Skip to content
Antologi Sajak Tongkat Putih: Peluang, Tuntunan dan Impian
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Antologi Sajak Tongkat Putih: Peluang, Tuntunan dan Impian
Antologi Sajak Tongkat Putih: Peluang, Tuntunan dan Impian
Bicara Sastera

Antologi Sajak Tongkat Putih: Peluang, Tuntunan dan Impian

  • Intan Zubaidah
  • 20 September 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 7
  • 5

BALAI BUDAYA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah menjadi saksi tangis haru semasa Antologi Sajak Tongkat Putih: Di Daerah Ini, dilancarkan pada 31 Julai 2025 yang lalu. Sebanyak 107 buah sajak nukilan 14 orang penulis tunanetra telah dimuatkan dalam antologi ini. 

Pelancaran antologi ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi buku pertama yang diusahakan oleh Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak. Persatuan yang ditubuhkan sejak 1960 ini adalah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berfokus untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan masalah penglihatan di negeri Sarawak. Sejak lebih 60 tahun yang lalu, persatuan ini telah merangka serta melaksanakan program-program yang meliputi bidang pendidikan, pemulihan, latihan vokasional, pekerjaan dan integrasi sosial.

Penglibatan kumpulan Penulis Tunanetra dalam bidang penulisan kreatif bermula dengan Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak anjuran Jawatankuasa ICT & Braille dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak. Seramai 10 orang penulis telah menyertai bengkel ini untuk menuntut ilmu asas penulisan kreatif genre cerpen serta puisi.

Projek buku antologi ini pula awalnya disebut sebagai Projek Telok Melano. Para penulis tunanetra telah berkampung selama tiga hari dua malam di Union Yes Retreat Resort, Lundu pada Oktober 2020 sebagai sebuah destinasi pelarian daripada kesibukan kota raya untuk menghasilkan sajak. Ketika itulah hampir sebahagian besar sajak yang terkandung dalam antologi ini dihasilkan.

Melalui bimbingan Encik Jais Sahok dan Dr. Siti Nur Hidayah Abdullah, para penulis tunanetra dicabar untuk mengarang sajak dalam pelbagai tema. Kerja fikir para penulis terus didorong untuk mengarang dengan memulakan sajak daripada segala sesuatu yang berada di sekitar mereka.  

Pada titik inilah tercetusnya ilham untuk menjadikan tongkat putih sebagai tema antologi. Tongkat putih ialah alat bantu yang menjadi lambang kemandirian bagi golongan masalah penglihatan. Kepentingannya terhadap golongan ini  dirasakan patut dijadikan sebagai jambatan untuk menyebarluaskan kesedaran terhadap potensi dan kebolehan golongan ini dalam kalangan masyarakat.

Alat bantu yang berfungsi untuk mengenal pasti halangan semasa berjalan ini dibahas dari pelbagai sudut pandang para penulis. Pendidikan, pekerjaan, kasih sayang, cita-cita serta kehidupan — digaul sebati bersama perasaan, pemikiran mahupun perjuangan dalam sebuah pertukangan sajak yang bermakna. 

Sekadar menyenaraikan sajak yang terkandung di dalam antologi ini termasuklah sajak “Tongkat Putih” nukilan Haspha Mya. Sajak ini menzahirkan hubungan mendalam antara individu tunanetra dengan alat yang membantunya melangkah merentas batas impian dan kenyataan yang getir. Ia menjadi lambang kekuatan serta harapan dalam mengharungi liku-liku kehidupan.

Sajak “Tongkat Putih Sahabatku” karya Fatimah Sun pula menyanjung tongkat putih sebagai keteguhan semangat tunanetra lebih daripada sekadar alat bantu. Penulis menolak persepsi simpati yang sering dilabel kepada kecacatan yang dialami dan menegaskan bahawa golongan tunanetra mampu mencapai kejayaan yang tinggi bahkan sehingga berdiri megah di mata dunia.

Seterusnya, sajak “Pertemuan Dua Tongkat” karya Azizie Suip. Sajak ini menceritakan pertemuan awal sebuah hubungan. Isyarat-isyarat komunikasi yang menyatukan dua jiwa. Sebuah pertemuan yang sempat mengukir kebahagiaan sebelum kembali ke ruang kenangan yang tidak mampu untuk dilupakan.

Nadiya Zara juga menulis sajak bertema tongkat putih dengan judul “Menapak di Tengah Jalan Raya Kota”. Pada sajak ini ada kesungguhan dalam mencari rezeki yang ingin diketengahkan. Bahkan sajak ini turut menyentuh tentang usaha golongan tunanetra yang turut berada antara hiruk-pikuk kota demi mencukupi keperluan diri.

Perjalanan mengumpul sajak diteruskan dalam beberapa penganjuran bengkel berikutnya. Jumlah penulis yang terlibat juga semakin bertambah. Biarpun nama-nama penulis ini sempat bersilih ganti kerana beberapa orang penulis tidak meneruskan minat menulis mereka, bakat-bakat baharu terus dicari bagi menggantikan kelompongan yang ditinggalkan.

Sementara itu, kumpulan Penulis Tunanetra meneruskan kerja kreatif mereka dengan mempersembahkan Pentas Manifestasi Seni Pusi: Harapan Kami pada Februari 2023. Skrip deklamasi lakon yang disusun oleh Encik Ja’afar Hamdan, Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak pada waktu itu, telah diambil daripada manuskrip antologi ini. 

Bagi menjayakan pementasan tersebut, kumpulan Penulis Tunanetra telah merekrut penyanyi, penyair dan pemuzik tunanetra hingga terbentuknya kumpulan Tongkat Abyad. Perkataan abyad diambil daripada kosa kata bahasa Arab yang membawa maksud putih. Kumpulan ini diwujudkan sebagai sebuah peluang kepada kumpulan Penulis Tunanetra untuk meneroka lebih banyak peluang dalam dunia seni persembahan.

Hasil pementasan tersebut, sebuah mini album bertajuk Tongkat Abyad: Di Daerah Ini, telah dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Puan Dayang Mariana binti Haji Awang Bolhasan. Sebanyak enam buah sajak daripada manuskrip  antologi ini telah digubah menjadi lagu. Antaranya ialah sajak “Pelangi” nukilan Jee Kouk An dan sajak “Percaya” karya Intan Zubaidah.

Antologi ini juga sempat mengalami penolakan kerana kurang menonjolkan sisi ketunanetraan dalam jiwa sajak. Justeru, manuskrip antologi ini telah dicadangkan untuk diterbitkan sebagai kumpulan puisi remaja. Walau bagaimanapun, penyebab penolakan telah menjadi sumbu yang menyalakan api semangat baharu kepada para penulis. Menerusi bengkel pemurnian yang diaturkan oleh pihak Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, kualiti sajak-sajak dalam manuskrip tersebut telah dimurnikan dan ditambah baik.  Bengkel yang dijalankan selama dua hari di Bilik Wacana, DBP Cawangan Sarawak pada Julai 2024 ini telah mempertemukan para penulis,  penerbit (editor) serta pembimbing yang bertanggungjawab. Bukan calang-calang, pembimbing yang dibawa oleh pihak penerbit — penerima S.E.A. Write Award, iaitu Encik Zaen Kasturi.

Di sinilah titik faham kepada pentafsiran sajak-sajak yang terhimpun dalam manuskrip tersebut mulai jelas. Para penulis sebenarnya bukan tidak meletakkan jiwa tunanetra pada sajak mereka, sebaliknya jiwa yang disematkan dalam karya tersebut ialah jiwa dan rasa yang sama yang dirasakan oleh manusia normal. Sesuatu yang mungkin sukar difahami disebabkan oleh kewujudan narasi simpati atau kesedihan yang selalu digambarkan tentang golongan tunanetra dalam kalangan masyarakat.

Beberapa karya seperti sajak “Kasih Ibu” oleh Nur Alina Semulih, tidak secara langsung menyebut tentang tunanetra. Namun begitu, sajak ini ditulis tulus oleh seorang anak yang melampiaskan rindu kepada ibu yang telah pergi selamanya. Sudah pasti perasaan rindu seorang anak yang ditumpahkan dalam sajak ini ialah rasa yang sama yang dialami oleh semua anak di dunia lantas menyebabkan sajak ini tidak terasa seperti sajak dengan jiwa tunanetra, padahal penulisnya ialah seorang tunanetra.

Selain itu, sajak “Luka Senja” oleh Nurhidayu Mohmad Jamil, merupakan suatu bentuk luahan seorang hamba. Sajak ini ditulis dengan perasaan sedih yang seakan-akan tidak berkesudahan hingga membekaskan luka batin yang begitu dalam. Di sebalik keheningan, rindu dan air mata, kehadiran Tuhan telah menghadiahkan ketenangan lalu meredam hati yang lelah. Suatu bentuk syukur dan kelegaan yang akan dirasakan oleh mana-mana hamba yang menjadikan sabar sebagai pelerai perasaan kecewa.

Selepas kesamaran jiwa ini mulai tampak nyata pada mata hati, sajak-sajak ini pun dibangunkan semula dengan bahan binaan yang lebih kukuh. Suntingan halus dicadangkan oleh Encik Zaen Kasturi tanpa mengubah jiwa sajak hingga akhirnya 107 buah sajak ini pun diterima untuk proses penerbitan sehingga antologi 145 halaman ini akhirnya berjaya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ilustrasi kulit buku antologi ini dilukis oleh Saudari Shield Sahran, antara penulis muda yang prolifik di Sarawak. 
Ilustrasi buku ini menggambarkan burung origami dengan sayap terbuka yang seolah-olah terbang ke arah cahaya bersama tongkat putih di paruhnya. Gambaran ini merujuk filosofi tentang kebebasan serta kemandirian. Burung origami ialah lambang kepada impian yang diterbangkan tinggi oleh para penulis. Bersama tongkat putih yang sentiasa digenggam, diyakini mampu membawa mereka ke arah impian tersebut. Tubuh burung origami yang diletakkan titik-titik Braille, menggambarkan karya-karya yang dihasilkan.

Jika semua jalan fikir ini diceritakan dalam satu perenggan, maka ia akan menjadi seperti ini: seekor burung origami membawa karya-karya pada tubuhnya, terbang tinggi sebagai impian dengan tuntunan tongkat putih menuju ke arah sinar kejayaan.

Ilustrasi kulit buku ini juga dicetak pada baju yang dipakai oleh kumpulan Penulis Tunanetra semasa Wacana Jelajah Seni Tunanetra 2025 dengan tema “Seni Tanpa Sempadan: Menggali Potensi Kreatif Tunanetra”. 

Yang Berhormat Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak telah menyempurnakan pelancaran buku Antologi Sajak Tongkat Putih: Di Daerah Ini dengan jayanya. Tepukan gemuruh hampir 300 orang yang hadir menyambut debaran para penulis ini dengan penuh syukur.
Selepas majlis pelancaran, seramai lima orang pendeklamator tunanetra telah mempersembahkan gabungan lima buah sajak daripada antologi tersebut sebagai sebuah jalan cerita.

Sajak “Teman Hidup” oleh Azreen Azirah, sajak pembuka yang merupakan monolog penulis tentang kehidupan seorang tunanetra. Dilanjutkan dengan sajak “Tongkat Putihku”, Menuntun Langkah dan Waktu” karya Ajai yang menceritakan tentang perjalanan yang akan membayar cabaran dengan kedewasaan. Sajak seterusnya berjudul “Perjuangan Tunanetra” nukilan Maoh Janting yang menyuarakan keinginan seorang tunanetra untuk mengajak komunitinya agar terus yakin mengejar impian. Disambut oleh sajak Dayangku Aisah Awg. Taha bertajuk “Menelusuri Waktu” yang dikarang dengan harapan murni agar masyarakat memberi peluang kepada golongan tunanetra untuk mendapatkan kehidupan yang lebih leluasa. Persembahah ini ditutup dengan sajak “Di Daerah Ini”, karya Adzohari Jamil yang kemudiannya dinyanyikan sebagai lagu puisi oleh Zahier Rasdi.

Sajak “Di Daerah Ini” nukilan Adzohari Jamil dipersetujui untuk dijadikan sebagai tema antologi serta mini album kerana kekuatan maknanya. Bait-bait sajak ini menyimpulkan perjuangan dan hasrat seorang tunanetra yang tekad membukakan jalan kepada rakan seperjuangannya untuk terus maju ke hadapan. Baik dibaca sebagai sajak atau didengar melalui melodi lagu puisi, coretan ini terasa begitu ikhlas dan menyentuh sanubari. Ia sangat tepat untuk menyokong antologi ini selaku gerbang dunia yang lebih terbuka untuk pengkarya tunanetra yang dikurniakan potensi terpendam. Dunia tanpa sempadan yang tidak dapat dibolosi meskipun dengan kekurangan fizikal.

Akhir sekali, setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang telah menuntun kumpulan Penulis Tunanetra hingga terhasilnya antologi ini. Pembimbing yang memimpin tangan mata pena penulisan kepara pengkarya, pihak penerbit yang membuka kunci peluang serta individu-individu mahupun badan kerajaan atau perseorangan yang telah menghamparkan karpet merah sokongan di sepanjang perjalanan kumpulan ini.

Sekalung tahniah juga kepada para penulis atas air mata sabar serta peluh usaha yang telah ditumpahkan demi menghantar mimpi antologi ini sampai ke muara kenyataan. Semoga antologi ini akan menjadi tongkat putih yang akan membawa lebih ramai pengkarya tunanetra sampai ke jalan impian mereka.

# #Tunanetra# penulis sarawak
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (16) #komsas (2) #penulis (5) #penulisbaharu (18) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (10) dbpcawangansabah (7) dbpcawangansarawak (19) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Esei (2) Gurindam (4) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Puisi Tradisional (2) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Dengan Sepatah Kata
Puisi

Dengan Sepatah Kata

  • 5 Ogos 2024
  • 98
  • 4.7
Selamat Malam Cinta Pertama
Puisi

Selamat Malam Cinta Pertama

  • 6 Mac 2024
  • 145
  • 4.7
Laras Bahasa Sains dalam Habuk Bintang
Bicara Sastera

Laras Bahasa Sains dalam Habuk Bintang

  • 20 Februari 2025
  • 152
  • 5
ممڬڠ امانه
Puisi Moden

ممڬڠ امانه

  • 20 Januari 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP