“Bahasa kebangsaan ibarat roh kepada jasad, tanpa bahasa kebangsaan, negara ibarat jasad tanpa roh.”
DEMIKIANLAH kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama, mengibaratkan negara tanpa bahasa seperti sekujur mayat – kaku, tidak berdaya dan tiada makna.
Alegori persis ini juga menggambarkan dua entiti yang bertaut erat, iaitu “bahasa kebangsaan” dan “institusi kenegaraan”. Kelahiran sesebuah negara atau masyarakat pasti beriringan dengan kelahiran sesuatu bentuk bahasa. Hakikatnya, realiti itu dapat kita lihat pada sekalian banyak tamadun manusia purba. Baik tamadun Yunani dan Greek dengan bahasa Koine Greek pada inskripsi puing-puing dewata di pergunungan Olympus; enam peringkat bahasa Mesir Purba yang bermula semenjak 2600SM, atau aksara pepaku (cuneiform) bahasa Ariya pada cap mohor dan batu bersurat daripada tanah liat zaman Raja-raja Archeamenid, tamadun terawal Parsi. Jelas sekali, kesemua empayar besar yang pernah terbina dalam sejarah peradaban manusia tentunya mempunyai satu bentuk bahasa yang paling tinggi kedudukannya dalam pentadbiran (Sariyan, 2010).
Kewujudan bentuk bahasa ini nyata membuktikan bahawa “bahasa” dalam mana-mana tamadun manusia sekalipun sangat penting bagi segenap ranah kenegaraan, sama ada soal perjalanan pentadbiran, pemujaan keagamaan, undang-undang atau wacana keilmuan. Oleh sebab itu, tidak sedikit pakar-pakar sejarah menjadikan penemuan bentuk-bentuk bahasa tinggi sebagai antara pengukur standard era kegemilangan sesebuah peradaban. Bahkan, sebenarnya, hubungan antara bahasa dan kegemilangan negara itu, malahan berterusan hingga pada era pascamoden. Selain itu, jika kita bandingkan dua terminologi, iaitu bahasa tinggi dengan ‘bahasa kebangsaan’, kita akan dapati kedua-duanya bersifat selari, paling tidak pun sama sinonim.
Dalam erti kata lain, sebagaimana pentingnya bahasa-bahasa tinggi terhadap sistem kenegaraan tamadun-tamadun terdahulu yang menjadi lambang kekuasaan besar, ketertinggian ilmu pengetahuan misalannya, sepenting itu jugalah bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara-negara moden.
Begitu jualah Malaysia. Sebagai sebuah negara madani, negara ini tidak dapat lari daripada realiti yang serupa dengan tamadun lampau. Malahan, lebih dekat lagi, pengalaman kerajaan-kerajaan Melayu Nusantara lampau juga telah mempamerkan hubungan erat antara bahasa dengan ketatanegaraan melalui bukti-bukti sejarah pada masa itu yang sekali gus memperlihatkan signifikannya bahasa Melayu. Hubungan ini dapat dilihat dari seawal-awal bentuk tulisan Pallava pada Batu Bersurat Kedukan Bukit (682 Masihi) yang menjadi catatan awal kelahiran kerajaan Melayu purba, Sriwijaya. Perkembangan ini berterusan sehingga menjelang abad ke-15 yang ditandai sebagai zaman keemasan bahasa Melayu apabila pemakaian bahasa ini tersebar luas dalam lapangan perundangan, institusi kenegaraan serta wacana histografi Melayu. Buktinya ialah kewujudan kitab-kitab seperti Hukum Kanun Melaka, Tajul Salatin, dan Sulalatus Salatin.
Menurut Samsu, Halim dan Sulaiman (2013), sejarah perjalanan jauh bahasa Melayu sejak tahun 650 Masihi sudah cukup menjelaskan wibawa bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada institusi ketatanegaraan dari zaman Melayu purba hingga ke era moden. Maka, catatan lampau kini menuntut komitmen kita generasi seterusnya untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan khususnya kerajaan melalui pelaksanaan dasar, akta mahupun perundangan kecil kerajaan tempatan.
Dalam pada masa yang sama, tidak sedikit dalam kalangan ahli dan pejuang bahasa menzahirkan kegusaran berkaitan ketempangan pelaksanaan dasar-dasar bahasa. Kegusaran ini menyentuh isu pokok, iaitu kurangnya semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam menghayati dan bertanggungjawab ke atas bahasa kebangsaan mereka sendiri. Menurut Fadzillah (2021), berkait dengan hal demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 2012, berlandaskan pelan strategik DBP (2011-2015) mencadangkan satu program Audit Bahasa Melayu (ABM) terhadap sektor awam dan swasta. Oleh itu, dalam penulisan ini, penulis berhasrat menelusuri secara khusus aspek sejarah, falsafah dan keberkesanan ABM setelah hampir sembilan tahun pelaksanaan.
Sejarah Audit Bahasa
Sejarah pengauditan bahasa bertitik tolak daripada inisiatif Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Menurut beliau, titik mula idea beliau untuk melaksanakan dasar dan program ini adalah berpunca daripada kealpaan pelbagai pihak, hatta di peringkat kementerian dan jabatan pun, dalam soal tanggungjawab terhadap bahasa kebangsaan. Katanya, meskipun DBP melalui pelbagai jabatan begitu giat menjalankan sebegitu banyak program penataran dan pengembangan bahasa seperti kursus, ceramah hingga kepada menyusun, menyelenggara dan mengemas kini buku-buku rujukan bahasa, terutama di jabatan-jabatan kerajaan, namun perlecehan bahasa sebelum pelaksanaan dasar ini adalah tidak terkawal. Oleh sebab itu beliau melihat, usaha-usaha penataran dan pengembangan seperti kursus, ceramah sahaja masih tidak cukup. Pelengkap pada kesemua program itu tadi, adalah pengauditan bahasa untuk menilai keberkesanan kursus dan ceramah yang telah diberikan.
Namun, memperkatakan isu kekurangan semangat kebertanggungjawaban terhadap bahasa kebangsaan sebenarnya sebuah polemik yang hakikatnya telah berakar umbi sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan lagi. Rumusan dalam penelitian Adam (2014) mendapati, faktor-faktor seperti kepentingan politik dalam isu bahasa, skeptikalisme golongan berpendidikan Inggeris terhadap keupayaan bahasa kebangsaan, had peruntukan undang-undang serta kelemahan pendidikan bahasa Melayu yang berlaku semasa tahun 50-an dan 60-an telah mewariskan polemik bahasa Melayu hingga kepada generasi kini. Bahkan, sebilangan ahli akademik yang juga pakar bahasa dan politik tempatan berpendapat, polemik tentang pemartabatan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia tidak akan pernah berhenti, sebaliknya akan berterusan diwarisi dari generasi ke satu generasi mendatang (Abas, 1985; Bari, 2001; Ali, 2008; Deraman, 2014).
Oleh sebab itulah, Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan menjelaskan bahawa idea mewujudkan program ini sebenarnya telah dua kali dicadangkan semenjak tahun 2000 lagi, iaitu semasa beliau menjadi Pengarah Jabatan Bahasa. Kali pertama adalah ketika Kementerian Kebudayaan Warisan (pada ketika itu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) menubuhkan Bahagian Pembudayaan Bahasa di kementerian berkenaan. Kali kedua pula dalam persidangan beliau bersama bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat di Putrajaya. Namun begitu, kedua-dua percubaan tersebut menemui jalan buntu kerana belum mendapat sokongan di peringkat tertinggi negara meskipun diterima baik semua pihak.
Namun beliau tidak berputus asa. Pada tahun 2012, semasa dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP, beliau sekali lagi mencadangkan program berkenaan dengan memanfaatkan peranannya sebagai ahli panel penasihat Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara Fasa 2 (2011-2015). Akhirnya, berkat kecekalan setelah hampir 10 tahun, cadangan tersebut diterima untuk dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin, merangkap Menteri Pendidikan pada ketika itu. Ujar mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP itu, sebenarnya beliau terkejut namun gembira dengan ‘lampu hijau’ yang diberikan. Akhirnya, lampu hijau inilah yang membolehkan DBP diberi izin untuk masuk ke jabatan-jabatan kerajaan bagi melaksanakan pengauditan bahasa dan mencadangkan penambahbaikan.
Falsafah Audit Bahasa
Prinsip utama yang terkandung dalam program pengauditan bahasa adalah untuk melengkapi dasar-dasar bahasa kebangsaan. Kita sering bercakap tentang usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, namun kesemua itu hanyalah berbentuk seruan-seruan retorik semata-mata. Realitinya, perlu kita akui bahawa seruan-seruan itu jarang sekali diikuti dengan implementasi mekanisme-mekanisme yang digariskan. Pernyataan ini diperkuatkan dengan satu kajian di Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang meninjau penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan universiti berkenaan (Kasdan, Pa dan Kassim, 2015). Rumusan kajian mendapati bahawa penguasaan bahasa Melayu penjawat awam di universiti yang menjadi sampel kajian adalah pada tahap sederhana dan tidaklah terlalu membimbangkan, namun keadaan tersebut perlu diberikan perhatian khusus.
Falsafah tersirat dalam pengauditan bahasa sektor awam khususnya adalah untuk benar-benar berkehendakkan bahasa Melayu yang bermutu tinggi digunakan dalam urusan kerajaan. Amalan ini termasuklah memastikan penulisan dokumen rasmi seperti surat rasmi, laporan, minit mesyuarat, memo, termasuklah laman sesawang rasmi dan siaran media adalah tepat dari segi tatabahasa, pemilihan kata dan bentuk sintaksisnya.
Kawalan mutu bahasa ini sangat mustahak kerana agensi dan jabatan kerajaan inilah yang membawa nama baik sistem pentadbiran awam. Inilah bentuk memartabatkan bahasa kebangsaan yang jelas lagi tuntas, iaitu bukan sahaja menggunakan bahasa kebangsaan semata-mata, tetapi bentuk bahasa kebangsaannya tepat, cermat dan cekap.
Keduanya, ia juga berfungsi dalam kemajuan negara, khasnya dalam soal pembentukan jati diri rakyat Malaysia. Negara ini merupakan sebuah negara yang rencam budaya, agama dan sosioekonominya. Kepelbagaian ini jika tidak ditangani dengan penuh hemat akan membuka ruang kepada kelompok “ultracauvinis” untuk menimbulkan sentimen perkauman yang dikhuatiri mengancam nyawa sebagaimana berlaku dalam tragedi berdarah 13 Mei 1969. Oleh sebab itulah, masyarakat beraneka ini perlu diikat pada pancang-pancang penyatuan yang kita sebut sebagai Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perlembagaan dan perkara-perkara yang termaktub di dalamnya tidak terbentuk sekonyong-konyong. Perlembagaan lahir daripada perit jerih rakyat terjajah lagi tertindas, keringat para ibu bapa dan nenek moyang, berserta tumpah darah para pejuang terdahulu demi kemerdekaan anak cucu. Pada kemuncak perjuangan itu, tokoh-tokoh pemimpin lampau kita juga telah memilih untuk hidup bersama-sama meskipun menyedari sebesar-besar cabaran yang mendatang memandangkan usaha penyatuan rakyat ketika itu melibatkan rakyat yang datang dari tiga buah benua berjauhan, bahasa berbeza malahan budaya yang berlainan.
Menyedari akan hakikat ini, Perkara 152 di samping Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 merupakan salah satu sarana integrasi nasional yang berfungsi memancang perbezaan bahasa antara pelbagai kaum di Malaysia. Yang dikatakan sebagai bahasa kebangsaan adalah berkaitan dengan kebersamaan dalam semangat dan lebih penting, perkongsian pada jati diri yang akhirnya membentuk cerminan sebuah bangsa Malaysia. Pada pada masa yang sama, kita juga tentunya tidak mahu semangat bahasa kebangsaan itu dizahirkan tanpa berpandu. Hal ini bermaksud, bahasa yang digunakan hendaklah bersandarkan kepada sistem tatabahasa yang sempurna dan diiktiraf oleh badan bahasa negara. Maka di sinilah letaknya peranan pengauditan bahasa dalam melengkapi manifestasi semangat tersebut. Apabila jabatan–jabatan kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan yang tinggi mutunya, sudah tentulah integriti dan imej jabatan terpelihara.
