Skip to content
BicaraMY: Pendigitalan Bahasa Melayu untuk Interaksi Rentas Budaya
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > BicaraMY: Pendigitalan Bahasa Melayu untuk Interaksi Rentas Budaya
BicaraMY: Pendigitalan Bahasa Melayu untuk Interaksi Rentas Budaya
Bicara Bahasa

BicaraMY: Pendigitalan Bahasa Melayu untuk Interaksi Rentas Budaya

  • AZEAN IDRUWANI BINTI IDRUS
  • 5 Januari 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 62
  • 5

Dalam dunia hari ini yang semakin terbuka dan saling berhubung tanpa sempadan, bahasa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian. Bahasa bukan sahaja digunakan untuk menyampaikan maklumat, malah menjadi jambatan yang menghubungkan manusia daripada latar budaya dan negara yang berbeza.

Sehubungan dengan itu, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang menjadi destinasi pelancongan popular, keupayaan berkomunikasi dengan baik antara masyarakat tempatan dengan pelancong asing amatlah penting. Namun demikian, perbezaan bahasa sering menjadi cabaran utama kepada warga tempatan mahupun pelancong asing. Ramai pelancong yang datang ke Malaysia berhadapan dengan kesukaran berkomunikasi dengan masyarakat tempatan hanya kerana kekangan bahasa, terutamanya ketika bertanya arah, membeli barangan, membuat pesanan makanan atau berurusan di lapangan terbang dan hotel. Walaupun bahasa Inggeris sering digunakan, tidak semua masyarakat tempatan fasih menggunakannya. Keadaan ini kadangkala menimbulkan salah faham, kekeliruan dan rasa kurang yakin dalam kalangan pelancong.

Dalam meniti arus kemodenan, bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai bahasa kebangsaan kerana bukan sahaja melambangkan identiti negara, malah berpotensi menjadi bahasa asas yang mesra dan mudah dipelajari oleh pelancong asing. Namun begitu, bagi memastikan bahasa ini dapat digunakan dengan lebih meluas, pendekatan yang sesuai dan mudah difahami amat diperlukan. Pelbagai usaha dilaksanakan oleh pakar dan pejuang bahasa agar bahasa Melayu dapat menjalankan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan dengan baik dan betul serta menjadi bahasa penghubung antara pelbagai bangsa di dunia.

Oleh hal yang demikian, seiring perkembangan teknologi, pendigitalan bahasa muncul sebagai satu penyelesaian yang praktikal. Pendigitalan bahasa merujuk kepada penggunaan teknologi digital seperti video, animasi dan multimedia untuk menyampaikan kandungan bahasa. Sebuah video animasi menggunakan platform Powtoon, telah dihasilkan bagi memperkenalkan interaksi sosial asas dalam bahasa Melayu kepada pelancong asing melalui aplikasi BicaraMY. Video ini memaparkan situasi harian yang lazim berlaku, seperti cara memberi salam, bertanya arah, memahami masa dan hari, menggunakan mata wang, serta berkomunikasi di tempat awam.

Sehubungan dengan itu, video tersebut dimuat naik ke platform Youtube agar lebih mudah diakses oleh sesiapa sahaja. Pendekatan ini membolehkan pelancong belajar bahasa Melayu secara santai, tanpa tekanan dan mengikut keselesaan masing-masing. Para pelancong asing boleh menonton video tersebut sebelum mereka datang atau semasa berada di Malaysia, bergantung pada keperluan dan keselesaan masing-masing. Hal ini bertepatan dengan pandangan Nor Hafidah Ibrahim, Norzaliza Ghazali dan Melor Fauzita Md. Yusoff, (2016) dalam makalah Multimedia Interaktif Mempertingkatkan Pengajaran dan Pembelajaran Kursus Bahasa Melayu Pengurusan (SBLM 1053) dalam Kalangan Pelajar Universiti Utara Malaysia yang menjelaskan bahawa penggunaan teknologi dan interaktif digital seperti memuat turun video menerusi aplikasi Youtube dan paparan rakaman video dalam media sosial dapat membantu meningkatkan kefahaman pelajar atau penutur asing memahami bahasa Melayu. Pernyataan ini disokong oleh M. Doyle (2007) dalam makalahnya Learning Language Through Information Technology yang mengakui bahawa pembelajaran menggunakan multimedia lebih berkesan dan sesuai diaplikasikan dalam mana-mana mata pelajaran, malah amat mudah digunakan bagi menerangkan sesuatu dalam sesi pembelajaran.

Seterusnya, satu daripada aspek penting yang diberi perhatian dalam penghasilan video ini ialah pemilihan kandungan yang bersifat neutral. Video tersebut tidak menyentuh isu sensitif seperti perkauman, agama atau politik. Sebaliknya, hanya memfokuskan kepada situasi komunikasi sejagat yang sesuai untuk semua latar budaya. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya berkaitan dengan cara hidup, kepercayaan, lambang, nilai kemasyarakatan atau objek kebendaan yang diwarisi secara turun-temurun yang tergambar melalui bahasa dan tindakan. Hal ini seiring dengan pandangan A.J Liddicoat,  L. Papademetre, L.Scarino dan M. Kohler (2003) dalam makalah Report on  Intercutural Language Learning yang menyatakan bahawa bahasa tidak semata-mata struktural, sebaliknya bersifat komunikatif dan sosial.

Oleh hal yang demikian, pendekatan ini amat penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia kerana kandungan yang sensitif boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan. Menurut Cho Mingsung dan Puteri Roslina  Abdul  Wahid  (2016) dalam makalah Penterjemahan  Budaya Bukan Kebendaan dalam  Teks Terjemahan Bahasa Korea-Bahasa Melayu menegaskan bahawa interaksi  antara  bahasa  dengan  budaya  membawa  kepada  kelangsungan hidup  bahasa  telah  menjadi  alat  yang  penting  dalam  mengkaji  dan  memahami  budaya  sesuatu masyarakat. Bahasa dan budaya sewajarnya berjalan seiring ketika penyediaan kandungan video pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Dari segi impak pembelajaran, semua responden bersetuju bahawa video tersebut berjaya menambah pengetahuan mereka tentang bahasa Melayu. Kosa kata yang digunakan mudah difahami dan sesuai untuk komunikasi asas. Selain itu, sebahagian besar responden turut menyedari bahawa mereka dapat memahami budaya masyarakat Melayu melalui cara pertuturan yang sopan dan penggunaan bahasa yang beradab. Menurut  Amat  Juhari  (2001) dalam makalahnya Nilai Rasa dalam Bahasa Melayu menegaskan bahawa penggunaan  bahasa  perlu  disesuaikan  dengan  keadaan,  suasana  serta golongan  dan  peringkat  yang  berbeza. Nilai  menghormati  orang  lain  selalunya dikaitkan  dengan penggunaan panggilan  dan  kata  ganti  nama. Kecenderungan masyarakat Melayu,  khususnya  dalam kalangan generasi muda pada hari ini adalah menggunakan kata ganti nama sendiri sebagai kata ganti nama diri pertama tanpa mengambil kira faktor sosial, seperti lawan bicara, situasi, waktu dan tempat.

Hal ini menunjukkan bahawa bahasa dan budaya tidak dapat dipisahkan. Cara seseorang bertutur, memilih kata dan menyusun ayat mencerminkan nilai dan adab masyarakat tersebut. Melalui video ini, pelancong asing bukan sahaja belajar perkataan dalam bahasa Melayu, malah diperkenalkan kepada budaya kesopanan dan kehalusan tutur kata masyarakat di Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India dan bangsa lain yang terdapat di Malaysia.

Walau bagaimanapun, keyakinan dan kelancaran berkomunikasi tidak dapat dibentuk sepenuhnya melalui tontonan video sahaja. Sebahagian responden berpendapat bahawa mereka masih memerlukan pengalaman sebenar untuk menjadi lebih yakin bercakap dalam bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana komunikasi dalam dunia sebenar melibatkan pelbagai situasi yang tidak dapat diramal dan memerlukan latihan berterusan.

Sehubungan dengan itu, bahan pendigitalan berfungsi sebagai panduan awal dan sokongan pembelajaran. Video digital membantu menyediakan asas bahasa dan kefahaman awal, manakala keyakinan dan kelancaran hanya dapat dibina melalui penggunaan bahasa secara berulang dalam situasi sebenar. Dari sudut yang lebih luas, pendigitalan bahasa Melayu membawa manfaat besar kepada sektor pelancongan negara. Apabila pelancong mampu berkomunikasi walaupun pada tahap asas, mereka akan berasa lebih yakin dan selesa. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan pengalaman pelancongan dan membina hubungan yang lebih mesra antara pelancong dan masyarakat tempatan.

Selain itu, usaha pendigitalan ini turut membantu memperkenalkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Melalui platform digital yang mudah diakses, semakin ramai pelancong asing terdedah kepada bahasa Melayu. Keadaan ini membuka ruang untuk bahasa Melayu dikenali dan digunakan dengan lebih meluas di luar negara. Sebagai penambahbaikan, bahan pendigitalan bahasa Melayu boleh diperkaya dengan penambahan bahasa sokongan seperti Jepun, Korea, Arab atau Mandarin bagi membantu pelancong memahami kandungan dengan lebih cepat. Elemen interaktif seperti latihan sebutan, dialog ringkas dan simulasi situasi harian juga boleh ditambah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

Kesimpulannya, pendigitalan bahasa Melayu merupakan satu pendekatan yang praktikal dan relevan dalam membantu pelancong asing berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Dengan penyampaian yang ringkas, mesra pengguna dan bersifat neutral, bahasa Melayu berpotensi menjadi bahasa perantara yang lebih dekat dengan pelancong. Jika usaha ini diteruskan secara konsisten dan kreatif, bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa kebangsaan, malah mampu menjadi bahasa pelancongan yang berdaya saing pada peringkat global.

 

Nota: Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Johor.

# #budaya# #bahasa#
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP