AKU bertemu dengan Firas, begitulah namanya dimaklumkan, (di rak Kesusasteraan) semasa kami berdua sedang terleka membelek buku-buku di MPH NU Sentral. Aku memegang buku Juan Emar, manakala dia bertajuk Thinking Fast and Slow. Sebulan kemudian, dia menolak aku dari atas bangunan demi seni.
Aku tidak mengenali dia sebelum ini. Tetapi lelaki itu kononnya mengetahui siapa aku dalam bidang kesusasteraan tempatan. Dia mengikuti perkembangan aku, sejak buku pertama hingga yang terkini diterbitkan. Setiap kritikan ke atas karya-karya tulisan aku dianalisisnya dengan serius. Luka di tangan, jerawat di tepi hidung, jumlah duit siling dalam dompet, jumlah gelas kopi diminum dan simpang-siur perasaan yang singgah masuk ke dalam fikiran aku, anehnya, turut diketahui Firas.
Namun apabila aku bertanya nama-nama watak dalam karakteristik dalam beberapa buah karya tulisan aku, dia langsung terdiam dan mengakui tidak terlalu mengingati butiran sesebuah cerita secara terperinci. Kekerapan watak utama aku yang sering menderita, secara kejiwaan, dan kelakuan serta aksi janggal di tengah masyarakat, rupa-rupanya tidak mendapat reaksi daripada pembaca yang meminati karya-karya aku, dari kulit ke kulit. Pembaca mengenali tokoh utama dalam novel Hunger (Knut Hamsun) kerana kemelaratan hidupnya. Pembaca mengingati nama Mersault kerana itulah watak yang mengaitkan fahaman kewujudan Albert Camus.
Tanpa segan-silu Firas memberitahu bahawa beberapa buah karyanya terbit dalam majalah sastera tanah air dan di peringkat Asia Tenggara. Diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan Sepanyol. Aku cemburu mendengarnya. Malahan karyanya terpilih sebagai penerima Hadiah Utama dalam sayembara penulisan (yang aku tidak pernah dengar pun selama ini).
Hal itu mendorong aku untuk membaca beberapa contoh karyanya. Adakah tulisannya sehebat Jon Fosse? Reputasi Firas lebih dahsyat daripada aku, yang kononnya dikagumi dalam diam. Tidak masalah, kata Firas. Ia suatu kebanggaan buatnya, sambil melirik ke arah buku yang aku pegang.
Sudah tiba masanya untuk kami bersurai. Dia akan ke bandar Kajang, sementara aku menuju ke The Curve. Sebenarnya itu pembohongan, kerana aku tidak mahu meluangkan masa dengan sesiapa pun, apatah lagi sesama pengarang. Aku tidak mahu sebarang ikatan emosional dengan mana-mana penulis, bahkan tidak ingin terlihat menumpang populariti mereka. Tetapi, aku telah terlanjur berhubungan dengan Firas, penulis tempatan (kedengarannya terkenal seperti yang didedahkan dari mulut lelaki itu), untuk membaca karya-karyanya. Aku telah memberi alamat e-mel kepadanya. Demikian juga Firas, dia menulis nombor telefon pintarnya di atas buku nota yang biasa aku bawa dalam beg sandang. Ini satu kesilapan.
Dalam sebuah restoran di Jalan Telawi, kami bertemu sekali lagi. Ini perjumpaan yang sesungguhnya diatur, tidak seperti yang berlaku di NU Sentral, tiga minggu lalu. Firas terlupa membawa beberapa contoh karyanya. Aku mengangguk. Barangkali dia terlupa. Aku tidak berminat untuk bertanya lebih mendalam tentang teknik penulisannya. Apa tema dan jenis cerita yang menjadi tumpuannya untuk membina sesebuah naskhah. Dan siapa pengarang-pengarang luar dan dalam yang menjadi rujukan dan perbandingan. Tiada seorang pun, kata Firas dengan nada mendatar. Tidak menjadi keperluan buatnya dalam urusan penulisan.
