Skip to content
Di Situ Hikmah Dimengerti
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Di Situ Hikmah Dimengerti
Di Situ Hikmah Dimengerti
Cerpen

Di Situ Hikmah Dimengerti

  • SHERIL AIDA BINTI SULAINAN
  • 7 November 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 5

KESUNYIAN  menyelimuti wad hospital. Siti terbaring dengan tubuh yang lemah, mengira detik-detik yang berlalu. Dalam keheningan itu, demam denggi merampas kesihatan dan kebebasan yang sering dinikmati. Namun, pada hari ketiga,  muncul Nia,  pesakit baharu. Nia,  gadis ceria yang menyalakan cahaya harapan, menembusi dinding kesepian yang menyelubungi jiwa Siti.

“Nama saya Nia,” katanya, sambil menghulurkan tangan. 

Sejak saat itu, wad yang dingin dan sepi berubah menjadi taman bahagia yang dipenuhi dengan tawa dan ceria. Mereka berdua, seperti burung-burung yang baru terbang, berborak, bertukar kisah kehidupan, mengisi ruang waktu dengan keindahan yang menghiburkan. Di tengah larangan yang membatasi, mereka mencipta dunia kecil mereka sendiri—tukaran makanan yang dibawa keluarga menjadi simbol persahabatan.

“Cuba rasa nasi goreng ini, sungguh enak!” Siti menghulurkan bekas makanan, harapan di wajahnya.

“Saya bawa kek coklat! Makanlah!” Nia menyambut keriangan.

Sesekali, mereka menyanyikan lagu-lagu yang mereka gemari. Suara mereka, meskipun tidak selaras, membawa alunan kegembiraan, mengisi kekosongan yang sepatutnya menyedihkan. Gelak tawa mereka menjelma seperti bunyi muzik yang mengisi ruang sunyi itu.

Dalam wad yang sama, ada seorang lagi pesakit bernama Encik Razak. Lelaki pertengahan usia itu sudah lama terperangkap dalam kemurungan akibat kehilangan isteri dan anak dalam sebuah kemalangan jalan raya. Depresi yang berpanjangan menjadikan beliau seperti hidup dalam bayang-bayang. Namun, sejak beberapa minggu lalu, dia mula bangkit dari kegelapan itu. Walaupun fizikalnya semakin lemah akibat penyakit kronik yang dihidapinya, semangatnya kini jauh lebih kuat.

“Dulu saya fikir saya tiada sebab untuk terus hidup,” Encik Razak berkongsi kepada Siti dan Nia. “Tapi Tuhan masih memberi saya peluang untuk bernafas, dan saya sedar ada banyak lagi perkara yang saya boleh lakukan, walaupun saya sudah kehilangan segalanya.”

Siti dan Nia mendengar dengan penuh minat. Kisah Encik Razak membuat mereka lebih menghargai kehidupan dan menyedari bahawa kesakitan bukan pengakhiran, tetapi permulaan untuk sesuatu yang lebih bermakna.

Salah seorang jururawat yang sering menjaga mereka, Puan Mariam, pernah duduk sebentar di katil Siti dan Nia. Wajahnya lembut, pandangannya redup, menggambarkan sesuatu yang berat di hatinya.

“Kamu berdua beruntung,” katanya perlahan. “Saya pernah kehilangan anak saya dalam kemalangan. Dia baru berusia enam tahun. Saya masih ingat wajahnya, suara tawanya… tetapi kini semua itu hanya kenangan.”

Siti dan Nia terdiam. Mereka tidak menyangka wanita yang kelihatan kuat itu menyimpan luka yang begitu dalam.

“Bagaimana puan boleh terus bertahan?” tanya Nia perlahan.

Puan Mariam tersenyum nipis. “Kerana saya tahu, walaupun saya tidak dapat memeluknya lagi di dunia ini, saya akan bertemu dengannya di akhirat kelak. Saya harus kuat, kerana ramai pesakit di sini memerlukan saya.”

Air mata Siti menitis tanpa disedari. Nia juga menghela nafas panjang. Mereka sedar, walaupun mereka pernah merasakan keperitan berada di wad, penderitaan mereka tidak setanding dengan duka yang ditanggung Puan Mariam. Dalam kesakitan mereka, mereka masih mempunyai harapan, sedangkan Puan Mariam telah kehilangan segalanya, namun tetap kuat demi orang lain.

Salah satu kenangan yang paling menyentuh hati mereka ialah kisah Puan Aminah, seorang wanita tua yang terlantar sakit dalam tempoh yang lama. Kata doktor,  peluangnya untuk sembuh amat tipis. Namun, keajaiban berlaku. Dengan semangat juangnya yang luar biasa dan sokongan keluarga serta jururawat, beliau akhirnya dibenarkan keluar dari hospital. Ketika hari kepulangannya tiba, seluruh wad dipenuhi dengan suasana gembira. Jururawat dan pesakit lain bertepuk tangan sambil melihatnya melangkah keluar dengan senyuman yang penuh kesyukuran.

“Saya ingat saya takkan dapat keluar dari sini,” kata Puan Aminah sambil mengesat air matanya. “Tapi Tuhan masih memberi saya peluang.”

Saat itu, Siti dan Nia benar-benar merasakan bahawa harapan adalah anugerah terbesar dalam hidup.

Pada suatu malam, Siti dan Nia berbual panjang tentang kehidupan, termasuk kisah-kisah yang menyakitkan.

“Nia, pernahkah kamu dikhianati oleh sahabat sendiri?” tanya Siti perlahan, suaranya penuh emosi.

Nia mengangguk. “Pernah. Saya ada seorang sahabat baik sejak kecil. Saya sangka dia akan sentiasa ada, tapi dia berubah. Dia tikam saya dari belakang hanya kerana iri hati. Saya tak sangka seseorang yang saya anggap keluarga boleh buat begitu.”

Siti menarik nafas panjang. “Saya pun pernah. Saya percayakan seseorang sepenuh hati, tapi dia tinggalkan saya waktu saya benar-benar memerlukan dia. Saya rasa kosong dan kehilangan.”

“Tapi sekarang kita ada satu sama lain,” kata Nia dengan senyuman kecil.

“Ya. Mungkin kita perlu melalui pengkhianatan itu untuk bertemu dengan sahabat sejati.”

Mereka tersenyum, merasakan persahabatan yang terjalin di wad ini adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Walaupun diuji dengan kesakitan, mereka bertemu dengan sesuatu yang lebih berharga—keikhlasan dalam persahabatan sejati.

“Bila kita akan bebas dari sini? Rindunya untuk terbang!” Siti bertanya, matanya melilau ke siling wad, seolah-olah mencari langit yang cerah.

Nia hanya tersenyum, “Tidak lama lagi. Kita berjuang bersama!”

Namun, di sebalik tawa dan kegembiraan yang mereka cipta, ada saat-saat yang benar-benar mencabar.

Pada malam hari kelima, Siti dan Nia mengalami saat paling sukar dalam tempoh rawatan mereka. Suhu badan Siti naik mendadak, menyebabkan tubuhnya menggigil teruk. Nia pula mengalami sakit kepala yang luar biasa, sehingga tidak mampu bangun dari katilnya.

“Nia… saya rasa badan saya seperti terbakar,” bisik Siti dengan suara lemah, air mata mengalir tanpa sedar.

Nia yang juga sedang menahan kesakitan hanya mampu mengangguk. “Saya pun rasa sangat sakit, Siti. Rasa seperti ini takkan berakhir…”

Mereka hanya mampu berbaring dalam kesunyian, menunggu bantuan jururawat yang bergegas memberikan ubat penahan sakit. Saat itu, mereka merasakan seolah-olah tidak ada harapan, bahawa mereka mungkin tidak akan sembuh. Kesakitan yang memuncak membuatkan mereka hampir menyerah.

“Adakah kita akan sembuh, Siti?” tanya Nia, suaranya bergetar menahan pedih.

Siti cuba tersenyum walaupun lemah. “Kita kena percaya… esok mungkin lebih baik.”

Jururawat datang, memberikan rawatan yang perlu. Malam itu terasa begitu panjang, tetapi mereka bertahan. Mereka berjuang dalam diam, dengan harapan bahawa esok akan membawa kesembuhan.

Hari demi hari berlalu, kesihatan mereka semakin pulih. Doktor datang dengan senyuman, membawa khabar gembira. Akhirnya, saat yang dinanti-nantikan menjelang. Siti dan Nia saling berpandangan, mata mereka bersinar penuh harapan.

Pada suatu petang, seorang doktor bernama Dr. Hafiz datang untuk memeriksa keadaan mereka. Setelah selesai, dia duduk seketika dan berbual dengan Siti dan Nia.

“Saya lihat kamu berdua semakin sihat,” katanya dengan senyuman.

“Alhamdulillah, doktor,” jawab Siti.

Dr. Hafiz mengangguk. “Dalam hidup ini, kita akan bertemu ramai orang. Ada yang ikhlas, ada yang tidak. Jangan pernah percaya manusia seratus peratus. Jangan terlalu bergantung harap pada sesiapa, kerana manusia boleh berubah.”

Nia dan Siti berpandangan sesama sendiri.

“Kenapa doktor kata begitu?” tanya Nia.

Dr. Hafiz menarik nafas panjang. “Saya pernah membantu seorang sahabat baik. Saya lakukan segalanya untuk dia. Tapi apabila saya dalam kesusahan, dia hilang begitu sahaja. Dari situ saya belajar, kebergantungan sebenar hanya kepada Tuhan. Manusia boleh hadir dan pergi, tapi Tuhan tidak pernah meninggalkan kita.”

Siti mengangguk perlahan. Kata-kata itu benar-benar menusuk hatinya.

“Jadi, jangan terlalu mengharap pada manusia. Buat baik, tapi jangan terlalu percaya hingga membiarkan diri kita terluka,” tambah Dr. Hafiz.

Nia tersenyum kecil. “Terima kasih, doktor. Kami akan ingat nasihat ini.”

“Syukur, kita sihat!” Nia bersuara ceria, harapan merayakan kemenangan.

Ketika melangkah keluar dari wad, Siti dan Nia membawa bersama kenangan manis, yang terukir di dalam jiwa. Mereka sedar, perjalanan kesihatan ini bukanlah halangan, tetapi sebuah anugerah—persahabatan yang terjalin dalam kesakitan adalah hadiah terindah, akan terus dikenang dalam lipatan kehidupan.

Sebelum keluar wad, Siti dan Nia ingin berjumpa dengan Puan Mariam untuk mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Namun, apabila mereka bertanya kepada seorang jururawat yang bertugas, wajah jururawat itu berubah pucat.

“Puan Mariam?” ulang jururawat itu, kelihatan terkejut. “Sayang… Puan Mariam sudah meninggal dunia sepuluh tahun lalu. Dia pernah menjadi jururawat di sini, tetapi terlibat dalam kemalangan selepas tamat syifnya.”

Siti dan Nia saling berpandangan, wajah mereka pucat. “Tapi… kami bercakap dengannya setiap malam. Dia yang menjaga kami!” suara Siti bergetar.

Jururawat itu hanya menggelengkan kepala. “Banyak pesakit yang pernah menyatakan perkara yang sama sebelum ini…”

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Siti duduk di dalam kereta sambil memerhatikan pemandangan di luar tingkap. Dia teringat detik-detik sukar di wad dan bagaimana persahabatannya dengan Nia telah memberikan semangat untuk bertahan. Dia menyedari betapa berharganya kesihatan, persahabatan, dan kasih sayang keluarga.Masih terkesima dengan kehadiran arwah Puan Mariam buat mereka.

Nia pula, di dalam kereta bersama keluarganya, termenung panjang. Hatinya sebak mengingati kisah Encik Razak dan masih terkejut dengan kisah arwah Puan Mariam. Dia insaf bahawa dalam kehidupan, ujian datang dalam pelbagai bentuk. Dia bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang menyayanginya, dan dia berjanji pada dirinya sendiri untuk lebih menghargai setiap detik dalam hidupnya.

Kedua-duanya sedar bahawa pengalaman di wad hospital telah mengubah mereka. Mereka bukan sahaja sembuh daripada penyakit fizikal, tetapi juga menjadi lebih matang dalam memahami kehidupan. Dan di sebalik kesakitan yang pernah mereka alami, mereka membawa pulang sesuatu yang lebih berharga — sebuah persahabatan sejati yang akan terus kekal dalam ingatan.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (17) #komsas (2) #penulis (6) #penulisbaharu (19) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (16) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (4) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (11) dbpcawangansabah (8) dbpcawangansarawak (22) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Esei (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Puisi Tradisional (2) rindu (3) sajak (8) Sarawak (3) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

حيران؟
Puisi Moden

حيران؟

  • 5 Disember 2023
  • 5
Waris Biduanda di Sungei Ujong Keturunan Bendahara
Sejarah dan Budaya

Waris Biduanda di Sungei Ujong Keturunan Bendahara

  • 5 September 2024
  • 925
  • 4.7
Abdul Ahmad: Mengenang Penggiat Sastera Remaja Negeri Perlis
Tokoh

Abdul Ahmad: Mengenang Penggiat Sastera Remaja Negeri Perlis

  • 19 November 2024
  • 225
  • 4.7
Aku Bukan Pengkhianat!
Cerpen

Aku Bukan Pengkhianat!

  • 14 Ogos 2024
  • 215
  • 4.9

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP