RATA-rata manusia mempunyai pemikiran berbeza, yang lahir daripada pandangan serta pendapat yang berbeza. Akal manusia menjadi medan utama bagi semua bentuk aktiviti berfikir manusia. Oleh itu, daripada akal akan terbentuknya pelbagai bentuk pemikiran manusia (Azhar Wahid, 2003).
Jaafar Rahim (2012) menjelaskan bahawa pemikiran merupakan hasil daripada sesuatu yang difikirkan, iaitu idea. Pemikiran juga dapat diungkapkan sebagai ideologi, iaitu hasil daripada sistem berfikir yang dibentuk oleh seseorang, sama ada seseorang itu ialah seorang pemikir, ahli falsafah atau sarjana, dan pemikiran tersebut menjadi pandangan dunia dan pegangan seseorang dalam kehidupan mereka. Perbezaan dan kepelbagaian pemikiran memberikan peluang kepada masyarakat untuk sentiasa berfikir dan bukan untuk menimbulkan pertelagahan antara satu sama lain. Akal yang menjadi punca wujudnya segala pemikiran, lazimnya dikaitkan dengan sifat intelektual seseorang manusia. Sifat intelek itulah dikaitkan dengan segala bentuk dan ragam fikiran dalam pelbagai jenis karya termasuklah peribahasa.
Peribahasa merupakan salah satu unsur kekayaan sesuatu bahasa dan bangsa dalam konteks warisan bahasa dan juga keterampilan pengguna bahasa. Ini kerana, ungkapan dalam peribahasa tersirat memiliki makna yang cukup mendalam bagi tujuan kelancaran komunikasi lisan mahupun tulisan. Menurut Abdullah Hussain (2017), peribahasa berasal daripada tiga sumber iaitu rakyat jelata yang mencipta peribahasa melalui pengalaman hidupnya, orang arif bijaksana mengeluarkan ungkapan kata hasil daripada renungan mereka serta bersumberkan kitab suci. Namun begitu, tiada siapa yang tahu akan tarikh peribahasa itu mula dicipta dan siapa pula pengasasnya (Kamarziyah Masri, 2005).
Peribahasa Melayu lahir daripada sifat orang Melayu yang menganggap bahawa penyampaian mesej secara terus dianggap kurang sopan melainkan ia disampaikan secara berkias atau berselindung.
Maka, dapatlah dilihat peranan semantik dalam menyampaikan maksud di sebalik peribahasa yang diungkapkan itu sangat penting. Kelahiran peribahasa adalah daripada pengalaman hidup yang telah ditempuh oleh masyarakat Melayu lama serta merupakan satu susunan bahasa yang indah dan menarik sifatnya.
Susunan bahasanya membawa pengertian yang bijaksana walaupun pada hakikatnya, kelahiran peribahasa Melayu hanya melalui medium pertuturan semata-mata. Susunan bahasa yang tersingkap melalui pertuturan itu digunakan sebagai pengajaran, perbandingan dan juga teladan dalam kehidupan seharian. Peribahasa Melayu juga adalah komunikasi berbentuk lisan yang melambangkan corak permikiran dan sifat orang Melayu. Peribahasa Melayu jelas menggambarkan kehalusan budi bahasa, seni fikiran dan sopan santun yang lahir daripada budaya masyarakat Melayu itu sendiri di samping cara penyampaian maksudnya yang berkias.
Menurut Abang Patdeli Abang Muhi (2018), peribahasa yang wujud dalam dialek Melayu Sarawak merupakan keanekaragaman budaya yang dapat memberi sumbangan positif kepada kekuatan kebudayaan kebangsaan, pengayaan peradaban Melayu. Menurutnya lagi, peribahasa merupakan wahana penting dalam kalangan orang Melayu Sarawak untuk merakamkan akal budi serta mengartikulasikan peradaban bangsa Melayu yang diungkapkan dengan susunan kata puitis secara tersirat.
Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011), terdapat lima katagori falsafah yang memaparkan pemikiran Melayu dalam peribahasa Melayu iaitu pemikiran tentang kewujudan (metafizik), pemikiran tentang ilmu pengetahuan (epistemologi), pemikiran tentang moral manusia (etika), pemikiran tentang penaakulan manusia terhadap alam ini (logik) dan pemikiran tentang keindahan (estetika). Justeru, penulis telah merungkai bahasa dan pemikiran dalam beberapa peribahasa Melayu Sarawak berdasarkan kategori falsafah tersebut.
Pemikiran tentang Kewujudan (Metafizik)
Aspek pemikiran Melayu tentang kewujudan melibatkan pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya. Pemikiran ini meliputi tentang akidah serta kepercayaan yang bertentang dengannya yang seharusnya dihindari oleh orang Islam. Antara peribahasa yang mengungkapkan pemikiran tentang kewujudan yang dapat dikaitkan dengan unsur keagamaan ialah “rejeki jangan ditulak” / rezeki jangan ditolak. Perkataan rezeki yang berasal dari bahasa Arab bermaksud pemberian Allah untuk keperluan hidup seperti makanan, tempat tinggal, ilmu mahupun nyawa.
Pemilihan perkataan ini dalam peribahasa, secara tidak langsung menunjukkan bahasa yang ada dalam pemikiran Melayu dan seterusnya menentukan pandangan mereka terhadap pencipta. Peribahasa ini membawa pengertian bahawa sekiranya mendapatkan sesuatu keuntungan (yang baik / halal) jangan disia-siakan. Setiap rezeki yang dikurniakan oleh Yang Maha Memberi Rezeki sama ada dalam kuantiti sedikit mahupun banyak seharusnya diterima dengan reda dan penuh kesyukuran. Kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah akan merasa kebahagiaan hidup dan telah dijanjikan akan ditambah lebih banyak nikmat seperti firman Allah dalam surah Ibrahim:7, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu”.
Pemikiran tentang Tingkah Laku dan Moral Manusia (Etika)
Antara peribahasa Melayu yang berkaitan dengan tingkah laku dan moral manusia ialah “dari palak jujuh ke bau” / dari kepala gugur ke bahu. Menurut Wan Junaidi Tuanku Bujang (2017) dalam buku Kosa Kata dan Peribahasa Melayu Sarawak, peribahasa tersebut bermaksud perangai yang tidak baik daripada ibu bapa biasanya akan diwarisi kepada anak-anaknya. Dalam kehidupan berkeluarga, bangsa Melayu telah mempraktiskan bahawa setiap ibu bapa merupakan suri teladan kepada anak-anak. Maka bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memberikan contoh yang baik dalam pembentukan peribadi anak-anak. Menurut Fatimah Abdullah menerusi Utusan Borneo (12 Februari 2017), ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kerana dalam konteks pembangunan manusia peringkat awal kanak-kanak, hubungan kekeluargaan kukuh bermula daripada ibu bapa kerana mereka merupakan individu yang paling dekat dengan anak-anak.
Pemikiran tentang Penaakulan Manusia Terhadap Alam (Logik)
Ilmu logik membantu kita melahirkan pemikiran yang jelas untuk penulisan atau pertuturan yang jelas. Pemikiran pula merupakan proses ke arah pencapaian kesimpulan berdasarkan bukti-bukti yang konkrit. Logik turut dapat dikaitkan dengan istilah bahasa Arab iaitu mantiq. Menurut Zaitul Azma dan Ahmad Fuad (2011) peribahasa Melayu yang mempunyai persoalan tentang logik ialah sesuatu yang mengaitkan fenomena alam keliling dengan usaha, usia, kebendaan dan kehidupan. Contoh peribahasa Melayu Sarawak yang berkaitan dengan pemikiran ini ialah “padi mula empirang” / padi mula menguning. Padi mula menguning menandakan padi hampir masak dan akan boleh dituai. Hal ini menunjukkan bahawa usaha yang telah digembleng sekian lama akhirnya telah membuahkan hasil. Melalui peribahasa ini jelas menunjukkan pemikiran bangsa Melayu yang telah menetapkan bahawa setiap perkara yang dilakukan memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dan membuahkan hasil. Secara logiknya, sebelum menuai hasil padi pelbagai proses mesti dilalui sebelum mendapat hasilnya. Begitu juga dengan realiti kehidupan, kita pasti akan dapat mencapai sesuatu yang diimpikan setelah berusaha dan bertawakal kepada Allah. Bertepatan juga dengan peribahasa Arab, “Man Jadda Wa Jadda” yang bermaksud “siapa yang berusaha, akan mendapat hasilnya”.
Pemikiran tentang Keindahan (Estetika)
Bruce Allsopp (1997), menganggap estetika sebagai ilmu pengetahuan yang mempelajari tentang proses mencipta karya seni yang mana hasil tersebut mampu menimbulkan kesan postif kepada orang yang melihat dan merasakannya. Zaitul Azma dan Ahmad Fuad (2011) pula, berpendapat estetika merupakan cabang falsafah ilmu berkaitan aspek keindahan dan cara seseorang merasainya melalui nilai sensitiviti yang dianggap sebagai penilaian terhadap sentimen dan rasa. Menurut mereka lagi, melalui peribahasa Melayu jelas terpancar nilai estetika melalui bahasa yang digunakan.
Berdasarkan pendapat Abang Patdeli Abang Muhi (2018), aspek keindahan dalam peribahasa Melayu Sarawak secara ketara dapat dilihat berdasarkan rima dan irama, sama ada unsur aliterasi mahupun asonansi, iaitu pengulangan huruf vokal dan konsonan yang boleh menunjukkan pelabagai rasa keindahan seperti kehalusan, kelembutan dan kemerduan bunyinya.
Antara peribahasa Melayu yang memperlihatkan unsur estetika ialah “belayar tapeh, betiang betis.” Tapeh dalam dialek Melayu Sarawak membawa pengertian kain sarung. Biarpun kehilangan kain sarung sekalipun, seseorang itu masih mampu untuk berdiri melakukan sesuatu selagi mempunyai kudrat. Peribahasa ini bermaksud keseorangan menyahut cabaran hidup tanpa bantuan orang lain. Melalui peribahasa ini jelas terlihat pengulangan bunyi yang sama pada suku kata awal perkataan pertama, ketiga dan keempat. Aspek keindahan tersebut bukan sahaja dapat dilihat daripada pengungkapan rima yang indah tetapi mempunyai maksud yang tersirat yang menggambarkan pemikiran bangsa Melayu itu sendiri yang rajin berusaha selagi masih tersisa kudrat tanpa mengharapkan ihsan sesiapa pun.
Jelaslah bahawa, peribahasa Melayu menyingkap secara tersurat dan tersirat akan pemikiran orang Melayu yang kreatif dalam berfalsafah untuk mengungkapkan perasaan, idea, pandangan, nasihat, pengajaran dan sebagainya.
Melalui penggunaan bahasa yang ringkas tetapi mempunyai nilai estetika yang tersendiri, sesuatu konsep yang dibina dalam pemikiran diterjemahkan dalam peribahasa yang tampak relevan dengan cara pemikiran bangsa Melayu itu sendiri.
Peribahasa Melayu juga merupakan konsep dalam pemikiran bangsa Melayu yang merujuk objek dan perlakuan secara benar dan bersifat objektif. Secara tidak langsung pelbagai ilmu, nilai, dan pendidikan dapat diterapkan melalui peribahasa Melayu.
Peribahasa Melayu masih berterusan digunakan sehingga kini untuk menyampaikan dan menerangkan sesuatu konsep, peristiwa, idea, teguran, nasihat, pengalaman hidup dan sebagainya. Maka adalah penting sesebuah kajian semantik mahupun kajian merungkai bahasa dan pemikiran tentang peribahasa Melayu dijalankan agar apa yang ingin disampaikan oleh nenek moyang kita yang mencipta peribahasa tersebut dapat difahami dengan sempurna serta penggunaannya tepat dengan konsep yang sepatutnya.
Tuntasnya, peribahasa Melayu merupakan satu susunan bahasa yang menarik, indah, berlapik serta memiliki ciri kehalusan budi pekerti pencipta peribahasa dan juga penutur yang menggunakannya. Rakaman pemikiran dan falsafah bangsa Melayu diungkapkan menggunakan bahasa dengan bersumberkan alam flora, fauna, benda dan semesta bagi menyampaikan teladan, perbandingan, pengajaran, sejarah, nilai dan peraturan hidup bagi membawa pengertian yang cukup mendalam (Zaitul Azma dan Ahmad Fuad, 2011). Hal ini jelas membuktikan bahawa peribahasa Melayu bukan sahaja mengandungi isi, kiasan dan ibarat yang tepat lagi tajam malah ungkapan kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat serta mempunyai nilai estetika yang tinggi.