MASYARAKAT Melayu terkenal dengan kesopanan dan kelembutan baik dalam tutur kata mahupun tingkah lakunya. Jika tidak mana mungkin lahirnya peribahasa yang berbunyi “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Peribahasa ini walaupun sekian lama wujud dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi masih relevan sehingga hari ini. Namun begitu pada masa kini, penghayatan masyarakat terhadap makna tersirat peribahasa ini semakin hilang dan pudar. Buktinya, kebanyakan generasi muda hari ini kurang arif dalam pemilihan tutur kata ketika berkomunikasi sehingga boleh menyinggung perasaan orang lain. Bahkan, adakalanya bahasa tersebut juga boleh menyebabkan timbulnya salah faham antara mereka. Persoalannya ke manakah hilangnya adab berbahasa orang Melayu yang suatu ketika dahulu kaya dengan kelembutan dan kesopanan?
Setiap bahasa menggunakan pelbagai istilah untuk merujuk dan menggambarkan konsep kesantunan dan kesopanan. Dalam bahasa melayu, istilah santun berbahasa digunakan bagi menggambarkan konsep tersebut. Menurut Kamus Dewan edisi keempat santun dapat didefinisikan sebagai halus (budi bahasa atau pekerti), beradab sopan. Kesantunan berbahasa sebenarnya terangkum dalam budaya santun sesebuah masyarakat kerana bahasa merupakan antara elemen budaya manakala budaya juga merupakan antara elemen yang terkandung dalam bahasa. Jadi, memilih bahasa santun sebenarnya perlu berdasarkan budaya yang sopan dalam sesebuah masyarakat. Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah dalam tulisannya berjudul “Kesantunan Strategi Berbahasa dalam Konteks Pendidikan”, nilai sosial dan budaya sesebuah masyarakat juga merupakan asas kepada amalan berbahasa untuk mewujudkan keramahan dan penghormatan kepada seseorang.
Orang tua acapkali berpesan tentang kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan walaupun mereka telah berjaya dan mengecapi kemewahan hidup. Hal ini demikian kerana sebagai orang Melayu yang beragama Islam, kesantunan berbahasa berkait rapat dengan adab dan akhlak dalam agama Islam. Imam al-Ghazali telah menggariskan beberapa adab dalam berkomunikasi, iaitu menjaga tutur kata, tidak berbicara tentang perkara yang sia-sia dan tidak mengucapkan perkataan yang buruk. Orang Melayu yang terikat dengan tuntutan agama secara tidak langsungnya mempunyai sahsiah dan akhlak yang terpuji termasuklah dalam adab berbahasa. Setiap perkataan yang diucapkan oleh seseorang mempunyai kaitan dengan akhlak penuturnya. Atas faktor itulah, agama Islam mendidik umatnya menggunakan perkataan yang baik dan sopan ketika berkomunikasi antara satu sama lain kerana kata-kata yang baik boleh mendatangkan kesan yang baik dan begitu jugalah sebaliknya. Menurut Suhaimi Jamaludin dalam tulisannya berjudul “Amalan Kesantunan Berbahasa”, konsep utama yang terkandung dalam amalan kesantunan berbahasa merangkumi tiga perkara yang berikut, iaitu pemilihan kata, kata panggilan dan penggunaan kata ganti nama.
(a) Pemilihan Kata
Pemilihan kata-kata yang baik amatlah penting bagi orang Melayu. Hal ini demikian kerana pemilihan kata-kata sama ada yang baik mahupun buruk akan meninggalkan kesan dan bekas dalam hati pendengarnya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 70-71 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu sekalian kepada Allah SWT dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah SWT memperbaiki amalan dan mengampuni dosa-dosamu. Barang siapa mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”. Di samping itu, ketika berkomunikasi, pemilihan perkataan juga perlu disesuaikan dengan situasi, umur, jantina dan taraf sosial agar tidak menyinggung perasaan seseorang. Pemilihan kata sangat penting bagi membolehkan komunikasi yang berlaku antara kedua-dua belah pihak berkesan dan masing-masing memahami dengan baik dan jelas.
(b) Kata Panggilan atau Sistem Sapaan
Adab berbahasa orang Melayu boleh dilihat melalui kata panggilan atau sistem sapaannya yang begitu menghormati dan menghargai orang lain. Sistem sapaan merupakan kaedah yang digunakan oleh sesuatu bangsa bagi menegur mahupun menyapa seseorang sama ada dalam konteks rasmi atau pun tidak rasmi. Abdul Shukor Shari, Nuraini Yusoff dan Mohd Isa Awang dalam buku mereka yang berjudul Bahasa Melayu Komunikasi menyatakan penggunaan bahasa sapaan yang betul dan sesuai dapat menggambarkan budi pekerti yang tinggi manakala penggunaan bahasa sapaan yang tak sesuai akan memperlihatkan nilai ataupun sikap yang negatif. Apabila kita salah membuat pemilihan kata sapaan yang sesuai, maka kita akan dilabelkan sebagai golongan yang kurang sopan dan biadap. Hal ini demikian kerana sistem sapaan dalam bahasa Melayu mempunyai nilainya yang tersendiri, dalam hubungan kekeluargaan contohnya, bahasa sapaan masyarakat Melayu menetapkan seseorang yang lebih lanjut usianya akan dikenakan dengan panggilan abang bagi lelaki dan kakak bagi perempuan. Sungguh tidak manis dan sopan jika kita hanya menyapa seseorang yang lebih tua dengan namanya sahaja tanpa ada perkataan abang ataupun kakak di hadapan. Bahkan, jika seseorag itu mempunyai gelaran seperti Dato’, Tan Sri dan sebagainya adalah sopan untuk kita menyapanya dengan gelaran tersebut terlebih dahulu kemudian diikuti oleh namanya.
(c) Penggunaan Kata Ganti Nama
Adab berbahasa orang Melayu juga mementingkan penggunaan kata ganti nama diri kerana penggunaannya yang tidak betul boleh mengundang suasana yang tidak harmoni. Di samping itu, penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai membolehkan komunikasi dua hala berlangsung dengan lebih berkesan tanpa sebarang kecelaruan. Dalam bahasa Melayu, kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga, iaitu kata ganti nama diri pertama, misalnya saya, aku kami dan kita, kata ganti nama diri kedua, iaitu awak, kamu dan engkau serta kata ganti nama diri ketiga iaitu ia, dia, beliau, mereka dan sebagainya. Kata ganti nama dalam urusan rasmi mempunyai perbezaan dalam urusan tidak rasmi disebabkan oleh pengaruh dialek yang ada dalam bahasa Melayu itu sendiri.
Adab berbahasa masyarakat Melayu telah menjadi sebahagian daripada budaya dan cara hidup sejak zaman berzaman. Namun, akhir-akhir ini adab tersebut tidak lagi berakar umbi dalam kehidupan masyarakat kita. Sedangkan adab berbahasa sebenarnya memberikan kekuatan sosial dan moral kepada sesebuah masyarakat. Jika ingin menjadi sebuah bangsa yang maju, adab berbahasa yang tinggi perlu ada dalam diri masyarakat kerana masyarakat yang maju mengamalkan kesantunan bahasa yang tinggi dan bukanlah sebaliknya. Kesantunan berbahasa dan komunikasi yang baik antara kaum dapat mewujudkan perpaduan dan suasana yang harmoni di negara ini.
Oleh hal yang demikian, sebagai masyarakat Melayu yang kaya dengan adat dan tatasusilanya, kita wajar menyekat kemasukan pengaruh budaya asing khususnya dari negara luar yang boleh menghakis identiti dan budaya hidup orang Melayu. Tidak dinafikan situasi ini boleh dilihat dalam kebanyakan hantaran dan komen di platform media sosial terutamanya Twitter dan Facebook. Bukan itu sahaja, orang muda pada masa kini juga tidak lagi menggunakan kata ganti nama diri yang lebih sopan seperti awak, anda dan saudari tetapi lebih gemar menggunakan kata ganti nama seperti gua, bro, beb dan sis. Hal ini demikian menggambarkan sebahagian besar generasi muda pada hari ini dipengaruhi oleh budaya luar sehingga kurangnya kesantunan berbahasa ketika berkomunikasi antara satu sama lain. Sedangkan budaya masyarakat Melayu sangat mengutamakan adab berbahasa dalam kehidupan seharian mereka. Jika tidak mana mungkin lahirnya pantun yang berbunyi:
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Kesimpulannya, kesantunan berbahasa dalam kalangan generasi muda perlu dipupuk supaya tidak terus hanyut dengan pengaruh daripada luar yang tidak sesuai dengan norma dan budaya hidup kita. Sejak sekian lama, orang Melayu terkenal sebagai masyarakat yang hidupnya penuh dengan nilai dan adab sopan termasuklah dalam aspek berbahasa. Atas sebab itulah lahirnya bahasa kiasan seperti peribahasa untuk menyatakan sesuatu secara berlapik tanpa menyinggung perasaan seseorang. Jadi, sistem pendidikan negaralah yang menjadi sandaran paling sesuai dalam isu ini. Sistem pendidikan Malaysia bukan sahaja diharapkan untuk menghasilkan generasi yang berilmu dan berkemahiran semata-mata tetapi juga mampu mengembalikan semula adab berbahasa di kalangan generasi pelapis masa hadapan negara. Hal ini kerana nilai kesantunan berbahasa yang merupakan cerminan masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu sejak sekian lamanya. Budi Bahasa Budaya Kita!