Wilayah Nusantara mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dan nilai budaya yang tersendiri. Nilai dan budaya yang dimiliki oleh sesuatu kelompok masyarakat merujuk kepada nilai budaya dan tradisi sesebuah masyarakat. Manakala, kreativiti penulisan seseorang pengarang pula berkait dengan lingkungan sosiobudayanya. Sasterawan, pengarang ataupun penulis mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terhadap perkembangan budaya sesuatu masyarakat. Dalam hal ini, tidak hairanlah jika pengarang cuba memaparkan pelbagai aspek kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Meskipun demikian, mereka masih tidak meninggalkan aspek kebudayaan nasional dan kebudayaan sejagat.
Bagi karya yang cukup besar, aspek pemikiran, kehidupan dan tradisi sesebuah masyarakat akan dapat dilihat menerusi karya tersebut. Kebudayaan dalam sesebuah masyarakat atau kelompok yang besar akan tetap berubah, sama ada perubahan itu datangnya daripada pemikiran kelompok itu sendiri ataupun pemikiran yang dibawa daripada kelompok yang lain. Demikian halnya tentang peristiwa yang terjadi di wilayah Nusantara. Sebuah wilayah mengandungi ribuan pulau dan setiap wilayah atau daerah tertentu pula mempunyai budaya dan identiti yang tersendiri.
Masyarakat di Nusantara juga telah wujud sejak ribuan tahun yang lalu. Sepanjang tempoh itu juga mereka telah berkembang dan mengekalkan tradisi masing-masing. Sesebuah masyarakat memiliki wilayah budaya yang tersendiri. Hal ini dapat dibuktikan dengan wujudnya wilayah budaya Melayu Kelantan, Melayu Kedah, Melayu Johor-Riau, Melayu Minangkabau, masyarakat Jawa, masyarakat Sunda, masyarakat Madura dan lain-lain lagi. Melalui bahasa dan budaya, suku bangsa tersebut berupaya menjaga identiti masyarakat mereka untuk jangka masa yang panjang. Keberadaan mereka sebagai sebuah masyarakat tetap wujud di tengah-tengah budaya nasional.
Justeru, pengarang sedaya upaya berusaha untuk memaparkan aspek budaya mereka. Kreativiti yang diperoleh sebahagiannya ialah hasil daripada alam dan pengalaman budaya setempat dalam masyarakat atau kehidupannya, kemudian dihasilkan dalam bentuk karya sama ada dalam bentuk puisi atau prosa. Latar sosiobudaya dapat dilihat melalui watak-watak yang dikemukakan, hal kemasyarakatan, kesenian dan kebudayaan yang terungkap dalam sesebuah karya sastera. Jadi, tidak hairanlah jika karya yang ditulis oleh pengarang cuba memaparkan kehidupan masyarakat tersendiri.
Masyarakat Melayu Kelantan juga sama seperti masyarakat Melayu lain yang sudah terdedah dengan sastera Melayu tradisional sama ada secara lisan atau bertulis. Hal ini saling berkait serta telah lama wujud dan kekal dalam masyarakat Melayu. Penceritaan sastera hikayat atau penglipur lara dikenali sebagai baghi dalam dialek Kelantan. Antara hikayat tersebut ialah Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Sulung Merah Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Terung Pipit, Hikayat Raja Muda, Hikayat Parang Puting, Hikayat Sang Kancil, Hikayat Pelanduk Jenaka dan Cerita Jenaka. Cerita-cerita hikayat ini telah sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu dan kemudiannya telah menerima pengaruh Hindu dan Islam, termasuklah dalam hal kesusasteraan. Penerimaan agama Islam juga mempengaruhi hikayat tentang kenabian dan tokoh sejarah Islam turut terdapat dalam karya sastera.
Tambahan pula, Kelantan sangat terkenal dengan kegiatan tradisi kesusasteraan yang bersifat lisan. Masyarakatnya sangat mencintai dan menyanjung tinggi hasil kesusasteraan lisan dan mereka juga turut sama-sama menghidupkan kegiatan tersebut. Antaranya ialah wayang kulit, makyung, main puteri dan dikir barat. Walaupun tradisi ini dianggap hanya untuk golongan bawahan, namun cerita yang dipaparkan telah diambil daripada cerita Mahabharata dan Ramayana. Kemampuan tok dalang dalam permainan wayang kulit membuatkan cerita ini sangat mudah untuk diingati dan dihayati oleh penonton. Hal ini membuktikan bahawa hasil kesusasteraan tulisan sama ada puisi atau prosa dapat diterima oleh sebahagian besar masyarakat, terutamanya yang mengenal tulisan Jawi atau Rumi.
Selain itu, unsur sosiobudaya dapat dilihat dalam penulisan cerpen karya Fatimah Busu dan S. Othman Kelantan. Kedua-dua pengarang ini berkecenderungan menggunakan unsur sosiobudaya masyarakat Melayu Kelantan dalam kumpulan cerpen Yang Abadi, Lambaian Tanah Hijau dan Keajaiban Alam. Cerpen-cerpen lain ialah Satu Lagenda Himpunan Bakawali, Nasinya Tumpah, Sampah Yang Hanyut, Bunga-bunga Pulau, Di Tebing Sebuah Sungai, Anak-anak Pasir Pekan dan beberapa tajuk lagi. Cerpen S. Othman Kelantan pula misalnya, Pahlawan Lembu dan Dedalu. Unsur kebudayaan ini dapat dilihat berdasarkan kosa kata yang digunakan, muzik, pakaian, tindakan, tingkah laku dan pandangan hidup masyarakatnya. Bahkan bentuk-bentuk kebudayaan yang lain misalnya pantun, pepatah, mantera, peribahasa, nyanyian lagu rakyat dan cerita legenda dapat dijadikan simbol atau perlambangan budaya yang tertentu.
