Walaupun bersaiz kecil dan mempunyai populasi kurang daripada 300,000 orang penduduk, negeri Perlis telah melahirkan ramai nama besar dalam arena sastera tanah air. Hal ini demikian dalam genre puisi, Perlis sinonim dengan Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman bin Shaari yang terkenal dengan jolokan “Hafiz Puisi”. Antara nama- besar yang mewarnai dunia penulisan kreatif di negeri Perlis termasuklah Rejab F.I, Nazel Hashim Mohamad, Mokhtar A.K, Solihin Osman, Muhammad Hj. Harun, Allahyarham Nahmar Jamil dan ramai lagi. Sumbangan mereka dalam dunia penulisan di negeri Perlis merangkumi pelbagai genre, termasuk puisi, cerpen, novel, penterjemahan dan sebagainya.
Namun begitu, apabila membincangkan perkembangan dunia penulisan kreatif di negeri utara tanah air ini tidak lengkap sekiranya tidak menyebut peranan Allahyarham Abdul bin Ahmad@Mat atau nama penanya, Abdul Ahmad yang merupakan pelopor kepada perkembangan kesusasteraan remaja di negeri Perlis. Abdul bin Ahmad@Mat dilahirkan di Kampung Paya, Perlis pada tahun 1949 dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 21 Julai 2016 disebabkan oleh serangan angin ahmar.
Beliau telah menghasilkan banyak penulisan kreatif dan kebanyakan penulisannya memberikan tumpuan kepada khalayak remaja khususnya. Untuk kategori pembaca dewasa pula, beliau telah menghasilkan novel Jiwa Rasa Gelora terbitan Eastern Universities Press pada tahun 1980 dan cerpen eceran berjudul “Keputusan” yang tersiar dalam Utusan Zaman pada tahun 1981. Sebagai seorang editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), nama beliau turut terpahat sebagai penyunting dalam karya penulis-penulis besar. Secara umumnya, nama Abdul Ahmad sebagai seorang karyawan lebih sinonim dengan genre cerpen dan esei kritikan.
Sebagai seorang yang bergiat aktif dalam bidang penulisan, beliau juga merupakan salah seorang yang terlibat dalam penubuhan Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). AKSARA merupakan sebuah persatuan bukan kerajaan yang bergiat aktif dalam menyuburi ranah sastera di negeri Perlis hingga ke hari ini. Pada hayatnya, keberadaannya di luar negeri Perlis tidak menghalang beliau untuk menabur khidmat di tanah kelahiran sendiri. Sepanjang perkhidmatan di DBP, beliau pernah menjadi editor majalah selama 21 tahun selain menjadi pensyarah sambilan di beberapa buat institut pengajian tinggi, antaranya Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA. Pada tahun 2005 selepas bersara dari DBP, beliau kembali menetap di Perlis hingga akhir hayatnya pada tahun 2016.
Ketika AKSARA ditubuhkan, negeri Perlis sudah pun mempunyai persatuan penulis, iaitu Persatuan Penulis Perlis (3P). Penubuhan AKSARA bukan bermaksud untuk mengundang perpecahan seperti yang disangka oleh sebahagian pihak. Kewujudan dua persatuan ini membolehkan badan persatuan bergerak bebas dengan hala tuju sendiri tanpa perlu terikat dengan salah satu kelompok sahaja. Hasrat beliau terhadap penubuhan AKSARA adalah untuk menggiatkan perkembangan sastera di negeri Perlis dengan lebih rancak, meliputi hal-hal seperti pencarian penulis pelapis, pengasahan bakat penulis sedia ada dan penerbitan karya. Beliau menganjurkan bengkel penulisan melibatkan pelajar sekolah bagi mencungkil potensi bakat golongan muda. Pengetahuan luas beliau dalam sastera remaja dan penyuntingan membolehkan pelajar-pelajar ini mendapat bimbingan sebaiknya.
Di samping aktif menulis, beliau turut berpengalaman luas dalam bidang penjurian, beliau pernah dilantik sebagai panel penilai Hadiah Sastera Siswa selama sembilan tahun, Sayembara Mengarang Jubli Emas DBP dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Penglibatan sebagai panel hakim dalam sayembara dan hadiah sastera membolehkan beliau untuk mendalami kualiti sebenar sesebuah karya. Beliau juga pernah diundang menyampaikan perkongsian berkaitan penciptaan karya di universiti luar negara termasuklah di Indonesia, Brunei dan China. Dengan pengalamannya sebagai pengkritik, beliau sangat kritis dan teliti dalam penulisan karya kreatif dan hal ini disampaikan melalui penulisan bukan kreatif beliau, iaitu buku kajian Sekitar Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Buku ini beliau hasilkan bersama-sama Othman Puteh yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1984.
Sesuai dengan penglibatan dan pengalaman luas beliau dalam genre penulisan, beliau dapat menawarkan sudut pandang seorang penulis, editor dan juri pertandingan dalam penghasilan sesebuah karya. Gabungan sudut pandang ini menjadikan bimbingannya unik dan mempunyai kelainan berbanding penulis biasa yang hanya bergiat dalam dunia kreatif sahaja. Hal ini demikian kerana beliau mampu mengintegrasikan pengalaman kehidupan, nilai-nilai kemanusiaan, dan pemikiran kritis dalam setiap karya serta pengajaran yang diberikan. Pendekatan holistik ini tidak hanya membantu mengasah kreativiti, tetapi juga memupuk kesedaran diri dan pemahaman mendalam tentang masyarakat, menjadikan bimbingannya lebih berkesan dan memberikan impak yang berkekalan dalam setiap penghasilan karya sastera.
Dalam kata pengantar naskhah akhir beliau dalam Kumpulan Cerpen Surat Bersampul Biru terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2016, beliau mengakui dirinya bukanlah seorang penulis prolifik. Dalam tempoh dua dekad, beliau hanya menghasilkan 25 buah cerpen merangkumi cerpen dewasa, remaja dan kanak-kanak. Beliau menjelaskan dengan kedudukannya sebagai seorang editor, komitmen tugas untuk menghasilkan majalah setiap bulan menyebabkan masa untuk menghasilkan karya agak terbatas. Melihat kepada komitmen beliau dalam AKSARA selepas bersara pula, tidak mustahil masa yang ada terpaksa dibahagikan antara menguruskan persatuan dan berkarya. Lazimnya, penulis yang memberikan fokus kepada pengurusan persatuan dan bimbingan akan mempunyai masa terhad untuk menghasilkan karya sendiri.
Menelusuri naskhah yang sama, penulis menjelaskan pandangannya tentang pertembungan dunia sains dan sastera dalam salah satu cerpennya dalam Kumpulan Cerpen Surat Bersampul Biru. Cerpen ini menjelaskan hasrat seorang anak kecil bernama Nudra Syafini untuk menjadi seorang penulis, namun begitu hasrat ini bertentangan dengan cita-cita asalnya untuk menjadi seorang doktor sakit puan. Dalam cerpen ini, Nudra Syafini menyebut nama Robin Cook, seorang novelis yang juga merupakan seorang doktor perubatan. Meskipun datuknya mempersoal cita-citanya untuk menjadi penulis, Nudra Syafini tetap membulatkan tekad. Hal ini boleh juga dikaitkan dengan penulis yang bereksperimen dalam karya dengan menerapkan elemen interdisiplin, contohnya Dr. Rahmat Haroun yang banyak menerapkan bidang perubatan dalam karya sastera.
Cerpen yang dihasilkannya pada tahun 1987 ini secara tersirat mengungkap hasrat penulis untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam kalangan generasi muda yang menceburi bidang sains. Tema ini juga boleh dikaitkan dengan eseinya yang berjudul “Ruginya Bila Sains dan Sastera Perang Dingin’’ terbitan Dewan Siswa Julai 1987. Melalui kedua-dua karya ini, jelas menunjukkan hasrat penulis untuk mengajak golongan yang menceburi bidang sains untuk turut sama menjejak kaki dalam arena penulisan kreatif.
Berkemungkinan, konflik dalam cerpen ini bermula dalam diri dalam penulis sendiri sebagai penuntut aliran sains di peringkat sekolah menengah. Beliau merupakan seorang pelajar cemerlang yang diterima masuk ke sekolah berasrama penuh, Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh. Walaupun berada dalam kelas sains, minat mendalam dalam kesusasteraan Melayu telah mendorong beliau untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Sains Malaysia, sebelum ke peringkat sarjana dalam bidang sama di Universiti Putra Malaysia. Beliau juga pernah menjadi anak didik Sasterawan Negara, Allahyarham Shahnon Ahmad ketika di Universiti Sains Malaysia. Bahkan tesis tahun akhir beliau berjudul Cerpen-Cerpen Dewan Siswa 1983-1989: Satu Kajian Motif Kesusasteraan Remaja telah diselia oleh tokoh tersebut.
Hingga hari ini, AKSARA terus menganjurkan pelbagai kegiatan untuk menyemarakkan dunia penulisan di negeri Perlis, membawa bersama-sama aspirasi Allahyarham Abdul Ahmat untuk melahirkan generasi penulis untuk menyambung perjuangan tokoh-tokoh terdahulu. Beliau akan terus dikenang sebagai seorang yang versatil dengan penglibatan dalam ranah kreatif dan bukan kreatif, khususnya dalam penyuntingan, kritikan, bimbingan, penjurian dan tentunya, penghasilan karya seni itu sendiri.
Dr. Norshah Aizat bin Shuaib, Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dan Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Perlis.