Setiap kali keputusan SPM atau STPM diumumkan, berbondong-bondong pelajar mencari jawapan kepada persoalan paling besar selepas tamat persekolahan: “Saya nak sambung belajar jurusan atau kursus apa?” Dalam pada ramai yang berlumba-lumba memilih bidang sains, kejuruteraan, teknologi, perakaunan dan perniagaan, ada bidang yang sering diketepikan. Seolah-olah memandang dengan sebelah mata sebagai pilihan terakhir. Malah, dianggap tidak relevan oleh sesetengah pihak iaitu seperti kursus kesusasteraan. Persepsi ini adalah tabu yang sudah bersarang dalam pemikiran, sedangkan jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya?
Tanggapan serong ini sudah mendap dalam kepercayaan kebanyakan orang terutama ibu bapa, walaupun bukanlah kesemuanya. Dalam dunia yang semakin canggih, celik teknologi dan sentiasa laju, nilai-nilai kemanusiaan seperti empati dan komunikasi yang baik menjadi semakin penting dan diperlukan. Di sinilah letaknya kekuatan kursus sastera yang jarang-jarang disedari atau sengaja dikelabui. Sastera bukan sekadar mempelajari puisi, cerpen atau novel. Kursus ini ialah medan untuk memahami manusia, masyarakat dan perasaan yang tidak diajar dalam bidang lain secara mendalam. Perkara inilah yang perlu ada dalam diri setiap insan untuk mengimbangi dan mendepani dunia pada masa kini.

Selain itu, nilai tambah atau kelebihan lain untuk bakal pelajar yang mendalami bidang sastera akan diasah keupayaan berfikir secara kritis dan kreatif. Mereka bukan sahaja membaca teks tetapi meneliti, menilai dan memahami mesej tersembunyi, sindiran sosial dan renungan budaya yang tersirat dalam sesebuah karya. Ambil sahaja contoh novel Beralih Sebuah Piama (DBP, 2024) karya Osman Ayob. Karya ini bukan sekadar cerita tentang golongan petani di pendalaman tetapi mengangkat naratif perubahan struktur masyarakat luar bandar dalam era pembangunan negara. Pelajar yang membaca dan menganalisis karya seperti ini bukan sekadar menjadi pembaca pasif sebaliknya pembaca yang sedar, peka dan mampu mengaitkan teks dengan realiti semasa seperti berlakunya krisis beras di dalam negara.

Seterusnya, kemahiran bahasa dan komunikasi yang diasah melalui pembelajaran sastera juga sangat tinggi nilainya. Dalam dunia kerjaya hari ini, majikan bukan sahaja mencari individu yang tahu “buat kerja'” sebaliknya mahukan mereka yang boleh menyampaikan idea dengan jelas, menulis dengan berkesan serta berpengaruh lalu mampu meyakinkan audiens. Graduan sastera yang mahir menulis esei dengan bernas, merangka ucapan yang baik, membina naratif untuk produk atau kempen yang berkesan, inilah yang dicari oleh organisasi media, syarikat pengiklanan, sektor awam dan industri kreatif. Maka sudah terang lagi bersuluh, potensi graduan bidang sastera sangat meluas dan menyeluruh bidang kerjayanya.

Ramai tokoh dalam industri kreatif negara bermula dengan latar belakang sastera atau penulisan. Kita lihat sahaja golongan seperti penulis skrip drama bersiri Projek: High Council, atau pembikin filem seperti tenaga kerja produksi Imaginur yang menggunakan naratif sebagai asas kepada cerita yang menyentuh jiwa penonton. Semua ini bermula dengan kekuatan dalam penulisan, pemikiran kritis dan pemahaman mendalam terhadap jiwa manusia yang merupakan teras dalam bidang sastera. Jadi ilmu pengetahuan dalam bidang sastera seperti tema, persoalan, plot, bahasa (dialog), latar dan sebagainya sudah pasti dapat memenuhi lompang yang terdapat dalam industri tersebut.
Tambahan pula, dalam zaman yang dipenuhi dengan teknologi seperti terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan atau AI, kita sebenarnya semakin kehilangan sentuhan kemanusiaan. Nilai manusiawi dalam diri manusia seperti, hormat-menghormati, prihatin, simpati dan sebagainya semakin luput dalam jiwa manusia. Maka, bidang sastera yang mengasah empati dan kefahaman terhadap budaya dan masyarakat menjadi semakin relevan. Sastera mendidik kita untuk memahami pelbagai latar belakang manusia. Sastera menjadikan seseorang itu lebih sensitif terhadap isu-isu sejagat penindasan, keadilan, cinta, perjuangan dan harapan. Semua ini membantu membentuk manusia yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai jiwa untuk mengimbangi dunia agar lebih sempurna. Sastera juga seharusnya menjadi sebahagian daripada ekosistem sesebuah negara dalam memajukan sosial, ekonomi dan politik.

Di Malaysia, industri kreatif mula dilihat sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara. Penulisan buku, skrip drama, kandungan media sosial, pembangunan permainan video, penceritaan jenama dan penghasilan naratif untuk projek digital semuanya menuntut kemahiran asas dalam penulisan kreatif dan kefahaman budaya. Maka, pelajar sastera kini bukan lagi sekadar bersaing dalam sektor pendidikan, malah boleh terlibat dalam bidang penerbitan, penjenamaan, pemasaran digital serta perunding budaya. Ada pelajar sastera yang kini menjadi pereka kandungan untuk syarikat teknologi terkemuka. Tidak kurang juga yang menjadi editor skrip permainan video dalam talian yang dipasarkan ke luar negara. Semua ini membuktikan jurusan sastera yang mengajar nilai kemanusiaan itu mencakupi semua bidang yang diperlukan di dunia ini.
Selain itu, peluang juga terbuka luas melalui platform digital. Ramai penulis bebas (freelance writer), penterjemah kreatif, pencerita audio, pencipta kandungan interaktif dan penganalisis budaya yang membina kerjaya sendiri. Mereka berdikari dan tidak lagi bergantung kepada syarikat besar, sebaliknya menggunakan kemahiran bahasa dan analisis mereka untuk menjana pendapatan sendiri. Hal ini dapat dibuktikan bermula dengan dunia pascapandemik apabila kerjaya fleksibel seperti ini semakin berkembang dan sangat memerlukan kemahiran insaniah yang semuanya dibentuk dalam kursus sastera. Maka bermulalah pekerja yang mandiri untuk menjadi pendapatan tanpa bergantung kepada majikan. Mereka melakukan secara bebas dengan menggunakan ilmu yang diperoleh dalam bidang sastera.
Justeru, sudah tiba masanya kita memberi perhatian yang sewajarnya kepada bidang sastera ini. Ibu bapa dan pelajar perlu keluar daripada stigma lapuk bahawa sastera itu tidak ada masa hadapan. Hakikatnya, masa depan manusia bergantung kepada keseimbangan antara teknologi dan jiwa. Sastera mengajar kita mendalami dan memahami jiwa manusia. Bagi pelajar lepasan SPM dan STPM yang sedang membuat keputusan, jangan takut memilih bidang yang jarang disebut-sebut atau pendek kata tidak popular. Jika anda seorang yang suka membaca, suka menulis, gemar berfikir tentang manusia dan masyarakat, maka sastera ialah tempat anda berkembang. Pilihlah dengan yakin. Sastera bukan pilihan terakhir, sebaliknya mungkin pilihan terbaik yang akan membentuk anda menjadi manusia luar biasa di masa hadapan.
Akhir sekali, pilihan tetap terletak di tangan anda. Jangan biarkan orang lain menentukan hala tuju hidup anda sepenuhnya. Maklumat ada di hujung jari anda untuk menentukan pilihan yang tepat. Dapatkan maklumat sebanyak mungkin, hadir ke sesi taklimat institusi, baca testimoni pelajar dan berbincanglah dengan guru kaunseling atau ibu bapa anda. Jangan takut untuk menyatakan minat dan kehendak anda kepada ibu bapa kerana anda yang akan hadapi semua itu sepanjang hayat kelak. Jadikan proses memilih kursus ini sebagai langkah pertama untuk mengenali diri dan membentuk masa depan yang anda impikan. Ingatlah, tiada pilihan yang paling sempurna untuk semua orang tetapi ada satu pilihan yang paling sesuai untuk diri kita sendiri. Tepuk dada, tanyalah selera.
*Penulis merupakan pensyarah Sastera di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga penulis kreatif dengan menggunakan pseudonim Putraery Ussin.