Poin yang ketiga menyentuh aspek kelancaran pentadbiran. Istilah “pentadbiran” bermaksud menguruskan atau mengelolakan sesuatu pekerjaan dengan sebilangan cara untuk mencapai sasaran tertentu. Pentadbiran sesebuah agensi kerajaan contohnya, dianggotai oleh beberapa orang kakitangan. Kakitangan ini pula mempunyai latar belakang pendidikan, bahasa atau dialek serta yang ditekankan di sini budaya komunikasi yang berlainan. Maka, budaya komunikasi yang berbeza ini perlu distandardisasikan atau paling tidak pun mempunyai aturan-aturan tertentu untuk memandu ke arah komunikasi yang berkesan. Hal ini disebut oleh Sariyan (2021);
“Bayangkan sekiranya dalam sistem pentadbiran membenarkan penggunaan beberapa bahasa, maka akan berlaku keadaan kucar-kacir. Setiap agensi dan jabatan menggunakan bahasa yang pelbagai. Risikonya, rakyat akan berhadapan dengan keadaan yang sangat mengelirukan kerana berlaku halangan komunikasi antara dua pihak. Maka kerana itulah, bahasa standard dalam konteks rasmi melibatkan urusan mesyuarat, surat-menyurat adalah bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu”.
Keberkesanan Audit Bahasa
Sekiranya kita memperkatakan tentang impak audit bahasa Melayu, mungkin cara terbaik untuk menilainya adalah dari sudut pembentangan data, misalannya laporan-laporan audit oleh DBP. Walau bagaimanapun, impak yang lebih signifikan sebenarnya adalah tentang perubahan pada isu sikap, pemikiran serta resam melalui dasar audit bahasa ini. Kesedaran menggunakan bahasa kebangsaan yang tepat dan cermat perlulah diinsafi semua pihak, baik di peringkat pengurusan tertinggi sesebuah jabatan hinggalah keperingkat pelaksana terendah. Untuk rekod, kerajaan telah mengeluarkan sebanyak tiga pekeliling yang berkaitan bahasa kebangsaan seperti yang berikut;
(i). Surat Pekeliling Am Bilangan 1 (2006) – Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam;
(ii). Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 (2011) – Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, dan;
(iii). Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 (2020) – Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.
Ketiga-tiga surat pekeliling ini memperlihatkan tiga peringkat pemantapan bahasa Melayu dalam sektor awam, iaitu peringkat pertama memfokuskan kepada kemahiran bahasa kebangsaan yang tepat dan cermat dalam menjalankan fungsi-fungsi perkhidmatan seperti surat-menyurat dan perkhidmatan kaunter. Peringkat kedua ditegaskan lagi dengan penubuhan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam, penggunaan 100 peratus bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi dalam negara serta menyertakan terjemahan bahasa Melayu sekiranya melibatkan dokumentasi antarabangsa. Manakala, fasa ketiga pula memfokuskan pembinaan pegawai mahir yang diiktiraf sebagai munsyi muda bahasa, pengauditan bahasa kebangsaan dalam jabatan-jabatan serta galakan moral bagi kakitangan mempertingkatkan penguasaan bahasa mereka. Penekanan ini jelas memperlihatkan keberkesanan kedua-dua program tersebut yang dilihat memberikan impak yang sangat besar kepada kelancaran sistem perkhidmatan awam.
Kesimpulan
Bahasa kebangsaan adalah salah satu komponen utama untuk membentuk pembangunan berimbang atau dikenali sebagai pembangunan ekuitabel (Hashim dan Rodi, 2013). Sikap kita dalam menanggapi kemajuan negara ini haruslah saksama juga terhadap aspek kemajuan sahsiah dan identiti bangsa Malaysia. Tanpa kedua-dua bentuk kemajuan ini, tentunya kita akan membentuk sebuah masyarakat yang materialistik dan berbudaya hedonisme. Malahan, kita mungkin akan bergelumang sekali lagi dengan konflik etnosentrisme seperti tragedi yang telah berlalu. Maka secara spesifik bahasa sebagai salah satu pancang pembinaan sahsiah dan jati diri bangsa tidak wajar dikesampingkan apatah lagi oleh penjawat awam. Alangkah ironinya sekiranya pada masa Perlembagaan Persekutuan dan sebilangan banyak akta, terutama Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] bahkan pekeliling perkhidmatan awam menyeru kepada memartabatkan bahasa kebangsaan yang betul walakin seruan ini masih belum diinsafi sedalam-dalamnya dalam kalangan penjawat awam sendiri.
Penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat, cermat dan cekap tidak perlu dikelirukan dengan penggunaan bahasa basahan sehari-hari. Mungkin ada dalam kalangan kita berpendapat penekanan untuk menggunakan bahasa yang cermat ini kelihatan janggal pada norma-norma komunikasi harian. Pendapat tersebut adalah kurang tepat. Hal ini kerana, sebagai penutur natif atau setidak-tidaknya sebagai penduduk asal dalam wilayah penutur bahasa Melayu, kita sememangnya tahu membezakan konteks-konteks tertentu sepertimana konvensi masyarakat mengenakan pakaian yang bersesuaian untuk tiap-tiap program, contohnya acara rasmi, majlis perkahwinan, mengunjungi pengebumian sanak-saudara atau program-program santai. Maka, sudah tentulah dalam perihal penggunaan bahasa juga kita memiliki konvensi-konvensi yang serupa. Isu ini bersangkutan dengan dapatan daripada kajian Kasdan, Pa dan Kassim (2015) yang mendapati sosiokognitif atau bahasa mudahnya pengaruh-pengaruh persepsi sosial terhadap cara berfikir dilihat memberi kesan kepada persepsi penjawat awam terhadap usaha membudayakan bahasa kebangsaan yang tepat dan cermat.
Menyentuh kembali mauduk yang dibicarakan, program pengauditan bahasa dan pembinaan tenaga pakar, iaitu munsyi muda bahasa merupakan sebuah program pelengkap. Dalam pada itu, meskipun program Audit Bahasa Melayu ini mendapat kerjasama daripada beberapa institusi, antaranya kerajaan Perlis, Kedah, Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mencapai skor penuh lima bintang, namun ini tidak bermakna kita sudah boleh berpuas hati kerana masih ada agensi yang mendapat skala penilaian aras satu (Fadzillah, 2021).
Oleh sebab itu, alasan-alasan seperti “sudah lama gunakan cara tu”, “banyak lagi perkara lain perlu diberi perhatian” atau “selama ini tidak ada masalah pun menggunakan ayat itu” perlu dihapus kikis daripada pemikiran penjawat awam khususnya.
Rujukan
Adam, S. D. B. S. “Cabaran dan Reaksi Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Pentadbiran dan Pendidikan di Malaysia (1957–1966)” dlm. Procedia-Social and Behavioral Sciences, 134, hlm. 305-315, Mei 2014. Diperoleh daripada https:/ /www.sciencedirect.com/science/article/pii /S1877042814031632.
Abas, M. S. 1985. Unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Aziz Bari, A. A. 2001. Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan Masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ali, S. H. 2008. The Malays: Their Problem and Future. Petaling Jaya: The Others Press.
Awang Sariyan. [Dewan Bahasa dan Pustaka]. (2021, April 6). Saksikan Rancangan Peka Bahasa: Audit Bahasa [Video]. YouTube. Diperoleh daripada https://www.youtube.com/watch?v=EzJD 43qXlJ0&t=457s
Awang Sariyan, 2010. “Pemartabatan Bahasa Kebangsaan dalam Pembinaan Negara Bangsa”. Nota syarahan bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan IPG Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang, 25 Februari 2010. Diperoleh daripada https://www.academia.edu /16504276/PEMARTABATAN_BAHASA_KEBANGSAAN_DALAM_PEMBINAAN_NEGARA_ BANGSA_Prof_Dr_Awang_Sariyan.
Samsu, K. H. K., Halim, A. A., dan Sulaiman, M. H. 2013. “Keupayaan Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa” dlm. International Journal of The Malay World and Civilisation, 1(1), hlm. 55- 65. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/6393/1/IMAN1_4.pdf.