Jika tiada buras atau burasak, maka tiadalah ertinya sambutan Aidilfitri bagi masyarakat Melayu Bugis. Burasak menjadi hidangan wajib dan disediakan sebelum menyambut hari raya Aidilfitri. Hal ini dikatakan demikian kerana proses menyediakan burasak mengambil masa yang lama dan memerlukan kesabaran sebelum dapat dinikmati bersama keluarga.
Burasak dibalut dengan daun pisang muda di bahagian dalam dan daun pisang tua di bahagian luar. Setelah dibuka bungkusan burasak, ketulan nasi kelihatan seperti ketupat atau lontong. Namun yang membezakannya, beras yang digunakan untuk memasak burasak dimasak dengan santan bersama-sama daun pandan, sama seperti nasi lemak. Daun pisang nipah paling sesuai digunakan untuk membungkus burasak kerana daunnya tebal, tidak mudah koyak dan mempunyai aroma yang wangi.
Burasak dibungkus sedikit berbeza, iaitu berbentuk leper seakan-akan kuih lepat pisang. Namun begitu, saiznya sedikit lebih lebar dan besar daripada lepat pisang. Burasak yang telah siap dibungkus ini akan dicantumkan dua bungkus atau lebih dan diikat dengan tali rafia sebelum direbus dalam tempoh yang lama, iaitu kira-kira lapan jam. Proses merebus yang lama diperlukan bagi memastikan burasak menjadi ketulan nasi yang padat. Burasak yang dimasak lama lebih cantik dan kemas serta tidak cepat basi dan boleh disimpan selama beberapa hari.
Cara menikmati burasak pula terpulang kepada penggemarnya. Ada yang suka ketika masih panas, dan ada yang gemar menikmatinya selepas semalaman setelah air rebusan dibiarkan kering. Burasak enak dimakan dengan pelbagai jenis hidangan berkuah ataupun kering. Kebiasaannya, burasak akan dihidangkan bersama-sama lauk-pauk seperti asam pedas ikan parang, rendang daging atau ayam, serunding daging mahupun ayam, daging masak kicap, ayam masak ungkep atau ayam masak merah. Cara menikmatinya tergantung pada selera masing-masing. Yang pasti, pagi Aidilfitri lebih bermakna apabila dapat menikmati hidangan burasak yang harum dengan aroma daun pisang dan daun pandan serta rasa lemak daripada santan segar.
Burasak: Kearifan Masyarakat Melayu Bugis
Penyediaan burasak sangat mudah dan menggunakan bahan-bahan yang terdapat di sekeliling rumah orang Melayu. Penggunaan beras, santan, daun pandan dan daun pisang merupakan bahan-bahan yang mudah didapati dan ditanam di sekeliling rumah. Menurut Muhammad Ikhlas Rosele dan Abdul Karim Ali (2019: 1-24) dalam makalah bertajuk “Konsep Kearifan Tempatan Menurut Perspektif Hukum Islam”, penggunaan bahan yang halal dan bersih membuktikan bahawa pencipta burasak sangat mengambil berat tentang kualiti makanan dan orang yang memakannya agar makan makanan yang bersih dan baik untuk tubuh badan. Hal ini dibuktikan dengan kecerdikan masyarakat Melayu Bugis yang mencipta menu burasak daripada beras yang dimasak bersama-sama santan dan daun pandan bertujuan menaikkan aroma makanan. Aroma tersebut boleh membuka selera makan seseorang. Selain itu, tujuan membungkus juga demi menjaga kebersihan makanan yang dimasak dan makanan boleh disimpan lebih lama.
Sementara itu, Muhammad Yusri Yusof @ Salleh dan Mohd Anuar Ramli dalam makalahnya “Pentakrifan Kearifan Tempatan: Suatu Sorotan” menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan dibangunkan daripada golongan cerdik pandai tempatan dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat. Manakala kepandaian tempatan ialah satu set amalan yang bersifat implisit (tersurat) yang dipraktikkan oleh sekumpulan golongan cerdik pandai bagi memenuhi keperluan masyarakat. Masyarakat Melayu Bugis juga arif tentang aroma santan dan kebaikan serta khasiat yang terdapat dalam santan demi kebaikan tubuh badan manusia. Mereka sangat menitikberatkan amalan pemakanan yang sihat dan bersih untuk kesihatan orang yang menikmati makanan.
