Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi cerminan identiti, jati diri dan budaya sesuatu masyarakat. Di Malaysia, kepelbagaian dialek Melayu memperkaya landskap linguistik negara, dan antara yang paling menonjol ialah dialek Kelantan. Di negeri yang dikenali sebagai Kelantan ini, dialek tempatan bukan sahaja digunakan dalam perbualan harian, malah berfungsi sebagai medium utama dalam urusan ekonomi, khususnya di pasar tradisional yang menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat. Salah satu lokasi yang memperlihatkan penggunaan dialek Kelantan secara jelas ialah Pasar Siti Khadijah. Pasar ini bukan sekadar pusat perniagaan, tetapi juga ruang interaksi sosial yang mempertemukan peniaga tempatan dengan pembeli dari dalam dan luar negeri. Melalui pertuturan dialek yang santai dan mesra, proses jual beli berlangsung dalam suasana yang lebih akrab dan tidak formal.
Dialek Kelantan merupakan variasi bahasa Melayu yang terbentuk melalui faktor geografi dan kelompok sosial penuturnya. Menurut Nasrun Alias dan Rusydiah A. Salam (2019), dialek ini mempunyai struktur linguistik yang unik dan berbeza daripada bahasa Melayu standard. Keunikan ini menjadikan dialek Kelantan bukan sahaja sebagai alat komunikasi, malah sebagai lambang identiti budaya masyarakatnya. Dalam konteks perniagaan, penggunaan dialek tempatan memberikan nilai tambah yang signifikan. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa penggunaan dialek dalam perniagaan mampu mewujudkan rasa keakraban, kepercayaan dan keselesaan antara peniaga dan pelanggan (Nazilah Mohamad et al., 2016). Di Pasar Siti Khadijah, peniaga wanita khususnya menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya ketika berinteraksi, sekali gus mengekalkan warisan bahasa yang diwarisi turun-temurun sambil menarik minat pembeli.
Mohd Nor Hakimin Yusoff dan Mohd Rafi Yaacob (2010) turut menjelaskan bahawa pasar ini dinamakan bersempena dengan tokoh usahawan wanita Islam, Siti Khadijah, sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting wanita dalam aktiviti keusahawanan. Hakikat ini selari dengan realiti di lapangan, apabila majoriti peniaga di pasar tersebut terdiri daripada wanita yang aktif berkomunikasi menggunakan dialek tempatan dalam urusan jual beli harian. Hasil pemerhatian dan temu bual mendapati bahawa terdapat pelbagai perkataan dan frasa dialek Kelantan yang digunakan secara konsisten oleh peniaga. Antara contoh yang sering kedengaran termasuklah sekopi (sebekas), supik (plastik), bubuh (letak), nyucur (baki) dan pitih (wang). Menariknya, sebahagian perkataan ini mempunyai persamaan dengan bahasa Melayu standard dari segi sebutan atau ejaan, namun membawa maksud yang berbeza bergantung kepada konteks penggunaan.
Fenomena ini selari dengan dapatan Noor Roza Hassan et al. (2021) yang menyatakan bahawa kekaburan makna leksikal dalam dialek boleh menimbulkan kekeliruan kepada penutur bukan natif. Dalam urusan jual beli, kekeliruan ini berpotensi menjejaskan kefahaman mesej, terutamanya dalam kalangan pelancong luar yang kurang terdedah dengan dialek Kelantan. Walau bagaimanapun, terdapat juga perkataan dialek Kelantan yang telah disenaraikan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), seperti bubuh dan cucur. Hal ini menunjukkan bahawa sebahagian kosa kata dialek telah diterima sebagai sebahagian daripada perbendaharaan bahasa Melayu, sekali gus memudahkan komunikasi rentas dialek dalam situasi tertentu.
Salah satu dapatan menarik kajian ini ialah peranan dialek dalam mempengaruhi dinamika tawar-menawar. Penggunaan dialek Kelantan sering kali mencipta suasana perbualan yang lebih santai dan bersahabat. Dalam beberapa situasi, peniaga didapati memberikan harga yang lebih murah kepada pembeli yang menggunakan dialek Kelantan berbanding pembeli yang bertutur dalam bahasa Melayu standard. Sebagai contoh, ungkapan seperti “Ore kena tigo ya, ore tok kena pak ya” menggambarkan perbezaan layanan harga antara pelanggan yang dikenali dan tidak dikenali. Situasi ini menunjukkan bahawa dialek bukan sekadar alat bahasa, malah menjadi penanda keakraban sosial yang mempengaruhi hubungan ekonomi. Dapatan ini menyokong pandangan Hayati Lateh et al. (2013) yang mendapati penggunaan dialek Kelantan sebagai lingua franca amat meluas dalam urusan jual beli, termasuk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Di sebalik kelebihan penggunaan dialek Kelantan, kajian ini turut menonjolkan cabaran komunikasi yang dihadapi oleh penutur bukan natif. Perbezaan dari aspek fonologi, leksikal dan struktur ayat menjadikan dialek Kelantan sukar difahami oleh masyarakat luar (Nur Faten Shahirah et al., 2018; Fazal Mohamed Mohamed Sultan & Sarah Nur Najwa Mohd Nasir, 2020). Kesukaran ini boleh menyebabkan salah tafsir makna, terutamanya dalam konteks transaksi jual beli yang memerlukan kejelasan maklumat. Siti Rahimah Mustaffa et al. (2017) pula menegaskan bahawa penggunaan dialek yang berlebihan tanpa penyesuaian konteks boleh menjejaskan keyakinan penutur untuk beralih kepada bahasa Melayu standard, khususnya dalam situasi formal atau pendidikan. Justeru, kebolehan menyesuaikan penggunaan dialek dan bahasa standard mengikut konteks menjadi satu kemahiran komunikasi yang penting.
Secara keseluruhan, penggunaan dialek Kelantan di Pasar Siti Khadijah memperlihatkan hubungan erat antara bahasa, budaya dan ekonomi. Dialek bukan sahaja mengekalkan identiti penutur natif, malah berfungsi sebagai medium perantaraan yang menghidupkan suasana perniagaan tradisional. Dalam masa yang sama, kepelbagaian dialek ini mencerminkan realiti sosiolinguistik Malaysia yang kaya dan dinamik (Nor Hashimah Jalaluddin & Wan Athirah Adilah Wan Halim, 2021).
Sebagai rumusan, dialek Kelantan wajar dilihat bukan sebagai penghalang komunikasi, tetapi sebagai warisan budaya yang perlu difahami dan dihargai. Pendedahan berterusan kepada dialek tempatan melalui pelancongan, pendidikan dan interaksi sosial mampu membantu masyarakat luar memahami keunikan dialek ini, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan identiti bahasa dan budaya bangsa untuk generasi akan datang.
Dr. Azean Idruwani Idrus merupakan seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, Muar, Johor, Malaysia.
