandainya warkahku mengganggu ketenanganmu. Sebenarnya Khair, aku ingin memohon sedikit pertolonganmu. Pertolongan yang aku maksudkan bukanlah bernilai material, tetapi hanyalah buah fikiranmu.
Oleh sebab kau ialah seorang sahabat yang aku percayai serta bertepatan dengan tugasmu sebagai guru kaunseling, hanya kepadamu aku harapkan dapat menyelesaikan kekusutan yang aku tanggung ini.
Aku mohon maaf kerana tindak-tandukku yang mungkin melukakan hatimu semasa kaumenegurku di kedai Pak Hamdan sewaktu kaupulang ke kampung sebulan yang lalu. Aku juga mohon maaf atas kekasaranku tatkala menjawab setiap pertanyaanmu yang kauajukan kepadaku sewaktu hendak pulang selepas solat Isyak berjemaah di masjid pada malam itu.
Sebenarnya, segala-galanya itu berpunca daripada masalah yang sedang membelenggu diriku ini. Seperti yang kautahu bahawa keluargaku bukanlah orang senang. Pendapatanku untuk menanggung perbelanjaan dapur serta persekolahan adik-adikku bergantung pada hasil torehan getah. Itu pun belum mencukupi.
Bagi mencukupkan perbelanjaan persekolahan adik-adikku yang seramai lima orang, termasuk dua orang yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi, aku bekerja apa sahaja asalkan pendapatannya halal.
Selepas pulang dari menoreh, pada waktu petang aku menolong ibuku yang sudah tidak berapa sihat, bertanam sayur-sayuran di kebun. Selain itu, aku juga memasang bubu dan jaring di muara sungai. Hasilnya jika banyak, aku jual.
Aku telah berjanji pada diriku sendiri, selagi kesemua adikku belum menamatkan pengajian mereka, aku akan terus berkorban apa sahaja hatta memikirkan soal rumah tangga. Namun, sesekali terfikir juga, apakah halnya dengan diriku ini? Setiap kali menghadiri jemputan kenduri perkahwinan, aku sering kali menjadi sasaran usikan.
“Ha, Adi. Bila lagi kami nak merasa makan kenduri kau menjadi ‘raja sehari’?”
Pada mulanya aku hanya berkeadaan biasa sahaja setiap kali mendengar usikan tersebut. Namun, apabila aku sering dihadapkan dengan pertanyaan sebegitu, aku terfikir juga mengenainya.
Usiakau dan usiaku sebaya sahaja, kini sudah hampir mencecah 40-an. Kautelah memperoleh orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterimu. Hidupmu pasti lebih bererti dengan pengurusan hidup yang lebih sempurna. Dengan tingkah laku dan keletah anak-anak, pasti dapat menghiburkan hatimu.
Sebelum ini, memang aku berjanji pada diriku sendiri tidak akan memikirkan soal hidup berumah tangga, sementelahan hatiku belum terpikat kepada mana-mana gadis. Bagiku, masa depan adik-adikku lebih penting. Apatah lagi aku perhatikan adik-adikku memiliki potensi untuk maju dalam pelajaran.
Namun entah kenapa, mutakhir ini, hatiku sering dihantui perasaan rendah diri, malu serta suka menyisihkan diri. Jiwaku juga begitu sensitif, mudah tersentuh dan sering marah-marah sahaja apabila memikirkan masa depanku.
Aku merasakan segala pengorbananku terhadap adik-adikku selama ini adalah salah. Aku rasakan diriku ini begitu bodoh, lebih memikirkan masalah serta kepentingan adik-adikku daripada memikirkan kepentingan diriku sendiri. Aku terasa betapa bodohnya aku berpegang pada perjanjian diri “berkorban apa sahaja demi masa depan adik-adik” sehingga setiap kali mendapat pendapatan hasil titik peluh sendiri habis aku hamburkan untuk perbelanjaan adik-adikku.
Manakala adik-adikku pula apabila sudah berjaya nanti, entah ingat entah tidak akan segala pengorbananku. Aku yang bersusah payah sehingga masa depanku sendiri kuabaikan demi kesejahteraan hari muka mereka. Namun, apabila mereka telah senang, entah-entah segala pengorbananku mereka lupakan begitu sahaja.
Aku sudah tidak sanggup lagi menyemakkan otakku memikirkan perkara ini. Akhirnya, aku mengambil jalan untuk mencurahkan isi hatiku kepadamu dengan harapan semoga kaudapat mendamaikan jiwaku ini.
Aku menanti warkah balasan daripadamu, Khair. Wassalam.
* * * * *
Aku beristighfar panjang sebaik sahaja selesai membaca warkah daripada sahabat sepermainan dan sepersekolahanku itu pada petang ini. Tersandar aku di kerusi di dalam bilik bacaanku. Terkejut aku dengan kandungan akhir suratnya, seolah-olah dia menyesali segala pengorbanan yang telah dicurahkannya kepada adik-adiknya. Mengapa jadi begini, Adi?
Segera ingatanku melayang saat peristiwa sebulan yang lalu sewaktu aku pulang bercuti ke kampung.
Kepulanganku pada tahun-tahun yang lalu, aku rasakan tiada apa-apa perubahan pada diri Adi. Cuma kepulangan pada kali ini, aku rasakan banyak perubahan berlaku kepada dirinya. Seperti di awal warkahnya dia meminta maaf atas kekasarannya terhadapku. Aku masih ingat peristiwa itu.
Sebelum sampai ke rumah orang tuaku, keretaku akan melalui jalan di hadapan kedai Pak Hamdan. Pada petang itu, aku ternampak Adi sedang mengayuh basikalnya pulang dari kedai dan berselisih denganku.
“Dari kedai, Adi?” sapaku setelah memberhentikan kereta di bahu jalan dan menurunkan cermin tingkap keretaku. Isteriku di samping dan anak-anak di kerusi belakang cuma memandang.
Adi hanya mengangguk. Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Adi. Namun, dia menyatakan yang tangannya kotor dan berbau getah kerana dia baru sahaja menjual getah sekerap hasil torehannya.
“O, tak apa, Adi. Aku tak kisah pun,” kataku masih menghulurkan tanganku kepadanya. Spontan aku memandang pakaiannya yang berkumal dengan cebisan getah.
Lambat-lambat Adi menyambut huluran tanganku.
“Bagaimana pendapatan jualan getah hari ni?” tanyaku.
“Cukuplah untuk aku dan adik-adikku mencekik! Aku pulang dulu!”
Alangkah terkejutnya aku mendengar jawapannya. Selalunya apabila aku pulang ke kampung dan bertemu dengannya, dia menunjukkan rasa gembira. Bertanya khabarku. Namun kali ini, tidak. Muram dan kasar sahaja bualnya. Terdetik tanda tanya dalam hatiku mengapa tiba-tiba sahaja Adi berubah laku?
Timbul niatku ingin mengorek rahsia hatinya. Mungkin dia ada masalah. Sebagai seorang sahabat, aku akan berusaha menolongnya sekadar kemampuanku.
Kesempatan selepas solat Isyak berjemaah di masjid pada malam itu aku pergunakan. Dimulai bertanya khabar tentang dirinya, ibunya, adik-adik dan prestasi pelajaran adiknya. Namun, kelihatan Adi seolah-olah tidak mahu berbual tentang itu. Kedengaran kasar dan seperti tidak mahu sahaja dia menjawab pertanyaanku. Melihatkan keadaannya begitu, terbantutlah hasratku mahu mencungkil rahsia hatinya.
Sampailah detik keberangkatanku kembali ke rumahku. Niat hatiku terkubur begitu sahaja. Sebelum berangkat, aku menemuinya untuk memohon maaf andai ada tingkah laku atau kata-kataku yang mengguris hatinya. Namun, dia hanya menggeleng dan sebaliknya dia yang meminta maaf denganku. Aku katakan kepadanya jika dia ada masalah, boleh luahkan melalui warkah kepadaku. Aku pun memberikan alamat rumahku. Kulihat dia hanya terdiam sambil mengambil secarik kertas yang kuberikan itu.
Sungguh jauh berbeza sikapnya daripada sebelumnya.
Adi yang dahulu kukenal kuat azam, bersemangat kental dan tabah kini menjadi seorang yang pendiam, amat sensitif, perengus dan suka menyendiri.
Dengan kehadiran warkahnya ini telah melenyapkan segala tanda tanya yang bersarang dalam mindaku. Kiranya inilah masalahmu Adi, Insya-Allah, aku akan cuba mengembalikan perasaan dan sikap negatifmu itu agar kembali positif.
Lantas aku mula menulis warkah untukmu, Adi. Hanya inilah jalan penyelesaian yang mampu kuberikan kepadamu.
* * * * *
Sahabatku Adi,
Aku mendoakan semoga kausentiasa dianugerahkan Allah kesejahteraan dan dirahmati oleh-Nya. Begitu jua hendaknya dengan ibumu dan adik-adikmu.
Setelah aku meneliti kandungan warkahmu, mengertilah aku apa sebenarnya masalah yang engkau hadapi, Adi. Aku faham perasaanmu dalam menghadapi situasi yang begini. Kekhilafanmu tempoh hari, aku maafkan.
Adi, terus terang aku katakan yang aku kagum akan kegigihanmu berkorban apa sahaja demi menyara ibumu serta membiayai pelajaran adik-adikmu setelah pemergian ayahmu. Pengorbanan sucimu itu tinggi nilainya dan besar ganjaran pahalanya. Jadi, usahlah kaumenganggap tindakanmu itu adalah bodoh. Tindakan seperti itu seolah-olah kaumenyesali dan mengungkit kembali segala apa yang telah kaucurahkan selama ini.
Sikapmu yang bekerja keras demi masa depan adik-adikmu itu amat aku sanjungi. Syabas, Adi!
Sebenarnya, kegigihan dan pengorbanan sucimu terhadap mereka itu kurasa kini telah menampakkan hasilnya. Dua orang daripada adikmu kini telah berjaya melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi. Inilah buktinya keberhasilan pengorbananmu selama ini.
Mengenai prasangkamu terhadap adik-adikmu, sekiranya mereka telah berjaya nanti, mereka akan melupakan segala penat lelahmu, aku rasa jauh meleset. Pada pendapatku, tidak mungkin adik-adik yang tahu menghargai jasa abangnya yang menanggung pengajiannya sanggup bersifat seperti “kacang lupakan kulit”.
Adi, dua orang adikmu yang sedang di universiti, setelah tamat pengajian mereka nanti pasti akan mendapat pekerjaan yang bagus. Insya-Allah, akan membantu meringankan bebananmu membiayai persekolahan tiga orang lagi adikmu. Pasti adikmu itu ingat segala penat lelah dan pengorbananmu. Jadi, walaupun bukanlah hendak mengharapkan balasan budi yang telah kautaburkan, namun sebagai adik yang bertanggungjawab dan mengenang budi, akan tahu menghargai pengorbanan suci abangnya.
Adi, berdoalah kepada Allah serta mohon taufik dan hidayah-Nya agar adik-adikmu dijauhi daripada sifat kacang lupakan kulit. Semoga apabila mereka telah berjaya, mereka tidak lupa meringankan bebanan tanggunganmu.
Mengenai perasaan rendah diri dan rasa malu akan diri sendiri pada pandangan mata masyarakat adalah berpunca daripada pemikiran negatif. Seharusnya kaubuangkan jauh-jauh daripada mencengkam sanubarimu. Perasaan ini datangnya daripada prasangkamu terhadap masyarakat kampung yang menganggap dirimu bujang terlajak kerana usiamu sudah lanjut tetapi masih belum berkahwin. Ini terbukti lewat kata-katamu yang sering diusik setiap kali menghadiri kenduri kahwin.
Katamu, kautidak akan memikirkan soal berumah tangga selagi kesemua adikmu belum tamat pengajian mereka. Sikapmu ini juga aku sanjung tinggi. Walau bagaimanapun, hasil daripada pendapatanmu itu kau simpanlah sedikit untuk masa depanmu.
Perasaanmu yang mudah sensitif, tersentuh, pemarah dan suka menyendiri adalah berpunca daripada perasaan rendah diri. Ini kerana perasaan rendah diri Adi itu mengakibatkan perasaan negatif itu hadir kemudiannya.
Oleh itu, kaumestilah buangkan perasaan negatif ini jauh-jauh daripada membelenggu dirimu. Dalam al-Quran surah al-Imran, ayat 139 Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Janganlah kamu rasa terhina dan sedih, padahal kamulah yang tinggi (mulia) selagi kamu beriman.”
Daripada potongan ayat ini, dapatlah kita fahami bahawa Allah melarang rasa terhina atau rendah diri sesama makhluk kerana setiap insan adalah sama di sisi-Nya. Hanya yang membezakan mulia atau tidak seseorang itu adalah keimanannya. Jadi, mohonlah kepada-Nya agar dijauhi daripada sifat negatif dan minta Dia campakkan dalam dirimu semangat positif. Insya-Allah, kau akan beroleh ketenangan.
Setelah rasa rendah diri itu hilang, pastinya perasaan sensitif, pemarah dan suka menyendiri itu akan turut hilang. Kau mesti kuatkan azam untuk membunuh sifat-sifat negatif ini. Kau juga mesti sentiasa bersemangat positif dalam mengharungi perjuangan hidup ini.
Demikianlah Adi, jalan penyelesaian yang termampu aku berikan. Cubalah renungi apa yang aku coretkan dalam warkah ini. Akhirnya, aku mendoakan kau, selamat maju jaya dan memperoleh kedamaian jiwa. Wassalam.