Ranah industri perbukuan tanah air semarak dengan wujudnya anugerah-anugerah sastera dan persuratan Melayu. Anugerah ini diberikan oleh pihak berautoriti yang cinta akan sastera, budaya dan seni, yang menjadi harta intelek pengarang dan harus dipelihara sebagai khazanah bangsa. Di Malaysia, Anugerah Sastera Negara ialah pengiktirafan peringkat tertinggi yang dikurniakan kepada tokoh-tokoh sastera yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Manakala bagi peringkat negeri pula, beberapa negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan anugerah sastera yang dinaungi oleh kerajaan negeri dan agensi kerajaan. Sebahagiannya dikendalikan juga oleh badan bukan kerajaan seperti persatuan-persatuan penulis.
Penganugerahan sastera pada peringkat negeri kini semakin rancak. Anugerah Sastera Kelantan yang sekian lama menghilang, dihidupkan semula sekitar tahun 2019. Anugerah Sastera Darul Aman pula memeriahkan dunia susastera pada 2022, dengan mengiktiraf penulis kelahiran negeri Kedah. Khabarnya, pengiktirafan ini akan diteruskan pada setiap tahun. Hadiah Sastera Darul Iman pula memberikan keyakinan kepada penulis Terengganu untuk menyemarakkan dunia sastera Terengganu. Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan tidak kurang hebatnya, apabila mengangkat karyawan terbaik Negeri Sembilan yang prolifik dalam bidang penulisan. Serentak itu juga, mengiktiraf media massa yang seiring memberikan sokongan terhadap karya setempat. Hadiah Sastera Selangor pula lebih fleksibel apabila memberikan peluang kepada pengarang seluruh negara yang karyanya tersiar di akhbar Selangor Kini untuk layak dicalonkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Selangor. Di Sabah pula, Anugerah Sasterawan Negeri Sabah membuka pencalonan kepada anak kelahiran Sabah dan karyawan luar yang bermastautin di negeri Sabah untuk diiktiraf karyanya. Anugerah Sastera Johor pula sehingga kini masih bertahan dan dinanti-nantikan oleh segenap karyawan Johor.

Mutakhir ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menganjurkan Anugerah Persuratan Selatan (APS) bagi mengiktiraf karya dan karyawan Johor dan Melaka yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang penulisan persuratan Melayu. APS menjadi projek perintis pada tahun 2021 dan dilaksanakan secara dwitahunan bagi memberikan peluang dan persediaan kepada karyawan untuk membuat persiapan yang sewajarnya untuk mencalonkan karya masing-masing.
Sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Pelan Strategik DBP yang berhasrat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu, maka APS dilaksanakan dengan jayanya sebagai pengiktirafan, penganugerahan dan penghargaan kepada karyawan bahasa, sastera dan penerbitan. APS bukan sekadar memberikan pengiktirafan kepada pengkarya malahan sebagai salah satu usaha DBPWS menyebarluaskan kandungan persuratan Melayu dengan menghebahkan pengiktirafan ini kepada media dan masyarakat. Karya terbaik yang dipilih sebagai penerima anugerah akan dijadikan rujukan bacaan kepada khalayak pembaca.

Lapan kategori telah dipertandingkan dalam APS, meliputi Citra Sastera dan Citra Bahasa. Bagi kategori Citra Sastera, lima kelompok karya sastera dipertandingkan, iaitu novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, skrip drama pentas dan buku bergambar kanak-kanak. Manakala bagi Citra Bahasa pula mempertaruhkan kategori laporan tahunan jabatan, buletin jabatan dan majalah sekolah. Sastera dan bahasa berjalan seiring dengan penulisan dan penerbitan. Ini akan memantapkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam kalangan pengarang sekali gus menggalakkan penerbitan dokumen rasmi dalam bahasa Melayu.


Pencalonan APS berdasarkan karya yang telah terbit pada dua tahun sebelum tahun penilaian. Hal ini menepati hasrat DBP untuk menggalakkan penulis Johor dan Melaka menghasilkan karya yang bermutu tinggi serta merancang penerbitan karya mengikut ketetapan genre. Pengarang perlu mendapat suntikan semangat sebagai galakan untuk terus bertapak dan relevan dalam dunia penulisan, sekurang-kurangnya untuk menempah nama pada peringkat kebangsaan dan Asia. Penganugerahan ini juga memenuhi aspirasi kerajaan dalam mendidik masyarakat untuk menghayati dan menghargai naskhah karyawan tempatan yang mempunyai nilai dan diiktiraf oleh DBP, sekali gus menarik minat lebih ramai penulis untuk menerbitkan karya sama ada dalam bentuk buku bercetak atau e-buku.


Pengiktirafan dan penghargaan secara dwitahunan anjuran DBPWS ini ialah satu langkah proaktif DBP untuk mengimarahkan dunia persuratan kebangsaan sekali gus menggalakkan karyawan tanah air terutamanya karyawan Johor dan Melaka melaksanakan kerja penulisan dan pendokumentasian secara aktif dan konsisten. Pengiktirafan yang diberikan ini menjadi nilai tambah pada karya yang menang untuk diangkat ke wadah yang lebih berprestij seperti Anugerah Sastera Negara, SEA Write Award, Hadiah Komanwel dan Hadiah Nobel Kesusasteraan. Karya yang bermutu akan dicari, dibeli dan dibaca oleh masyarakat. Pengiktirafan pada peringkat negeri ini mampu menjadi kayu ukur atau prasyarat untuk naskhah tersebut dikomersialkan dan dipersembahkan ke peringkat yang lebih tinggi.



DBPWS dan seluruh warganya sentiasa bersedia menyantuni para karyawan Johor dan Melaka untuk terus mewarnai persada persuratan Melayu dengan kepelbagaian bahan terbitan yang berkualiti tinggi. Galakan ini secara tidak langsung mendekatkan para karyawan dengan DBP sekali gus menempatkan karya yang memenangi anugerah ini sebagai pilihan pembaca. DBP telah melaksanakan tanggungjawab sosial kepada para karyawan khususnya di selatan tanah air apabila mengadunkan elemen bahasa dan pustaka dalam persuratan Melayu bagi mendorong lebih ramai pengarang muda yang lahir di bentala ini. Walaupun sasterawan lahir sebelum kewujudan DBP namun untuk melahirkan generasi berilmu yang membudayakan penulisan sastera dan bahasa, tidak dalam sekelip mata. Malaysia perlu mempunyai sasterawan dan pemikir yang mempunyai falsafah pemikiran yang tinggi dalam segenap karyanya sehingga namanya menjadi sebutan, seperti Hamka.