Oleh hal yang demikian, sebuah antologi telah diterbitkan dan diberi judul Antologi Puisi Dialek Kelantan: Bbaghie. Antologi ini telah disusun oleh Abham T.R, Mazli Husma dan Mukhtar Mustafa. Antologi ini dianggap dapat memberikan satu kelainan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air, terutamanya dalam bidang penulisan sajak. Jika sebelum ini tidak dinafikan ada sasterawan Kelantan telah menzahirkan proses kreatif mereka dengan menggabungkan unsur kebudayaan Kelantan melalui bahasa kebangsaan, namun antologi puisi ini secara keseluruhannya menggunakan loghat Kelantan. Masyarakat Melayu Kelantan mempunyai beberapa tradisi lisan misalnya baghi, main puteri, bageh, nyanyian lagu rakyat dan pantun.
Tambahan pula, sastera lisan Kelantan merupakan susunan kata-kata lisan yang dipelajari secara tidak formal berkaitan pandangan hidup rakyat Kelantan tentang diri dan komuniti yang mewakili kebudayaannya. Tidak syak lagi sajak yang ditulis dengan menggunakan loghat Kelantan merupakan sebahagian transformasi sastera lisan kepada bentuk sastera tulisan. Meskipun sajak pada asalnya daripada sastera Barat, namun sasterawan Kelantan mampu meletakkan sajak berloghat Kelantan sebagai lambang jati diri orang Kelantan. Hal ini bermakna sajak yag ditulis dalam loghat Kelantan dapat menyuluh akal budi orang Kelantan. Lahirnya antologi ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang besar kepada ahli lingustik, antropologi, ahli budaya, pengkaji bidang kesusasteraan dan psikologi untuk mengenali seni budaya orang Kelantan.
Penulis percaya beberapa karya yang dihasilkan mempunyai nasihat tertentu yang ingin disampaikan oleh pengarangnya dan pembaca akan dapat mengambil sesuatu yang berharga untuk digunakan dalam kehidupan. Tidak syak lagi karya ini dapat menjelaskan pembentukan keperibadian dan perwatakan jati diri Kelantan bahkan sarat dengan ciri-ciri keislaman dan kebangsaan. Sepintas lalu, penulis mendapati bahawa terdapat sepuluh pemikiran yang ingin diungkapkan oleh pengarang. Lapan daripadanya mengandungi ciri-ciri khas sosiobudaya orang Kelantan, termasuklah kekentalan cara hidup yang berteraskan ajaran wahyu, kesungguhan anak Kelantan terlibat dalam bidang perniagaan sama ada di Kelantan atau di luar Kelantan, kehidupan sebagai perantau, pengalaman musim banjir, rasa kebersamaan yang berteraskan tanah kelahiran tanpa mengira agama dan keturunan, kehidupan dalam dunia seni dan permainan tradisional. Unsur sejagat pula berkaitan norma baharu ekoran wabak penyakit yang melanda negara dan kasih sayang sesama ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan. Falsafah hidup dalam masyarakat seperti budi bahasa (pemikiran), budi pekerti (kesantunan), budi bicara (toleransi), hati budi (kesucian hati) dan akal budi (kewarasan) dapat dinilai menerusi antologi ini.
Berdasarkan kepada contoh-contoh di atas jelaslah bahawa unsur budaya dan tradisi yang dimiliki oleh masyarakat tertentu mendapat tempat yang istimewa di hati penulis. Kenyataan ini dapat dilihat menerusi aspek perbendaharaan kata, struktur ayat, kosa kata yang tertentu serta peristiwa yang digarap oleh pengarang. Unsur-unsur tersebut juga turut dijumpai dalam perkembangan kesusasteraan moden di Brunei, Singapura dan Indonesia. Perkembangan ini dapat dilihat sejak zaman awal perkembangan kesusasteraan moden, iaitu pada awal abad ke-20 sehingga kini. Hal inilah yang menjadi kunci mengapa karya yang lahir daripada pengarang harus dijelaskan berdasarkan kepada tradisi masyarakat tertentu.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada penyelenggara dan semua penulis yang terlibat dalam penghasilan antologi ini. Mereka yang dimaksudkan ialah Rusdi Mohamad Noor, Faezah Ibrahim Fz-i, Seri Membunga, Azhar Mohd Yusoff, Huzaini Harun, Ummi Hasni, Anuar Salleh, Meriam Hashim, Mak Yas Hussin, Nasri Rahim, Abdul Aziz Ali, Safura Azzahraa, Nasriah Deraman, Mukhtar Mustafa, Abham T.R, Oui bin Sal, Mazli Husma, Nor Rul ‘Aini Mahmood, Hasrin Tahir, Tengku Norashikin Raja Hussin, Che Masruddin Muhammad, Shairazi Haji Mohammad, Mommy Widad dan Zurina Azmi.