Skip to content
Simfoni Rindu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Simfoni Rindu
Simfoni Rindu
Cerpen

Simfoni Rindu

  • Lentera Jiwa
  • 5 Ogos 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 148
  • 5

MUSIM cuti sekolah sudah pun bermula. Haziq yang sedang leka bermain telefon dikejutkan dengan kehadiran ibunya, Puan Maimunah. Puan Maimunah duduk di sebelah Haziq dan memandangnya dengan penuh kasih sayang. Haziq berhenti bermain telefon dan tersenyum kepada ibunya.

“Kenapa ibu?”

“Cuti sekolah ni, ibu hantar kamu duduk dengan opah ya? Kesian opah sunyi di kampung. Ibu dan ayah akan pergi sana nanti ziarah opah. Tapi kamu pergilah dulu. Lagipun kamu sudah lama tak pulang ke kampung,” ujar Puan Maimunah sambil tersenyum.

Haziq mendiamkan diri tanpa apa-apa balasan. Memang benar sudah lama dia tidak balik ke kampung. Kalau balik kampung pun hanya pada hari raya sahaja. Namun, kampungnya itu tiada perkara yang menarik, sekadar sawah padi yang memenuhi kawasan kampung itu. Talian internet pun sukar untuk dicapai. Memang bosanlah nanti dia di kampung. Namun, dirinya tidak sampai hati untuk menolak permintaan ibunya. Lagipun opah memang tinggal seorang diri setelah atuk meninggal dunia setahun yang lepas.

“Baik ibu. Haziq ikut saja,” balas Haziq ringkas.

Puan Maimunah tersenyum lalu mengangguk gembira.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah mengambil masa selama hampir lima jam. Kereta Puan Maimunah mula memasuki jalan kecil tanah merah yang padat. Terbentang luas sawah padi di kanan dan kiri Haziq. Sepanjang jalan itu, terdapat beberapa pondok kecil yang digunakan oleh orang kampung sebagai tempat berteduh setelah penat bekerja di sawah. Di situlah mereka berehat, menikmati juadah makanan yang dibawa sambil mendengar bunyi cengkerik dan katak yang bergaung di sawah. Di hujung jalan, kelihatan beberapa buah rumah dengan reka bentuk tradisional yang tersusun rapi di sepanjang jalan tanah. Di situlah terletaknya rumah opah. Puan Maimunah menghentikan keretanya di hadapan sebuah rumah dan kelihatan opah sedang menunggu dengan senyuman di bibir.

“Assalamualaikum mak. Maaflah lambat. Ada berlaku kemalangan tadi dalam perjalanan. Itu yang lambat,” sapa Puan Maimunah sambil mencium-cium pipi opah.

Opah tersenyum sambil mengangguk apabila anak dan cucunya sudah tiba dengan selamat. Senyuman opah yang hangat itu memperlihatkan beberapa gigi yang masih tersisa. Opah mengenakan kain kebaya lusuh yang menjadi pakaian sehari-harinya.

“Dah sampai pun cucu opah. Lama Haziq tak mai. Rindulah opah dekat Haziq,” ujar opah, sebelum memeluk cucu tunggalnya itu dengan erat.

Haziq turut membalas pelukan hangat itu.

Setelah Haziq mengangkat begnya ke dalam bilik, ibunya pun mula berangkat pulang. Puan Maimunah perlu pulang segera kerana kesibukan kerjanya. Namun, ibu sudah berjanji kepada opah bahawa ibu dan ayah akan mengambil cuti dan pulang ke kampung nanti.

“Haziq. Mai makan dulu. Opah dah siap masak,” panggil opah.

Haziq segera ke dapur setelah mendengar opah memanggilnya. Kelihatan rendang tok buatan opah terhidang di atas meja. Haziq menelan air liur.

Rendang yang dimasak dengan rempah ratus yang ditumbuk halus bersama-sama santan dan kerisik kelapa menghasilkan rendang yang pekat dan enak. Haziq segera menyuapkan rendang tok bersama nasi putih yang masih hangat. Setiap suapan itu membawa kehangatan dan keenakan yang sukar dilupakan.

“Sedapnya opah. Masakan opah memang terbaik dari dulu lagi,” puji Haziq sehingga menghabiskan sepinggan nasinya.

Opah tersenyum gembira melihat cucunya yang makan dengan selera. Haziq tersenyum manis sambil mengusap perlahan perutnya yang sudah diisi.  Bukan setakat rendang tok yang dimasak oleh opah, bubur caca yang dimasak dengan santan, bercampur ubi keledek dan sagu yang berwarna-warni turut dihidangkan sebagai pencuci mulut.

Hari itu, tidak banyak aktiviti yang dilakukan oleh Haziq selain solat berjemaah dan menolong opah untuk makan malam. Usai makan, Haziq menunaikan solat Isyak sebelum masuk ke bilik untuk tidur. Suasana malam yang pekat dan sunyi ditemani bunyi cengkerik menambahkan suasana kampung. Haziq tidur lena pada malam itu. Keesokan harinya, opah bangun awal seperti biasa untuk menyiapkan sarapan pagi.

“Haziq…bangun. Solat! Nanti makanlah nasi lemak opah buat tu. Opah nak pergi sawah dulu,” panggil opah sambil mengetuk pintu cucunya itu.

“Baik opah,” balas Haziq dalam keadaan mamai dengan rambut kusut dan mata yang masih separuh terpejam.

Dia menggeliat sebentar sambil menguap besar sehingga menampakkan deretan gigi putihnya. Haziq mengambil wuduk lalu menunaikan solat subuh. Setelah selesai, dia bergerak ke arah dapur dan membuka penutup saji. Nasi lemak opah antara hidangan yang sangat sempurna kerana dimasak dengan penuh kasih sayang. Nasi yang dimasak dengan santan kelapa segar dan daun pandan menambahkan aroma harum nasi lemak ini. Ditambah pula dengan sambal tumis yang pedas dan manis serta ikan bilis yang rangup, berserta telur rebus yang melengkapi hidangan ini membuatkan mulut Haziq kecur dengan hanya melihatnya.

“Rasanya opah pergi sawah. Tak jauh mana pun. Makan seorang manalah seronok. Baik bungkus dan makan dengan opah,” monolog Haziq seorang diri.

Haziq mencari bekas untuk diisi nasi lemak, sambal, ikan bilis, telur dan kacang sebelum ditutupnya dengan rapat. Dia menyiapkan diri sebelum keluar dari situ. Tidak dilupakan dia mengunci rumah itu memandangkan opah sudah meninggalkan kunci di atas meja. Haziq berjalan-jalan di sekitar jalan sawah padi itu. Kabus nipis masih menyelimuti permukaan sawah memberikan suasana yang sejuk dan segar. Tidak jauh dari situ, susuk tubuh opah mula kelihatan di mata Haziq. Haziq berlari ke arah opah yang sedang duduk berehat bersama kawan-kawannya yang lain.

“Opah!” panggil Haziq kuat.

Opah menoleh ke arah Haziq lalu tersenyum. Dia melambai-lambai tangan ke arah cucunya itu.

“Kenapa Haziq datang? Dah makan?” tanya opah sambil mengurut kakinya yang terasa sakit.

Haziq memandang opah yang kelihatan penat setelah bersawah sebentar tadi. Kelihatan jelas peluh membasahi muka opah, namun matanya masih memancar semangat dan ketabahan. Haziq berasa kasihan melihat penat lelah opah mencari rezeki.

“Kenapa opah tak berhenti saja bersawah? Jual sajalah sawah padi ni. Opah boleh guna duit tu untuk belanja. Lagipun ibu dan ayah selalu beri wang kepada opah. Kenapa opah tak duduk rumah dan berehat saja?” ujar Haziq telus.

Opah tersenyum mendengar pertanyaan cucunya itu. Dia ketawa kecil sebelum mengusap pipi Haziq dengan penuh lemah lembut.

“Sejak usia kanak-kanak lagi,  ibu opah dah ajar opah kerja di sawah padi. Inilah titik peluh keluarga opah. Datuk kamu dulu hadiahkan sawah padi ini dekat opah waktu dia melamar opah. Lagipun opah suka bekerja dekat sini. Boleh sembang-sembang dengan kawan-kawan… peluh pun dapat keluar. Waktu pagi dan petang merupakan waktu paling seronok dekat sini. Nanti petang kamu datanglah sini. Tengok sendiri,” cerita opah sambil tersenyum.

Kenangan manis terimbas kembali dalam fikiran opah. Suaminya dulu sanggup berkorban dan membanting tulang untuk memberi keselesaan kepada keluarganya. Itulah pengorbanan suaminya. Jika dahulu, suaminya sering ditemani oleh dirinya namun apakan daya. Kuasa Allah SWT lebih besar. Sekarang dia sudah boleh hidup berdikari. Lagipun penduduk kampung di sini sangat bermesra dengannya.

“Tapi opah dah semakin berumur. Ada baiknya opah duduk berehat saja,” ujar Haziq tidak mahu mengalah.

“Ada betulnya tu. Dengar kata cucu kamu tu. Kamu tu dah tua Senah…” ujar Pak Cik Salim.

Opah sekadar tersenyum kecil. Memang benar dia sudah tua. Kudratnya pun sudah tidak kuat mana. Tidak ramai remaja yang kuat yang sudi bekerja di sawah padi lagi. Kebanyakan mereka sudah berhijrah ke bandar untuk bekerja dalam bilik yang lebih selesa. Tinggallah orang tua saja yang menguruskan sawah padi. Itupun sudah banyak sawah padi yang dijual dek kerana tiada siapa yang mampu menguruskannya lagi. Air mata opah mula menakung di kelopak mata. Tidak tunggu lama, air matanya mengalir laju membasahi pipi. Haziq yang terkejut segera mengesat air mata opah lalu memeluknya dengan erat.

“Ini saja harta yang ditinggalkan oleh datuk kamu. Opah sayang sangat dekat sawah padi ni. Inilah sumber rezeki kami. Inilah tempat berkasih kami. Inilah tempat suka duka kami. Mana mungkin opah ingin jualnya. Opah sayang sangat  sawah padi ini,” ujar opah sambil membalas pelukan cucunya.

Haziq mengangguk tanda faham dan mengesat air mata yang keluar mengalir di pipinya. Dia mencium dahi opah berkali-kali sebelum tersenyum. “Haziq lapar. Mari makan sama-sama opah!” Haziq cuba memeriahkan kembali suasana di situ.

Opah mengangguk lalu membuka bekal yang dibawanya. Opah juga turut berkongsi nasi lemak itu dengan masyarakat kampung di situ. Walaupun pondok itu kecil namun entah bagaimana ia mampu memuatkan tujuh orang di situ. Kawan-kawan opah juga membawa pelbagai juadah untuk dikongsi bersama-sama. Ada yang bawa air kopi pekat, kuih-muih dan pelbagai juadah lain. Semua orang berkongsi cerita sambil menikmati juadah yang dibawa. Pemandangan indah dari sawah padi juga ditatap sepenuhnya oleh Haziq. Setelah selesai, Haziq memimpin tangan opah untuk pulang. Tangan kanannya memegang erat tangan opah manakala tangan kiri memegang barang-barang yang dibawa oleh opah.

Petang itu, Haziq bercadang untuk keluar bersiar-siar di kampung. Sudah lama dia tidak bersiar-siar di situ. Opah bersetuju sahaja dan meminta Haziq untuk mengambil basikal kepunyaan datuk di belakang rumah. Tepat jam 6.00 petang, Haziq segera mengambil basikal yang berada di belakang rumah. Basikal tua datuk pastinya meninggalkan memori terindah. Rangkanya dibuat daripada besi yang agak kukuh tetapi sudah mula berkarat di beberapa bahagian, menandakan usianya yang sudah lama. Haziq tanpa banyak bicara segera membonceng basikal dan bergerak menyelusuri jalan kampung itu.

“Segarnya udara di sini,” ujar Haziq sambil menghirup udara segar di situ.

Udara di kampung sangat berbeza dengan udara di bandar. Setelah penat bersiar-siar, dia berhenti berehat di pondok opah. Pemandangan sawah padi ketika waktu senja begitu memukau dirinya. Matahari yang hampir terbenam di ufuk barat mewarnai langit dengan rona jingga dan merah cukup membuktikan kebesaran kuasa Allah SWT. Cahaya keemasan senja bersama-sama hamparan padi menghijau yang segar cukup mendamaikan. Angin sepoi-sepoi yang membuatkan daun padi bergoyang perlahan memberikan suasana yang tenang. Burung-burung kelihatan terbang rendah melintasi sawah mula kembali ke sarang. Senja di sawah padi sudah menjadi tempat kegemarannya yang menghubungkan manusia dengan keindahan alam yang tidak terkira nilainya.

“Patutlah opah sayang sangat dekat sawah padi ni. Sawah padi ini menjadi tempat terindah dan tempat bersulam kasih sayang. Bukan saja tempat mencari rezeki tapi juga tempat mengeratkan ikatan ukhuwah antaranya dengan penduduk kampung.

Di sinilah mereka belajar tentang ketabahan dan kerja keras. Di sinilah juga mereka membina kehidupan yang sederhana tetapi penuh dengan rasa syukur,” ujar Haziq perlahan sambil tersenyum menikmati pemandangan indah di hadapannya.

Haziq berasa bersyukur kerana opahnya masih mempunyai harta yang bernilai ini. Di sebalik sawah padi, adanya seribu satu kenangan. Cuti sekolah pun sudah menghampiri penghujung. Ibu dan ayah juga sudah pulang selama seminggu untuk bercuti kampung. Haziq turut menyuarakan pandangannya kepada ayah tentang keadaan opah yang sudah uzur untuk menguruskan sawah padi. Ayah juga telah bersetuju dan mula mencari pekerja yang sanggup membantu opah dalam urusan sawah padi. Opah juga tidak membantah apabila melihat kerisauan yang timbul di muka anak dan cucunya itu. Haziq juga sudah berjanji untuk sentiasa pulang ke kampung setiap kali cuti sekolah. Pengalamannya ini tidak akan pernah dilupakan!

# #karyasastera# #kedah# #penulisbaharu# #sawahpadi# #wadahdbp# cerpen
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (16) #komsas (2) #penulis (5) #penulisbaharu (17) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) cerpen (10) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (18) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Esei (2) Gurindam (4) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) penulis sarawak (9) puisi (25) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Puisi Tradisional (2) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

چوبا تيدق ڤوتوس
Puisi Moden

چوبا تيدق ڤوتوس

  • 5 Jun 2025
  • 4.8
Kalah, Terlihat Indah!
Cerpen

Kalah, Terlihat Indah!

  • 5 November 2024
  • 151
  • 4.7
ممڬڠ امانه
Puisi Moden

ممڬڠ امانه

  • 20 Januari 2024
  • 5
ڤسن عالم
Puisi Moden

ڤسن عالم

  • 5 Mac 2025
  • 4.6

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP