“SAYA gagal bertahan lama di sana , bekerja dengan pekerja yang toksik. Majikan pun langsung tidak menjaga kebajikan pekerja. Selama dua tahun saya bekerja di syarikat yang berbeza, saya sendiri tidak tahu apa kekuatan dan kelemahan saya. Saya langsung tidak berkembang, saya hanya bekerja mengikut arahan sahaja.” Bertubi – tubi Halique memburuk – burukkan tempat kerja lamanya.
Puan Haliza dan Encik Halim saling berpandangan. Puan Haliza mengangguk tanda faham, ekspresi wajah Halique penuh dengan pengharapan.
“Jadi mengapa Encik Halique memilih untuk bekerja di syarikat kami? ” Encik Halim menyoal.
“Saya nak cuba nasib saya di sini, lagipun saya percaya yang syarikat ini dapat memberi peluang kepada saya untuk menjadi pekerja yang lebih baik daripada pekerja lain. Tuan dan puan jangan risau dengan disiplin saya, saya seorang yang sangat menepati masa dan saya juga langsung tidak pernah ponteng kerja.”
“Oh begitu, saya sangat kagum dengan keyakinan Encik Halique. Di dalam resume Encik Halique, dalam masa dua tahun Encik Halique telah bekerja untuk enam buah syarikat yang berbeza. Saya yakin Encik Halique sangat berpengalaman walaupun dalam jangka masa dua tahun saja.”
Tangan Puan Haliza meneliti resume Halique, Halique tersengih – sengih seperti kerang busuk.
“Encik Halique, terima kasih kerana sudi datang untuk temu duga ini. Saya akan menghubungi Encik Halique semula dalam masa kurang dua minggu …”
“Adakah saya akan dapat kerja ini? Bagaimana pula dengan gaji saya, adakah setimpal dengan skop kerja saya? ”
Encik Halim mengerutkan kening , dia sedikit marah. Tindakan Halique tadi sangatlah tidak sopan baginya.
“Encik Halique, mengenai gaji dan skop kerja akan kami maklumkan sekiranya Encik Halique diterima bekerja di syarikat ini. Kurang dalam masa dua minggu akan kami maklumkan kepada Encik Halique, tidak kiralah sama ada Encik Halique lulus atau gagal untuk temu duga ini.”
Halique terdiam , dia berasa tertampar. Halique mengucapkan terima kasih lalu pergi. Pintu dikuak, kelihatan ada beberapa calon yang menunggu giliran untuk ditemu duga. Mereka semua memandangnya, Halique merengus dan berjalan keluar.
“Halique , kau sudah berjaya? ”
Pintu kereta ditutup kasar, Halique meraup kasar wajahnya. Damil tahu akan jawapannya.
Halique meluahkan rasa kecewanya, dia berasa sangat marah dengan Puan Haliza dan Encik Halim. Dia memburuk – burukkan dua orang penemu duga itu. Damil hanya mampu menadah telinga.
“Kalau kau berjaya, ini syarikat yang ketujuh untuk kau.”
“Kau pun tahu dengan nasib aku. Tempat kerja dulu memang tak sesuai untuk aku. Pekerja semuanya teruk. Pengurusan pun teruk sangat.”
“Pengurusan teruk ? Aku kenal kau bukan sehari. Kita berkawan sejak kecil. Aku nak nasihatkan kau, lebih baik kau berubah sikap. Kau pergi cari tempat kerja yang lain sekalipun, kalau kau tetap bawa perangai begini, takkan ada yang berbeza.”
“Senang kau mengutuk aku. Kau tak berada di tempat aku. Kau apa tahu, kau tak pernah kerja. Maklumlah anak orang kaya, setiap hari dapat duit.”
Damil tersenyum sinis .
“Anak orang kaya inilah tempat kau meminjam wang, meminjam sehingga bertahun- tahun tanpa dibayar balik. Anak orang kaya seperti akulah yang selalu disusahkan oleh kau. Nak berjudi cari aku , nak berfoya- foya cari aku , nak pergi temu duga pun cari aku.”
Halique tiba – tiba rasa bersalah .
“Damil, janganlah marah. Aku minta maaf. Aku tahu aku tak sepatutnya marah kau. Aku minta maaf. Aku serabut. Aku memang berharap sangat dapat bekerja di syarikat tadi. Kalau aku tak dapat kerja dalam masa terdekat, aku rasa seperti tak dapat hidup. Kau pun tahu aku banyak tanggungan.” Halique mengeluh .
“Aku tahu komitmen kau tinggi. Seperti yang aku kata, kau kena berubah sikap. Kau mesti berubah Halique. Jaga disiplin kerja. Jangan selalu cari masalah di tempat kerja.”
Setibanya di rumah, Halique membersihkan dirinya . Telefon pintar dibuka, aplikasi Gmail diteroka. Sepi. E-mel minggu lepas dibelek seketika, semuanya mengenai permohonan kerjanya yang ditolak. Halique buntu. Rumah sewa ini sudah dua bulan tidak dibayar. Walaupun dia anak bongsu daripada lima orang adik-beradik, dia tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya.
Fikirannya menerawang, dia terkenang akan situasinya di tempat kerja lama. Halique langsung tidak suka bekerja dengan mereka. Baginya pekerja-pekerja di sentiasa mencari masalah dengannya. Majikannya yang sebelum ini juga kerap memarahinya kerana dianggap tidak pernah serius dalam pekerjaan dan hanya bercakap besar.
Halique seorang yang tidak suka diarah. Baginya dia hanyalah seorang pekerja, bukannya hamba. Dia juga seorang yang mementingkan pangkat. Dia inginkan kenaikan pangkat secepat yang mungkin. Halique pernah sabotaj kerja rakan- rakannya demi kenaikan pangkat. Perbuatan jahat itu akhirnya terbongkar dan menyebabkan dia dibuang kerja. Apabila disoal untuk temu duga, Halique hanya memburukkan syarikat itu demi kepentingan sendiri.
Dua minggu berlalu , Halique masih menunggu sebarang panggilan. Dia hampa.
“Damil , mereka langsung tidak hubungi aku . Aku perlukan kerja sekarang, sekiranya kau ada terjumpa atau ternampak iklan kerja kosong, segera maklumkan kepada aku.”
“Semalam aku pergi membeli barang di satu pasar raya , aku ada ternampak iklan kerja di sana. Kalau kau berminat, kau boleh cuba.”
“Pasar raya? Kau ingat aku budak lepasan sekolah? Jatuhlah maruah aku nak bekerja di sana, tak ada kerja lain?”
“Terpulanglah Halique , kalau begitu kau cari sendiri. Aku tengah sibuk, nanti kita berborak lagi ya.”
Panggilan dimatikan. Halique termenung seketika, masih berkira – kira sama ada mahu pergi atau tidak. Akhirnya dia membuat kata putus, dia pergi ke pasar raya itu. Halique menegur salah seorang pekerja, mereka kelihatan muda dan rata-ratanya lepasan sekolah .
Halique dibawa berjumpa dengan pengurus. Halique memandang pekerja itu dari atas ke bawah dan membayangkan dia akan bekerja seperti dia . Pengurus dan Halique berbincang mengenai jawatan yang ditawarkan. Halique ditawarkan menjadi kerani, kebetulan kerani sebelum ini telah meletak jawatan.Halique bersetuju dan dia akan memulakan tugasnya secepat yang mungkin.
Halique duduk berehat di beranda rumah, sambil menemani malam yang pekat dingin. Kopi panas menjadi penemannya pada malam itu, dua hari lagi dia bakal bekerja di pasar raya itu .
Di matanya, semua pekerja pasar raya itu nampak naif, termasuk pekerja-pekerja di pejabat juga . Halique tersenyum sinis. Inilah peluangnya untuk naik pangkat. Dia berkira-kira sendiri. Dia yakin dengan mudahnya dia akan dapat menjatuhkan orang lain.
Inilah kali pertama dia bekerja di sebuah pasar raya, walaupun hanya sebagai kerani . Pekerja di sana sangat peramah, mereka menyambut kedatangan Halique dengan mesra. Halique memulakan tugasnya dengan baik.
Seminggu sudah berlalu , kerja Halique semakin baik dan prestasinya juga amat memberangsangkan. Halique datang ke pejabat seperti biasa. Dua orang wanita sedang berbisik sesama sendiri sambil memandang ke arahnya. Mereka kemudian tersenyum. Halique menjeling tajam dari jauh .
‘Ada lagi perangai toksik. Ada yang tidak puas hati dengan aku ke? Tunggu aku naik pangkat, aku pecat kau.’ Desis hati Halique .
Maria dan Naveeta berbisik sesama sendiri, mereka kagum dengan prestasi kerja Halique walaupun belum sampai satu bulan .
“Halique memang rajin, saya suka cara dia bekerja. Sangat berdedikasi.” Bisik Naveeta perlahan.
Tindakan Halique menjeling mereka menghentikan perbicaraan mereka, dan mereka menyambung kerja masing-masing . Nazmi tiba dan duduk bersebelahan Halique .
“Selamat pagi Nazmi, cemberutnya muka kau.” Halique berseloroh.
Nazmi tidak menjawab, riak wajahnya sangat sedih dan risau.
‘Kenapa dengan Nazmi? Semua orang nampak pelik. Aku ada buat salahkah? Atau Nazmi mahu menunjuk lagaknya padaku? Setakat kerja pasar raya, apalah yang hendak dibesar-besarkan. Lainlah aku, sudah banyak kerja yang aku rasa . Kerja aku juga bagus daripada mereka semua . Pekerja sini memang teruk , tak layak dijadikan kawan.’ Halique bermonolog sendiri , membuat andaian sendiri .
Halique langsung tidak bertegur sapa dengan semua pekerja selain pengurus. Dia berasa tercabar dan menganggap mereka toksik. Egonya meninggi dan Halique memandang mereka sebagai orang bawahan. Pekerja yang mengajaknya makan tengah hari juga ditolak kasar. Mereka semua terkilan dengan Halique.
Halique dipanggil masuk ke bilik pejabat pengurus. Halique terus ke sana. Dia berangan-angan ditawarkan kenaikan pangkat.
“Silakan duduk Encik Halique.”
Kerusi ditarik , Halique tenang .
“Tujuan saya panggil Encik Halique ke mari , saya nak mengucapkan tahniah atas prestasi kerja Encik Halique yang sangat baik. Encik Halique sangat cekap dan komited dalam kerja. Encik ada sebarang masalah selama bekerja di sini?”
‘Inilah masanya’ desis hati Halique .
Halique mula mengadu domba. Dia menghasut pengurusnya dan memburukkan rakan sekerja yang lain. Bukan itu sahaja, malah dia memberi cadangan kepada pengurusnya supaya mengeluarkan surat amaran kepada pekerja yang tidak disukainya. Halique juga mereka-reka cerita untuk meraih kepercayaan pengurus.
Pengurus hanya mendengar tanpa membalas apa-apa. Dia merasakan ada yang tidak kena dengan Halique. Pengurus meminta Halique keluar dari biliknya dan dia mengatakan bahawa dia akan menyelesaikan masalah itu.
Halique tersenyum puas, pemikiran jahatnya memaparkan wajah bengis pengurus terhadap pekerja lain. Dia membayangkan surat amaran melayang menuju mereka.
“Halique, kami semua nak makan malam bersama-sama. Marilah ikut bersama, semakin ramai semakin meriah.” Ajak Naveeta .
“Aku tak nak makan bersama -sama dengan kamu semua.” Jawab Halique dengan sombong.
“Eh, kenapa pula? Marilah ikut sekali, bukan selalu. Lagipun dapatlah kita berkenalan dengan lebih rapat.”
“Pandainya kamu semua berlakon depan aku. Aku tidak perlukan kamu semua. Aku takkan berkawan dengan orang talam dua muka.”
“Apa maksud kamu? Kamu ada masalah dengan kami? Kalau tindakan kami ada menyinggung perasaan kamu, kami minta maaf.” Naveeta bingung .
Mereka semua saling berpandangan. Masing -masing kehairanan. Halique meninggalkan mereka semua dan terus balik. Halique balik menggunakan bas awam. Dia duduk di kerusi belakang sekali. Hatinya masih membara. Dia mahu rakan sekerjanya segera ditukar dengan pekerja baru .
Halique melelapkan matanya. Semakin lama semakin lena dan dia tidak sedar bahawa dia telah terlepas perhentian. Bas awam membawa Halique jauh dari tempat tinggalnya.
Apabila Halique tersedar, di dalam bas itu hanya ada tiga orang penumpang termasuk dirinya. Bas berhenti dan dua orang penumpang itu turun. Halique mengikuti mereka dari belakang. Dia masih dalam keadaan mamai. Jam menunjukkan pukul 7:30 malam.
Dia duduk di stesen bas itu. Jalan agak lengang dan sunyi. Halique cuba menghubungi Damil namun gagal. Halique berasa takut. Dia langsung tidak tahu di mana dia berada. Dia memarahi dirinya sendiri kerana tertidur di dalam bas.
Perutnya berbunyi minta diisi. Halique bangun dan berjalan tanpa tujuan. Sekelilingnya hutan tetapi tempat itu bukanlah kawasan perkampungan. Sebuah kereta yang sedang menuju ke arahnya tiba-tiba menyalakan lampu tinggi dan berhenti.
Halique cuak. Dia berasa gementar. Di fikirannya, dia bakal menjadi mangsa rompakan pada malam itu. Dia berundur perlahan- lahan.
“Halique, kau buat apa di sini? ”
Halique mengecilkan matanya untuk melihat dengan lebih jelas. Nazmi!
Tanpa menunggu diajak masuk, Halique terus berlari dan masuk ke dalam kereta. Halique menceritakan bagaimana dia sampai ke sini. Nazmi membawa Halique ke kedai makan. Mereka makan bersama-sama pada malam itu.
Keesokkan paginya, Halique datang kepada mereka dan meminta maaf. Inilah pertama kali Halique meminta maaf dengan penuh ikhlas. Dia insaf dan akui kesalahan diri sendiri .
Selama ini bukan rakan sekerjanya yang toksik. Mereka semua tidak bersalah. Halique akhirnya sedar. Dia kerap bertukar kerja bukan kerana rakan sekerja lamanya. Dialah yang sentiasa menimbulkan masalah sesama pekerja. Dia akui dirinya sangat sombong dan ego. Halique sentiasa merasakan mereka semua ingin bersaing dengannya, dia sentiasa memandang hina kepada mereka.
Nazmi dah rakan-rakan lain memaafkannya. Mereka langsung tidak mengambil hati. Bagi Nazmi itu adalah perkara biasa di alam pekerjaan. Damil juga senang hati melihat perubahan Halique. Halique tidak lagi memburukkan nama syarikat dan rakan sekerjanya malah dia sangat gembira bekerja di sana.