LANGKAH kecil kaki mereka melewati lorong-lorong sempit. Tak pernah mereka gelisah saat tiba di jalanan. Pertanyaan muncul di benak, mengapa mereka sering dibenci, dihina, dan rasa selalu ingin dimusnahkan? Mondok Jantan dan Mondok Betina terus berlari ketakutan. Mereka mencari sebuah tempat untuk mereka panggil sebagai rumah.
“Kita nak berteduh di mana lagi sayangku?” tanya Mondok Betina kepada Mondok Jantan.
“Sabar cintaku. Pasti ada sinar di hujung jalan sana. Kita perlu bersabar!” balas Mondok Jantan untuk menenangkan kegelisahan bininya.
“Sayangku, lihat! Ada cahaya mentol kapur di sana,” jerit Mondok Betina tidak tentu arah. Seharian mereka mencari rumah baharu. Akhirnya ada juga tempat untuk mereka berehat.
“Mari cepat! Kita tengok ada apa di sana.” Mondok Jantan terus berlari meninggalkan pasangannya.
“Sayangku, kita berada di sebuah reban ayam! Apa kata kita minta izin kaum-kaum ayam di sini untuk kita tumpang berteduh,” kata Mondok Betina sambil memandang suaminya.
“Idea yang bernas cintaku!” Mondok Jantan berpelukan dengan isterinya. Mereka bersyukur dan gembira. Akhirnya mereka tidak merempat di jalanan.
“Wahai kaum ayam! Maaf bertanya, bolehkah jika aku dan isteriku tumpang berteduh di reban ini? Kami menjadi pelarian sekarang ini. Kaum mondok seperti kami dibunuh oleh manusia durjana!” Mondok Jantan meminta ihsan simpati kepada kaum-kaum ayam di dalam reban itu.
“Manusia membunuh kalian? Teruknya!” balas salah seekor ayam yang mendengar rintihan Mondok Jantan.
“Ya, percayalah! Kami merayu, tolonglah beri kami tempat untuk menetap biar pun sementara. Tiada tempat lain untuk kami panggil rumah. Kalau kami duduk di jalanan mungkin kami digilis dek kereta. Lagi kejam kami dibunuh oleh kucing-kucing gasar!” sampuk si Mondok Betina semasa suaminya berunding.
“Sadisnya nasib kalian. Tak mengapa. Aku Ayam Serama, wakil reban ini. Kami menerima kehadiran kamu berdua dengan berlapang dada. Kamu boleh menetap di celahan tempat kami mengeram telur.”
“Sungguh ke ini? Semoga kalian dilimpahkan kebaikan sepanjang hayat,” balas Mondok Jantan dengan suara yang sebak.
“Kami kaum ayam mengalu-alukan kehadiran kalian. Jikalau ada kekurangan daripada kami, mohon maaf ya,” kata Ayam Belanda yang turut menerima kehadiran dua ekor mondok itu.
“Tidak mengapa. Kami yang sepatutnya berterima kasih,” kata Mondok Betina sambil memandang seluruh warga ayam di reban itu.
“Tidur dan berehatlah di celahan itu. Kalau manusia nampak nanti kalian diusir juga. Kalian lapar? Makanlah bertih jagung kami,” kata Ayam Selasih kepada mereka sambil membersihkan bulu pelepahnya.
“Buat susah-susah sahaja. Tidak mengapa, pandailah kami bawa diri di sini. Terima kasih sekali lagi ya. Kami sangat terhutang budi,” balas Mondok Jantan sambil menundukkan kepalanya kepada kaum-kaum ayam di hadapannya.
Dalam setiap kali matahari terbenam dan terbit, dapat disaksikan lembaran hidup kedua-dua mondok itu terus bertambah. Masuk bulan keenam mereka menetap di reban itu populasi mereka bertambah. Mondok Betina beranak-pinak. Segala keturunan mereka hampir memenuhi kawasan itu.
“Ibu! Mereka makan jagung saya,” rengek seekor anak ayam.
“Jangan begitu. Mereka itu pelarian. Kita perlu berkongsi makanan dengan mereka,” balas ibu ayam itu untuk memujuk anaknya.
“Hmm iyalah,” anak ayam itu membalas dengan wajah yang mencebik.
“Anak-anakku, makan saja jagung dan dedak di sini sampai kenyang! Lagi pun ini juga rumah kita. Segala makanan kaum ayam adalah hak milik kita juga kaum mondok. Makan sampai buncit. Hahaha!” kata Mondok Jantan kepada anak-anaknya yang berpuluh ekor.
Biasalah seekor tikus betina mampu melahirkan 14 ekor anak dalam satu musim. Dalam setahun mereka mampu beranak 10 kali. Jadi tak terkejutlah jika kaum mondok sudah beranak-pinak di dalam reban itu. Sudah berderet anak-anak Mondok Jantan bersama Mondok Betina. Penuh dengan mereka sahaja di dalam pondok kayu itu.
