TERKADANG aku tersenyum, tergelak juga apabila mengenang semula zaman kecilku yang “bersahabat” dengan telur. Kelakar juga aku rasa. Kalau dahulu Tuhan dan aku sahaja yang tahu betapa muaknya aku dengan telur. Kenangan lebih kurang 15 tahun lalu terpampang semula di layar ingatanku.
Ketika itu aku baru berusia 15 tahun, masih remaja. Hidup aku dahulu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang seperti ayam tapi aku fikir ayam lebih beruntung waktu itu kerana ayam tidak pernah kehabisan makanan.
Sebuah pondok kecil yang dibina daripada buluh, di situlah tempat kami sekeluarga bernaung daripada terik mentari dan basah hujan. Ibu pula mengambil alih tugas menyara keluarga selepas ayah ditahan di tembok tinggi yang memisahkan dunia. Ayah dicekup bersama-sama dengan gengnya ketika mengambil “barang terlarang” itu di kebun kelapa sawit milik orang kampung.
Ibu menyara kami enam orang adik-beradik dengan menjual kuih-muih di hadapan pagar sekolah setiap pagi. Pendapatan ibu memang tidak cukup untuk menyara kami. Malah untuk membiayai kos sara hidup juga ibu benar-benar kesulitan. Waktu itu, hanya rumah pondok kami yang tiada kemudahan elektrik dan air paip padahal rumah jiran-jiran terang-benderang dengan lampu pendarfluor malah bersenang-lenang menggunakan air paip.
Kami adik-beradik jugalah yang terpaksa menelaah pelajaran dengan menggunakan lampu pelita dek kemiskinan hidup. Asap hitam tak usah diceritalah, merungut juga aku apabila uniform sekolahku bertukar warna menjadi kelabu hitam. Sudahlah tidak digosok, berwarna kelabu hitam lagi mana tidaknya aku menjadi bahan ketawa dan cemuhan di sekolah.
Setiap hari selepas waktu subuh, ketika hari mula terang-terang tanah, kami enam beradik jugalah yang turun untuk mandi di sungai. Sejuk sudah tidak menjadi kudis kepada kami lagi.
Dek kerana beginilah rupa hidup aku, aku mulai naik muak dengan telur.
Sebiji telur harganya hanya 50 sen. Ibu tidak mampu menyajikan lauk-pauk yang enak dan mewah kepada kami. Hanya telur yang setia menemani nasi. Itu pun telur dadar yang dipotong menjadi bahagian suku untuk setiap seorang. Tidak ada istilah sebiji seorang.
“Ibu tidak mampu beli banyak telur”.
Itulah kata ibu setiap kali aku mempersoalkan lauk itu. Tambah ibu lagi, ibu harus menyimpan duit untuk membeli beras dan minyak. Gula dan garam juga. Ibu juga terpaksa berjimat untuk membiayai kos persekolahan kami enam beradik. Aku merupakan anak kedua. Kakakku kini belajar di tingkatan lima. Empat orang adik aku pula masing-masing di tahun satu, tahun tiga, tahun enam dan tingkatan satu.
Lauk telur itulah yang menghidupkan kami adik-beradik. Aku sudah benar-benar muak untuk menelan makanan berwarna kuning itu tapi aku tak punya pilihan lain. Kata kakak kalau sudah muak makan telur, makanlah nasi dengan garam. Aku mengeluh selepas mendengar cadangan itu. Selalu juga aku memujuk ibu agar membeli lauk lain tapi kata ibu, itu sahaja pilihan paling murah yang ada. Kalau mahu makan sayur, orang kampung jual dua ringgit seikat. Mahu beli sayur jenis buah ditimbang pula ikut berat. Aku mengeluh lagi.
Dalam setahun hanya beberapa kali kami dapat makan sedap itu pun bergantung pada budi bahasa jiran-jiran. Kalau dijemput datang kenduri dapatlah kami makan sedap tapi terkadang ada juga cemuhan menjadi halwa telinga. Kata mereka, kami tak termakan kalau tak dijemput datang. Ada juga yang berkata, asyik kami sahaja yang dijemput datang kenduri sedangkan kami tidak pernah mengadakan apa-apa jamuan untuk dijamu kepada jiran tetangga.
