MAZLAN masih berusaha. Solat hajat didirikan sentiasa. Mengharap keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Masa terluangnya digunakan sebaik mungkin dengan bekerja. Dia tidak ingin digelar ‘sepak kertas’ oleh masyarakat sekitar. Sekurang-kurangnya dia dapat ringankan beban kewangan keluarganya.
Dahulu, kampungnya itu aman, damai dan indah permai. Jauh letaknya di pedalaman seolah-olah terpinggir dari arus pembangunan. Namun, beberapa tahun kemudian, inisiatif bermatlamatkan modenisasi kian dirancakkan. Kerja-kerja pemasangan paip air bagi membekalkan saluran air bersih serta penurapan jalan yang berlopak dan becak semakin giat dijalankan. Malah bangunan-bangunan lama turut diubah suai. Pendek kata, aktiviti pembangunan di kawasan kampungnya itu bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Sesekali, memori lalu kembali membelai jiwa Mazlan tatkala terpandang sepohon pokok besar di belakang rumahnya. Ternyata pokok itu masih gah berpaksi di bumi.
Pokok itu cukup mudah dikenali kerana batangnya berwarna kelabu pucat, berduri banyak, memiliki dedaun yang jarang serta dahannya bertingkat pada sudut mendatar.
Suatu masa dahulu, pokok yang dikenali sebagai kekabu atau nama botaninya Ceiba pentandra itu sememangnya sangat dihargai dan sering kali ditanam oleh penduduk kampung, terutamanya orang Melayu.
Sewaktu usia Mazlan sekitar delapan ke sepuluh tahun, pokok itu pernah dijelmakan sebagai bayangan ketakutan. Apa tidaknya, sesekali pokok itu menjadi tempat persinggahan kelawar, sesekali bertenggek juga pungguk yang rindukan bulan. Tambahan pula, ciri-ciri yang dimiliki pokok itu sendiri mampu menerbitkan keseraman pada pandangan mata kanak-kanak.
Rutin Mazlan dan kanak-kanak kampung pada malam hari pada zaman itu tentunya mengaji al-Quran. Rumah Ustaz Mahmud menjadi destinasi mereka demi mencedok ilmu akhirat. Cahaya lampu picit menjadi teman menyinari kegelapan malam. Tatkala melintasi pokok itu, Mazlan dan rakan-rakannya akan berlari sekencang mungkin dengan mata yang terpejam, sambil tidak lupa membasahi bibirnya dengan alunan zikir. Setibanya di rumah Ustaz Mahmud, mereka tercungap-cungap keletihan sampai ada yang bermandi keringat.
Ustaz Mahmud pula berkali-kali menasihati mereka agar tidak takutkan hantu, sebaliknya hanya takutkan Allah SWT. Namun, belenggu ketakutan itu sukar untuk pudar sehingga pernah terdetik di hati Mazlan agar terus membenci akan kewujudan pokok kekabu tersebut.
* * *
“Lan, kenapa sejak akhir-akhir ini ibu perhatikan kamu seperti ada masalah?” suara ibu mengembalikan lamunan kenangan Mazlan ke dunia nyata.
Sejak tadi dia sekadar mendiamkan diri dan duduk di kepala bendul rumahnya.
“Tak ada apalah ibu. Biar Lan bantu ibu kutip buah-buah kekabu yang gugur itu,” balas Mazlan menafikan.
Tanpa disuruh, dia turun dengan pantas untuk mengutip dan mengumpul buah-buah kekabu yang gugur. Kemudian, disumbat semuanya ke dalam sekarung guni. Mazlan berdepan dengan banyak serangga berwarna kemerah-merahan berbintik putih yang sering kali bertandang menghurung buah-buah kekabu.
Gentian kekabu yang telah ditarik keluar daripada kelongsong itu dicarik-carik oleh ibunya untuk dijemur di atas tikar mengkuang. Gentian yang sudah kering mulai diproses, lalu diisikan ke dalam sarung bantal dan tilam. Sesekali, semilir petang bertiup. Gentian kekabu yang ringan seperti kekapas itu berterbangan. Terpaksa mereka mengelak agar tidak mendarat ke dalam rongga hidung. Alah bisa tegal biasa, bukan lagi masalah besar kepada mereka untuk melakukan kerja-kerja sebegitu.
“Lan ada terdengar cerita daripada penduduk kampung. Tanah berdekatan kawasan rumah kita ini akan dimajukan,” luah Mazlan teragak-agak.
“Ibu pun ada terdengar juga, tetapi tidak mengapalah jika dapat membantu untuk kemajuan kampung ini,” balas ibunya tanpa kerisauan.
Mazlan tiba-tiba membisu. Kira-kira dua tahun lalu, ayah Mazlan menghembuskan nafas terakhir. Kehilangan ayah membuatkan dirinya semakin menghargai kewujudan pokok kekabu yang ditanam sendiri oleh arwah ayahnya. Dirinya mulai menyedari akan kepentingan pokok kekabu. Sifat gentian kekabu yang anjal misalnya, sesuai untuk dijadikan bahan pengisi seperti bantal, tilam, kusyen, jaket keselamatan dan sebagainya.
Sementara itu, rawatan tradisional melibatkan daun kekabu yang sudah diramas dan direndam dalam air panas atau direbus dipercayai dapat memulihkan demam panas, ubat sifilis dan rawatan selepas bersalin. Begitu juga air rebusan kulit pokok kekabu dapat digunakan sebagai rawatan asma dan demam untuk kanak-kanak. Malah, minyak biji benih kekabu sebenarnya sesuai dijadikan minyak masak walaupun kini tidak diusahakan lagi.
Oleh itu, hasil jualan gentian mentah, bantal dan tilam kekabu menjadi salah satu sumber pendapatan yang diusahakan ibunya sejak dahulu. Sudah tidak banyak pokok kekabu yang wujud di sekitar kampungnya. Cuma ibunya sahaja yang masih bertahan mengusahakan hasil kekabu disebabkan ada permintaan daripada penduduk di bandar.
* * *
Sebulan telah berlalu. Ternyata kebimbangan ibu makin terbukti. Perubahan turut berlaku kepada diri Mazlan. Selera makannya semakin berkurangan.
“Adakah aku sekadar ingin membiarkan perkara ini terus berlaku? Kenapa ibu seolah-olah tidak ambil kisah pasal perkara ini?” bicara hati Mazlan.
Ingatannya beralih pula kepada adik-beradiknya yang masih kecil. Mereka dianggap tidak matang untuk mengetahui masalah tersebut. Dia abang sulung dan bertanggungjawab menggantikan peranan ayahnya dalam keluarga.
“Aku risaulah, jangan-jangan pokok kekabu yang diusahakan ibuku akan dimusnahkan nanti. Begitu juga nasib rumah kami sekarang ini,” luah Mazlan kepada temannya.
Azli mula bersuara, “Bukankah rumah dan pokok kekabu itu milik keluargakau?”
“Tak pastilah, segan pula ingin bertanya kepada ibuku,” jawab Mazlan seakan keliru.
“Kalau tanah itu milik keluargakau, mereka pasti akan bayar pampasan. Kauboleh cari rumah baharu nanti,” jelas Azli ingin menyedapkan hati Mazlan.
“Tapi, aku bimbang jika terpaksa berpindah jauh dari kampung ini nanti. Bagaimana pula dengan sumber pendapatan keluargaku jika pokok kekabu itu musnah? Tanah yang diusahakan oleh ibuku sebagai seorang petani juga berkemungkinan akan dimajukan. Sejujurnya, aku teramat risau sehingga sering kali bermimpi yang bukan-bukan,” balas Mazlan bernada resah.
Azli kembali bersuara, “Aku rasa, kaupatut ceritakan situasi ini kepada Penghulu Kampung. Mungkin dia dapat tolong nanti, sebelum semuanya terlambat,” cadangnya.
* * *
Naluri seorang ibu semakin kuat merasai angin perubahan yang berlaku kepada anaknya. Perihal Mazlan dapat diketahui sendiri daripada bual bicara Penghulu Kampung. Mazlan telah meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya jika rumah dan pokok kekabu keluarganya bakal dimusnahkan untuk tujuan pembangunan. Maka, tahulah ibunya akan masalah sebenar yang dipendamkan oleh Mazlan selama ini.
Sambil menjahit bantal dan tilam yang telah diisikan gentian kekabu, ibunya cuba menjelaskan kepada Mazlan situasi sebenar.
“Rasanya mungkin pokok kekabu itu akan ditebang nanti,” bicara ibunya sengaja menduga.
“Betullah apa yang Lan dengar selama ini bahawa tanah milik keluarga kita akan dimajukan? Habis, mana kita nak tinggal? Pokok kekabu itu, bukankah sudah bertahun-tahun lamanya menjadi salah satu sumber pendapatan kita?” balas Mazlan bernada kecewa.
Ibunya sentiasa tersenyum.
“Ibu faham apa yang Lan rasakan sekarang. Cuma, ibu tidak ingin melihat kamu terlalu taasub akan pokok itu. Sudah lupakah kita kepada Yang Maha Pemberi Rezeki?” soal ibunya.
“Maksud ibu?” Mazlan musykil.
“Sepatutnya, Lan harus bertanyakan masalah ini kepada ibu, bukan terus mengadu kepada Penghulu Kampung,” ibu bersuara sekali lagi.
Ibunya diam seketika sebelum menyambung bicara.
“Sebenarnya, keluarga kita ada beberapa bidang tanah pusaka peninggalan arwah ayah kamu, termasuklah tanah tempat tinggal kita sekarang. Arwah ayah kamu berwasiat supaya kita hanya jual sebahagian tanah-tanah tersebut setelah rancaknya pembangunan disebabkan harga yang dijangkakan lebih tinggi dari sebelumnya. Manfaatnya demi menampung perbelanjaan masa depan kita sekeluarga,” tambah ibu.
Mazlan masih kebingungan.
“Jual tanah ini sekali?” soalnya lagi.
“Sudah tentu ibu tidak akan jual tanah ini. Satu-satunya tanah yang didirikan rumah pusaka peninggalan arwah ayah kamu. Pasal pokok kekabu itu pun, Lan janganlah risau,” sambung ibunya lagi.
“Alhamdulillah, lega mendengarnya,” Mazlan menyampuk.
“Baguslah, tapi kita tetap juga perlu berusaha. Tidak boleh sekadar mengharapkan hasil jualan tanah itu. Sedarlah, jika bukan kerana pembangunan sekalipun, mungkin pokok itu akan musnah akibat kemarau, banjir, panahan petir dan sebagainya. Rezeki itu milik Allah SWT dan Dia berhak memberi kepada sesiapa yang Dia mahu, juga berhak mengambil kembali bila-bila masa yang Dia kehendaki,” ulas ibunya, tidak jemu mengingatkan Mazlan.
“Insya-Allah. Maafkan Lan sebab buat ibu risau,” Mazlan menambah.
“Dia berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-245, ‘Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Menyempit dan Yang Meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.’ Nanti, jangan lupa buang yang tergantung itu,” pesan ibunya sekali lagi sebelum mematikan kalam.
“Baiklah ibu,” Mazlan akur sambil tersengih-sengih mengerti.
Tanpa berfikir panjang, dia telah melaksanakan cadangan Azli untuk menggantung boneka hantu pada dahan pokok kekabu itu. Mujurlah dia mendapat penjelasan sebenar daripada ibunya. Jika tidak, mungkin banyak perkara yang bakal dirancangnya lagi, asalkan pokok kekabu milik ayahnya itu tidak jadi dimusnahkan.