Anak ayam mendengar kata-kata itu terus dibuatnya muka yang meluat. “Ish, sudahlah menumpang, lepas itu besar kepala.” Sengaja anak ayam itu bercakap kuat sambil mengerlingkan mata ke arah mondok-mondok yang sedang melahap jagung.
“Hei! Tidak baik cakap begitu,” tegur ibunya.
“Iyalah, kita yang perlu mengalah!” Sekali lagi anak ayam bernada sinis.
Mondok-mondok itu buat-buat pekak. Apa mereka tahu? Makan sahaja kerjanya!
Saban hari kaum mondok makin menjadi-jadi! Mereka sudah tunjuk taring dan tanduk. Perangai tidak sedar diri mula bermaharaja. Sifat perampas dan mengambil hak yang lain sebati dalam diri mereka.
Warga ayam di dalam reban itu mula ditindas. Mereka merampas makanan warga ayam. Minuman dicemari najis mereka. Jijik! Sampaikan mereka dengan sengaja membunuh anak-anak ayam yang lain. Mereka memecahkan telur untuk dijadikan lauk tambahan.
Mereka kata kucing itu gasar. Kaum mondok lebih gasar dan rakus!
“Hoi! Kasi anak aku makanlah. Makanan kalian adalah makanan kami juga,” jerkah Mondok Jantan kepada anak-anak ayam yang ingin mematuk bertih jagung. Mereka terus menceceh lari menyorok di belakang ibu mereka.
“Sabarlah anak-anakku. Mereka sebahagian daripada penghuni reban ini. Kita kena hormat mereka juga. Sekejap lagi kita makan. Beri laluan kepada kaum mondok dulu,” kata Ayam Kampung dengan tenang kepada anak-anaknya.
“Dengar tak? Beri kami makan dahulu.” Mondok Jantan berkata dengan nada yang penuh angkuh.
Seluruh kaum Mondok pun berkumpul di tengah reban untuk makan bertih jagung. Habis licin mereka kerjakan. Tidak tinggal sebutir pun untuk kaum ayam.
“Ibu! Semua makanan kita habis,” rengek anak ayam kepada Ayam Kampung.
“Tak mengapalah. Nanti penjaga kita, Yeop beri lagi,” jawab Ayam Kampung dengan penuh sabar. Walaupun perutnya sudah berkeroncong. Sudah masuk dua hari mereka sekadar makan sisa yang ditinggalkan oleh mondok-mondok yang tamak itu.
“Tidak sedar diri betul kaum mondok ini. Kalian bukan penduduk asal pun!” jerit Ayam Selasih dengan penuh marah.
“Kau diamlah Ayam Selasih. Engkau itu akhirnya disembelih dek manusia lalu dijadikan sup juga nanti,” Mondok Jantan membentak seolah-olah mereka dihina.
“Setidaknya aku ini ada manfaat kepada mereka. Aku memberi manfaat kesihatan kepada mereka apabila aku sudah putus nyawa. Tidaklah aku membuat onar dan mencemarkan pandangan di sini. Malah, kalian kaum mondok boleh membawa penyakit kepada mereka!” balas Ayam Selasih dengan penuh geram.
“Kau tak perlu nak tunjuk pandai kepada kami. Harap sahaja bulu cantik tapi tulang sudahlah hitam,” ejek Mondok Betina.
“Setidaknya tulang hitam aku inilah yang memberi khasiat kepada manusia. Kalian bawa padah penyakit sahaja. Sudahlah bau busuk macam bangkai!” balas Ayam Selasih dengan penuh yakin.
“Peduli apa kami. Kalian yang menerima kedatangan kami kan? Jadi, kami penduduk sini jugalah. Hahaha!” Berdekah sinis Mondok Jantan.
“Biadap! Dasar perampas tanah. Kalian bukan penduduk asal. Sedar diri sikit!” Tiba-tiba Ayam Belanda menyampuk. Mahu sahaja dia pijak mondok-mondok itu sehingga penyek.
“Cakaplah apa kau nak wahai Ayam Belanda. Kau akhirnya akan dipanggang juga. Hahaha!” berdekah sinis Mondok Jantan.
Ayam Kampung tidak dapat menahan diri. Dia tidak mampu berdiam sahaja melihat saudaranya dihina oleh pendatang asing. “Eh mondok puaka! Kau tahu tak disebabkan kaum kalianlah wabak Maut Hitam berlaku di Eropah suatu ketika dahulu. Tubuh kalian penuh dengan kutu, kuman dan hama. Badan kalian yang jijik itulah yang membawa Yersinia pestis sehinggakan manusia di sana banyak yang mati.”
“Wah! Berlagak pandai ya kau, Ayam Kampung. Nama sahaja Ayam Kampung tetapi acah ada otak sejarawan sama saintis. Itu cerita lama, kawan. Kami sudah tidak peduli. Manusia mati biarlah mereka! Kaum mondok tetap hidup seperti biasa,” Mondok Jantan membidas kata-kata Ayam Kampung.
“Sejarah itu jugalah yang menunjukkan siapa kalian yang sebenarnya. Berada di merata tempat. Lepas itu menimbulkan masalah. Dasar makhluk keparat!” Ayam Selasih menyembur api amarahnya kepada Mondok Jantan.
“Elok sikit kau cakap dengan suami aku! Setidaknya kami kaum mondok mampu hidup di mana-mana tanpa bantuan manusia! Macam kalian ayam ini makan pun disuap manusia. Kalau mereka tiada, kalian sudah mati kebuluran.” Mondok Betina menyampuk.
“Makanan yang manusia beri ini jugalah yang kalian makan sampai buncit. Dasar makhluk yang tak sedar diri,” kata Ayam Belanda kepada mereka.
“Peduli apa kami. Makanan sudah dihidang, jadi kami makanlah. Kau tak pernah dengar ke kata-kata ini? Di mana ada manusia, di situlah ada tikus. Hahaha!” gelak Mondok Jantan dengan nada yang menjengkelkan.
“Dasar makhluk serakah! Tubuh sudahlah berkutu. Tidak sedar diri makhluk perosak yang jijik.” Ayam Belanda hampir hendak memijak mereka.
“Sudah! Sudah! Usah bergaduh lagi. Kita duduk di bawah bumbung yang sama perlu sentiasa dalam keadaan yang berdamai.” Ayam Serama cuba untuk meleraikan perbalahan.
“Ayam Serama, kau terlalu baik dengan mereka. Mereka sudah naik lemak. Kaum ayam sekarang ditindas dan merempat di tanah sendiri. Ini rumah asal kita! Reban inilah untuk kita panggil rumah!” Ayam Selasih berkata dengan tegas.
“Kau diamlah Ayam Serama! Engkau ini bising sahaja,” Mondok Jantan merengus.
“Kita kan duduk di bawah bumbung yang sama. Lahirkan sifat menghormati dalam diri. Kalau boleh kalian janganlah caplok semua benda di sini. Ini rumah kami juga,” pujuk Ayam Serama.
“Peduli apa aku! Ini rumah kami kaum mondok juga. Suka hatilah apa kami nak buat,” jerit Mondok Betina.
Tiba-tiba kedengaran suara lelaki memecah dialog perbalahan dua jenis haiwan ini.
“Nanti alihkan semua ayam dalam reban ini ya Yeop,” kedengaran suara Pak Hassan kepada Yeop, pembantunya.
“Baik, Pak Hassan,” balas Yeop dengan akur.
Mondok Jantan dan Mondok Betina pun pasang telinga mendengar perbualan dua manusia itu. Mereka memandang muka masing-masing dengan senyum yang lebar. Terus menari kegembiraan dua pasangan itu.
“Kalian dengar tak? Ini yang kalian panggil rumah? Alih-alih dihalau juga!” sindir Mondok Jantan dengan wajah kurang siuman.
“Hahaha! Padan muka kena keluar. Reban ini akhirnya milik kami.” Mondok Betina ketawa dengan nada yang memerli.
Warga ayam terkedu. Mereka tak mampu berkata apa-apa. Kerana itu dari mulut Pak Hassan sendiri, tuan punya reban.
“Sayangku, dengar tak apa manusia di luar itu kata?” tanya Mondok Betina kepada Mondok Jantan.
“Ya saya dengar! Semua kaum Ayam bakal dikeluarkan. Akhirnya, reban ini milik kita keturunan Mondok. Yahuu!!!” sorak Mondok Jantan sambil terlompat-lompat kegirangan.
Petang itu, Yeop pun mengalihkan kesemua kaum ayam ke dalam sangkar. Reban itu menjadi milik kaum mondok.
“Tengok itu semua anak-anak! Manusia dungu ini beri kita roti. Nampak tak? Kita dilayan seperti raja. Mari kita makan!” jerit Mondok Jantan selepas melihat Yeop mencampakkan kepingan roti ke dalam reban.
“Sayangku, kenapa aku berasa pening dan mual?” tanya Mondok Betina dengan muka yang mabuk.
“Sayangku, badanku terasa panas! Aku nak air!”
“Pergi minum cepat cintaku. Eh! Manusia itu sudah alihkan bekas air.” Mondok Jantan menjadi gelisah dan takut.
Seluruh keturunan mondok bergelimpangan, mulut mereka berbuih. Ada yang meracau seakan kena serangan sawan. Ada juga yang sudah terkujur kaku. Tanda roh sudah bercerai daripada badan mereka.
“Sayangku, semua anak-anak kita sudah mati!” teriak Mondok Betina dengan cemas.
“Mari kita lari. Manusia bernama Yeop itu meracuni makanan kita!” jerit Mondok Jantan kepada bininya.
Sejurus Mondok Jantan mahu berlari, dia memandang belakang untuk memanggil isterinya agar cepat bergerak. Si Mondok Betina sudah terbaring di atas lantai papan reban itu. Pernafasannya sangat laju. Mulutnya tercungap-cungap kekurangan nafas.
“Sayangku!!!” jerit Si Mondok Jantan lalu menangis melihat pasangannya nazak.
Asap putih berlegar di ruang udara reban. Mondok Jantan menghirup udara asap itu. Terasa berat di dadanya. Matanya berair kerana asap memberikan kesan yang pedih. Kepulan asap itu membuatkannya pening dan sesak nafas. Mondok Jantan pun menemui ajalnya.
“Yeop, keluarkan semua bangkai tikus ini. Jangan lupa pakai pelitup muka dan sarung tangan. Nanti kau terkena penyakit, payah nanti,” arah Pak Hassan kepada pembantunya itu.
“Baik, Pak Hassan. Pandailah nanti saya uruskan,” balas Yeop dengan tenang dan akur.
Seluruh kaum ayam yang berada di dalam sangkar sekitar reban itu termangu-mangu dengan keadaan yang telah berlaku. Adakah benar apa yang mereka dengar sebentar tadi?
“Bangkai? Atau aku yang salah dengar?” tanya Ayam Serama.
“Lihat itu! Yeop mengeluarkan tubuh-tubuh kaum mondok yang sudah mati. Memang benar mereka sudah menjadi bangkai,” sampuk Ayam Selasih dengan nada yang terkejut.
Kaum ayam terdiam seketika melihat apa yang ditimpa oleh kaum mondok.
Memang benar mereka bersikap bongkak dan bobrok semasa menetap di dalam reban itu. Mereka merampas segala hak kaum ayam. Bersikap biadap dan tidak menghargai jasa. Tetapi, mereka tidak sangka ini balasan buat kaum mondok.
Ketika mentari perlahan merangkak turun ke ufuk, mengejar kelamnya malam yang bakal tiba, suasana di reban itu penuh dengan aura kesedihan yang menusuk kalbu. Bayang-bayang kelabu kaum mondok, yang seketika tadi masih riang gembira, kini hanya tinggal kenangan.
Ayam Serama, dengan muka yang terpaku seakan-akan waktu telah berhenti. Suara Ayam Belanda yang biasanya menggelegak dengan semangat, kini hanya berbisik lemah, serupa daun-daun kering yang berguguran, menandakan pengakhiran sebuah musim.
“Kita, kaum ayam, telah melihat banyak hal terjadi di sini. Tapi, siapa sangka, nasib kaum mondok akan berakhir sebegini?” gumam Ayam Serama, suaranya serak, penuh dengan kesyahduan.
Angin malam mula berhembus, membawa pesan alam yang lebih luas, seolah-olah ingin menghapus kesedihan yang membelenggu. Cahaya bulan yang perlahan menampakkan diri, menerangi reban itu dengan sinarnya memberikan harapan baharu bagi penghuninya.
“Kini, kita harus menghargai setiap detik kehidupan yang kita miliki,” lanjut Ayam Selasih, matanya menatap langit yang berbintang, mencari-cari makna di balik kejadian yang telah berlalu.
“Kita harus belajar daripada apa yang telah terjadi, mengambil hikmahnya, dan melangkah maju.”
Di sudut reban, anak-anak ayam yang masih muda, yang sempat menyaksikan peristiwa tersebut, duduk berhimpun, mendengarkan kata-kata bijak daripada para tua mereka. Mereka yang masih polos dan belum banyak mengenal dunia, kini mengambil pengajaran tentang pentingnya hidup berdampingan dengan harmoni.
Keesokan harinya, mentari menyingsing, membawa cahaya baharu dan harapan yang merekah. Reban itu yang sempat menjadi saksi bisu atas segala kegaduhan dan konflik, kini menyambut hari baharu dengan suasana yang lebih damai. Para ayam, dengan semangat yang baharu, mulai menata kembali kehidupan mereka.
Daripada kejadian itu, mereka belajar bahawa dalam setiap kehidupan ada suka dan duka. Ada juga pertemuan dan perpisahan. Paling penting, hidup ini kita perlu tahu untuk mengisi setiap detik kehidupan dengan rasa saling menghormati.
Esoknya merupakan permulaan hari baharu buat kaum ayam yang merdeka daripada kebobrokan mondok. Reban itu akan menjadi rumah mereka yang abadi.