SEANDAINYA, diberikan peluang untuk memilih gaya hidup, suasana, keadaan dan pangkat, sudah pasti kita mahu sesuatu yang baik, penuh kegembiraan dan kebahagiaan yang berpanjangan selama-lamanya. Malangnya, semua itu tidak dapat untuk kita pilih sewaktu masih berada di dalam kandungan ibu. Semuanya ditentukan oleh takdir dan nasib yang belum tentu menjanjikan perkara manis. Setelah mengetahui hakikat takdir yang menanti, mustahil untuk kita kembali semula ke dalam rahim ibu untuk terus berbulan madu. Hakikat hidup adalah seperti apa yang kita saksikan semasa kita dilahirkan dan terbaring di atas buaian kain. Jenis, bahan, ketahanan dan harga kain buaian itu yang menentukan perjalanan hidup kita.
Saya sebagai contoh. Saya mengira yang kelahiran saya ke dunia fana ini hanya berseorangan. Sebaliknya kata ibu, ada ‘dia’ yang akan turut menemani dan bergelumang hidup bersama saya. ‘Dia’ telah hidup bersama kami di puluhan tahun bahkan mungkin ratusan tahun. Begitu lama, ‘dia’ masih merangkul hidup kami sekeluarga dan enggan pergi walau apa-apa jua keadaan hidup yang ditempuh.
Kata ibu, tentu saja keluarga kami merasa bosan menghadapi kerenahnya dan berusaha untuk mengusir ‘dia’ daripada kehidupan. Malangnya, ‘dia’ degil! Sekeras dan sekencang mana pun usaha yang dilakukan untuk memutuskan hubungan dengan ‘dia’, masih juga tidak berjaya. Perhubungan yang terjalin secara tidak diingini itu menyebabkan kami sekeluarga disisihkan, kata ibu. Kami dipandang serong, rendah, bahkan ada yang enggan menyentuh kami sama sekali. Bagi mereka, mendekati keluarga kami meninggalkan bau busuk yang maha dahsyat.
‘Dia’ membelit hidup kami tanpa mengenal kasih dan belas. ‘Dia’ adalah parasit yang hidup di dalam tubuh kami semua. ‘Dia’ juga bakteria yang berusaha untuk melumpuhkan dan membinasakan kita semua. Meskipun begitu, hidup ini masih harus diteruskan.
Pagi itu seperti biasa saya bangun awal daripada tidur yang lena. Dalam keadaan kantuk yang belum bersiap sedia untuk meninggalkan kelopak mata, saya bangun dari tilam yang empuk dan enak. Beberapa kali juga saya menguap. Untuk membuang rasa mengantuk, saya menggeliat tubuh dengan lembut dan perlahan, supaya mengantuk cepat sirna.
Saya bangun daripada katil kayu jati dan menapak menuju pintu di ruang tamu setelah menyelak daun pintu bilik yang tertutup rapat. Saya membuka pintu dengan perlahan-lahan dan menjenguk suasana di luar rumah. Sepi. Matahari baru sahaja timbul dari laut timur. Keadaan sekeliling masih belum jelas kelihatan.
Saya melangkah beberapa tapak ke halaman rumah. Mahu menghirup udara pagi yang nyaman dan segar sepuas-puasnya. Sambil melakukan regangan ringan, mata saya melilau ke kanan dan kiri. Di sebelah kanan, rumah jiran masih gelap. Namun rumah jiran di sebelah kiri sudah terang benderang.
Tidak lama kemudian, suasana sekeliling menjadi cerah dengan bangkitnya matahari daripada tidur. Ada sesuatu yang tertangkap oleh pandangan saya. Sebuah tembok yang entah datang dari mana, tumbuh di depan pagar rumah kami.
Saya tidak pasti sama ada itu Tembok Berlin ataupun Tembok Besar China mahupun tembok seperti di dalam filem Siapa Besar terbitan Malay Film Productions Ltd. Tembok itu diperbuat daripada papan lapis dan kayu.
Setahu saya, petang semalam tiada apa-apa tembok di depan pagar rumah. Pandangan jika dari depan rumah sememangnya menghadap jalan raya. Saya kehairanan. Saya menapak laju menuju tembok durjana itu. Gara-gara tembok itu, pandangan mata saya jadi terbatas. Saya tidak dapat melihat pemandangan padang rumput yang luas di seberang jalan. Padang rumput tempat kerbau dan kambing memakan rumput pada siang hari. Tembok itu turut menutupi jalan keluar menuju ke jalan raya.
Banyak persoalan yang bermain di fikiran saya. Siapa yang bina tembok itu? Untuk apa tembok itu dibina? Bila tembok itu dibina?
Pertanyaan demi pertanyaan mencucuk-cucuk minda. Saya perhatikan rumah jiran di sebelah kanan, tiada sebarang tembok yang didirikan di depan rumah. Rumah banglo yang agam dan indah itu – kawasan hadapan luas mata memandang. Sebaliknya, rumah jiran di sebelah kiri dipasang dengan tembok. Reka bentuk tembok yang sama dengan di depan rumah saya.
Teringin pula saya hendak melihat sudut pandang depan tembok. Saya lekas menyusur laluan menuju jalan menghadap tembok. Sebuah lukisan yang cantik dan indah terpampang jelas. Terdapat sebuah tulisan bersaiz gergasi tertera – SELAMAT DATANG KE KAWASAN KAMI.
Untuk apa agaknya tembok berhias indah ini dibina di sini? Saya menduga yang tembok ini dibina pada waktu malam. Waktu manusia seperti saya tidur lena dan nyenyak. Saya teringat akan kisah Candi Prambanan yang dibina dalam tempoh masa satu malam sahaja oleh Bondowoso. Sesungguhnya, manusia yang leka akan rugi dan mudah dipijak serta dianiayai.
Bukan sahaja mereka membina penghadang, gerai jualan saya yang berada di tepi jalan berhadapan dengan rumah juga dialihkan ke belakang tembok. Sehelai kertas bersaiz A4 yang dilekatkan di badan gerai. Saya mencabut kertas tersebut, membaca arahan yang tercatat di situ. Hal yang saya faham adalah pihak kerajaan tidak membenarkan gerai tersebut berada di tepi jalan berkenaan atas faktor keselamatan dan kebersihan.
Ah, sebenarnya itu alasan mereka untuk mencari kesalahan!
Saya masih ingat dengan jelas. Sewaktu berkempen untuk pilihan raya dahulu, sudah dijanjikan dan diberikan jaminan yang saya dan penduduk-penduduk sekitar sini boleh berniaga di tepi jalan, asalkan kebersihan dijaga dengan baik dan keselamatan pengguna jalan raya diutamakan. Sesudah mendapat kerusi, saya yang memberikan mereka itu kuasa pula yang diberikan notis amaran bertulis sebegitu. Adakah notis amaran itu harga kepada kuasa yang telah diberikan? Sungguh tidak berbaloi dan setimpal dengan apa yang sudah saya lakukan untuk mereka.
Rasa tidak puas hati membuak-buak di dalam dada saya. Tindakan mereka memacak dan membina tembok di atas tanah saya sesuka hati ini sungguh tidak masuk akal. Saya dirasuki rasa marah. Saya nekad untuk meruntuhkan tembok itu. Saya kembali ke dalam rumah untuk mengambil kapak pusaka nenek moyang.
Kapak bukan kapak sembarangan. Kapak ini diperbuat daripada darah, tulang belulang dan keringat para leluhur saya. Kapak yang akan meranapkan dan meruntuhkan tembok tidak berguna itu.
Di dalam perjalanan menuju ke rumah, jiran rumah di sebelah kiri memanggil saya dengan nyaring. Dengan pantas saya memalingkan wajah. Seorang lelaki sebaya saya melambaikan tangan ke arah saya. Saya menemuinya dengan segera.
Jiran sebelah kiri saya memberitahu yang tembok itu telah dibina pada malam hari. Dia sempat melihat beberapa orang lelaki memasang tembok tersebut. Namun dia takut untuk bertanya dan menegur. Akan tetapi, dia ada membaca hebahan di media sosial bahawa jalan di depan rumah kami ini akan dilalui oleh orang kenamaan, VVIP dan pemimpin-pemimpin utama dunia. Ada pertemuan pemimpin dunia di sebuah resort terkemuka yang terletak tidak jauh dari situ. Mereka akan berbincang tentang projek bernilai juta, bilion dan trilion ringgit.
Saya ajukan kepada jiran saya, kenapa rumah jiran di sebelah kanan kita tidak dipasang tembok? Rumah kita yang diperbuat daripada kayu, atap zink rontok, serba daif, berbau busuk dan tidak semewah rumah jiran di sebelah kanan ini pula menjadi korban, ditutup dengan tembok.
Saya katakan lagi, mereka memasang tembok di depan rumah kita untuk menutup situasi sebenar yang kita semua sedang hadapi sekarang. Situasi yang kita semua sedang bergelut dengan serba serbi kenaikan dan pemotongan. Macam teori iceberg yang dipelopori oleh Sigmund Freud. Yang indah, kaya, baik, bagus dan menyenangkan dipertontonkan di permukaan. Yang buruk, daif, miskin dan susah disorokkan di dasar laut.
Walhal semasa berkempen dahulu, mereka sanggup makan, minum dan bersembang di rumah buruk saya sambil menabur benih janji. Semua rasa jijik dan mual dibuang ke tepi. Kini, mereka malu pula dengan suasana kehidupan kami di tempat ini. Adakah mereka malu hendak mengakui kewujudan kami yang masih dibelenggu oleh ‘dia’? Bukankah sepatutnya mereka memikirkan cara untuk menyingkirkan ‘dia’ daripada kawasan ini?
Saya mengajak jiran saya di sebelah kiri untuk melakukan sesuatu yang bijak. Saya mengajak dia dan mereka-mereka yang senasib dengan saya untuk meruntuhkan dan merobohkan tembok pengkhianatan itu. Biar satu dunia melihat sendiri kenyataan hidup kami semua. Realiti yang pahit untuk dilihat di sebalik tembok buatan yang dibina oleh manusia bertangan kotor.
Kami dilayan macam serangga bukan sebagai seorang manusia dan seorang warganegara. Bagaimana kami mahu menyingkirkan ‘dia’ daripada hidup? ‘Dia’ sangat diperlukan untuk memastikan kuasa akan tetap berada di tangan mereka sampai bila-bila. ‘Dia’ adalah kunci utama kepada kekenyangan, kemewahan dan kemasyhuran yang sebenar. Ya, ‘dia’ itu kemiskinan.
Kami semua sudah membulat tekad untuk memastikan tembok itu tumbang. Kebenaran harus dijelmakan. Sebaik sahaja kerja-kerja untuk meranapkan tembok tersebut bermula, salah seorang daripada kami telah mendapat panggilan telefon. Dia tidak semena-mena berteriak keras lalu meminta diri untuk berundur daripada melakukan kerja terbabit.
Kami tercengang-cengang, kehairanan. Mengapa berundur? Takut? Kau jangan jadi pengecut dan bacul, teriak saya pada lelaki itu.
“Aku enggan bantuan bulanan kebajikan masyarakat ditarik balik! Aku lebih rela rumahku dibina tembok daripada hilang bantuan dan kelaparan.”
Aku terdiam. Tangan yang menggenggam kapak, melemah. Suasana menjadi hening. Di dalam kepala aku menghitung-hitung, hilang bantuan atau tembok itu tumbang menyembah bumi?