Lelaki berusia awal 30-an itu berambut ikal dengan tahi lalat di cuping telinga kanannya. Postur tubuhnya lebih berisi dan sedikit membongkok. Berbanding aku yang semakin kurus melengkung. Suara Firas lebih nyaring ketika bercakap. Nadanya meyakinkan dan tidak ragu-ragu menyatakan pandangan tentang sesuatu hal. Manakala aku pula bersuara perlahan. Sangat berhati-hati untuk mengucapkan kata-kata kerana bimbang menyinggung emosi pihak yang mendengar. Firas bertanya adakah aku merokok. Aku menggeleng. Firas mula merokok sebaik sahaja berusia 20 tahun. Apa kaitan merokok dengan ilham penulisan, aku sendiri tidak mengerti.
Firas menegaskan bahawa dirinya seorang pengarang profesional. Bermaksud, hanya menulis setelah dimaklumkan tarikh penyiaran dan dibayar setimpal dengan kualiti dan kemasyhuran namanya. Kononnya beberapa orang editor sering menagih khidmat profesionalnya setiap bulan. Genre penulisannya ialah puisi, cerpen dan esei. Juga kritikan karya sastera dan filem. Bukan main lagi kepelbagaian bakat penulisan dan ilmu pengetahuannya. Pendek kata, Firas sememangnya bekerja sebagai penulis seratus peratus untuk menyara hidupnya di tengah bandar raya. Sehingga ke detik ini, aku belum lagi sempat atau menemui tulisan-tulisannya di media massa.
Kami berdua masih dalam restoran. Aku hanya mendengar dan mendengar Firas bercakap, melontarkan pendapat, kritikan dan ideanya tentang senario sastera. Bagi Firas, (dengan suara sinikal) tiada yang menarik, istimewa dan luar biasa jika berbicara tentang kepengarangan di dalam negara. Ramai penulis tidak memiliki identiti asli. Bahkan saling meminjam dan meniru gaya penulisan tokoh-tokoh tertentu dan diterapkan ke dalam naskhah-naskhah mereka. Jika ada yang menulis sajak sufi, maka beberapa orang turut menulis tema sedemikian. Ia dibuat-buat. Sastera tempatan amatlah sempit. Tiada yang berani melakukan eksperimen yang benar-benar dianggap eksperimen. Terasa kejang punggung aku kerana duduk terlalu lama.
Sebelum berangkat pulang, ada satu permintaan Firas kepada aku. Dia mengharap agar aku menjawab dengan tulus. Kebanyakan pengarang yang aku temui, bersikap talam dua muka, katanya. Soalan dia, apakah aku menulis kerana semata-mata tuntutan seni? Tiada agenda lain? Dari manakah datangnya watak-watak yang menjelma dalam naskhah-naskhah aku selama ini? Apa benar kesemua mereka menderita, sakit jiwa, tidak keruan sepanjang masa, bergelandangan dan membaca buku-buku yang disebutkan? Aku sungguh menyesal berdampingan dengan lelaki yang entah datang dari mana itu. Tidak mengapa kalau tidak mahu menjawab, kata Firas. Sememangnya aku tidak berhasrat untuk menjawab soalan demikian.
Dalam puluhan cerita yang aku karang, Firas ternyata lebih tertarik dengan naskhah Roden yang Cenderung Terjun dari Bangunan. Firas membahagikan cerita itu kepada dua bahagian. Realiti dan halusinasi. Sememangnya Roden manusia biasa dalam naskhah itu. Tetapi emosi yang mengajaknya untuk naik ke atas bangunan dan kemudian menerjunkan diri ke bawah hanyalah gangguan kejiwaan semata-mata. Ia tidak berlaku dalam dunia realiti.
Aku tidak menjawab dan memberi sebarang tindak balas. Bukan bermakna aku bersetuju dengan kenyataan Roland Barthes. Setiap penulis ada tanggungjawab moral pada setiap hasil karyanya.
Firas menambah ulasannya, naskhah itu masih terdapat beberapa kelemahan. Watak utamanya seorang yang berfikiran pesimis. Berlagak suci di dunia yang serba kotor. Gagal beradaptasi dengan arus kehidupan semasa. Jauh daripada agama dan Tuhan.
Walaupun begitu, ia hal biasa. Akal dan kudrat manusia terbatas. Jika diselongkar pada lapisan bawahnya, ada sisipan falsafah kemanusiaan, keagamaan, akhlak, tatakarma, pemikiran sosialis dan entahlah apa lagi yang disebut oleh Firas. Kami berada depan pintu utama Bangsar Village. Masing-masing menunggu Grab.
Aku bayangkan bahawa Firas pernah membaca buku-buku esei sastera tulisan Budi Darma, SN Shahnon Ahmad, SN Muhammad Haji Salleh dan sarjana lainnya. Aku sudah kurang berminat membaca esei-esei sastera tempatan semasa. Dangkal, membosankan dan terlalu akademik. Tetapi sebaliknya lebih gemar mengikuti esei-esei tulisan dari luar yang lebih segar, alamiah, kreatif dan jujur mengemukakan pendapat. Aku belum pernah membaca kritikan sastera yang ditulis Firas. Namun apabila mendengar dia melontarkan pandangannya ke atas karya aku, aku yakin pembacaannya beberapa langkah ke depan. Harapnya begitulah.
Beberapa minit sebelum Grab sampai, dia bertanya, sama ada aku menyukai cerita-cerita tertentu yang dianggap terbaik. Tidak, jawab aku spontan. Pertanyaan itu mengakhiri pertemuan kami pada petang Ahad itu. Sebaik sahaja memasuki rumah, aku sekali lagi mencari siapakah sebenarnya Firas dan sehebat mana dia dalam bidang penulisan tempatan sehingga langsung tidak pernah mendengar namanya. Hampir setengah jam berusaha mencari manusia bernama Firas di Internet, aku menerima kiriman e-mel. Sudah diduga, daripada Firas. Dia mengajak aku untuk berjumpa di Bukit Bintang, Sabtu, jam 3.00 petang, pintu masuk Fahrenheit88. Aku mengantuk dan terus tertidur. Aku bermimpi seram pada malam itu. Firas mencekik aku.
Firas melambai aku yang tiba lebih awal. Sambil turun menggunakan eskalator, aku berharap agar Firas membawa salinan karyanya. Terlalu banyak perkara tentang Firas yang membingungkan aku. Sejak bilakah dia berkarya? Apakah karya sulungnya? Di media massa mana karya itu diterbitkan? Adakah Firas itu benar atau cuma nama pena? Sudah berkahwinkah dia? Di manakah kediamannya? Apakah yang mendorongnya untuk rapat dengan aku? Jika benar Firas pengarang tersohor, memenangi hadiah utama sayembara penulisan (yang tidak pernah didengar), mengapakah baru sekarang aku menyedari kewujudannya?
Bagai dipukau, aku mengikutinya masuk ke Fahrenheit88 dan terus menuju ke pintu belakang. Tiada seorang pengawal keselamatan pun kelihatan. Kami melalui lorong belakang, melintasi tong-tong sampah yang dipenuhi sisa makanan. Bau busuknya begitu menyengat hidung. Tetapi aku lihat Firas langsung tidak menunjukkan reaksi. Seolah-olah dia pernah melalui jalan ini. Kemudian berbelok ke jalan bawah tanah, sekelilingnya gelap bagai berada dalam tempurung. Selepas keluar daripada kegelapan, aku yang mengekori dari belakang, harus mendaki pula anak tangga lalu memasuki pula sebuah bangunan lengang yang masih dalam pembinaan. Bagaimana Firas mengetahui lokasi itu, aku tidak ingin tahu. Apakah tujuan sebenar Firas membawa aku ke sini? Hal itu akan aku ceritakan pada babak seterusnya.
Bahagian di bawah ini, merujuk pada perenggan pembukaan. Di atas bangunan setinggi 48 tingkat, aku didesak oleh Firas untuk terjun dari bangunan. Firas memandang tajam ke arah langit dan berbalik semula ke wajah aku. Dia menyedari betapa kecutnya aku ketika berada di paras tertinggi sebegitu. Dia tersengih melihat aku yang serba gelisah. Berjalan mundar-mandir dan mengelilingi aku yang kini menjadi tawanannya. Kamu tahu, tentu mengerti, mengapa aku mengheret kau ke atas bangunan ini. Buktikan kepada khalayak sastera tentang idealisme seseorang pengarang. Bukannya sekadar bijak bermain kata. Sudah tibanya masanya, pengarang mengotakan apa yang mereka suarakan dalam karya.
Aku sudah menduga akan niat Firas. Di tangannya, aku melihat buku Roden yang Cenderung Terjun dari Bangunan. Tapi, dia sudah melampaui batas. Mustahil, suara aku kedengarannya bergetar. Apakah bezanya fiksyen dan kenyataan? Firas mempersoalkan keengganan aku untuk bekerjasama dengannya. Secara harfiahnya, tiada percanggahan. Demikian aku membalas. Tetapi, secara logiknya, mustahil beriringan. Kehidupan manusia dicipta Tuhan. Karya fiksyen dihasilkan manusia. Manusia dilahirkan dengan sempurna. Sedangkan karya tulisan tetap ada titik kekurangannya. Pendusta! Firas menjerit penuh kebencian. Manusia penulis semuanya hipokrit! Jiwa dan emosi lelaki itu benar-benar sakit.
Kami berdua duduk bersila. Langit mula menggelap. Entah mengapa aku tidak berdaya untuk bangkit dan menendang Firas. Mengapakah aku tiba-tiba lembik dan menurut sahaja arahan dan kata-katanya? Kini lelaki itu di depan aku dengan muka tanpa beremosi. Siapakah sebenarnya lelaki itu? Watak dari alam karya aku sendiri? tidak mungkin. Apakah kesalahan aku ke atasnya? Adakah aku pernah memberi pandangan negatif tentang penulisannya? Itu juga tidak mungkin. Mengapakah lelaki itu seakan-akan memusuhi aku? Situasi yang aku hadapi sekarang tidak ubah akulah watak yang dibawa masuk ke dalam naskhah karangan Firas. Kami berdua menghadap muka masing-masing, buat kali terakhir. Tiada apa yang hendak aku pertahankan.
Firas sudah lama mengikuti karya penulisan aku. Sudah arif dengan kaedah kepengarangan yang aku aplikasikan. Dia tahu ke mana arah cerita yang hendak aku lencongkan apabila sampai ke penghujung. Firas bagaikan antagonis yang selama ini aku abaikan dalam karya. Sekarang dia menagih haknya untuk menjelma dalam naskhah. Watak yang selama ini aku patahkan perasaan, jungkar-balikkan rutin kehidupan dan terlontar-lontar di sudut terpencil atas muka bumi. Sudah tiba masanya untuk watak itu dibiarkan hidup di alam nyata. Dan bukan selama-lamanya ditindih dalam lapisan cerita sahaja. Maka, aku tidak berupaya memberi alasan lagi atas nama seni.
Firas bingkas berdiri sambil bercekak pinggang. Jangan buang masa. Kau perlu terjun dari atas bangunan sebagaimana cerita yang ditulis beberapa tahun lalu. Bagaimanakah kau tergamak berlaku kejam ke atas watak yang tidak bersalah semata-mata ketidakberdayaan pengarangnya gagal beradaptasi dengan kehidupan sebenar?
Watak utama kau naif dan kesempatan itu kau ambil untuk memanipulasikannya. Itu tidak adil pada kehidupan sesiapa pun. Watak utama bukannya badut. Sebagai pengarang, kau sewajarnya membina alternatif lain yang lebih terhormat. Bukannya membodohkan sifat pasif watak utama itu. Kau fikir pembaca mudah dipermainkan oleh teknik, entahlah apa namanya. Realisme magis? Surealis? Pascamoden? Metafiksyen? Istilah-istilah itu membuat aku berasa geli.
Aku dapat merasai kedinginan seluruh tubuh. Angin yang bertiup di atas bangunan, menambahkan lagi tahap kegerunan yang aku alami sekarang. Aku telah terlanjur berkenalan dengan lelaki penyamar itu. Nama Firas mengingatkan aku sebuah buku bertajuk Lost Islamic History (2014), ditulis oleh seorang penyelidik, penulis dan ahli sejarah dari Amerika Syarikat yang bernama Firas Alkhateeb. Tetapi lelaki bedebah bernama Firas yang nantinya menolak belakang aku untuk terjun dari atas bangunan, manusia berlainan. Dan apabila aku tiada lagi di atas muka bumi, nama dan identiti serta kerja penulisan yang dihasilkan sepanjang penglibatan dalam kesusasteraan (termasuk naskhah yang hampir siap ini), berpindah milik kepadanya.
Demikianlah cara lelaki itu mendapat reputasi dan kedudukan dalam bidang penulisan. Dari seorang pengarang kepada seorang pengarang. Firas meleburkan karakter dan identiti mereka yang asal, dan secara pintar meletakkan nama dan dirinya ke atas naskhah asal. Ia bukan lagi plagiat, pencurian atau epigonisme. Tetapi sudah mencapai tahap yang tidak terjangkau oleh akal. Padahal lelaki itu, (namanya berubah-ubah) tidak pernah meletakkan sepatah ayat di skrin komputer riba.
Nasihat kepada para pengarang, jika datang seorang lelaki kepada anda, mengaku peminat, bahkan mengikuti sejak awal penglibatan dalam bidang penulisan, jangan ditanya butiran terperinci pada naskhah yang kononnya dibaca. Pembohong itu pasti berpura-pura terlupa. Memang sukar untuk menilai yang manakah asli dan buatan.
Selama sebulan kami berhubungan, barulah kini aku memahami agenda asal yang tersemat dalam fikiran lelaki bedebah itu. Firas mengakui bahawa dia bukanlah pengarang. A. Samad Said pun dia tidak kenal. Apatah lagi James Wood (pengkritik sastera dari England). Lelaki itu datang ke tengah bandar raya KL, kerana, menurut kata para perantau yang balik ke kampung, di sini lubuk duit. Apa-apa sahaja pekerjaan di KL, mampu menghasilkan laba yang lumayan. Tanpa ditanya, Firas menjelaskan kesemua karya yang diterbitkan dan diiktiraf sebagai pemenang sayembara, bukanlah karya aslinya. Sekarang, aku merupakan mangsa seterusnya kepada lelaki yang menyamar sebagai pengarang ternama dalam tempatan itu.
Hukuman yang aku letakkan kepada Roden, berbalik semula untuk aku. Aku yang menciptakannya, dari segenggam ilham, sebatang tulang, satu huruf ke sebuah karakter dan akhirnya membentuk keseluruhan imej dalam naskhah. Atas sebab-sebab tertentu, aku tidak lagi dibenarkan untuk menghapuskan apa yang sudah terakam. Ia ditulis dan bukan lagi menjadi hak milik aku, sebagai pengarang. Dalam naskhah itu, Roden tentu sahaja tidak mati setelah terjun berkali-kali dari atas bangunan. Tiada sepercik darah pun tumpah di atas jalan. Hidungnya tidak kemik, pinggang tidak hancur, jari tidak terseliuh. Tetapi mengapakah dia berasa sungguh seksa? Bagai kaca terhempas ke atas batu. Apa sahaja usaha dilakukan oleh Roden, mematikan dirinya, baik secara tersirat mahupun tersurat, ia pengajian intelektual.
Sesakit mana pun yang ditanggung Roden setelah terhempas ke bawah, kesan hanya ditanggung oleh pencipta karakternya. Watak itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Esoknya hidup semula. Tidak ubah watak dalam sajak T. Alias Taib dalam sajak “Tukang Pistol”. Apakah yang aku fikirkan ketika menulis naskhah itu? Apakah yang aku sembunyikan di balik kiasan realiti sosial itu? Ia terserlah di permukaan cermin.
Seseorang terpaksa mengelap timbunan kekotoran untuk menjenguk rupa sebenar dalam dirinya. Seseorang terpaksa menyingkap palang konkrit berlonggok di tapak pembinaan untuk memeriksa kerosakan yang sekian lama dibiarkan.
Adapun setelah aku benar-benar berada di atas bangunan, lokasinya dirahsiakan, Firas bertindak selaku pencipta drama itu. Ia seolah-olah naskhah baharu di atas naskhah sedia ada. Sebagaimana yang dinyatakan sebelumnya, Firas menolak tubuh aku dari belakang. Aku tidak melawan. Tidak menjerit. Sebegitu lemah bagaikan watak protagonis yang terpaksa mengikut apa-apa sahaja kehendak pengarang naskhah. Di luar naskhah ini, Firas kini sudah tentu terbang jauh dan tinggi di alam fiksyen dengan dada membusung. Kini, dia diperakui sebagai pengarang luar biasa. Itulah gelaran yang begitu diingininya di balik ratusan cangkerang milik orang lain.