Skip to content
Adat Perkahwinan Suku Kaum Bajau Pantai Timur Sabah: Manifestasi Budaya dan Keharmonian Sosial
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Adat Perkahwinan Suku Kaum Bajau Pantai Timur Sabah: Manifestasi Budaya dan Keharmonian Sosial
Adat Perkahwinan Suku Kaum Bajau Pantai Timur Sabah: Manifestasi Budaya dan Keharmonian Sosial
Bicara Bahasa

Adat Perkahwinan Suku Kaum Bajau Pantai Timur Sabah: Manifestasi Budaya dan Keharmonian Sosial

  • AMAN SHAH BIN SYED ALI
  • 5 September 2025
  • DBP Cawangan Sabah
  • 64
  • 3

Kepulauan Borneo, dikenali dengan kekayaan alam semula jadi dan kepelbagaian etnik yang menyimpan seribu satu khazanah budaya yang unik dan mengagumkan. Salah satu etnik yang cukup dikenali dengan warisan maritim dan adat resam yang kaya ialah suku kaum Bajau. Di Sabah, komuniti Bajau terbahagi kepada beberapa kumpulan antaranya ialah suku kaum Bajau Pantai Barat yang majoritinya mendiami kawasan seperti di Kota Belud dan Tuaran serta Bajau Pantai Timur yang lebih tertumpu di daerah Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Sandakan. Kumpulan Bajau Pantai Timur sering dikaitkan dengan Bajau Laut (Sama Dilaut) serta kumpulan darat seperti Bajau Kubang dan Ubian, memiliki ciri-ciri budaya yang tersendiri terutamanya dalam aspek adat perkahwinan mereka.

Adat perkahwinan dalam masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah bukan sekadar penyatuan dua jiwa, tetapi merupakan sebuah institusi sosial yang kompleks, melibatkan peranan keluarga, komuniti dan pengekalan tradisi turun-temurun. Tradisi ini mencerminkan sistem nilai, kepercayaan, struktur sosial dan keharmonian hidup masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah. Artikel ini akan mengupas secara mendalam tentang pelbagai peringkat dan aspek adat perkahwinan suku kaum Bajau Pantai Timur Sabah. Bermula daripada proses merisik hinggalah kehidupan selepas berumah tangga, serta menonjolkan keunikan dan kepentingan adat ini dalam konteks budaya mereka.

Perjalanan menuju gerbang perkahwinan bagi pasangan masyarakat Bajau Pantai Timur dimulakan dengan beberapa peringkat penting yang melibatkan kedua-dua belah keluarga secara aktif.

 Merisik dan Menyiasat (Mongintud-intud atau Tilau-Tilau Idaan)

 Proses awal ini merupakan langkah tinjauan atau penyiasatan tidak rasmi yang dilakukan oleh pihak lelaki untuk mengetahui lebih lanjut tentang gadis yang dihajati. Adat ini bertujuan untuk memastikan status gadis tersebut sama ada sudah berpunya atau belum serta mengumpul maklumat mengenai latar belakang keluarga, peribadi dan kemahirannya. Wakil pihak lelaki, biasanya terdiri daripada ibu bapa atau saudara-mara terdekat yang dihormati dan arif dalam berkata-kata, akan melawat keluarga si gadis. Kunjungan ini dibuat secara berhati-hati dan penuh simbolik, tanpa menyatakan secara terus terang akan hajat sebenar. Perbualan lebih menjurus kepada perkara umum, namun terselit pertanyaan atau pemerhatian yang relevan.

Dalam sesetengah masyarakat Bajau, aspek keserasian juga diambil kira melalui kaedah tilikan atau “nujum” (kadang disebut pagtana-tana atau ngederasi) yang mungkin merujuk kepada kitab-kitab lama seperti Tajul Muluk. Tujuannya adalah untuk melihat keserasian antara kedua-dua bakal mempelai berdasarkan hari lahir atau petanda-petanda tertentu. Jika tilikan menunjukkan keserasian, maka proses seterusnya akan lebih mudah diatur.

Meminang (Mendo atau Pagpasal)

Setelah pihak lelaki berpuas hati dengan hasil merisik dan percaya bahawa gadis tersebut ialah calon yang sesuai, langkah seterusnya meminang secara rasmi. Rombongan peminangan pihak lelaki disertai oleh individu yang dihormati dan pandai berunding (jurubicara), akan datang ke rumah pihak perempuan. Kedatangan ini disambut baik oleh keluarga perempuan yang sudah bersedia.