Seterusnya, kebaikan burasak turut disokong oleh kajian Dr. Atsuo Kanagawa, Pakar Kardiologi dan Orthomolecular dari Jepun. Dalam pembentangan kertas kerjanya ketika Longevity Conference di Putrajaya pada tahun 2019, Dr. Atsuo telah membuktikan bahawa nasi yang dimasak dengan santan adalah lebih sihat kerana mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang lebih rendah. Nasi yang dimasak dengan santan juga mempunyai jumlah total kalori yang rendah. Separuh daripada kanji yang terdapat dalam nasi tersebut menjadi kanji degil. Kandungan kanji degil atau kanji tidak boleh hadam juga lebih tinggi kerana proses memasak nasi bersama-sama santan atau minyak kelapa telah mengurangkan kadar GI yang boleh menyebabkan penyakit diabetes dan obesiti. Hal ini terbukti berdasarkan kajian terkini yang menunjukkan bahawa kaedah atau proses memasak nasi dengan lemak santan atau khususnya minyak kelapa akan menjadikan nasi lebih sihat untuk dimakan berbanding dengan nasi putih biasa.
Burasak: Semangat Perpaduan
Penyediaan burasak dilihat mudah, namun memerlukan kesabaran dan kerjasama bagi menjamin kualiti pembuatan burasak. Pada zaman dahulu, burasak disediakan secara bergotong-royong bersama-sama penduduk kampung. Pembahagian kerja ketika memasak burasak membuktikan bahawa masyarakat Melayu hidup saling bekerjasama dan bantu membantu. Hidup bergotong royong diamalkan oleh masyarakat Melayu Bugis sejak dahulu kala. Dengan satu menu masakan, mereka dapat berkumpul dan memasak bersama-sama sehingga akhirnya makanan tersebut dibahagikan dan dinikmati bersama-sama. Semangat perpaduan masyarakat Melayu Bugis dapat dilihat dengan bekerjasama menyiapkan makanan yang dijadikan hidangan ketika perayaan, majlis keagamaan atau majlis perkahwinan.
Sehubungan dengan itu, kearifan tempatan dapat dilihat juga pada ikatan burasak. Tali diguna untuk mengikat burasak agar tidak terpisah dan apabila direbus nasinya menjadi padat dan tidak terburai. Ikatan ini melambangkan kekuatan bangsa Melayu Bugis yang tidak mudah mengalah dan tunduk kepada pemerintah asing atau kekejaman penjajah. Setelah kerajaan Makasar dikalahkan oleh pihak Belanda, ramai pembesar dan penduduk Melayu Bugis memilih untuk berhijrah kerana tidak mahu tunduk kepada kekejaman Belanda. Menurut Andi Ima Kesuma (2004), dalam bukunya bertajuk Migrasi dan Orang Bugis, bagi masyarakat Bugis, merantau atau Pasompe dalam bahasa Bugis telah menjadi suatu adat atau kebiasaan. Telah berabad lamanya masyarakat Bugis merantau atau berhijrah untuk mencari penempatan dan juga kehidupan baharu. Setelah penguasaan Belanda di Sulawesi Selatan, masyarakat Melayu Bugis memilih untuk meninggalkan tanah air mereka dan berhijrah mencari kehidupan baharu yang lebih baik dan selamat demi kelangsungan hidup.
Sungguhpun mereka meninggalkan tanah asal nenek moyang mereka di Sulawesi Selatan dan menetap di pelbagai daerah dan negeri di Nusantara, mereka masih mengekalkan makanan, adat dan budaya masyarakat Melayu Bugis. Keaslian makanan yang diwarisi turun-temurun dari generasi terdahulu masih dikekalkan dan diwarisi oleh generasi muda. Burasak masih menjadi hidangan tradisi pada pagi hari raya dan digemari bukan hanya golongan tua dan dewasa, malah tetap disukai oleh generasi muda. Kebijaksanaan masyarakat Melayu Bugis mencipta makanan yang baik untuk kesihatan dapat dinikmati oleh generasi muda sehingga hari ini. Sambutan Aidilfitri lebih indah dengan aroma burasak autentik milik Melayu Bugis.