“Kita pernah menegur (sebelum ini), kita lihat dalam beberapa sidang media, (mereka menggunakan) entah dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu pun tidak lengkap, Bahasa Inggeris pun campur aduk.
Hal ini sebenarnya tidak melambangkan pendirian tegas. Jadi saya sudah mengesyorkannya kepada mereka, mulakan dalam semua sidang dan kenyataan dalam Bahasa Melayu yang lengkap dan kemudian kalau ada keperluan menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris atau menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam sidang bicara berkenaan.
Sudah sampai masanya setiap pemimpin kerajaan mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap program yang dianjurkan di peringkat kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Dasar Kebangsaan. Bagaimanapun, penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya boleh dilaksanakan jika Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara antarabangsa.”
Datuk Seri Anwar Ibrahim |
Demikianlah teguran ikhlas dan tegas Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentang maruah bahasa Melayu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson telah diundang untuk menyampaikan ucaptama pada Kongres dan Persuratan Melayu Nusantara bersempena dengan Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 14 Oktober 2019.
Keprihatinan nan mulus Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 kini mengabsahkan maruah bahasa Melayu dalam mandala Malaysia Madani mencerminkan kecaknaan dan keikhlasan beliau untuk melihat rakyat Malaysia bersama-sama beliau menggunakan bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya kendatipun dalam apa-apa situasi yang sukar atau yang selesa. Penggunaan perkataan ‘tatakelola’ dan ‘cerakin’ oleh beliau sebelum ini menggambarkan betapa Perdana Menteri Malaysia kini amat dekat dan begitu mesra dengan Kamus Dewan dan Kamus Dewan Perdana (terbaharu) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam ranah pembicaraan bahasa Melayu via penggunaan bahasa nan puitis dan menyejukkan halwa pendengar serta pembaca.
Penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan gramatis tanpa bercampur aduk dengan bahasa Inggeris tatkala berbicara secara bersemuka atau secara dalam talian seyogianya diamalkan oleh rakyat pelbagai kaum tanpa waswas di seluruh pelosok negara Malaysia nan tercinta ini. Sehubungan dengan itu, kanak-kanak dan murid-murid pascamerdeka sedari kecil seyogianya diasuh dan dididik oleh ibu bapa dan guru-guru agar dapat berbicara dengan menggunakan bahasa Melayu yang santun bahasanya baik dalam pertuturan mahupun dalam penulisan seharian. Pembudayaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak perlu mapan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Sejak penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 hingga fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022, penggunaan bahasa Melayu oleh masyarakat Malaysia banyak berlaku secara dalam talian. Murid-murid pascamerdeka dengan sabarnya dan tekunnya mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu dengan guru-guru Bahasa Melayu secara dalam talian melalui pelbagai medium peranti telekomunikasi kini.
Guru-guru bersengkang mata dan bertungkus lumus mencari idea baharu untuk menyediakan pelbagai bahan bantu belajar sama ada bahan cetakan berkala atau bahan belajar via TikTok, WhatsApp, video dan sebagainya agar murid-murid dapat belajar dan terus belajar. Sesetengah murid pula terutamanya dalam kalangan Bottom 40% (B40) belajar Bahasa Melayu dengan guru-guru kesayangan mereka secara luar talian dan off-site. Alangkah mulianya jasamu guru. Terima kasih cikgu.
Dengan perkataan lain, pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu tetap diteruskan dan diajarkan oleh para guru Bahasa Melayu mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Pada masa yang sama juga, murid-murid ditaksir dengan seadil-adilnya melalui Pertimbangan Profesional oleh semua guru dengan berpandukan buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Edisi Kedua 2019.
Hakikatnya, insan ciptaan Allah SWT diberi-Nya tahap kecerdasan pelbagai yang mencakupi sembilan Teori Kecerdasan Pelbagai. Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Gardner (2000) mendasari dua prinsip asas, iaitu manusia mempunyai kecerdasan yang pelbagai dan semua orang dapat mengembangkan kesemua kecerdasan ini ke satu tahap yang kompeten. Teori ini hasil daripada kajian beliau yang dijalankan terhadap pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai kriteria tersendiri dalam kalangan kanak-kanak biasa dan kanak-kanak istimewa.
Menurut Howard Gardner, kecerdasan tidak boleh diwarisi semata-mata dan kecerdasan boleh dipengaruhi oleh budaya, persekitaran, peluang pendidikan, makanan, suasana pembelajaran dan lain-lain. Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner lebih kepada aspek kognitif dan perkembangan psikologi, antrapologi dan sosiologi dalam menjelaskan kecerdasan manusia. Pada mulanya teori ini terdiri daripada tujuh kecerdasan tetapi pada tahun 1999, dua lagi kecerdasan dimasukkan ke dalam teori ini.
