Allahyarham Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Salleh atau lebih dikenali sebagai Abdul Halim “R”dilahirkan pada 19 Disember 1937 di Kodiang, Kedah Darul Aman. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Indonesia daripada Universiti Nasional Jakarta, Indonesia pada tahun 1970 hingga 1975. Abdul Halim “R” menjadi guru sejak 1 April 1952 dan bersara pada 1 Ogos 1991 setelah berkhidmat selama 39 tahun 4 bulan.
Pembabitan awal beliau bermula pada tahun 1952 apabila rencana sulungnya yang berjudul “Mereka Ingin Merdeka” tersiar dalam Utusan Melayu pada 30 Julai 1952. Dari situlah, beliau mendapat rangsangan untuk terus berkarya dalam bidang sastera. Semenjak daripada tersiar karyanya dan ditambah dengan pengalaman hidup yang luas, beliau mencerna mindanya untuk terus menulis dalam pelbagai genre sastera. Antaranya termasuklah penulisan puisi, cerpen, pantun, syair, novel, drama, esei dan teks sastera. Sejak membabitkan diri dalam bidang penulisan, Allahyarham Abdul Halim “R” terus giat menulis terutama dalam genre pantun. Pantun-pantun beliau sering yang tersiar di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Antara antologi cerpen bersama beliau yang telah diterbitkan ialah Cerita Kanak-Kanak III (1962), Titian Laut III (1994), Di Tepi Tebing (1997), Unting Kasih (1997), Talian Kasih (1999), Riak Kabus Danau Maninjau (1999), Puncak Satu (1999), Dialog Puncak VIII (2000) dan Merentas Denai (2000). Beliau juga turut menghasilkan dua buah novel berjudul Buas (1967) dan Digigit Lalat dari Spain (1973). Beliau juga aktif menghasilkan skrip drama pentas, antaranya termasuklah Sahabat yang Curang (1953), Keris Pembela (1957), Najis (1967), Gergasi Moden (1968), Pak Kaduk Naik Junjung (1969) dan Selingkar Kisah Lipatan Sejarah sempena sambutan Bulan Kemerdekaan (1992).
Selain bergiat dalam penulisan rencana, beliau turut menghasilkan cerpen. Cerpen beliau berjudul “Dia Sudah Insaf” yang tersiar dalam Majalah Hiburan 325 pada 7 November 1953 dan diikuti dengan beberapa buah cerita yang agak pendek yang ditulis oleh beliau dalam majalah yang sama dalam beberapa keluaran berikutnya.
Sebagai seorang penulis, beliau terus mematangkan fikiran dengan idea yang bernas bagi menghasilkan cerpen yang lebih panjang dan berkualiti. Cerpen beliau berjudul “Selendang Merah” tersiar dalam akhbar Warta Mingguan pada 17 Februari 1957. Beliau terus gigih menghasilkan cerpen-cerpen untuk bacaan masyarakat, cerpennya yang berjudul “Harapan Kecewa” disiarkan dalam akhbar Warta Mingguan pada 26 Mei 1957 diikuti dengan cerpen “Kisah Dua Manusia Ganjil” yang disiarkan dalam majalah Mastika pada bulan Januari 1959. Manakala cerpen “Sesat” tersiar dalam akhbar Warta Mingguan pada 11 Jun 1961 dan cerpen “Neraka” dalam akhbar Warta Mingguan pada 26 November 1961. Karya-karya beliau bersifat memberikan didikan dan pengajaran kepada khalayak pembaca.
Ketika hayatnya beliau juga pernah menyandang Ketua Dua Kumpulan Angkatan Budi Langkawi (KABUS). Semasa menjadi Ketua Dua KABUS, persatuan yang dianggotai beliau banyak menghasilkan skrip drama pentas, terutama Ketua Satunya iaitu Ahmad Basri Mohd Akil, Ismail Hanafiah dan beliau sendiri sempat mencipta sebuah drama yang diberi judul Najis. Beliau kemudiannya mendapat dorongan daripada sahabatnya, iaitu Allahyarham Noorjaya untuk bergiat dalam Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Beliau kemudiaannya memegang jawatan Bendahari sehingga penghujung tahun 1990-an.
Selain daripada menghasilkan cerpen, puisi dan pantun, beliau juga turut menghasilkan syair. Datuknya gemar menulis syair berbentuk nasihat pada kotak rokok dan kemudian diselitkan di celah-celah atap rumahnya. Menurut beliau ketika hayatnya, sewaktu bersekolah, beliau selalu berbasikal ke rumah datuk dan mengambil kotak rokok yang terselit di celah-celah atap untuk membaca syair yang ditulisnya. Pada awal 1950-an, beliau sudah mula menulis syair dan puisi lain dalam akhbar Warta Mingguan dan majalah Mastika. Minatnya terhadap sastera, terutama pantun dan syair, sebenarnya diwarisi daripada datuknya yang juga seorang guru agama. Syair karangan beliau telah dibukukan dalam Syair Kedah Darul Aman dan Syair Kedah Darul Aman 2.
Sebagai seorang penggiat seni sastera terutama dalam menghasilkan pelbagai jenis pantun, beliau telah dipilih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Tokoh Sastera Warisan pada tahun 2005. Allahyarham pernah diberi pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 2014 dan Anugerah Tokoh Jerai pada tahun 2019. Allahyarham Abdul Halim “R”, menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 10 Mei 2020, pukul 3.20 pagi. Menurut Isteri beliau, Datin Noraini Ahmad, ketika arwah diserang strok dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah beliau masih aktif menulis dan sedang menyiapkan biografi mengenai perjalanan hidup beliau yang berjudul “Di Tengah Manusia”.
“Sudah dua tahun arwah menulis buku itu dengan tulisan tangan walaupun belum siap, namun itulah hasil karyanya yang terakhir. Dia menulis sekiranya keadaan kesihatan mengizinkan. Hal ini disebabkan arwah mengidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis,” katanya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al- Bukhary, Alor Setar, Kedah selepas solat zuhur. Kepulangan Allahyarham Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Salleh atau lebih dikenali sebagai Abdul Halim “R” merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kesusasteraan di negeri Kedah. Semoga hasil-hasil penulisan beliau dapat dijadikan sumber bacaan dan rujukan kepada generasi pada hari ini untuk mendalami bidang penulisan karya kreatif khususnya.