Dalam majlis inilah niat sebenar pihak lelaki untuk menyunting si gadis akan dinyatakan. Perbincangan mengenai syarat-syarat perkahwinan akan berlangsung, dengan fokus utama kepada penetapan mas kahwin (mahar atau ungsud) dan belanja hangus (belanja dapur atau wang belanja) serta hantaran (berian). Mas kahwin ialah hak mutlak pengantin perempuan dan biasanya dalam bentuk wang tunai atau barang kemas, manakala belanja hangus merupakan sumbangan pihak lelaki kepada keluarga perempuan untuk menampung kos majlis perkahwinan. Jumlahnya bergantung kepada status sosial, kedudukan ekonomi keluarga dan persetujuan bersama. Hantaran pula terdiri daripada pelbagai barangan seperti pakaian, kuih-muih tradisional, buah-buahan, dan barangan perhiasan diri. Perbincangan ini memerlukan kebijaksanaan dan tolak ansur agar mencapai kata sepakat tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak.

Bertunang (Pagkalamat atau Seruan)

 Apabila pinangan diterima, satu majlis pertunangan akan diadakan. Tarikh dan masa majlis ini ditetapkan hasil persetujuan kedua-dua keluarga. Dalam majlis ini, pihak lelaki akan membawa sebahagian daripada hantaran yang dijanjikan, termasuk sebentuk cincin sebagai tanda pertunangan (cincin tanda). Cincin ini akan disarungkan ke jari manis bakal pengantin perempuan oleh wakil perempuan daripada pihak lelaki, lazimnya ibu atau saudara perempuan yang lebih tua.

Semasa majlis pertunangan, tempoh pertunangan akan ditetapkan, yang boleh berlangsung dari beberapa bulan hingga setahun atau lebih, bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak. Tarikh untuk majlis perkahwinan juga akan dibincangkan. Sepanjang tempoh pertunangan ini, kedua-dua bakal pengantin perlu menjaga tingkah laku, batas pergaulan, dan mematuhi pelbagai pantang larang yang bertujuan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Pihak lelaki juga akan mula menghantar sebahagian daripada belanja dapur kepada pihak perempuan secara beransur-ansur atau mengikut perjanjian.

Majlis Perkahwinan yang Meriah dan Penuh Makna

Majlis perkahwinan merupakan acara kemuncak yang dinanti-nantikan, dilaksanakan dengan penuh adat istiadat dan kemeriahan.

Menghantar Belanja dan Hantaran (Maghantar Berian/Ungsud)

Beberapa hari sebelum majlis akad nikah dan persandingan, pihak lelaki akan menghantar baki belanja hangus dan keseluruhan barangan hantaran ke rumah pihak perempuan. Hantaran ini digubah indah dalam bekas-bekas khas (pahar atau dulang) dan diarak oleh rombongan pihak lelaki. Kedatangan rombongan ini sering diiringi dengan paluan muzik tradisional dan disambut meriah oleh keluarga perempuan. Serah terima ini melambangkan tanggungjawab dan komitmen pihak lelaki.

Majlis Berinai (Magpassal)

Majlis berinai merupakan upacara penting yang diadakan secara berasingan di rumah pengantin lelaki dan perempuan, biasanya pada malam sebelum akad nikah atau beberapa malam berturut-turut. Tujuan utama majlis ini adalah untuk “membersihkan” dan menaikkan seri pengantin. Inai (passal) akan dioleskan pada kuku, tapak tangan dan kadang-kadang tapak kaki pengantin oleh ahli keluarga terdekat, sahabat handai dan individu yang dihormati.

Semasa upacara ini, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan doa-doa dibacakan. Terdapat kepercayaan bahawa semakin merah warna inai, semakin mendalam kasih sayang pasangan. Air yang digunakan untuk membancuh inai juga kadangkala dicampur dengan bahan-bahan tertentu seperti daun pandan atau bunga-bungaan untuk bau yang harum dan keberkatan.

Akad Nikah

Upacara akad nikah merupakan tunjang utama dalam perkahwinan masyarakat Bajau yang beragama Islam. Akad nikah biasanya dijalankan di rumah pengantin perempuan atau di masjid oleh imam atau jurunikah bertauliah. Wali kepada pengantin perempuan akan menikahkan anaknya dengan pengantin lelaki. Pengantin lelaki akan melafazkan ijab dan kabul dengan jelas dan disaksikan oleh dua orang saksi lelaki yang sah.

