Skip to content
Tiwol Tuk Ibu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Tiwol Tuk Ibu
Tiwol Tuk Ibu
Cerpen

Tiwol Tuk Ibu

  • ZULAIHA BINTI PAIKON
  • 20 Julai 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 3
  • 1

BERJINGKIT-JINGKIT Mak Pairah menuju ke stor terbuka di tepi rumah. Nyanyian nyamuk pagi mengiringi langkahnya. Dilibas-libas serangga kecil itu dengan tuala mini yang sentiasa terletak di bahu apabila keluar rumah.

“His, nyamuk ni! Makin banyak pula ia datang!” Mak Pairah membebel sendiri sambil mengimbangi langkahnya mengelakkan kemuncup yang tegak berdiri.

“His, kemuncup ni pun satu!” bebel Mak Pairah lagi. Rasanya sudah tiga minggu suaminya, Pak Tugiman tidak memesin rumput keliling rumah. Memang semakin galaklah pertumbuhan rumput jarum itu.

Mak Pairah menuju ke baldi berisi rendaman ubi kayu. Sudah tiga hari ubi kayu itu direndam. Semakin lama, semakin lembut teksturnya dan mudahlah kerja-kerja menyediakan resipi tradisi turun-temurun yang masih dipegangnya. Ubi kayu yang pahit selalunya dipilih kerana murah harganya dan jarang-jarang orang suka makan. Daripada pokok yang berusia sembilan hingga 10 bulan, ubi kayu itu dibuang kulitnya, dibasuh, dipotong pendek sekitar satu hingga dua inci, dibelah-belah dan kemudiannya direndam selama dua hingga tiga hari. Jerih perihnya menanam batang ubi kayu akhirnya mendatangkan hasil juga.

Meskipun setiap kali habis menanam, keesokannya batang ubi dicungkil keluar oleh babi-babi hutan atau monyet-monyet gelandangan, namun Mak Pairah tidak berputus asa. Ditanam lagi dan lagi setiap kali diganggu makhluk perosak yang tidak faham bahasa manusia itu.

Akhirnya, sepokok dua tumbuh dan membesar dengan sihat. Ubinya pula penuh mengelilingi pangkal. Itu pun jenis ubi kayu putih yang kurang digemari oleh haiwan perosak. Memang akal bijaksananya haiwan itu terpaksa diakui Mak Pairah kerana makhluk bernama babi hutan hanya memilih ubi kayu berbatang merah atau lebih dikenali ubi kayu kapok yang isinya putih dan empuk.

Alhamdulillah, syukur atas rezeki kurniaan-Nya. Tidak perlu lagi Mak Pairah ke pekan membeli ubi kayu yang harganya naik mencanak-canak. Tiada lagi sekilo 70 sen seperti era 1980-an dan 1990-an dahulu, sebaliknya harga ubi kini mencecah RM5.00 sekilo. Zaman berganti zaman, namun resipi turun-temurun ini tetap kekal merentas zaman selagi ada tangan-tangan pencinta warisan.

Mak Pairah menapis ubi tersebut dan dituang ke dalam besen. Bau busuk sesekali harum meruap ke udara, menusuk deria dan membangkitkan rasa yang tidak semua orang mengerti. Ada nostalgia, rindu dan keperitan masa lalu bergayut di tangkai hati Mak Pairah. Makanan eksotik yang terhasil daripada proses penapaian ubi kayu kering oleh fungus dan peranan bakteria asid laktik ini jelas mencuit kenangannya.

Mak Pairah kemudiannya menjemur potongan ubi di atas jemuran atau nyiru yang disediakan khas. Lagaknya seperti menjemur keropok kering yang diperbuat daripada ikan dan tepung sagu dari Terengganu dan Kelantan. Kepingan ubi tersebut perlu dibalik-balikkan setiap hari supaya keringnya sekata. Barulah ubi itu menjadi putih kekuningan dan tidak berkulat hitam. Sehari dua akan keringlah ubi-ubi ini jika sinaran matahari terus setia berkhidmat. Ubi yang kering dan cantik dipanggil ‘gaplek’.

Seterusnya, ‘gaplek’ akan ditumbuk dengan lesung dan alu sehingga menjadi tepung. Lesung kayu warisan keluarga Mak Pairah masih tersimpan kemas hingga kini. Jika Mak Pairah malas, alat moden pengisar makanan boleh digunakan cuma rasanya kurang asli.

Usai menjemur ubi, Mak Pairah ke dapur mencari-cari bekas menyimpan ubi yang telah dikeringkan. Ada baki semangkuk dua. Sementara menanti ubi yang baharu dikeringkan, Mak Pairah terfikir untuk membuatkan cucu-cucunya makanan tradisi masyarakat Jawa itu. Mak Pairah bersila di lantai, membongkok sedikit sambil tangannya menekup alu ke dalam lesung kayu. Urat biru di tangannya timbul jelas, menyatakan usianya yang sudah menjangkau lebih setengah abad. Duk!Duk!Duk! Bunyi hentakan alu berpadu dengan suara unggas di luar jendela.

‘Macam inilah dulu emak buat,’ bisik hatinya, seolah-olah berbeka dengan arwah ibunya di alam sana. Tiba-tiba dadanya terasa menyesak. Ada air bening mahu luruh dari kelopak matanya. Lantas, surah al-Fatihah dibacakan dalam kesyahduan sukmanya.

Lawang ingatannya mengimbau ke zaman darurat. Kemiskinan yang menghimpit menjadikan ubi kayu sebagai makanan penyelamat. Beras amat mahal pada masa itu. Maka, tiwol inilah menjadi makanan sehari-hari. Bukan sahaja sekadar pengisi perut, tetapi menjadi simbol ketabahan keluarga yang tidak mahu mengaku kalah dalam menempuh ranjau kehidupan.

Mak Pairah melepaskan keluhan. Tangannya menuang hasil tumbukan ubi kayu yang telah diayak ke atas dulang sederhana besar. Dikukusnya selama 20 minit, sambil dibalik-balikkan dan direnjis sedikit air. Aromanya menari-nari ke ruang dapur. Dan, kenangan Mak Pairah pun bersatu dalam kerinduan yang tiada penghujung.

Diangkatnya kukusan ubi. Sejenak menanti sejuk sedikit. Digaulnya dengan kelapa parut putih yang masih segar, dicampurkan dengan sedikit gula merah. Warna ubi yang asalnya pudar kini bertukar lebih menarik dek ditaburi manik-manik kelapa.

“Hmmm, kalau cucu-cucuku sampai nanti, entah suka, entah tidak,” gumamnya.

Tiba-tiba, telinganya memerangkap sesuatu. Ada suara orang memberi salam.
“Waalaikumsalam,” jawab Mak Pairah sambil menguatkan kudratnya untuk bangun. Perlahan-lahan menahan rasa sesemut di pergelangan kakinya. Terasa tidak muda seperti dahulu. Allahuakbar! Dia berjaya bangun akhirnya.

“Alhamdulillah, cucu tuk ibu dah sampai, ya,” ujar Mak Pairah kegirangan. Kepulangan cucu-cucu dari bandar memang amat dinanti menjelang musim cuti penggal persekolahan. Hawa, anak sulung Mak Pairah berkerjaya. Impian untuk menjadi guru menemukan jalan mudah.

Namun demikian, sejak berkeluarga dan mengajar di bandar, semakin sukar Mak Pairah bersemuka dengan Hawa. Kerinduan Mak Pairah terhadap anak sulungnya terlunas hanya pada waktu cuti penggal persekolahan.

Mak Pairah teringat tiwol yang baru siap dibuat. Cucu-cucunya membesar dengan makanan moden. Mereka sudah terbiasa dengan burger, mi segera, piza dan roti berkrim.

‘Adakah mereka mahu menyentuh tiwol buatanku ini?’ soalnya sendiri dalam hati. Ada terselit sedikit rasa ragu-ragu, namun seboleh mungkin Mak Pairah cuba untuk menyembunyikan rasa itu.

‘Tak apa. Biarlah cucu-cucuku cuba dulu. Biar mereka berdua tahu bahawa tiwol ini bukan sekadar makanan tetapi juga menyimpan seribu cerita tentang sukarnya menjalani kehidupan,’ bisiknya dalam hati. Mak Pairah menarik nafas panjang.

Mak Pairah sampai di muka pintu.

“Assalamualaikum, tuk ibu!” Suara riang Hawra, cucu sulungnya, berumur 15 tahun melaung sambil keluar dari perut kereta. Badannya tinggi lampai, kulitnya cerah dan berlesung pipit dalam di pipi kiri.

“Waalaikumsalam, Hawra.” Mak Pairah tersenyum lebar. Segera dipeluk cucunya dengan penuh kasih sayang.

Hasya pula meluru. “Tuk ibu!” katanya sambil mencium tangan tua itu.

Namun begitu, sejurus melangkah masuk ke dalam rumah, hidungnya menangkap sesuatu. “Eh, bau apa ni, tuk ibu?” katanya sambil menutup hidung.

Mak Pairah tertawa kecil. “Itu… tuk ibu masak tiwol.”

“Ti… ti… ooo… apa tu, tuk ibu?” Hasya mengerutkan keningnya. Pelik.

“Tiwol,” ulangnya kepada Hasya. “Ini makanan orang dulu-dulu. Dibuat daripada ubi kayu,” sambungnya lagi sambil tersenyum. Sebolehnya Mak Pairah cuba menangkis pandangan ‘kurang suka’ Hasya pada tiwol dengan senyuman sambil bercerita tentang tiwol.

Hawra melangkah ke ruang dapur. Terpandang dulang rotan berisi hidangan itu. “Macam pelik aje bentuknya, tuk ibu. Macam serbuk nasi bercampur kelapa, ya.”

“Memang macam tu rupanya.  Dulu, tuk ibu selalu makan tiwol ni. Kalau tak ada nasi, kami sekeluarga makan tiwol aje. Makanan ni lah yang memberi tenaga dan membuat tuk ibu sekeluarga kenyang.” Mak Pairah berasa bangga menerangkan keistimewaan makanan itu. Hasya mencebik.

“Tapi kan tuk ibu, ada ke orang makan tiwol ni lagi? Sekarang ni ada banyak makanan sedap dan wangi baunya. Ada nasi, ada mi, ada roti. Kenapa tuk ibu susah-susah masak benda berbau macam ni?” tanya Hasya dengan muka berkerut.

Kata-kata itu bagai belati menusuk dada Mak Pairah. Dia berpaling, cuba menahan getar suaranya. “Sebab… tiwol bukan sekadar makanan, sayang. Dalam setiap suapan ada kisah, ada air mata, dan ada doa seorang ibu untuk anaknya.” Itulah jawapan Mak Pairah sejujurnya.

Hawra mengangkat keningnya dan berkata, “Maksud tuk ibu?”

Mak Pairah menunduk, seolah-olah berbicara dengan bayang masa lalu.

“Kalau tidak kerana tiwol, mungkin tuk ibu tak membesar hingga menjadi seorang ibu, sampai dapat melihat kamu semua. Tiwol inilah penyambung hidup keluarga kita.”

Ruang dapur tiba-tiba jadi sunyi. Hanya bunyi kelicap di luar tingkap memecah suasana. Hasya menggigit bibir, terdiam.

Akhirnya, Hasya bersuara perlahan tetapi tajam. “Tapi Tuk ibu… orang sekarang dah tak makan tiwol ni. Kalau kawan-kawan tahu Hasya makan benda macam ni, mesti mereka ketawakan Hasya. Lagipun, rupa makanan ni pun dah macam tahi kucing Hasya tengok. Warna pun kelabu… kusam. Berketul-ketul, sama macam tahi kucinglah!” ucap Hasya sambil ketawa kecil.

Anak berusia 10 tahun itu tidak merasa bersalah sedikit pun menuturkan ungkapan tersebut. Kata-kata itu bagai anak panah menembusi dada Mak Pairah. Dia diam seketika lalu menarik nafas panjang. Kedut di wajahnya kian jelas. Ada kesayuan menyelinap di hati sebaik-baik sahaja dia menyusun kata-kata.

“Ya, mungkin benar ada orang mengatakan yang tidak baik tentang makanan ni. Tapi, tahukah kamu, makanan inilah yang membesarkan tuk ibu dulu?’’

Hawra melirik ke wajah neneknya. Matanya menangkap ladungan air mata yang belum tumpah.

“Tuk ibu, ceritakanlah macam mana dulu tuk ibu dan arwah moyang kami hidup dengan tiwol?” tanya Hawra dengan mata berkaca-kaca sambil memegang manja lengan Mak Pairah. Dia mendongak memandang Mak Pairah penuh harap.

Hawra sengaja bertanya akan rahsia di sebalik tiwol yang berbau itu, di samping niatnya mahu memujuk dan meredakan kesedihan yang menerpa tangkai hati neneknya atas kata-kata tajam adiknya. Dia mahu cerita neneknya nanti menghapuskan pandangan kurang baik adiknya tentang tiwol.

Mak Pairah duduk di bangku kayu di hadapan meja makan di dapurnya. Tangannya memegang dulang tiwol. Dia mengusap dulang itu seolah-olah sedang mengusap kenangan lalu.

“Zaman tuk ibu kecil dulu, sekitar tahun 1950-an, zaman itu zaman susah, cu. Bukan banyak makanan seperti sekarang. Kalau sawah tak menjadi, beras akan jadi mahal harganya. Kami tak mampu nak beli beras. Ibu tuk ibu, arwah moyang kamu dulu akan bangun sebelum subuh, menumbuk ubi kayu yang sudah dikeringkan ini sehingga menjadi tepung yang halus. Kemudian, dia kukus lalu gaulkan dengan gula merah dan kelapa parut. Itulah sarapan dan itulah juga makan tengah hari kami sekeluarga. Kadang-kadang itulah juga menjadi makan malam kami,” cerita Mak Pairah. Mata Mak Pairah mula berkaca, menahan sebak.

Mak Pairah terdiam seketika. Dia cuba mengawal emosi dan rasa sebak yang memenuhi dadanya. Dia kemudian bersuara perlahan, “Pada suatu pagi, tuk ibu menangis kerana lapar. Di rumah moyang kamu tak ada apa-apapun makanan. Moyang kamu menyuap tuk ibu dengan tiwol sambil berkata, Anakku, makan ya. Selagi ada tiwol, kita tidak akan mati kelaparan.”

Air mata yang ditahan akhirnya jatuh menuruni pipi Mak Pairah. Dia terdiam lagi. Kemudian, Mak Pairah bersuara lagi, “Dan, dia… selalu berdoa supaya anak-anaknya kuat walaupun hidup susah. Doanya semoga makanan ringkas ni jadi berkat dalam keluarga kami.”

Hawra dan Hasya terpaku mendengar cerita neneknya. Mereka agak keliru. Dunia mereka selama ini penuh dengan makanan segera dan restoran moden. Tidak pernah terlintas makanan yang begitu sederhana buatannya boleh menyimpan banyak air mata dan doa yang tulus.

“Sekarang, kamu kata orang ketawakan, biarlah. Biarlah orang nak kata apa-apa pun. Bagi tuk ibu, setiap butir tiwol ini adalah lambing kasih seorang ibu. Kasih itu lebih mahal daripada harga segunung emas.”

Suasana senyap. Bunyi bubut bersahut-sahut seakan-akan turut menangisi kisah lama itu.

Mak Pairah menyeka air mata di pipinya dengan hujung lengan baju. Dia bangun lalu membawa dulang rotan ke meja makan. “Sudahlah, mari kita makan. Kalau tak suka, tak apa. Tuk ibu tak marah. Jika berada di depan makanan, kita kena hormat dengan makanan. Tak elok kita mengatakan benda yang tak baik pada makanan.” Ada sekalung nasihat yang amat mendalam terkandung dalam kata-katanya.

Hawra dan Hasya saling berpandangan. Wajah mereka penuh ragu.

“Nak cuba tak Hasya?” bisik Hawra.

“Entahlah… rupa dia macam nasi tapi macam serbuk. Bau pun lain,” jawab Hasya menahan cuak.

Mak Pairah tersenyum. Menolak pinggan ke arah mereka. “Ambillah. Rasalah sedikit pun tak apa, janji kamu rasa.”

Perlahan-lahan Hawra mencedok sesudu tiwol. Dia menyuap ke mulut, dikunyah perlahan-lahan. Roman wajahnya kosong tetapi kemudian, matanya terbuka luas.

“Eh, tuk ibu! Sedaplah! Manis, lembut, lemak… ada rasa kelapa, ada rasa macam nasi juga.”

Hasya yang tadinya mencebik mula tidak sabar untuk mencicip makanan itu. Dia mencedok sesudu lalu disuap ke dalam mulutnya. Wajahnya berubah tiba-tiba.

“Ya, betul la, tuk ibu! Betul kata kakak. Rasanya sedap. Bila hasya kunyah, rasanya macam ada kenangan. Padahal Hasya tak pernah makan pun tiwol sebelum ini.”

Mak Pairah ketawa mengekek. Dia berasa gembira melihat reaksi Hawra dan Hasya setelah merasa tiwol.

“Itulah rasa kampung. Rasa hidup orang dulu-dulu. Ada peluh, ada air mata dan ada doa yang tulus.”

Merah air muka Hasya macam bunga raya kembang pagi. Antara gembira dan malu berlumba-lumba mengambil tempat di hatinya.

“Tuk ibu, masa Hasya kunyah tadi, Hasya tiba-tiba terbayangkan kebun getah, dapur kayu, pelita minyak tanah. Macam cerita lama yang hidup semula,” ucap Hasya ingin mengambil hati nenek yang sudah dilukainya tanpa sengaja.

“Yalah, Hasya! Ada-ada saja kamu ni.” Mak Pairah mengusap kepala cucu kesayangannya itu. Hilang segala kesayuan yang bersarang di jiwa.

“Makanan bukan sekadar untuk kenyang. Makanan menyimpan memori suka dan duka sebuah kehidupan. Makanan ini membawa roh zaman yang sudah pergi,” tambah Mak Pairah lagi. Kesempatan inilah digunakannya untuk menyisipkan nilai jati diri, integriti, dan cintai warisan ke dalam minda generasi era digital ini.

“Kalau macam inilah sedapnya, kenapa makanan ni makin hilang, tuk ibu?” Kenapa orang lama tak teruskan membuat dan menghidangkannya klepada generasi muda?” Hawra menambah dengan nada agak serius.

“Mungkin masyarakat moden hari ini berasa malu dengan makanan menek moyang mereka. Ada dalam kalangan mereka yang menganggap makanan ini hanya menjadi makanan zaman susah dulu-dulu, makanan orang miskin saja. Lama-kelamaan, tinggal cerita saja. Sebab itulah, tuk ibu sengaja masak tiwol hari ini. Tuk ibu mahu kamu berdua tahu dan kenal makanan warisan kita. Bukan hanya tahu dan kenal makanan orang Barat seperti burger, piza, spageti, tapi tiwol inilah yang menyambung darah dan nyawa bangsa kita.”

Hasya menggenggam tangan Mak Pairah. “Tuk ibu, ajar kami buat tiwol. Hasya nak belajar buat makanan ni. Kalau tidak nanti tiwol mungkin hilang terus daripada bangsa kita.”

“Mama pun nak belajar juga!” celah Hawa, ibu Hasya dan Hawra sambil memeluk kedua-dua anaknya. Dia yang sejak tadi memerhati ibu dan anaknya berselisih faham tentang tiwol berasa bangga mendengar Hasya mahu belajar membuat tiwol.

Air mata Mak Pairah luruh lagi. Kali ini disambut dengan senyuman lebar sampai ke telinga.

“Syukur, Ya Allah, akhirnya ada yang mahu belajar,” katanya puas.

Ditemani rinyai hujan di luar, tiga generasi X,Y dan Z duduk di meja kayu sederhana di tengah ruang dapur. Tangan kecil, tangan muda dan tangan tua bersatu memegang sudu, menyuap tiwol yang sama. Setiap kunyahan seolah-olah menyambung semula benang-benang halus antara masa lalu dan masa kini. Impian Mak Pairah, Hawa, Hawra dan Hasya pun bersatu.

Selepas makan malam, ketiga-tiga generasi memulakan modus operandi untuk mengangkasakan makanan tradisi warisan nenek moyang mereka.

“Kalau betul kamu nak belajar, malam ni juga Tuk ibu ajarkan. Tak perlu tunggu esok,” kata Mak Pairah dengan suara penuh semangat. Tubuhnya yang sudah uzur tidak menjadi penghalang asalkan sahaja cucu-cucunya mahu belajar.

“Eh, malam-malam macam ni pun boleh, tuk ibu?”

“Kalau arwah moyang kamu dulu, tengah-tengah malam pun dia sanggup buat tiwol. Apabila bangun esok pagi, anak-anak tidak akan berlapar,” kata Mak Pairah sambil mengangguk-angguk.

Mak Pairah menunjukkan ubi kayu yang sudah dikeringkan. Tangan kerepotnya mula memegang alu kayu. “Mula-mula, kita tumbuk kepingan ubi kayu ni sampai hancur, tumbuk sampai halus.”

Hawra mengambil alih tempat neneknya. Dia mengangkat alu tinggi-tinggi lalu menumbuk dengan kuat. Duuum! Bunyinya membuat Hasya menjerit kecil.

“Eh, kakak ni! Kita bukan nak tumbuk lantai rumah tuk ibu, tahu! Kita nak tumbuk kepingan ubi tu!” usik Hasya sambil tertawa.

Mak Pairah turut tergelak memerhatikan gelagat kedua-dua orang cucunya.

“Pelan-pelan, cu. Makanan ni kena buat dengan sabar, bukan kuat semata-mata.”

Hawra mengulang tumbuk dengan lebih perlahan. Peluh mula merenek di dahinya yang luas.

“Patutlah tuk ibu kuat walaupun dah tua. Rupa-rupanya sebab selalu menumbuk macam ni, ya,” kata Hawra.

“Ya, betul Hawra. Zaman dulu kerja-kerja di dapur banyak guna tangan. Juga perlukan banyak tenaga. Zaman dulu mana ada mesin macam sekarang. Kerja lagi mudah, sekejap dah siap. Dulu kena tumbuk dulu, lepas tu ayak. Nak masak pula kena hidupkan api dulu. Memang ambil masa, tapi makanan ada rasa dan ada jiwa di dalamnya. Rasanya lebih sedap,” balas Mak Pairah dengan rasa bangga.

Hawa membantu Mak Pairah mengayak ubi kering yang telah menjadi tepung gaplek atau dipanggil juga tepung kasava.

“Selepas ditumbuk, tepung ini akan diayak menggunakan tapis supaya kita dapat tepung yang lebih halus. Macam tepung gandum dan beras yang dijual di kedai-kedai tu,” kata Mak Pairah sambal memandang Hasya dan Hawra.

“Kemudian, jangan lupa tenggekkan periuk kukus di atas dapur gas. Kalau nak rasa lebih enak kita masak guna dapur kayu untuk mengukus tepung kasava ni. Nanti tiwol akan ada bau wangi daripada kayu api dan asapnya. Itu yang membuat rasa tiwol lebih sedap. Tapi tak apa, hari ini kita guna gas saja. Sedap juga rasanya,” beritahu Mak Pairah sambal tersenyum kepada Hawra dan Hasya yang setia belajar.

Kadang-kadang Mak Pairah rajin juga mencari kayu api jika rindu masakan daripada dapur kayu yang masih utuh di hujung dapur di bahagian luar rumahnya.

Kini, giliran Hasya pula menggaul tepung kasava yang siap dikukus dengan kelapa parut dan gula merah yang sudah dihancurkan. Kelapa parut melekat di tangannya. “Eee, lekitlah, tuk ibu!”

“Hmmm. Biar lekit. Itu tanda kasih sayang. Kalau tak mahu tangan kotor, tak adalah jiwa pada makanan nanti,” ujar Mak Pairah penuh makna tersirat.

Hasya terdiam, lalu meneruskan kerja dengan lebih tekun. Dia mula memahami erti sabar yang dimaksudkan oleh neneknya.

Akhirnya, siap sudah makanan eksotik yang menjadi tradisi masyarakat Jawa sejak sekian lama. Hasil air tangan tiga generasi terhidang di depan mata. Tiwol, buatannya sederhana tetapi kali ini rasanya sangat istimewa. Mak Pairah memandang wajah cucu-cucunya.

“Tuk ibu gembira sangat hari ni. Akhirnya ada yang mahu menyambung warisan ini. Jangan biarkan makanan tradisi ini hilang ya, cu. Bukan kerana rasanya saja, tapi kerana sejarah dan doa yang terkandung di dalamnya,” pinta Mak Pairah dalam getar suaranya.

“Tuk ibu, kami janji. Nanti kami akan ceritakan kepada kawan-kawan dan juga kepada kenalan di media sosial tentang khasiat dan keenakan tiwol ni!” kata Hawra serius.

“Ya, betul tu. Tiwol makanan yang menyelamatkan nyawa bangsa,” sambung Hasya pula.

Dia terus memeluk neneknya erat-erat.

“Terima kasih, tuk ibu… kerana ajar kami erti sebenar makanan,” kata Hasya dan Hawra bahagia.

 

***

Sebulan kemudian.

“Tuk ibu, tengok TokTok ni! Tiwol tuk ibu dah tular satu dunia!”

“Hah… ye ke? Mana?” Mak Pairah teruja ingin tahu.

Terketar-ketar tangannya menatal skrin telefon bimbit milik Hasya. Banyak penonton yang melihat tiwol hasil air tangan Mak Pairah dan beberapa komen yang ditinggalkan sangat positif.

“Tiwol tuk ibu memang terbaik!”

“Lemak, lembut, gebu-gebas!”

“Wow, aromanya buat saya teringat-ingat! Nak pesan lagi!”

Tersenyum-senyum Mak Pairah membaca semua komen. Ya, ilmu yang diajarkan dan dimanfaatkan menjadi jariah berpanjangan di alam sana.

Sesungguhnya, Mak Pairah amat bersyukur dikurniakan cucu-cucu yang bijak. Dalam diam-diam Hawra dan Hasya merakam kandungan ringkas tentang proses penyediaan tiwol. Tidak disangka-sangka video itu meraih ribuan tontonan. Peminat laman sosial juga teruja melihat keunikan makanan tradisi yang jarang-jarang dihidangkan kepada generasi muda. Ramai yang meninggalkan komen ingin merasa sendiri keenakan tiwol.

Melihat sambutan luar biasa, Hawra dan Hasya menjual makanan warisan ini secara dalam talian. Mereka mendapatkan bekalan tepung kasava daripada Mak Pairah, nenek mereka yang sangat rajin. Mak Pairah semakin ligat menyediakan bahan asas itu untuk cucu-cucu kesayangannya. Sementara itu, pesanan dalam talian datang bertubi-tubi. Kejadian ini sungguh bermakna kepada Mak Pairah kerana strategi ini menghidupkan kembali warisan nenek moyang yang hampir dilupakan.

Kini, setiap kali Mak Pairah menerima panggilan video daripada Hawra atau Hasya, hatinya semakin melonjak gembira. Melalui panggilan video tersebut, dia melihat cucunya membungkus tiwol untuk dihantar kepada pelanggan. Hatinya berbunga.

“Siapa sangka makanan orang lama boleh menjadi kegemaran orang muda,” bisik Mak Pairah gembira.

Mak Pairah tidak lagi berjingkit-jingkit mengelak kakinya dicucuk rumput jarum kerana Pak Tugiman sudah rajin memesin rumput di keliling rumah. Kawasan di sekeliling stor tempat menyimpan jemuran ubi kayu juga sudah cantik dan diperbaik. Nyamuk yang suka menyanyikan Mak Pairah juga sudah semakin berkurang kerana tiada tempat untuk serangga bersayap dua dan berkaki enam, keluarga Culicidae itu bersembunyi. Apa tidaknya, persekitaran rumah Mak Pairah semakin ceria, seceria hati Mak Pairah yang berbangga atas usaha cucu-cucunya mengangkat makanan tradisi bernama ‘Tiwol’.

Di ladang ubi kayu yang subur berpagar, daunnya melambai Mak Pairah dari kejauhan. Dari ubi kayu menjadi gaplek, seterusnya tiwol, bersatu dalam selimut warisan.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Gusar
Puisi

Gusar

  • 5 Ogos 2025
  • 169
  • 4.9
Tesis
Cerpen

Tesis

  • 20 Mac 2025
  • 100
  • 4.6
Saat Nadinya Terhenti
Cerpen

Saat Nadinya Terhenti

  • 20 Oktober 2024
  • 141
  • 5
Banjir di Mata, Basah di Hati
Cerpen

Banjir di Mata, Basah di Hati

  • 5 Mac 2025
  • 284
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP