Bahasa Melayu mendukung status yang tinggi. Semenjak tahun 1957, bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Mulai tahun 1971, bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Sebelum merdeka lagi, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah dan institusi pendidikan negara melalui pelaksanaan Penyata Razak (1956), diikuti oleh Laporan Rahman Talib (1961), Ordinan Pelajaran (1961) dan Akta Pendidikan (1996). Bermula daripada peringkat paling bawah sehingga ke peringkat paling tinggi itulah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan negara.
Bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam sistem kebahasaan di Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda bagi orang Melayu dan dituturkan sejak dari kecil lagi. Bagi orang bukan Melayu, bahasa Melayu menjadi bahasa kedua dalam urusan penggunaan tidak rasmi kerana mereka menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam perhubungan seharian. Namun begitu, bahasa Melayu menjadi bahasa utama untuk semua warganegara Malaysia disebabkan oleh tuntutan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan kebangsaan.
Malangnya, bahasa Melayu menghadapi masalah tentang penggunaannya walaupun pengisytiharannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan sudah mencapai usia lebih daripada enam puluh tahun. Masalah ini tidak sahaja terjadi dalam kalangan pengguna bahasa kedua atau ketiga, tetapi turut dialami oleh pengguna jati, iaitu orang Melayu sendiri. Segelintir pengguna yang bahasa ibundanya bahasa Melayu menganggap bahasa kebangsaan sangat mudah lalu mengambil enteng tentang penggunaan bahasa Melayu, manakala segelintir lagi warganegara berketurunan Melayu dan sebahagian daripada pengguna bahasa yang bukan daripada kalangan orang Melayu memandang rendah tentang keupayaan bahasa Melayu. Sebagai akibatnya, mereka lebih selesa meminggirkan bahasa kebangsaan.
Dakwaan bahawa bahasa kebangsaan itu mudah digunakan mungkin berdasarkan situasi bahawa ramai yang dapat berbahasa Melayu. Orang bukan Melayu juga dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya tidak mengambil kira ketepatan hukum standard bagi penggunaan bahasa Melayu. Hal ini kerana, bahasa kebangsaan dipengaruhi oleh bahasa pasar dan bahasa basahan dalam kebanyakan urusan tidak rasmi dan lazimnya penggunaan bahasa campuran atau bahasa rojak dapat kita lihat secara ketara dalam urusan rasmi. Jadi, untuk berbahasa kebangsaan dengan betul tidaklah senang seperti yang kita fikir. Tidak tepat juga untuk kita katakan bahawa sesuatu bahasa itu mudah sekiranya peraturan bahasa itu tidak dipatuhi.
Penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul dapat dikenal pasti daripada pengucapan dan penulisan seseorang. Hal ini dapat dikesan melalui percakapannya dalam sesi wacana yang disiarkan di media massa atau media sosial. Kelemahan bahasa dalam urusan rasmi juga dapat dilihat dalam penulisan surat rasmi, memorandum dan laporan. Selain itu, banyak juga kesalahan bahasa dapat dikesan melalui penulisan papan tanda di premis perniagaan, penulisan artikel dalam akhbar, majalah dan media sosial.
Di alam pendidikan pula, kebanyakan pelajar masih gagal menggunakan kata, frasa, klausa dan ayat yang betul. Lambakan kesalahan bahasa dikenal pasti semasa guru memeriksa latihan pelajar dan juga semasa pemeriksaan kertas peperiksaan awam, sama ada di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Sebagai contoh, pelajar STPM tidak dapat mengenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan yang dikemukakan pada soalan analisis kesalahan bahasa, malahan ramai yang tidak dapat memberikan sebab berlakunya kesalahan dengan tepat walaupun mereka mampu mengenal pasti kesalahan tersebut. Situasi begini dialami sendiri oleh penulis semasa berkhidmat sebagai Guru Akademik Bahasa Melayu STPM. Hal ini tidak patut terjadi kerana pelajar STPM diajar tentang hukum tatabahasa tentang teori dan aplikasinya secara menyeluruh.
Masalah yang serius akan timbul sekiranya guru tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam pengajaran. Lebih dukacita jika terdapat guru yang menggunakan bahasa dialek dan bahasa campuran dalam pengajaran mata pelajaran Kemanusiaan, apatah lagi sekiranya digunakan semasa pengajaran bahasa Melayu. Kesannya, pelajar akan terpinga-pinga apabila diminta menyatakan buah fikiran dalam bahasa kebangsaan dan mereka tidak dapat menghuraikan sesuatu perkara dalam bahasa kebangsaan kerana sudah terbiasa dengan bentuk tidak baku. Hal ini menjadi lebih parah kerana pada masa yang sama, pelajar terdedah kepada kecelaruan bahasa melalui pelbagai medium di luar kawasan sekolah dan menyebabkan pencemaran bahasa semakin berleluasa.
Tidak kurang juga pelajar yang terikut-ikut dengan bahan bacaan santai. Pelajar lemah selalu menggunakan bentuk ejaan singkat, seperti ‘yg’ untuk ‘yang’, ‘utk’ untuk ‘untuk’, ‘kpd’ untuk ‘kepada’ dan sebagainya. Kebanyakan pelajar juga terpengaruh dengan gaya ejaan dalam komik yang mencampuradukkan huruf besar dengan huruf kecil secara sesuka hati. Keadaan menjadi parah apabila remaja terdidik oleh bentuk ejaan pendek dan ejaan bercelaru ciptaan sendiri yang diamalkan dengan meluas dalam media sosial seperti Whatsapp, Telegram, Facebook, Instagram dan sebagainya.
Pengguna bahasa yang sudah berada di luar alam persekolahan dan lepasan pengajian tinggi juga terbawa-bawa dengan ejaan yang salah. Misalnya, ‘kokurikulum’ dieja ‘ko-kurikulum’ atau ‘ko kurikulum’, ‘ke-20’ dieja sebagai ‘ke20’ atau ‘ke 20’ dan ‘pro-Islam’ dieja sebagai ‘proIslam’ atau ‘pro Islam’. Kesalahan ejaan dan tanda baca sebegini masih ditemukan dalam surat rasmi, iklan dan kebanyakan penulisan dalam media cetak dan media sosial. Kesalahan juga sering terjadi dalam pembinaan frasa seperti penggunaan ayat ‘kedatangan adalah diwajibkan’ atau ‘adalah dimaklumkan bahawa….’ Kesalahan dalam frasa-frasa tadi ialah kata pemeri ‘adalah’ dan ‘ialah’ tidak wajar digunakan bersama-sama dengan kata kerja. Selain itu, salah faham dan kecenderungan untuk menggunakan ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk merujuk bukan manusia masih berterusan, padahal ‘ia’ merupakan bentuk pendek bagi ‘dia’, yang berfungsi untuk merujuk manusia sahaja sekiranya digunakan dalam bahasa Melayu moden.
Bentuk lewah masih berleluasa, khususnya dalam aktiviti lisan. Antaranya ialah kata bilangan yang membawa maksud jamak digandingkan dengan bentuk yang juga bermaksud bilangan yang banyak. Contoh yang ditemukan untuk situasi ini antaranya ialah ‘semua menteri-menteri’, ‘para-para peserta’ dan ‘banyak budak-budak’. Ramai pengguna bahasa kebangsaan tidak sedar bahawa rangkai kata ‘naik ke atas’, ‘turun ke bawah’, ‘berundur ke belakang’, ‘mara ke hadapan’, ‘eksport ke luar negara’ dan sebagainya merupakan bentuk lewah yang tidak selari dengan standard bahasa kebangsaan di Malaysia.
Pengguna bahasa juga sering berat lidah untuk menggunakan bahasa Melayu. Sebagai akibatnya, mereka gemar menggunakan perkataan daripada bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, untuk menggantikan perkataan yang telah sebati dalam bahasa Melayu. Contohnya, ‘famili’ diubahsuaikan daripada family untuk ‘keluarga’, sorry untuk ‘maaf’, thanks atau thank you untuk ‘terima kasih’, atau background untuk ‘latar belakang’, dan pelbagai perkataan lagi. Keadaan berat lidah untuk bertutur atau menggunakan perkataan dalam bahasa kebangsaan ini menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan tidak mudah untuk diungkapkan.
Pengguna juga keliru dengan cara pengejaan sesetengah kata serapan, khususnya yang berasal daripada bahasa Inggeris. Perkataan yang berakhir dengan -ion, seperti television, fiction dan convention ditetapkan ejaan sebagai ‘televisyen’, ‘fiksyen’ dan ‘konvensyen’, sebaliknya mision, institution dan situation menjadi ‘misi’, ‘institusi’ dan ‘situasi’. Pengguna bahasa Melayu lebih bingung apabila perkataan lotion dan station dieja sebagai ‘losen’ dan ‘stesen’, bukan ‘losyen’ dan ‘stesyen’. Demikian juga national dan vocational boleh pula menjadi ‘nasional’ dan ‘vokasional’. Kekeliruan memahami sistem ejaan menyebabkan terjadinya kesilapan yang berterusan dalam kalangan pengguna bahasa yang kurang arif dan mengambil mudah akan peraturan bahasa.
Pada akhir-akhir ini, terdapat kecenderungan penggunaan ejaan yang tidak mematuhi peraturan huruf kecil dan huruf besar. Banyak nama khas, khususnya tempat atau nama sesuatu institusi menggunakan huruf kecil pada permulaan perkataan. Contoh yang pernah menjadi perbincangan ramai ialah ejaan ‘klia2’, satu perkataan yang dipendekkan daripada nama khas dalam bahasa Inggeris, Kuala Lumpur International Airport Terminal 2, yang sepatutnya menggunakan huruf besar kesemuanya. Contoh lain dapat ditemukan di daerah Dungun, di negeri Terengganu. Nama daerah Dungun yang dipamerkan di satu simpang tiga jalan dieja bermula dengan huruf kecil, iaitu ‘dungun’. Penggunaan itu telah ditegur dan ditularkan oleh segelintir warga siber yang prihatin akan ejaan bahasa Melayu melalui media sosial. Malangnya, sesetengah pengguna bahasa menyokong penggunaan sedemikian dengan menganggap bahawa hal itu merupakan satu gaya dan estetika. Mereka menyamakannya dengan lesen puisi dalam penulisan karya kreatif yang mengizinkan penggunaan frasa dan klausa tertentu untuk tujuan keindahan.
Demikianlah beberapa penggunaan bahasa yang dapat dijadikan contoh bahawa peraturan bahasa Melayu tidaklah semudah seperti yang dianggap oleh kebanyakan pengguna bahasa kebangsaan. Pengguna bahasa kebangsaan perlu memahami peraturannya agar penggunaannya betul dan dapat menyampaikan maksud dengan jelas dan tepat. Selain itu, pengguna bahasa tidak sepatutnya mengganggap penggunaan yang salah sebagai suatu hal yang remeh dan tidak berdosa sekiranya diamalkan. Sikap ini mencemarkan dan merosakkan bahasa kebangsaan, sedangkan bahasa kebangsaan yang sifatnya formal dan berfungsi dalam situasi rasmi merupakan termasuk dalam golongan variasi tertinggi dalam bahasa Melayu.