Murni R.
Tiada siapa dapat menyangkal kenyataan bahawa video telah menjadi bentuk kandungan yang menarik dan penting dalam pengalaman pengguna digital pada hari ini. Dengan kemajuan teknologi serta penggunaan peranti digital yang terus meningkat dalam kalangan masyarakat, trend kandungan dalam bentuk video juga turut mengalami percambahan kreativiti dan permintaan dengan kadar yang drastik di seluruh dunia. Seiring dengan perkembangan tersebut, platform pengumpulan dan perkongsian kandungan video secara dalam talian, iaitu YouTube telah menjadi media sosial paling berpengaruh pada zaman digital hari ini.
Sememangnya, Youtube diakui sebagai platform digital yang sangat popular dan menjadi pilihan pada abad ini. Dengan kelebihannya yang boleh diakses secara percuma asalkan ada talian Internet, mengandungi pelbagai jenis video, boleh menonton apa-apa sahaja kandungan yang diminati, boleh memuat naik video ciptaan sendiri asalkan sudah mendaftar dan memiliki akaun, dan boleh menjana pendapatan, Youtube kini menenggelamkan kedudukan saluran konvensional, terutama televisyen dalam meraih perhatian penonton. Oleh sebab itulah juga, ramai anak muda yang menjadikan Youtube sebagai platform kerjaya dan berjaya meraih pendapatan yang lumayan.
Satu daripada jenis video atau kandungan yang ada dalam Youtube ialah “tayangan” berkaitan dengan buku. Ramai individu yang menjadikan buku sebagai “watak utama” untuk menjayakan kandungan saluran Youtube masing-masing. Lantaran itulah, individu yang menggunakan buku untuk mencipta kandungan, yang seterusnya dipertontonkan dalam YouTube, maka lahirlah platform digital yang memaparkan apa-apa sahaja kisah tentang buku, iaitu BookTube.
BookTube terhasil daripada gabungan dua perkataan, iaitu book (buku) dan YouTube lalu membentuk BookTube. Dalam Booktube pula terbentuk sebuah komuniti yang menyemarakkan aktiviti berkaitan dengan buku. Secara mudahnya, komuniti yang mempunyai minat yang sama terhadap buku ini menghuni dunia yang disebut Booktube, sementara si pelaku yang menjadi jurucakap buku ialah penggiat Booktube, atau lebih popular disebut sebagai Booktuber. Pendek kata, penggiat Booktube boleh dikategorikan sebagai pencipta kandungan yang menggunakan saluran Youtube serta membuat cerita dan berbicara tentang buku.
Ringkasnya, penggiat Booktube ialah pengguna Youtube yang fokusnya menyajikan kandungan video seputar buku. Tiada kelayakan atau syarat yang ditetapkan untuk menjadi penggiat Booktube. Syarat utamanya ialah minat membaca, menggemari buku dan mahir bercerita tentang buku dengan gaya dan cara tersendiri manakala modal utamanya hanyalah sebuah buku. Perpustakaan Kuala Lumpur pernah menyajikan wacana santai seni yang secara khusus membicarakan cara dan kaedah untuk memulakan saluran Booktube. Usaha ini membuktikan bahawa Booktube bukan sekadar saluran untuk memenuhi hobi dan keinginan pencinta buku, malahan menjadi platform digital yang mempersembahkan 1001 pembicaraan tentang buku melalui cara dan kaedah yang inovatif dam kreatif. Persembahan tentang buku melalui Booktube juga jauh berbeza berbanding dengan kaedah konvensional, iaitu kaedah menulis ulasan atau resensi buku dan forum bicara buku.
Hingga kini, terdapat begitu banyak saluran Booktube yang menarik dan menawarkan kandungan yang cukup kreatif mengikut trend semasa dan cita rasa pengikut akaun penggiat Booktube. Video ciptaan komuniti BookTube juga berjaya mencapai ratusan ribu penonton di seluruh dunia, malah dianggap sebagai salah satu komuniti yang paling pesat berkembang di YouTube. Sebagai rekod, pada tahun 2023, penggiat Booktube luar negara yang menduduki tangga teratas dalam carta Booktube ialah Jesse the Reader. Melalui akaun Booktubenya, Jesse berjaya mengumpul 390,000 pengikut dan kandungan ciptaannya pernah meraih dua juta tontonan. Kelainan yang ditampilkan oleh Jesse ialah beliau menyediakan cabaran kepada pengikutnya dalam setiap videonya dalam Booktube dengan matlamat agar pengikutnya mencari dan membaca buku yang dicadangkannya serta menyelesaikan teka teki atau tugasan yang perlu diselesaikan oleh pengikutnya setelah membaca buku berkenaan.
Menyedari bahawa Booktube amat signifikan dalam membantu membangunkan industri buku, selain menyuburkan budaya membaca dan memenuhi hobi pencinta buku, maka pada 31 Ogos 2020, lahirlah Booktube Malaysia, hasil inisiatif Persatuan Booktube Malaysia (PBM) yang diterajui oleh Hafiz Latiff selaku Presiden. Kini, Booktube di Malaysia semakin dikenali dan penggiat Booktube yang mendaftar dengan PBM berjumlah 70 orang. Secara khususnya, matlamat PBM diwujudkan untuk memenuhi kehendak penggiat Booktube bagi memastikan mereka terus mengaktifkan diri mencipta kandungan video untuk ditayangkan dalam saluran Booktube masing-masing. Menyedari bahawa Booktube mampu menarik minat golongan muda untuk menjadi komunitinya, usaha pertama PBM setelah kewujudannya adalah memaparkan kandungan yang membicarakan “Langkah Mula Menjadi Booktuber”.
Kebiasaannya, hal yang berkaitan dengan buku, sama ada promosi jualan, ulasan, resensi dan bicara buku dibuat dalam bentuk tulisan, yang secara umumnya mendeskripsikan apa kekurangan dan kelebihan buku tersebut. Namun begitu, kecanggihan teknologi dan kelainan dalam cara bertindak pada masa ini memperlihatkan medium untuk membuat promosi, mengulas dan meresensi buku bukan hanya melalui tulisan sahaja. Dengan adanya media sosial bernama Youtube, yang seterusnya membentuk komuniti Booktube, maka lahirkan penggiat Booktube yang kerjanya menghasilkan apa-apa cerita tentang buku.
Kandungan cerita yang dihasilkan oleh penggiat Booktube sama ada tentang ulasan dan resensi buku, ataupun cerita tentang buku itu sendiri, seperti kisah acara pelancaran buku, membuka bungkusan buku yang dipesan secara dalam talian, cabaran buku, bertemu bual dengan penulis buku, merekomenkan buku, membuat kuiz tentang buku ataupun meneka siapa penulis buku. Semua bentuk kandungan tersebut dihasilkan oleh penggiat Booktube mengikut idea dan kreativiti masing-masing. Setelah berpuas hati dengan video kandungannya, penggiat Booktube yang memiliki saluran Youtube peribadi akan memuat naik video berkenaan untuk tontonan pengguna Youtube amnya dan individu, khususnya yang menjadi pengikut saluran Youtube milik penggiat Booktube tersebut.
Signifikannya apabila menjadi penggiat Booktube yang mempunyai ramai pengikut dan videonya berjaya meraih jumlah tontonan yang tinggi, penerbit buku berminat untuk bekerjasama dengan penggiat Booktube tersebut untuk memperkenalkan buku terbitannya. Secara tidak langsung, kolaborasi sebegini membolehkan penggiat Booktube mendapat buku secara percuma. Melalui penajaan buku oleh penerbit juga, penggiat Booktube boleh memilih buku, judul atau genre yang diminatinya untuk mencipta kandungan mengikut cita rasa masing-masing.
Pada awal kemunculannya di Malaysia, budaya BookTube disemarakkan oleh anak muda yang menggemari kandungan buku fiksyen, khususnya novel genre fantasi, seram dan penyiasatan berunsur saspens. Situasi ini bersamaan dengan Booktube di luar negara yang gerakannya ditunjangi oleh golongan remaja yang memfokuskan genre yang sama. Hal yang pasti ialah penghasilan video oleh penggiat Booktube yang memilih genre seram, fantasi dan penyiasatan sebagai kandungan cerita dalam saluran Youtube telah berjaya meraih jumlah tontonan yang mencecah angka ribu. Lihat sahaja saluran Youtube milik penggiat Booktube, Dayana WFK yang menayangkan kandungan tentang buku Suci karya Hadi M. Nor hingga kini telah mencecah 270 ribu tontonan. Bagi yang meminati buku terbitan FIXI pasti mengetahui novel terbitan penerbit berkenaan lebih berupa novel genre seram, saspens dan penyiasatan.
Sebagai pembakar semangat dan tanda penghargaan, maka seharusnya penggiat Booktube diberikan pengiktirafan setelah berjaya mencipta kandungan cerita yang mendapat tontonan yang tinggi dan memiliki jumlah pengikut yang banyak. Inisiatif sedemikian dirasakan perlu kerana kerajaan juga mengutamakan budaya membaca buku melalui Dekad Membaca Kebangsaan (DMK). Jika DMK bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai negara membaca, maka Booktube harus diberikan penajaan untuk mengiktiraf penggiat Booktube melalui pentas DMK. Pentingnya usaha tersebut kerana memetik pepatah popular, “membaca jambatan ilmu”, maka Booktube ialah komuniti yang berilmu dan penggiat Booktube sangat mencintai ilmu, yang pengisian ilmunya bermula dengan membaca buku. Sememangnya, budaya membaca dan aktiviti perbukuan harus sentiasa dihidupkan secara kreatif dan inovatif dalam apa-apa juga medium yang tersedia mengikut arus perkembangan semasa.