DI kejiranan Seri Cempaka yang permai, seekor kucing rumah yang gemuk dan rapi berbulu jingga bernama Boyen berjemur di bawah sinar matahari petang di ambang tingkap kegemarannya.
“Boyen, Atuk masuk dulu. Nanti tutup pintu tu. Jangan dibiar terdedah. Baru-baru ini, habis anak ayam Pak Seman dimakan biawak.”
Suara Tuk Mad sayup-sayup di telinga Boyen. Boyen sedang tenggelam dalam fikirannya memikirkan kata-kata Si Bayang disulam kata-kata Si Jemah.
Dalam minggu sebelumnya, ketika sedang berehat di tempat cerah kegemarannya di ambang tingkap, dia ternampak seekor kucing hitam mengintai di luar. Kucing hitam itu kurus, namun ototnya pejal dan matanya melilau gelisah. Boyen kenal susuk itu — kucing gelandangan sama sepertinya sebelum dia diambil tinggal dengan keluarga Atuk Mad.
Kucing itu bernama Bayang. Bayang begitu berpengaruh di lorong belakang memandangkan dia yang paling lama menetap di kawasan itu. Bayang asalnya dilahirkan di rumah orang, tetapi dibuang semasa berusia beberapa hari oleh penjaganya di lorong belakang. Atuk Mad selalu memberinya makan, namun tidak dibenar masuk ke dalam rumahnya yang sedia ada beberapa ekor kucing lain; dikhuatiri akan bergaduh dan mendatangkan penyakit, terutamanya kepada Jemah yang lemah antibodinya kerana lahir pramatang. Tambahan pula Bayang sangat agresif dan garang.
Penuh rasa ingin tahu, Boyen memerhatikan kucing liar itu menyelinap menghampiri rumah. Namun begitu, apa yang Boyen tidak tahu ialah Bayang bukan kucing sembarangan — dia bekerja untuk Belit, seekor ular sawa licik yang mengawal kawasan bawah tanah kejiranan Seri Cempaka. Si Belit telah lama mengidamkan ayam-ayam peliharaan Atuk Mad.
Sebaik-baik sahaja terpandang Boyen, Bayang menghampirinya. “Hei, Boyen!” Bayang memanggilnya dengan suara garau. “Bertambah gemuk kau nampaknya. Mesti bahagia hidup kau sekarang, kan?”
Boyen memandang Bayang dengan berhati-hati tetapi mengangguk. “Boleh la,” jawabnya ringkas.
Bayang tersengih licik. “Aku tahu kau ada segalanya sekarang, tapi aku tahu sesuatu yang kau mungkin suka. Kau tentu tahu bukan? Aku ini ikon di kawasan ini. Kawan-kawan aku pun bukan calang-calang. Aku boleh dapatkan kau makanan basah dalam paket mahal jenama Diraja yang sedap tu. Di kawasan ini, hanya Sherry budak British ekor pendek tu saja yang makan makanan jenama premium itu.” Panjang tawaran yang dibuat oleh Si Bayang kepada Boyen.
Boyen kenal Sherry. Sherry adalah kucing Mak Cik Kathy. Mak Cik Kathy pernah bercerita dengan Atuk Mad yang belanja untuk Sherry boleh menelan ribuan ringgit sebulan. Mungkin sebab Sherry hanya makan makanan premium berjenama mewah, Boyen meneka.
Boyen ada mendengar cerita daripada Jemah yang makanan basah paket jenama tersebut sangat sedap. Boyen tidak pernah merasainya seumur hidupnya. Ada masa-masanya Atuk Mad akan beri mereka makanan basah dalam tin. Makanan berjenama yang diimport dari Turkiye, kata Atuk Mad. Sedap betul rasa makanan basah tersebut. Boyen amat sukakannya. Kalau dapat, memang licin piring Boyen. Nikmat hidup sebagai kucing rumah. Misainya bergerak-gerak memikirkan bagaimanakah rasa makanan basah jenama premium tersebut? Memang benar dia mempunyai semua yang dia perlukan, tetapi tawaran Si Bayang tersebut menarik minatnya.
“Percuma ke?” Dia bertanya, namun nalurinya menyuruh dia berhati-hati.
“Tentulah percuma, sahabatku,” Bayang berkata dengan lancar. “Kita kenal bukan sehari dua, sahabat!” tambahnya lagi. Bayang menyeringai menampakkan giginya yang jarang dan taringnya yang berkarat.
Boyen mengecilkan matanya merenung ke dalam mata Si Bayang yang hitam. Matanya gelap dan dalam. Sukar dijangka apa-apa yang bermain di fikiran kucing liar tersebut.
“Benarkah begitu?” soal Boyen mendapatkan kepastian.
“Kau ingat Si Bayang tu berbaik dengan kau sekarang kerana diri kau, ke? Kenapa tidak dari dulu semasa kau berkeliaran dia berbuat baik? Itu bermakna ada sesuatu yang kau ada sekarang yang menguntungkan dia. Bukan sebab diri kau semata-mata,” bebel Si Jemah selepas memerhati Si Bayang menyapa Boyen dengan penuh ramah tempoh hari.
Jemah jarang-jarang sekali keluar dari rumah Atuk Mad. Dia akan duduk bermalas-malasan di tepi tingkap sambil memerhati kawasan sekitar. Jemahlah yang membawa Atuk Mad ke tempat Boyen terbaring lesu setelah dibelasah oleh konco-konco Si Bayang. Atuk Mad mengambil Boyen tinggal di rumah tersebut setelah dia hampir hilang penglihatan kerana dibelasah oleh kumpulan penyangak lorong belakang yang diketuai oleh Si Bayang. Peristiwa tersebut juga masih jelas diingatan Boyen.
Hari itu dia berasa amat bertuah kerana diberi seketul isi ayam goreng oleh Mak Jah, penjual nasi ayam geprek di hujung lorong. Namun tanpa disedarinya, Si Ombok, timbalan Si Bayang sudah lama mengintipnya. Dia berasa iri dan dengki dengan anak kucing jingga yang selalu diberi cebisan ayam goreng oleh Mak Jah. Boyen diserang hendap oleh Si Ombok dan konco-konconya. Cebisan ayamnya dirampas. Sebelum pengsan, Boyen dapat melihat sekonyong-konyong bayang kucing hitam kurus berekor panjang menghampirinya. Di belakang kucing tersebut kelihatan sepasang kaki manusia berjalan dengan pantas dan tergesa-gesa.
“Apa yang tak mampu aku lakukan?” Bayang berkata dengan sombong sambil menonjolkan dadanya. Penuh keangkuhan. “Tapi kalau kau pandai berbahasa, kau bakal menerima sedikit balasan sebagai tanda terima kasih.” Si Bayang memancing Boyen.
“Macam ni…” Si Bayang mendekati Boyen apabila dilihat Boyen seakan-akan berminat. “Kau selalu keluar masuk melalui pintu itu, kan?” Mulut Si Bayang menjuih ke arah pintu kecil berhampiran reban ayam Atuk Mad.
“Biarkan pintu itu terbuka sedikit. Aku teringin nak tengok dah besar mana agaknya pokok ciku Atuk Mad,” terang Si Bayang sambil hidungnya bergerak-gerak.
Boyen menyengetkan kepalanya. “Pokok ciku?” Akalnya ligat berfikir. Dia cuba mencari titik temu antara Bayang dengan pokok ciku yang dimaksudkan. Tidak berkait langsung.
Bayang bersandar lebih dekat, suaranya turun menjadi bisikan. “Makanan basah dalam paket premium jenama Diraja itu tidak boleh disimpan lama. Produk premium, bahan-bahan pun mestilah premium. Diperbuat daripada bahan-bahan organik yang segar dan menyihatkan. Makanan premium tentunya lebih nikmat. Tak tahan melihatnya!” bisik Si Bayang sambil tersengih. Reaksi wajahnya seolah-olah sedang menikmati makanan premium itu.
Kedengaran suara Bayang di telinga Boyen menggayakan kesedapan makanan premium itu mirip suara Si Belit, ular sawa yang menjadi bualan haiwan di situ. Boyen terasa seakan-akan bayu dingin menghembus ke telinganya. Mendengar perihal makanan jenama Diraja sangat menggoda Boyen sehinggakan perutnya tiba-tiba pula berasa lapar. Namun begitu, nalurinya berkata-kata seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena.
Sambil meneguk air liur, Boyen berkata, “Aku fikir dulu la, Bayang.”
Bayang tertawa kecil. Namun, Boyen dapat merasakan daripada riak wajah Si Bayang, dia sangat terdesak.
“Sejak bila kau jadi tegang begini? Kau dah berubah, Boyen. Mentang-mentang la tinggal di rumah sekarang. Kalau dulu, dah tentu kau akan melompat dan tak akan lepaskan peluang ini!”
Belum sempat Bayang menjawab, bunyi gemerisik tiba-tiba datang dari semak berhampiran. Si Belit muncul menyusur perlahan dari rimbunan rumput yang panjang di situ. Mulanya Boyen sangkakan bunyi tersebut dibuat oleh Si Ombok. Nyata sangkaannya salah. Bukan Si Ombok kucing tompok hitam putih, tetapi seekor ular sawa bersisik zamrud dengan mata emas yang memancarkan kelicikan dan kebijaksanaan yang gelap.
“Oooh, ini la Boyen yang selalu diceritakan oleh Si Bayang ya!” desisnya perlahan. “Aku telah mendengar banyak cerita tentang kau, sahabat.” Lidahnya yang bercabang terjelir-jelir.
Boyen secara naluriah mengambil langkah ke belakang. Bulunya sedikit tegak. Terasa darah hangatnya bertukar dingin mengalir ke seluruh badan. Kehadiran Si Belit sangat memeranjatkan, tetapi gaya percakapannya membawa pesona yang sukar untuk diabaikan.
“Bayang beritahu aku tentang kebijaksanaan dan kemuliaan hati kau, Boyen. Kau akan menjadi aset berharga kepada usaha kecil kami,” sambung Belit sambil mengelilingi Boyen perlahan-lahan.
“Apa sebenarnya yang kamu semua rancangkan?” tanya Boyen, cuba memastikan maksud kata-kata Si Belit. Nada suaranya cuba distabilkan agar tidak terdengar seperti sedang ketakutan atau menimbulkan curi Si Belit.
“Mudah saja,” jawab Belit dengan lancar sambil tersenyum manis. “Apabila pintu sedikit terbuka, Bayang boleh menyelinap melalui celah itu dan membuka kunci pintu untuk aku. Aku cuma mahu melihat-lihat dan mengambil sedikit apa-apa yang kami suka sebagai cenderahati, dan tiada sesiapa pun yang akan cedera. Fikirkan tentang hidangan premium yang lazat, yang boleh kau nikmati sahabatku sebagai hadiah kerana menolong kami. Hidangan yang kami janjikan ini jauh lebih baik daripada ‘biskut’ kering yang selalu dihidangkan oleh manusia itu kepadamu, bukan?”
Boyen teragak-agak, godaan semakin kuat tetapi keraguannya juga makin menebal. “Apa yang berlaku jika kita semua tertangkap?”
Mata Belit tiba-tiba mengecil apabila mendengar kata-kata Boyen yang lemah itu. “Itu tidak akan berlaku sekiranya semua melakukan tugasan masing-masing dengan berhati-hati. Peluang seperti ini tidak selalu datang, Boyen. Mengujakan, bukan? Pastinya sudah lama kau tidak merasai perasaan sebegitu. Satu kepuasan apabila sebuah misi selesai dengan jaya dan selamat.”
“Aku … errr… aku pulang dulu. Atuk Mad akan keluar mencari aku kalau tidak pulang sebelum senja.” Boyen beralasan. Dia perlu lari dari situ. Boyen tidak bodoh. Dia pernah hidup merempat di jalanan dan tahu apabila ada sesuatu yang tidak betul. Dia teringat kehidupan lamanya yang sentiasa dalam kelaparan, ketakutan dan ancaman bahaya yang berterusan. Dia menyedari bahawa tawaran ini, walaupun menggoda, boleh menyebabkan dia kehilangan semua yang dia ada.
“Fikir baik-baik, ya Boyen,” Belit mendesis.
Boyen berlari ke belakang rumahnya, tempat Tuk Mad selalu menantinya dengan bekas makanan yang tidak pernah kosong. Dia memikirkan tentang kemesraan, keselamatan dan kasih sayang yang diterimanya di situ. Sambil berlari, dia menoleh ke arah Bayang dan Belit, yang dikenalinya dalam kehidupan masa lalunya yang penuh dengan ketidakpastian dan sangat berbahaya.
Keesokan harinya, ketika matahari baru menampakkan dirinya, Bayang telah pun tercegat menghadap tingkap kegemaran Boyen. Dari luar pagar, Bayang memanjangkan lehernya mencari-cari kelibat Boyen. Dia terlalu leka memandang ke dalam rumah sehingga tidak perasan Boyen telah pun tercegat di tepinya.
“Bayang, aku menghargai tawaran kau itu, tapi aku lebih menghargai jasa baik dan ihsan Atuk Mad dan saudara-saudara angkat aku di rumah itu. Aku tidak mahu mengambil risiko kehilangan mereka hanya kerana sepeket makanan premium. Mereka jauh lebih berharga. Tidak ternilai dengan apa-apa pun,” ucap Boyen dengan tenang walaupun dia terpandang kelibat Belit di balik semak berhampiran.
Ekspresi Bayang bertukar. Senyum manisnya mengeras. “Jangan jadi bodoh la, Boyen! Keselesaan berada di rumah manusia membuatkan kau jadi lemah. Dengan kami, kau mempunyai kuasa dan keseronokan yang kau sendiri tidak terbayangkan.” Bayang mulai menunjukkan sisi bengisnya.
Boyen berdiri teguh. “Kekuatan sebenar tidak diukur dengan apa-apa yang kita ada, tapi dengan pilihan yang kita buat. Aku memilih untuk terus setia kepada mereka yang mengambil berat akan diri aku,” tambahnya.
Suara Bayang terketar-ketar kerana kesal dan marah. “Baiklah. Tapi ingat, peluang begini tidak akan hadir lagi dan kau akan menyesal!” Senyuman Bayang mulai pudar dan menyedari rancangannya telah gagal.
Belit mendesis marah. Tanpa sepatah kata lagi, mereka berdua berlalu pergi dan meninggalkan Boyen bersendirian di tepi pagar rumah Atuk Mad.
Bayang sempat menoleh seketika dan memberikan Boyen pandangan kecewa. “Kau dah berubah, kucing bodoh! Angkuh sungguh sejak dibela manusia tua itu!” Sayup kedengaran suara Bayang yang marah dan kecewa.
Ketika matahari mula tinggi, memancarkan cahayanya di halaman rumah Atuk Mad, Boyen kembali ke rumahnya. Cucu Atuk Mad menyambutnya dengan riang dan semangkuk makanan kegemarannya telah sedia terhidang. Ketika dia merebahkan diri di atas sofa empuk kegemarannya malam itu, dia merasa tenang dan damai. Dia yakin keputusannya itu tepat dan betul.
Beberapa hari berikutnya, satu berita hangat tersebar dalam kalangan haiwan di lorong belakang bahawa sepasang pencuri telah berjaya ditangkap ketika cuba menyelinap masuk ke dalam reban ayam Pak Seman. Pak Seman telah memasang perangkap dan khabar angin mengatakan seekor ular sawa dan seekor kucing liar hitam kini berada dalam jagaan Unit Kawalan Haiwan Majlis Perbandaran Cempaka.
Boyen tersenyum bahagia dan berasa sangat lega. Dia sedar bahawa jika dia menyerah kepada godaan Si Bayang, dia boleh kehilangan semua harta berharga yang dia miliki. Malahan, nyawanya juga turut menjadi taruhan.
Sejak hari itu, Boyen melalui hari-harinya dengan penuh rasa syukur atas kasih sayang dan keselesaan yang ada di sekelilingnya. Dia juga berusaha membantu kucing-kucing gelandangan lain di kawasan kejiranan tersebut dengan meninggalkan cebisan makanan dan bersahabat dengan mereka, dengan harapan kucing-kucing tersebut akan mendapat kehidupan yang lebih baik sepertinya.