Kadang apabila ada jemputan kenduri, hanya aku dan adik-adik yang datang sebab ibu dan kakak malu bertandang ke rumah jiran jika hanya dijadikan bahan cemuhan. Padahal aku sedar, ibu dan kakak tidak datang makan percuma, aku nampak bagaimana ibu dan kakak dibiarkan berdua di dapur mencuci pinggan mangkuk selepas kenduri sedangkan para kaum hawa yang lain enak “membawang” di ruang tamu rumah. Seolah-olah tugasan itu memang layak untuk mereka berdua kerana dijemput dan sudah dijamu makan.
Ibu selalu menasihati aku.
Kata ibu, bersyukurlah kerana aku hidup dalam negara yang aman. Punya rumah pondok meskipun tak secantik rumah orang lain. Masih punya makanan walaupun tak berapa enak.
Kalau di negara bergolak, mereka tak punya rumah. Rumah mereka sudah sebati dengan pasir di lantai bumi. Sudah jadi debu ditiup angin dan hilang angkara manusia yang sudah hilang manusiawinya. Makanan mereka juga sudah tidak layak dipanggil makanan. Malah ada yang terdesak sehingga makan rumput demi kelangsungan hidup. Ini bukan bicara kosong ibu, kata ibu suatu ketika dahulu sewaktu menasihati aku.
Akhirnya aku diam tak bersuara apabila mendengar kata-kata ibu. Tapi kadang apabila jiwa remaja aku memberontak, aku membalas juga kata-kata ibu.
“Itu lain ibu, itu negara orang. Tempatnya jauh, bukan dalam masyarakat kita. Aqil ini ibu, sudah muak makan nasi dengan telur. Sarapan telur, tengah hari makan telur dan malam juga hidangan yang sama. Aqil muak, ibu. Kerongkong Aqil tak lalu nak telan telur lagi.” Kalau sudah aku bersuara begini, kakak sulungku akan terpanggil untuk menyertai perbualan antara aku dan ibu.
“Sudahlah, Aqil. Bersyukurlah kita tak mati kebulur. Bersabarlah, itu lebih baik. Kalau Aqil mahu makan sedap-sedap Aqil kena belajar baik-baik. Aqil kena berjaya dalam pelajaran. Hidup susah hanya mampu diubah dengan pendidikan. Aqil harus faham. Aqil fikir kakak dan adik-adik suka hidup begini? Tidak, Aqil. Apa yang Aqil rasa itu juga yang kakak dan adik-adik rasa. Ibu apatah lagi, sudah berusaha sehabis daya.” Kata-kata kakak itu ada benarnya.
Bermula detik itu, aku bertekad untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Aku mahu berjaya dalam pelajaran. Aku mahu berjaya dalam hidup. Benar kata kakak, kehidupan susah hanya mampu diubah dengan pendidikan. Justeru, peluang yang ada sekarang tak akan aku sia-siakan. Aku akan berusaha. Usaha tangga kejayaan akan menjadi moto hidup aku. Aku tidak mahu makan nasi berlaukkan telur lagi. Aku mahu makan makanan yang enak-enak. Aku tidak mahu telur jadi peneman di pingganku. Aku mahu merasa lauk-pauk yang pelbagai. Aku mahu merasa hidangan ikan, ayam, daging dan hidangan laut juga.
Kini … 15 tahun telah berlalu, segalanya bagaikan mimpi semalam apabila terkenangkan zaman hidupku sewaktu remaja. Telur jugalah yang menjadi “watak utama” dalam ceritera hidupku. Telur yang aku sudah muak untuk menelannya, ternyata telah berjasa besar dalam hidup kami enam beradik. Kerana telurlah, kami tidak mati kelaparan malah keenam-enam kami berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Kakak sekarang sudah bergelar doktor pakar bedah.
Aku? Inilah yang membuat aku tersenyum-senyum sambil mengenang masa silamku. Ternyata aku berjaya menjadi penternak moden yang memiliki segulung ijazah dalam bidang penternakan. Berbekalkan ilmu yang sudah aku timba dari universiti, akan aku jadikan ilmu yang aku miliki itu sebagai panduan untuk melebarkan penternakan ayam di seluruh Malaysia. Aku akan menjadi pembekal utama ayam di negara ini.
Selain itu, aku akan mempelbagaikan hasil penternakan ayam aku agar mampu dikomersialkan. Ternyata apabila aku sudah dewasa, telur dan aku tidak juga terpisah. Kalau dulu telur menjadi santapan kami sekeluarga, kini telur menjadi punca pendapatan kepada aku. Menjadi punca rezeki untuk aku membalas jasa ibu yang kini sudah mampu tersenyum bahagia melihat kejayaan anak-anaknya.