Selepas lafaz kabul disahkan, doa selamat dibacakan. Pengantin lelaki kemudiannya akan menyerahkan mas kahwin kepada pengantin perempuan. Upacara membatalkan air sembahyang sering menyusul, yakni pengantin lelaki menyarungkan cincin ke jari pengantin perempuan dan pengantin perempuan mencium tangan suaminya sebagai tanda hormat.

Majlis Bersanding (Pagkawin atau Pagkanduli)

Majlis persandingan ialah acara yang paling meriah dan menjadi tumpuan utama. Kedua-dua mempelai, yang lengkap berpakaian tradisional Bajau yang serba indah, akan diarak dan seterusnya didudukkan di atas pelamin (paminangan) yang telah dihias cantik.

Pakaian Pengantin

Pakaian tradisional pengantin Bajau Pantai Timur sangat unik dan berwarna-warni. Pengantin lelaki mungkin memakai badju sipak (baju belah hadapan) dan seluar kain mogah atau seluar potongan khas, lengkap dengan destar atau tanun (tengkolok) di kepala. Pengantin perempuan pula mengenakan baju yang juga dihiasi indah dengan manik, labuci dan sulaman benang emas, dipadankan dengan kain sarung tenunan seperti kain mogah atau olos berangkit. Hiasan kepala yang rumit seperti mandapun (mahkota kecil) dan pelbagai barang kemas seperti gallang (gelang besar), anting-anting, dan rantai turut melengkapkan penampilan ratu sehari. Warna-warna terang seperti kuning, hijau, merah, dan emas sering menjadi pilihan.

Upacara di Pelamin

 Semasa di atas pelamin, upacara menepung tawar (magpupul) dan merenjis air mawar dilakukan oleh ibu bapa, ahli keluarga terdekat, dan tetamu kehormat. Upacara sebagai simbol pemberian restu dan doa agar pasangan pengantin dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan. Kadangkala, ada upacara simbolik menyuap sedikit makanan atau minuman manis kepada kedua mempelai.

Persembahan Kesenian

Majlis persandingan tidak lengkap tanpa persembahan kesenian tradisional. Tarian Igal-igal, juga dikenali sebagai Pangalay oleh sesetengah komuniti merupakan tarian utama yang sering dipersembahkan. Penari-penari lelaki dan perempuan, dengan gerakan tangan dan badan yang lemah gemalai, menari mengikut irama muzik yang terdiri daripada kulintangan, gong dan gendang. Selain Igal-igal, terdapat juga persembahan muzik lain seperti gabbang , alat muzik xilofon buluh. Tarian dan muzik ini bukan sekadar hiburan, tetapi membawa makna budaya yang mendalam dan menyerikan suasana lagi.

Jamuan Makan

Para tetamu yang hadir akan dijamu dengan pelbagai hidangan tradisional Bajau dan juadah tempatan. Antara hidangan istimewa yang sering disajikan ialah kinilau (ikan mentah yang diperap dengan limau atau cuka dan campuran herba), putu (makanan ruji daripada ubi kayu yang diparut dan dikukus), kima (sejenis kerang besar), latok (rumpai laut) dan pelbagai jenis ikan bakar atau masak berkuah.

Peringkat Selepas Perkahwinan: Memulakan Kehidupan Baharu

Adat perkahwinan tidak berakhir dengan majlis persandingan semata-mata. Terdapat beberapa lagi amalan yang mengiringi fasa awal kehidupan pasangan pengantin.

Majlis Sambut Menantu (Maglami-Lami Manantu atau Ngendo’)

Biasanya, selepas beberapa hari majlis di rumah pengantin perempuan, satu majlis sambutan untuk pengantin perempuan akan diadakan di rumah keluarga pengantin lelaki. Majlis ini bertujuan untuk memperkenalkan pengantin perempuan secara rasmi kepada seluruh ahli keluarga dan sanak saudara pihak lelaki. Majlis ini juga sebagai tanda penerimaan dan penghargaan kepada ahli keluarga baharu.

Adat Tinggal Bersama Keluarga (Sumangat/Magsemangat)

Pada peringkat awal perkahwinan, telah menjadi kelaziman bagi pasangan pengantin untuk tinggal bersama keluarga pihak perempuan atau pihak lelaki untuk satu tempoh tertentu. Ini memberikan peluang kepada pasangan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga dan mendapat bimbingan daripada orang tua. Bagi masyarakat Bajau yang sangat mengutamakan ikatan kekeluargaan, amalan ini memperkukuh lagi hubungan antara kedua-dua keluarga.

Keunikan dan Aspek Simbolik dalam Adat Perkahwinan Bajau Pantai Timur

Adat perkahwinan suku kaum Bajau Pantai Timur kaya dengan simbolisme dan keunikan yang mencerminkan cara hidup dan pegangan mereka.

Semangat Kekeluargaan dan Gotong-royong

Setiap peringkat perkahwinan, iaitu persiapan hingga selesai majlis, memperlihatkan semangat kerjasama dan gotong-royong yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga. Semua akan menyumbang tenaga, masa, atau material untuk memastikan kelancaran majlis.

Kepentingan Laut

 Sebagai komuniti maritim, unsur laut seringkali terselit dalam adat mereka, sama ada melalui jenis hantaran, motif pada pakaian atau simbolisme dalam upacara. Kehidupan yang berkait rapat dengan laut membentuk pandangan dunia dan adat resam mereka.

Pantang Larang dan Kepercayaan

Pelbagai pantang larang (pali) perlu dipatuhi oleh bakal pengantin dan ahli keluarga untuk mengelakkan nasib buruk dan memastikan kesejahteraan. Contohnya, bakal pengantin mungkin dilarang keluar rumah tanpa tujuan penting atau pergi ke tempat-tempat yang dianggap “keras” sebelum majlis perkahwinan. Pemilihan hari dan waktu yang baik (kalammangan) untuk setiap upacara juga amat dititikberatkan.

Pengaruh Islam

Ajaran Islam telah sebati dalam kehidupan masyarakat Bajau. Ini jelas terlihat dalam upacara akad nikah, bacaan doa, dan nilai-nilai murni yang diterapkan. Walau bagaimanapun, pengaruh Islam tidak menghapuskan sepenuhnya amalan adat tradisi, malah wujud proses sinkretisme, iaitu adat dan agama bergerak seiring.

Variasi Subetnik

Perlu diakui bahawa walaupun terdapat banyak persamaan, mungkin wujud sedikit variasi dalam pelaksanaan adat antara subetnik Bajau Pantai Timur seperti Bajau Kubang, Ubian, atau komuniti di Semporna berbanding Lahad Datu atau Sandakan. Variasi ini menambah lagi kekayaan khazanah budaya suku kaum Bajau Pantai Timur.

Adat Perkahwinan Suku Kaum Bajau Pantai Timur: Kelestarian dalam Arus Pemodenan

Dalam era globalisasi dan pemodenan, adat perkahwinan tradisional suku kaum Bajau Pantai Timur Sabah menghadapi pelbagai cabaran. Pengaruh media, perubahan gaya hidup, dan faktor ekonomi sedikit sebanyak membawa kepada penyesuaian dan kadangkala peringkasan dalam pelaksanaan sesetengah upacara. Namun begitu, kesedaran mengenai kepentingan memelihara warisan budaya ini semakin meningkat. Banyak keluarga dalam kalangan suku kaum Bajau masih berusaha untuk mengekalkan elemen-elemen penting dalam adat perkahwinan mereka sebagai lambang identiti dan kesinambungan budaya. Generasi muda juga mula menunjukkan minat untuk mempelajari dan memahami adat tradisi nenek moyang mereka. Usaha-usaha dokumentasi oleh pihak kerajaan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta kajian oleh ahli akademik turut membantu dalam memelihara warisan ini.

Kesimpulan

Adat perkahwinan suku kaum Bajau Pantai Timur Sabah ialah satu cerminan kekayaan budaya yang kompleks, penuh dengan nilai-nilai murni, simbolisme, dan keindahan seni. Adat bukan sahaja menyatukan dua individu dalam ikatan suami isteri, tetapi juga mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan komuniti. Setiap peringkat, bermula merisik hingga selesai majlis persandingan, sarat dengan makna dan dilaksanakan dengan penuh tertib. Walaupun berhadapan dengan arus perubahan zaman, semangat untuk mempertahankan adat resam ini tetap utuh, memastikan bahawa warisan berharga ini akan terus hidup dan diwarisi oleh generasi akan datang, sekali gus memperkaya budaya Malaysia.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (14) #karyasastera (16) #komsas (2) #penulis (5) #penulisbaharu (17) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (10) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (19) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (9) puisi (26) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Beka
Cerpen

Beka

  • 5 Januari 2025
  • 211
  • 5
Abdul Halim “R”  dalam Kenangan
Tokoh

Abdul Halim “R” dalam Kenangan

  • 20 September 2023
  • 238
  • 4
Puisi Tentang Bahasa Alam
Puisi

Puisi Tentang Bahasa Alam

  • 20 Oktober 2024
  • 171
  • 4.4
ڤرينتهڽ
Puisi Moden

ڤرينتهڽ

  • 5 Oktober 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP