KETIKA azan subuh berkumandang di Masjid Jabal Nur, Kampung Terayung di Teluk Mengkabong, Tuaran, iqamat maghrib dialunkan oleh muazin di Masjid Oranjestad, Pusat Islam Aruba, Caribbean Belanda di tengah Laut Caribbean.
Dua azan berkumandang pada waktu solat yang berbeza. Perbezaan waktu antara Sabah dan Aruba ialah 13 jam, bermakna waktu subuh pada hari Jumaat di Kota Kinabalu bersamaan dengan maghrib hari Khamis di Aruba.
Hari ini, masuk bulan kedua Alethea Anthea dari Oranjestad, dan Pyan Joe dari Sepanggar berkongsi siaran langsung menggunakan aplikasi media sosial terkenal sejak berkenalan pada bulan Februari 2023.
Alethea, gadis lingkungan usia 25 tahun berfahaman Protestan kelahiran Potreroweg, tidak pernah tertarik dengan laungan azan mahupun alunan iqamat yang berkumandang di Masjid Aruba yang terletak di bandar pelancongan Oranjestad. Namun begitu, tidak pernah wujud kebencian gadis berambut perang yang bertugas sebagai jurutera awam sebuah syarikat pembinaan swasta itu terhadap masyarakat minoriti Islam di Aruba.
Seusai menunaikan solat subuh di Masjid Jabal Nur, Pyan Joe dan Alethea akan berkongsi siaran aplikasi maya yang menghubungkan seluruh dunia.
“Nak tak Alethea cerita tentang Aruba?” Pertanyaan itu terbit dari mulut Alethea pada suatu senja ketika langit Aruba berwarna jingga, dan awal pagi di Teluk Mengkabong.
“Ceritalah, saya mahu dengar dan menghayatinya,” jawab Pyan Joe ringkas.
“Aruba terkenal dengan cahaya matahari yang ‘menghangatkan jiwa kedinginan’, pantai berpasir putih, laut biru merak nan jernih. Juga burung ikonik flamingo berparuh lengkung, leher jenjang dan berbulu merah jambu. Melanconglah ke negara saya, Pyan Joe, dan selepas itu saya berkunjung ke Sabah,” pelawa Alethea penuh semangat.
“Insya-Allah, Alethea. Keindahan itu bukti kebesaran Al-Khaliq dan sewajarnya dihayati dan disyukuri,” kata Pyan Joe.
Panorama indah Sungai Mengkabong bagaikan mengalir dari puncak Gunung Kinabalu ke Teluk Mengkabong dan bertambah ceria selepas mentari terbit yang dikongsikan menerusi maya oleh Pyan Joe amat mempesonakan dan tidak menjemukan Alethea.
“Subhanallah. Mentari terbit di Sungai Mengkabong, sang suria kian condong ke ufuknya di Aruba. Matahari terbenam di Aruba, mentari muncul di Teluk Mengkabong.” Perkataan yang sering diungkapkan Pyan Joe kepada Alethea ketika bersiaran bersama menerusi teknologi canggih itu.
Kali pertama mendengar ungkapan itu, Alethea pernah bertanya maksudnya dan selepas diberi penjelasan, ia merujuk pujian kepada Tuhan yang Esa, pencipta sekalian alam atau Maha Suci Allah. Gadis berdarah kacukan Belanda dan Venezuela itu hanya menganggapnya seperti angin senja menyapa rambutnya yang berlalu tanpa sebarang kesan. Tiada sebarang makna dan tarikan. Namun pada senja itu, perkataan berkenaan bagaikan magnet menariknya memasuki masjid yang siap dibina menerusi dana masyarakat Islam setempat dan pelabur beragama Islam seantero dunia yang berdagang di Aruba.
Alethea memasuki kawasan masjid dan berhenti di tempat letak kereta pusat Islam menempatkan masjid pertama Aruba yang mula beroperasi pada Ramadan 1444 Hijrah.
Pun begitu, Alethea belum berani memasuki masjid. Sebaliknya dia hanya melihat aktiviti umat Islam dari dalam kereta yang dibuka tingkapnya dan hatinya amat tenang mendengar bacaan ayat suci al-Quran, disusuli laungan azan dan iqamat.
Memasuki bulan kedua, sahabat maya itu gemar berbicara mengenai azan dan iqamat silih berganti antara Teluk Mengkabong dan Aruba, juga negara lain di Laut Caribbean seperti Kepulauan Turks dan Caicos.
Malam itu, Alethea sukar melelapkan mata dan hatinya tergerak untuk membuat sedikit kajian mengenai waktu solat di beberapa buah negara dan tertarik dengan artikel yang disiarkan di sebuah portal mengenai Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia yang terletak di Dubai. Di Burj Khalifa, azan berkumandang tiga kali setiap waktu kerana waktu solat di mercu tanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu berbeza mengikut ketinggian bangunan.
Melihat aplikasi maya Pyan Joe dalam mod dalam talian, Alethea menghantar mesej: “Salam sejahtera sahabat, kenapa waktu solat di Burj Khalifa berbeza mengikut ketinggian bangunan?”
“Menurut ahli astrofizik terkenal, Neil deGrasse Tyson, matahari terbenam agak lambat di tingkat paling atas menara itu,” jawab Pyan Joe ringkas tetapi padat.
Melihat Alethea seperti berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perbezaan waktu solat dan azan yang bersahut-sahutan di seluruh dunia, Pyan Joe menjelaskan kepada gadis itu bahawa di Malaysia juga azan bersahut-sahutan dari masjid ke masjid, daerah ke daerah dan negeri ke negeri.
“Waktu maghrib di Endau, Johor, hari ini pukul 7:12 malam, manakala di Rompin, Pahang, yang bersebelahan pukul 7:13 malam, menjadikan azan berkumandang bersahut-sahutan antara dua buah negeri,” kata Pyan Joe menerusi mesej menggunakan aplikasi maya kepada Alethea.
Pyan Joe seorang ahli arkeologi agensi kerajaan negeri, menyambung bicara, “Di Sabah pula, hari ini waktu maghrib di Semporna pukul 6:13 petang, diikuti 6:15 petang di Lahad Datu, kemudian Sandakan 6:16 petang, seterusnya 6:22 petang di Pensiangan dan 6:24 petang di Kota Kinabalu,”
“Di negara asal ibu Alethea, Venezuela pula azan maghrib akan berkumandang di Masjid Ibrahim Ibn Abdul Aziz Al-Ibrahim di Caracas pukul 6:28 petang, diikuti Aruba pukul 6:41 petang,” kali ini Alethea yang berhujah berdasarkan fakta mentari terbenam pada masa berkenaan di kedua-dua negara.
Tanggal 1 Julai 2023 waktu Aruba atau bersamaan jam 11:00 malam waktu Malaysia, Alethea pergi ke Kepulauan Turks dan Caicos, juga negara di tengah Laut Caribbean untuk menemui sahabat lamanya, Eva Louise. Waktu kedua-dua negara adalah sama.
Eva, wartawan yang berasal dari Kepulauan Turks dan Caicos, dan pernah bertugas dengan sebuah akhbar berpengaruh Belanda, The Dutch Times kerap dihantar oleh majikannya membuat liputan ke kawasan konflik dan peperangan, dan kembali ke negara asalnya yang terkenal dengan lokasi penggambaran filem francais lanun sejak dua tahun lalu selepas tiga tahun mendalami Islam di sebuah madrasah di Mesir.
Eva pernah beberapa kali bertugas ke luar negara termasuk ketika peristiwa pencerobohan bersenjata pengganas di Tanduo, Lahad Datu, selain selatan Filipina, Palestin, Afghanistan, Syria, Mesir, Iran dan Iraq. Awalnya, Alethea tidak mengenali Eva kerana gadis manis itu sudah berhijab dan tidak lagi seksi seperti usia mudanya. Malah ada nur di wajahnya.
“Eva, maaf, boleh saya tanya? Kenapa pakaian kamu sama seperti umat Islam di Aruba?” Alethea menyoal inginkan kepastian.
“Saya sudah kembali kepada fitrah asal kejadian manusia, memeluk Islam sejak lima tahun lalu, sebaik sahaja saya kembali daripada tugasan kali ketiga di Palestin, tugasan rasmi sebagai wartawan di kawasan konflik dan peperangan,” jelas Eva.
Eva meneruskan bicara, “Suatu hari di bumi Gaza, tentera Yahudi merampas rumah dan kebun penganut Kristian dan masyarakat Islam membantu mengusir Zionis kejam itu. Kejadian berlaku di depan mata dan amat menginsafkan saya,”
“Hidayah milik Allah, sahabat,” kata Eva yang menarik perhatian Alethea.
Alethea dan Eva ialah sahabat baik dan berkenalan ketika Alethea mengikuti pengajian di Universiti Erasmus Rotterdam, Belanda.
“Hidayah itu milik Allah.” Hati Alethea sejuk mendengar perkataan berkenaan dan ia bagaikan air zamzam jernih yang mengalir ke dalam tubuhnya.
Mentari terbenam di Tanjung Aru dan terbit di Caribbean. Namun, Aleathea dan Pyan Joe langsung tidak terpesona dengan keindahan duniawi, sebaliknya bicara mereka menerusi aplikasi maya mutakhir ini lebih terarah kepada kebesaran Ilahi dan azan yang berkumandang bersahut-sahutan di muka bumi.
Malam itu, Alethea ingin mengajak Eva keluar makan sambil menghirup udara segar Kepulauan Turks dan Caicos. Namun Eva memaklumkan bahawa ada program keagamaan anjuran Persatuan Muslim Kepulauan Turks dan Caicos di sebuah bangunan rumah kedai yang dijadikan surau di Pekan Cockburn. Bangunan itu didermakan peniaga Islam dari Afrika termasuk Ghana dan Ivory Coast yang menjalankan perniagaan di negara kepulauan berkenaan.
“Marilah ikut saya, di pusat Islam kami juga ada jemaah dari Belanda, Malaysia dan Indonesia yang kebanyakannya diplomat dan pedagang,” pelawa Eva.
“Boleh juga. Tetapi bolehkah saya masuk ke masjid kerana kita berbeza agama?” soal Alethea inginkan kepastian.
“Jangan bimbang, sahabat. Islam mementingkan persaudaraan dan menghormati perbezaan agama,” kata Eva.
“Baiklah, sahabat,” jawab Alethea ringkas.
Alethea amat bertuah kerana pada malam itu ada penceramah jemputan yang amat dikenali di seluruh dunia, iaitu Ismail Musa Menk, mufti Zimbabwe menyampaikan ceramah antaranya menyentuh Surah Al-Anaam, ayat 125 bermaksud:
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).”
Selesai majlis, Eva mengajak Alethea berkenalan dengan jemaah wanita lain dan mereka saling berpelukan dan menyambut kehadirannya dengan gembira tanpa dibatasi perbezaan agama. Ini menjadikan gadis manis itu mula jatuh cinta dengan Islam.
Selepas tiga hari di Kepulauan Turks dan Caicos, hatinya amat berat untuk kembali ke Aruba kerana mahu bersama Eva mempelajari Islam. Ceramah Ismail Musa Menk sering terngiang-ngiang di telinganya.
Sekembalinya ke Aruba, Alethea tidak lagi berminat bermain aplikasi maya. Sebaliknya sebelum mentari terbit atau terbenam, gadis itu lebih suka memandu ke Masjid Oranjestad. Namun dia hanya duduk di dalam kereta dan membuka tingkap untuk mendengar dan menghayati alunan azan, bacaan ayat suci al-Quran, selain mendengar ceramah agama.
Pyan Joe turut hairan kerana sudah seminggu Alethea tidak mengaktifkan aplikasi mayanya.
Senja itu, Alethea nekad menghubungi Eva untuk memaklumkan niatnya memeluk Islam dan mempelawa sahabat baiknya datang ke Aruba dan membawanya ke Masjid Oranjestad untuk mengucap dua kalimah syahadah. Eva yang mengenali Ustazah Maryam Abdullah di Masjid Oranjestad menghubungi kawan baiknya itu pada hari yang sama untuk memaklumkan niat Alethea.
Dua hari kemudian, Eva berkunjung ke Aruba menggunakan penerbangan pertama untuk menemani Alethea memeluk Islam. Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Providenciales, Kepulauan Turks dan Caicos ke Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Beatrix International, Aruba, mengambil masa 19 jam 57 minit dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida, Amerika Syarikat.
Sebelum itu, Eva menemui keluarga Alethea dan mereka tidak menghalang niat sucinya, dan benarlah hidayah itu milik Allah. Selepas memeluk Islam, setiap malam Alethea belajar fardu ain di Masjid Oranjestad.
Sepurnama berlalu, Alethea menempah penerbangan ke Kota Kinabalu untuk melancong, dengan ditemani oleh Eva.
Menerusi sebuah agensi pelancongan dengan pakej pelancongan Muslim di Aruba, Alethea dan Eva bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Beatrix, Oranjestad, pada 19 Ogos 2023 pukul 6:00 petang waktu Aruba atau jam 7:00 pagi waktu Malaysia pada 20 Ogos.
Penerbangan sejauh 17,852 kilometer itu mengambil masa 40 jam 35 minit dengan transit di empat hentian, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dan Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles di Amerika Syarikat, seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Pesawat mendarat di Kota Kinabalu pada pukul 11:30 malam waktu Malaysia bersamaan 21 Ogos 2023 dan mereka kemudian dibawa ejen pelancongan ke tempat penginapan yang terletak di Karambunai, kira-kira 34 kilometer dari lapangan terbang.
Selesai urusan penginapan, Alethea dan Eva menunaikan solat jamak takhir di bilik penginapan mereka. Dan selepas makan malam, mereka berehat sepuas-puasnya selepas menempuh penerbangan jarak jauh yang memenatkan.
Senja 22 Ogos 2023, Pyan Joe bercadang untuk bersiaran secara langsung di aplikasi maya di Teluk Mengkabong sebelum menunaikan solat Maghrib di Masjid Jabal Nur.
Alethea mengirim mesej: “Jom, sahabat, petang ini kita bersiaran langsung bersama, Alethea teringin melihat mentari terbenam di Teluk Mengkabong, dari arah pelantar pemancing Kampung Terayung.”
Tepat pukul 6:00 petang, Alethea dan Eva yang menaiki kenderaan disediakan ejen pelancongan mereka tiba di Teluk Mengkabong dan mengajak Pyan Joe bersiaran langsung bersama. Namun berlaku kejutan kerana Alethea dan Pyan Joe merakamkan objek yang sama, iaitu mentari hampir kembali ke ufuknya di Teluk Mengkabong.
Alethea kemudian menamatkan sesi siaran langsung aplikasi canggih itu selepas pasti jejaka yang sedang bersiaran di hadapannya ialah Pyan Joe. Pyan Joe yang kehairanan turut menamatkan siaran langsung dan mencari di manakah lokasi Alethea.
“Assalamualaikum, Pyan Joe,” Alethea yang bertudung jingga memberi salam yang menghairankan Pyan Joe.
“Waalaikumsalam. Ini Alethea ke?” Pyan Joe kehairanan kerana tidak menyangka gadis yang tidak bertudung ketika bersiaran bersamanya selama ini kini sudah berubah.
“Datang Malaysia terus bertudung? Mungkin Alethea tersilap info datang ke negara Islam perlu berhijab?” Persoalan itu bermain di kotak fikir Pyan Joe. Namun, hati kecilnya membantah, “Usah buruk sangka, biar Alethea menjawabnya,”
“Hidayah milik Allah, sahabat. Saya beragama Islam, kembali kepada fitrah asal sejak sepurnama lalu. Jom solat di Masjid Jabal Nur,” kata Alethea sambil tersenyum dan mulutnya tidak berhenti mengungkapkan Subhanallah ketika menikmati panorama mentari hampir terbenam di Teluk Mengkabong.
“Alhamdulillah. Benar, sahabat, hidayah itu milik Allah,” kali ini Pyan Joe pula berbicara tentang kebesaran Ilahi.
Dan azan maghrib pun bersahutan-sahutan dari Masjid Nurul Ikhwan Kampung Gayang, Masjid At Taqwa Perumahan Laya-Laya dan Masjid Jabal Nur, di Teluk Mengkabong ketika muazin melaungkan iqamat subuh di Aruba bergema ke seluruh Laut Caribbean.