Teori Kecerdasan Pelbagai sememangnya diamalkan oleh para guru secara kolektifnya dalam PdP Pedagogi Terbeza dan Pendekatan Bertema. Murid-murid yang lemah dan sederhana pencapaian akademiknya kini tidak lagi diasingkan dalam kelas berasingan. Mereka berhak belajar dalam kelas yang sama dengan rakan-rakan yang cemerlang akademiknya kerana selain guru bahasa Melayu, misalannya, murid-murid yang cemerlang dalam kelas tersebut akan dilantik sebagai Guru Muda untuk membantu rakannya yang sederhana pencapaian akademiknya. Maka, dalam hal ini akan lahirlah murid misali yang berketerampilan yang bukan sahaja bijak akademiknya tetapi ikhlas dan ringan tulang membantu rakannya yang masih belum menguasai sesuatu topik yang dipelajari.
Antara sembilan Teori Kecerdasan Pelbagai tersebut termasuklah:
- Logikal Matematik
- Visula Ruang
- Linguistik
- Kinestetik
- Muzik
- Interpersonal
- Intrapersonal
- Naturalis
- Spiritual
Selain itu, Kerajaan Malaysia Madani menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) amat memberikan perhatian kepada pelaksanaan pendidikan untuk semua murid dengan membangunkan pelbagai dasar dan garis panduan dengan matlamat merapatkan jurang pendidikan antara komuniti bandar, luar bandar dan pedalaman bagi mengelakkan keciciran pendidikan dalam kalangan kanak- kanak. Tindakan mulia kerajaan ini bagi memastikan semua kanak-kanak, tanpa mengira jantina, lokasi, latar belakang sosioekonomi atau etnik mendapat akses serta dapat menamatkan pendidikan sekurang-kurangnya peringkat rendah serta dapat bertutur bahasa Melayu dengan fasihnya.
Murid-murid pascamerdeka yang tegar menggunakan bahasa Melayu yang diselang-selikan penggunaan bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian sewajarnya tidak boleh dipersalah dengan semberono justeru mereka perlu diberi didikan dan nasihat agar mereka berani tampil bertutur dalam bahasa Melayu dengan kawan-kawan sekelas. Murid-murid generasi Y dan Z kini masih bertatih dalam aspek penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dan mereka amat memerlukan bimbingan yang berterusan daripada ibu bapa dan guru Bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak sekarang berada dalam ruang lingkup pendidikan yang berbeda daripada zaman ibu bapa mereka.
Murid-murid Tahun Satu, misalannya, melalui hari-hari PdP Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Islam dan mata-mata pelajaran lain secara dalam talian yang begitu sukar sejak penularan pandemik Covid-19. Lazimnya, murid-murid Tahun Satu belajar Bahasa Melayu dan mata-mata pelajaran lain secara bersemuka sebelum hadirnya pandemik Covid-19 kerana mereka diibaratkan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana PdP secara dalam talian sebelum ini menyebabkan kadar celik huruf dalam kalangan murid Tahun Satu kurang memberangsangkan dan membimbangkan banyak pihak termasuklah ibu bapa dan guru-guru. Apatah lagi murid-murid amat perlu belajar mata pelajaran Matematik, contohnya, secara bersemuka untuk memahirkan mereka mengira seperti menambah, menolak, membahagi atau menghafal sifir dengan lancarnya.
Ujian lisan dan tutur yang diuji oleh guru-guru Bahasa Melayu kepada murid-murid amar wajar sekali disokong oleh semua pihak. Melalui ujian sebeginilah murid-murid pascamerdeka baik yang di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah berpeluang untuk berbicara dengan rakan-rakan dan guru-guru dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul laras bahasanya. Hal ini sekali gus dapat meningkatkan darjah keyakinan diri apabila mereka berpeluang pula mewakili sekolah dalam aktiviti koakademik baik di pentas daerah, negeri, kebangsaan dan seterusnya di peringkat global kelak.
Sikap kebertanggungjawaban dan jati diri penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi baharu kini tidak boleh dipandang enteng atau dipandang sinis oleh masyarakat Malaysia. Generasi muda kini merupakan pewaris tampuk kepimpinan negara pada zaman VUCA ini. Pengamalan nilai murni dan keteguhan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang mencintai bahasa Melayu tidak boleh sekali-kali diajarkan sekadar melepaskan batuk di tangga kerana alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Belajar bahasa Melayu bukannya boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua minggu tetapi memerlukan komitmen padu daripada semua pihak, iaitu bermula di peringkat pengurusan tertinggi organisasi hingga peringkat pelaksana kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Generasi pascamerdeka Masyarakat Madani selayaknya mempelajari bahasa Melayu secara tuntasnya sebagaimana masyarakat Turkiye yang begitu mengagungkan bahasa Turki baik dalam pertuturan mahupun penulisan seharian. Pengalaman penulis mengunjungi negara Turki selama lapan hari sebelum ini menyedarkan penulis bahawa beberapa prakarsa pragmatik perlu dilakukan dengan segeranya oleh banyak pihak di buana Malaysia untuk mengangkat maruah bahasa Melayu kembali agar tidak ada lagi yang sengaja atau tidak semenggah berbicara dengan menggunakan bahasa rojak atau bahasa sekerat ular sekerat belut.
Amat sukar sekali penulis berbicara dengan masyarakat Turkiye dengan menggunakan bahasa Inggeris apatah lagi dengan menggunakan bahasa Melayu kerana mereka bertendensi untuk berbicara dalam bahasa Turki. Yang mengejutkan penulis juga ada sesetengah penjual barangan cenderamata Turki boleh berbicara dengan menggunakan bahasa Indonesia. Mengapakah sedemikian halnya? Mudah ke belajar bahasa Indonesia? Sukarkah belajar bahasa Melayu? Dalam hal ini, tepuk dada tanyalah hati betapa mudahnya bahasa Indonesia diterima dan dipelajari oleh orang Turkiye biarpun bukan semuanya yang tahu akan bahasa Indonesia. Tetapi, hakikatnya begitulah peristiwa sebenar yang berlaku pabila ada orang Turkiye yang lebih mengagumi bahasa Indonesia berbanding dengan bahasa Melayu.
Seterusnya, sikap kepedulian dan semangat kental nan membara dalam jiwa generasi rabbani ini untuk terus-terusan memartabatkan bahasa Melayu selayaknya disokong dan didukung oleh ibu bapa, guru-guru, pencinta bahasa dan pemimpin negara agar roh Bahasa Jiwa Bangsa kekal tersemat dalam jiwa mereka. Pemimpin negara seyogianya mempamerkan ketulusan tatkala menggunakan bahasa Melayu dalam urusan siasah mereka untuk dicontohi oleh generasi muda kerana yang muda disayangi, yang tua dihormati. Yang lebih penting juga ialah slogan Kepimpinan Melalui Teladan bukan sekadar omongan kosong yang seharusnya ditunjukkan dan diberikan nafas baharu supaya generasi muda kini tidak lagi terpedaya dek kecetekan akal mereka yang belum cukup ampuh dalam landskap kehidupan dunia tanpa sempadan kini.
Usahlah dibiarkan slogan Bahasa Menunjukkan Bangsa; Bersatu Teguh, Bercerai Roboh; Bersekutu Bertambah Mutu; Bahasa Ketamadunan Bangsa atau Membaca Jambatan Ilmu sekadar dipaparkan dengan gahnya pada iklan-iklan, gegantung atau sepanduk seandainya dakwah bahasa dalam kalangan generasi pascamerdeka masih belum menyeluruh seterusnya didominasi mereka secara kompetetif. Dalam hal ini, semua pihak yang berkepentingan, para akademikus, golongan profesional, pencinta bahasa termasuklah golongan marhaen seharusnya menyokong usaha suci Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia yang sentiasa menggerakkan dan menganjurkan pelbagai program bahasa baik di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa bagi memastikan rakyat Malaysia tahu dan faham akan obligasi sebenar kita semua menggunakan bahasa Melayu dengan baiknya dalam urusan seharian atau pelbagai disiplin ilmu.
Akhirul kalam, nasihat Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia agar rakyat Malaysia Madani kini bersatu hati, jujur dan iltizam, bekerjasama dan bersungguh-sungguh untuk menggunakan bahasa Melayu dengan santunnya dalam pelbagai urusan seharian seyogianya disahut dengan sikap yang positif dan terbuka tanpa berbelah bahagi. Usahlah kita bertangguh lagi kerana dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Masa akan tetap berlalu tanpa menunggu kita. Tegasnya, tanamkanlah tekad dan azam serta kasihilah dan cintailah bahasa Melayu dengan pandangan mata burung dan worldview yang komprehensif semoga Perkara 152 Perlembagaan Malaysia tekal dijunjung kejap oleh rakyat Malaysia Madani yang disayangi Allah SWT setiap waktu selagi hayat dikandung badan.