“SERANG! Seranggg! Biadap sungguh…!!”
Sudah berkali-kali suara itu menggangguku. Suara misteri itu hadir setiap kali aku melontarkan mata kailku ke dasar Sungai Paitan. Sungguh aku tidak mengerti mengapa sekerap itu suara penuh misteri menerjah cuping telingaku. Kini suara itu mulai memperlihatkan pemiliknya. Kabur. Namun jelas ia bukanlah penunggu sungai kerana bayangnya tidak sedikit pun menyeramkan. Ia adalah gambaran kelibat lelaki dewasa biasa seusiaku. Gambaran itu seperti siaran di televisyen waktu hujan petir. Anehnya, lelaki dewasa berpakaian hitam dihiasi manik berwarna-warni itu juga memandang tepat ke arahku. Seolah-olah sedang memarahiku.
Kenapa mahu marah aku pula? Apa salah aku? Isy! Mengapa hanya aku yang boleh melihat dan mendengarnya? Sedangkan rakanku yang duduk di buritan perahu sepanjang enam belas kaki itu seolah-olah tidak terusik dengan suara dan kelibat yang menakutkan itu. Aku sangat-sangat rasa terhimpit lemas. Sedang Azrul, rakan memancing aku itu, hanya ketawa terbahak-bahak tiap kali dia menarik mata pancingnya yang galak mengena ikan tapah dan ikan sembilang lumut.
Sungguh ia satu persoalan yang menyesakkan dadaku. Aku ingin lari, tetapi tidak tahu ke mana. Aku hendak berteriak. Aku sudah bosan memikirkannya. Siapakah dia? Siapa lelaki dewasa yang menjadi pemilik suara misteri itu? Mengapakah pemilik suara misteri itu muncul tidak memilih waktunya? Sedaya upaya pula aku bergelut dengan gelojak perasaan sendiri.
Kalau tembaring itu sudah terbaring di hadapanku, aku tidak akan fikir-fikirkan lagi pasal suara dan kelibat lelaki itu. Aku akan ketawa sepuas-puasnya menikmati kemenangan bergaya yang sejak berbulan-bulan lalu, aku idam-idamkan. Ya aku ingin ketawa sepuas-puasnya!
Sedetik itu aku segera ingat. Aku telah merancang suatu perjalanan yang jauh sejak berbulan-bulan lalu. Aku telah berkata kepada sahabatku, bahawa sudah tiba masanya aku bertarung dengan tembaring Sungai Paitan!
Sahabatku hanya ketawa kecil apabila aku nyatakan hasratku itu. Mungkin kerana hasratku yang besar dan penuh harapan itu, suaraku kedengaran sedikit temberang seperti tembaring Sungai Paitan!
Tapi aku dapati, temberangku itu ada hak dan tempatnya tersendiri, kerana aku adalah pemancing tegar yang telah lama mengenal lubuk ikan di sepanjang muara tanah Semananjung, sekalipun. Bahkan, telah banyak spesis ikan yang ganjil-ganjil tewas di mata kailku. Sekarang aku memberitahu diriku sekali lagi, sudah tiba masanya aku beradu tenaga dengan tembaring Sungai Paitan itu!
Dengan segera aku mencari maklumat tentang ikan perkasa itu. Google Search menunjukkan maklumat tersebut dengan pantas. “Tembaring (black bass) atau dikenali juga dengan nama kanai. Tembaring adalah pemangsa legenda di muara negeri di Bawah Bayu.”
Aku terpana. Ya, aku akui fakta itu. Keperkasaannya membantai gewang, mematahkan rod, drag gagal menahan asakan tali keluar bak curahan air menyebabkan ia menjadi idaman kebanyakan kaki pancing di negara ini. Perkenalan dengan rakan dari Sabah yang menetap dan bekerja di Semenanjung, telah membuka pintu ruang dan peluang untuk sampai ke sana, lubuk tembaring Sungai Paitan.
“Kita akan mendapatkannya sekarang. Bersedialah!” tingkah rakanku, Azrul sedikit menyentak lamunanku.
Jelas sekarang, pemilik suara misteri itu bukan Azrul. Pasti! Kelibat lelaki itu juga bukan kelibat Azrul. Memang ada perbezaan antara Azrul dan lelaki dewasa itu.
Lelaki dewasa yang memiliki sorotan mata yang tajam itu lebih berotot sasa, sementara Azrul berotot sedikit sahaja.
Mendadak, kelibat lelaki itu muncul lagi di tengah Sungai Paitan. Kemudian, secara tiba-tiba, lelaki dewasa itu melontar sesuatu ke dalam sungai. Adakah itu jangkar perahu?
Serta-merta, air sungai berdebur tinggi di udara. Selepas lontaran kuat itu, perahu terenjut-enjut ke belakang. Sesaat kemudian, takungan sungai yang dalam itu sedikit menenggelamkan perahu. Jelaslah, mereka melontarkan jangkar perahu semata-mata kerana mereka hendak berhenti sebentar di tengah sungai itu. Suara mereka riuh-rendah dengan suara yang tidak diketahui maksudnya. Namun daripada nadanya, suara itu mengandung keresahan yang mendalam. Ketakutan? Penuh semangat?
Siapakah mereka itu? Kenapa mereka terburu-buru menghilir ke Pulau Jambongan? Dalam suasana mencengkam itu, aku terdengar mereka menyebut, “Selepas berehat di Pulau Jambongan, kita teruskan pelayaran ke Kepulauan Banggi. Kita sepatutnya bukan orang buruan. Sebaliknya, kitalah yang patut memburu mereka. Bangsa keparat itu!”
Adakah mereka ini pelarian perang?
Aku menyimpan persoalan itu dalam dada. Cepat-cepat aku melontarkan mata kail ke Sungai Paitan. Rakanku juga berbuat demikian. Lalu menunggu dengan sabar tembaring menyambar umpan.
Serentak dengan itu, cuping telingaku tertangkap akan bunyi seperti ada sesuatu yang susup-sasap dan daunan kering dipijak. Berderap-derap bunyinya. Ranting-ranting patah dilanggar oleh sesuatu juga turut kedengaran. Bunyi yang tidak menentu itu datangnya dari arah tebing sungai kemudian menjauh ke tanah rata di sebelah barat. Siapakah mereka? Sepertinya sedang mengintai pemilik perahu misteri di Sungai Paitan itu.
Sekarang aku berhadapan dengan persoalan yang memeningkan kepalaku. Tapi jawapan apa sebenarnya yang aku perlukan, kerana saat ini aku sendiri teraba-raba di manakah sebenarnya aku berada, di alam nyata atau di alam fantasi?
Aku melontarkan pandangan ke sebelah selatan. Di situ, ladang sawit yang menganjur ke selatan membuatkan aku terkedu. Sekarang di tanah airku, semacam ada golongan daimyo yang menguasai tanah-tanah persendirian. Agaknya para pemimpin kami sukar mengawal tanah kecintaan kami. Sesungguhnya butala yang berbukit-bukit malah bergunung-ganang telah dikuasai oleh harimau-harimau bermata merah.
Mendadak aku terbayangkan Yoritomo yang sedang membentuk ketumbukan tentera, Kesyogunan Tokugawa, seperti yang aku pernah baca. Kisah menarik tentang Yoritomo pernah aku tonton melalui video itu juga entah mengapa muncul kembali pada saat-saat tidak sesuai seperti sekarang. Tapi yang hadir di depan kami itu mungkin bukan Yoritomo, tetapi segerombolan pejuang yang sedia membebaskan setiap inci tanah dan lautan negeri tercinta!
Jelas daripada penampilan diri, mereka adalah pejuang-pejuang yang sedang dikepung oleh musuh. Namun sorotan mata pejuang-pejuang itu tidak sedikit pun menggambarkan keresahan di hati mereka. Sah mereka adalah pahlawan pada zaman penjajah Inggeris. Tapi mengapa ketua lelaki misteri itu tidak mengisytiharkan dirinya sebagai buruan penjajah Inggeris di hadapan kami? Tidakkah dia tahu bahawa aku juga lelaki yang benci akan penindasan?
Aku cuba membayangkan bahawa ketua lelaki itu adalah seekor tembaring yang gagah perkasa mengharungi teluk dan lautan yang sentiasa bergelombang. Perahu kayu terpilih dilepaskan talinya. Dayung diayun merobek dada sungai. Tebing yang ditumbuhi semak samun dilanggar kecibak ombak kecil. Sungai telah membuka ruang seluas-luasnya seperti menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Sekarang aku ingin bersama lelaki buruan penjajah Inggeris itu. Si ikan tembaring! Aku yakin dia memiliki keperkasaan dan kelicikan. Aku berkeyakinan bahawa tembaring itu sudah mengembara ke seluruh pelosok sungai hingga ke teluk. Ia pernah berkelana mengelilingi pulau yang terbaring di tengah lautan itu. Tangkas dan gagah menongkah arus. Aku tahu. Setiap dasar sungai dan teluk itu telah diterokainya dengan penuh keangkuhan. Setiap lubuk telah diselami sambil mengembangkan sirip dan melibaskan ekor. Sebab itulah dia mengetahui semua keistimewaan lubuk itu dan ingin mempertahankannya daripada serangan penjajah.
Sekurang-kurang itulah gambaran yang muncul di fikiranku.
Tapi sekarang sungai ini telah bertukar warna. Dulu airnya jernih dan dingin. Tapi sekarang aku melihat airnya keruh dan tebingnya terasa panas apabila aku menyentuh air di permukaannya. Aku memutuskan, cabang sungai yang ketiga ini pasti berakhir di sebuah dataran yang berumput kering, dan di tengah-tengahnya terdapat seekor lembu tua yang memikirkan tentang dirinya saja.
“Serang! Serang! Halau semuanya!”
Tidak semena-mena aku terdengar seperti ada suara lelaki berleter. Seperti diri aku yang dileteri. Aku tersentak dari lamunan. Dadaku berdebar cemas. Jiwaku yang bergelora sepanjang berada di Sungai Paitan, terasa membeku. Rasa sebak di dalam dadaku juga bagaikan tergantung, penuh tanda tanya.
Aku berpaling ke arah Azrul di sebelah. Ternyata Azrul tidak mendengar apa-apa. Dia masih memberikan sepenuh perhatian pada jorannya. Kepala Azrul terangguk-angguk senang. Ada irama paluan kulintangan yang berkumandang dari corong radio dari kampung berdekatan. Kemudian, aku menoleh melihat tempat duduk belakang perahu itu. Aku mencari akan pemilik suara yang bernada marah itu.
Namun pencarianku sia-sia. Tiada sesiapa pun yang duduk di bahagian tempat duduk belakang perahu itu. Tiada lelaki dewasa lain, selain daripada aku di situ. Sementara Azrul sedang berlunjur kaki di dalam perahu. Aku cuba memasang telinga semula. Mana tahu, suara bernada marah itu akan muncul kembali. Setelah beberapa minit berlalu, masih tidak kedengaran apa-apa suara.
Ah, mungkin itu hanya imaginasiku sahaja. Bukan mungkin, tetapi pasti! Keluhan panjang meniti perlahan di bibirku. Dadaku kembali sebak seperti sebelumnya. Perjalanan 140 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu ke Kota Marudu, kemudian menyambung perjalanan selama tiga jam lagi sehingga ke rumah Azrul di desa Kabuluh Paitan sangat meletihkan. Adakah disebabkan rasa letih belum hilang maka pelbagai imaginasi muncul di kepalaku?
Serta-merta aku segera ingat. Sedetik cuma. Menangkap tembaring liar seumpama menangkap seorang penjenayah perang yang licik. Kawanku membuat kesimpulan, sebelum dia lebih banyak mendiamkan diri menumpukan sepenuh perhatian ke kekisi joran yang dipegang erat. Kulihat wajahnya kelat. Otaknya seakan menampung suatu beban yang berat.
“Siapa kata … menangkap tembaring seperti tindakan penjajah ingin menangkap seorang pemberontak?” Terpacul suaraku, menghiris kehangatan dan keheningan petang.
Aku melontar batu pemberat lebih jauh ke lubuk sungai. Keghairahanku ingin menarik ikan tembaring perkasa seperti menggaru-garu tangkai kesabaranku. Keinginan itu bukannya atas desakan kuat untuk melihat ia terkapar-kapar di dalam perahu. Tapi rasa puas yang aneh dan asing itulah yang membuatkan kesabaranku hampir hilang. Ada semacam suatu kepuasan yang tak tergambarkan apabila sesuatu yang dihajati dapat dipenuhi.
“Mungkin pada zaman penjajah dulu, ada seekor tembaring yang sangat gagah pernah wujud di sungai ini.”
Suara rakanku yang muncul seperti dari tebing tinggi mengejutkan khayalanku sekali lagi. Segera aku menoleh ke arahnya. Ternyata wajahnya itu menggambarkan satu kehampaan yang palsu.
“Tapi tembaring itu sudah ditangkap, bukan?” tanyaku kelat.
“Kalau begitu … ia bukan tembaring yang perkasa!”
“Yang berjaya menangkapnya … lagi gagah dan berkuasa!” Aku meninggikan suara, melawan debur air sungai yang menghempas tebing.
“Pergi jahanam dengan pemburu tembaring itu …!” Azrul bersuara lebih kuat lalu melontarkan batu pemberat ke sungai bersama kail dan umpannya.
Matahari kian redup, memungkinkan tembaring berkalih ke lubuk yang lain. Saat itu umpan yang kami pasang dan sedang terjuntai di hujung tangsi 30 paun, akan disambarnya dengan tangkas. Tangkai joran akan terliuk-liuk, dan saat itulah aku akan memegangnya dengan kejap dan memain-mainkannya sehingga tembaring itu beransur lemah dan menyerah kalah.
Tapi sehingga ke saat ini joran kami hanya digegarkan oleh sentakan ikan tapah dan usikan udang galah pada umpan. Ke mana tembaring itu telah pergi?
Aku menerawangkan pandangan pada jajaran Hutan Paitan yang penuh misteri. Keindahan banjaran itu bagaikan tidak tertangkap oleh sorotan mata lagi. Seperti ada yang menakutkan bakal muncul di kawasan perbukitan itu. Terasa jantung pula berdegup kencang. Tubuhku tergigil tidak menentu. Bagaimana jika suara misteri itu hanyalah pantulan suara perbukitan itu? Lalu mendadak aku menurunkan pandangan pada permukaan sungai seperti cuba menghanyutkan segala keresahan dan keanehan itu bersama angin yang menerpa dari kuala bertentangan Pulau Jambongan.
Sekonyong-konyong, aku seakan melihat akan kehadiran si penentang penjajah di selekoh sungai. Wajah penentang penjajah itu bagaikan muncul bersama-sama terbitnya cahaya matahari senja, berkilau-kilauan. Cahaya matahari itu menerobos masuk melalui celah-celah daunan pohon-pohon yang tumbuh berceranggah di sana sini.
“Wahai pahlawan!” tegurku tanpa sedar, gembira.
Mataku terkebil-kebil menatap wajah tampan si penentang penjajah yang bertubuh sasa itu. Tetapi sedetik sahaja si penentang penjajah itu hadir di ruang mata. Tubuh si penentang penjajah tiba-tiba terpelanting oleh jeritan kijang dari arah perbukitan Paitan. Dalam sedetik saja tokoh sejarah Borneo itu lalu lenyap entah ke mana seperti hanyut bersama kuntum-kuntum bunga dari hutan berhampiran bersama arus Sungai Paitan yang semakin deras.
“Mahukah engkau menyertaiku, memburu ikan tembaring di Kepulauan Banggi?”
Aku tidak pasti dari mana suara itu. Suara itu seperti melantun keluar dari lubuk Sungai Paitan menyebabkan tubuhku tergigil ketakutan.
Aku terpana. Terbungkam diam.
Sehingga ke detik itu, kehadiran pahlawan itu dalam setiap sudut fikiranku bukan sesuatu yang asing lagi. Sebaliknya si penentang penjajah itu seperti sudah sebati dalam jiwaku biarpun baru beberapa jam lalu aku mengenalinya. Mungkin sudah lama aku mengenalinya? Tetapi siapa mereka itu?
Sekali lagi soalan itu hadir. Kehadiran mereka di ruang mata aku juga, bagai mata air yang membersit dari celah batu perbukitan Paitan itu. Hmm … tidak mengapa!
“Serang! Serangggg!!”
Aku sempat tercengang seketika. Aneh, sungguh aneh, kata-kata arahan yang sama pernah aku dengar beberapa jam lalu. Kata-kata itu berupa suara misteri yang pernah membuatkan bulu tengkuk aku tegak berdiri. Kemudiannya baru aku tahu. Rupa-rupanya itu adalah suara si pahlawan terkenal itu! Aku menahan nafas. Mendadak aku teringat, potret lelaki itu pernah aku lihat dalam buku sejarah tanah airku! Tapi samar-samar saja. Dikatakan lelaki berani itu pernah berdayung di Sungai Paitan dan beberapa sungai lain di sekitar Labuk Sugut seumpama seekor tembaring. Entah siapa agaknya?
Aku dapati bahawa tembaring memang wujud sebagai lambang keperkasaan. Menariknya, tembaring itu seakan terus menyimpan cerita pahlawan silam dan terus menyimpan dendam pada siripnya. Kini apabila pihak penjajah ingin memburunya, ia melibas-libas ekornya lalu terpaksa mudik ke hulu Sungai Paitan itu beberapa kali. Aku menghembus nafas resah yang sudah lama terkurung dalam dada. Mendadak aku terlihat, biarpun dalam bayang-bayang tidak jelas, lelaki berotot sasa itu tidak semena-mena bertukar menjadi seekor tembaring yang baru diheret oleh rakanku, Azrul. Aku terpana seketika.
Aneh, sungguh aneh!