Asas utama pembinaan tamadun sesebuah bangsa bermula daripada pembinaan masyarakatnya. Apabila masyarakatnya terdidik dengan nilai-nilai ilmu yang baik serta mengutamakan pendidikan dalam kalangan masyarakatnya, maka pembinaan tamadun bangsa akan lebih mudah terlaksana. Hanya masyarakat yang berilmu sahaja yang berjaya membina tamadun sesebuah negara bangsa yang maju dan dihormati. Pandangan ini diperkukuh dengan kajian oleh Ahmad Munawar Ismail dan Noranizah Yusuf (2012: 74-85) dalam makalahnya, “Sumbangan Pendidikan dalam Memperkasakan Tamadun Bangsa: Perspektif” yang menyatakan bahawa pendidikan merupakan teras kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara. Tanpa pendidikan, masyarakat umumnya akan hidup dalam kemunduran yang menyebabkan keruntuhan moral yang berleluasa. Selaras dengan kepentingan tersebut, maka pendidikan perlu dijadikan agenda penting yang patut dilaksanakan mengikut landasan yang sewajarnya.
Sehubungan dengan itu, masyarakat Melayu pada zaman dahulu amat mementingkan pendidikan awal kanak-kanak dan semuanya bermula dari rumah. Bangsa Melayu kaya dengan cerita lisan atau cerita rakyat yang mengandungi nilai-nilai murni yang dapat mendidik masyarakatnya menjadi manusia yang sopan santun dan berbudi bahasa. Para bijak pandai pada zaman dahulu menggunakan cerita rakyat sebagai alat untuk menyampaikan ilmu dan pengajaran ketika mendidik anak-anak mereka. Mohd Firdaus Che Yaacob dan Normaliza Abd Rahim (2014: 74-85) dalam makalahnya bertajuk “Cerita Rakyat Membentuk Moral Positif Kanak-kanak Melalui Nilai Murni” menjelaskan bahawa melalui penceritaan dan pengajaran dalam cerita rakyat, anak-anak belajar mengenali adat istiadat, kebudayaan, serta gaya perlakuan dalam bermasyarakat. Kesannya, cerita rakyat sedikit sebanyak mempengaruhi gaya pemikiran dan kebijaksanaan masyarakat untuk membuat sebarang keputusan yang rasional serta saksama.
Lantaran itu, di Alam Melayu terdapat banyak cerita rakyat yang memberikan nilai pendidikan dan inspirasi kepada kanak-kanak apabila disampaikan oleh ibu bapa mereka. Kisah seperti Pak Pandir, Mahsuri, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Sang Kancil, Hikayat Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong, Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup, Puteri Gunung Ledang, Bawang Putih Bawang Merah dan Tengku Mahmud Mangkat Dijulang antara beberapa contoh cerita rakyat yang banyak menceritakan tanggungjawab, ketaatan kepada ibu bapa, jujur dan amanah serta berhati mulia. Cerita-cerita ini mengandungi pengajaran dan nilai-nilai murni yang baik, yang digunakan untuk mendidik kanak-kanak agar terlahir sebagai kanak-kanak yang mempunyai akhlak yang baik serta memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. Sungguhpun dalam kisahnya berunsur komedi, namun pengajaran yang terselit dalam sesebuah cerita rakyat berjaya mendidik kanak-kanak menjadi manusia yang berguna.
Kita semua sedia maklum bahawa ibu bapa mempunyai kedudukan yang tinggi dan dihormati dalam kalangan masyarakat Melayu. Merekalah yang menjaga, mengasuh serta mendidik anak-anak dengan sempurna, termasuklah menjaga makan minum, menyediakan pakaian, menjadi pelindung dan menjaga keselamatan serta bertanggungjawab memberikan kasih sayang. Anak-anak merupakan amanah yang diberikan kepada ibu bapa untuk dijaga dan disayangi sehinggalah mereka dewasa. Jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapa, terutama ibu tidak ternilai besarnya dan anak-anak mestilah menjaga mereka apabila tua kelak sebagai tanda membalas budi. Jika anak menderhaka kepada ibu, maka akan dibalas dengan hukuman yang setimpal dengan perbuatan buruk tersebut.
Umpamanya kisah Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya. Akhirnya Si Tanggang telah disumpah menjadi batu. Kisah ini terus menjadi bualan dan disampaikan kepada anak-anak secara lisan atau melalui pembacaan melalui buku cerita yang kekal menjadi ingatan untuk anak-anak agar sentiasa menghormati ibu dan berbuat baik kepada ibu. Anak-anak sewajarnya menjaga ibu dan bapa setelah mereka tua. Ibu bapa menjadi amanah kepada anak-anak. Hal ini jelas menggambarkan bahawa masyarakat Melayu sememangnya memiliki sifat amanah dan bertanggungjawab untuk melakukan setiap pekerjaan bagi mendapat keberkatan ketika menjalani kehidupan.
Hal ini jelas menggambarkan bahawa masyarakat Melayu memiliki sifat amanah sewaktu menuturkan kata-kata yang benar ketika bercakap dengan masyarakat di sekeliling. Hal ini juga membuktikan bahawa masyarakat Melayu berpegang teguh kepada pegangan agama kerana masyarakat Melayu dituntut untuk berkata benar kerana sifat tersebut merupakan sebahagian ajaran Islam. Sesungguhnya, kedatangan Islam ke Tanah Melayu mengutamakan pendidikan kerana hanya dengan pendidikan dapat melahirkan manusia yang mempunyai sifat-sifat yang baik yang akan menjamin kebahagiaan dan kecemerlangan dalam kehidupan.
Sehubungan dengan itu, Ismail Hamid (1987: 1) dalam bukunya, Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama menyatakan bahawa sastera rakyat atau sastera lisan khususnya cerita rakyat merupakan sejenis bentuk kesusasteraan terawal yang lahir dalam semua kebudayaan manusia. Keadaan ini berlaku kerana sistem tulisan muncul terkemudian daripada zaman tradisi lisan. Pendidikan awal kanak-kanak ketika sebelum adanya sistem tulisan dan buku bermula dengan pendidikan yang disampaikan secara lisan.
Sebenarnya, pendidikan secara lisan ini ialah pendidikan secara tidak langsung yang bermula dari rumah. Cerita rakyat seperti kisah Hang Tuah lima bersaudara, Bawang Putih Bawang Merah, Mahsuri dan Puteri Gunung Ledang yang merupakan tokoh popular dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dahulu kala yang diwarisi dari generasi ke generasi disampaikan secara lisan kepada kanak-kanak oleh datuk nenek atau ibu dan bapa ketika sedang berehat selepas seharian penat bekerja. Sungguhpun disampaikan secara tidak langsung, cerita ini meninggalkan bekas dan ingatan kepada kanak-kanak yang akhirnya menjadi panduan dalam kehidupan mereka untuk sama-sama menjadi hebat seperti tokoh dalam cerita tersebut. Oleh hal yang demikian, jelas terbukti bahawa sebelum masyarakat Melayu mengenal huruf, sastera berbentuk lisan telah berkembang dengan meluas dalam kalangan masyarakat Melayu silam.
Hal ini jelas membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya melalui tulisan dan buku sahaja. Pendidikan melalui cerita lisan ini melalui pelbagai proses seperti proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada tuhan sebagai Pencipta, membentuk sikap sopan dan beradab bagi melahirkan anak-anak yang mempunyai akhlak yang baik, dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia melalui watak-watak yang diciptakan dalam sastera lisan. Hal ini terbukti dengan beberapa kajian yang memperlihatkan peranan karya sastera seperti cerita rakyat dalam usaha mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Menurut Burhan Nurgiyantoro (2010: 25-40) dalam buku Sastra Anak dan Pembentukan Karakter, pemaparan watak-watak baik dalam karya dapat menjadi teladan yang baik kepada kanak-kanak. Manakala watak jahat menjadi panduan kepada kanak-kanak untuk menghindarinya. Jelaslah bahawa perwatakan dalam karya memberi impak positif kepada kanak-kanak apabila mendengar atau membaca kisah tersebut walaupun tanpa ulasan daripada ibu atau bapa.
Sesungguhnya, watak baik digambarkan sebagai seorang yang baik, jujur dan berhati mulia, sedangkan watak-watak jahat didominasi dengan sifat kejam, dengki dan khianat, sombong yang akhirnya menerima pembalasan atas perbuatan tersebut. Jelaslah bahawa pendidikan awal kanak-kanak yang menggunakan kaedah penceritaan melalui cerita rakyat ini mampu memberikan kefahaman bahawa perkembangan ilmu pengetahuan merupakan medium yang amat penting dalam usaha membangunkan ketamadunan manusia. Pernyataan tersebut diakui oleh Arba’ie Sujud dan Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi (2011: 66-68) dalam makalah bertajuk “Pembentukan Emosi Kanak-kanak Melalui Bahan Bacaan Sastera” yang jelas membuktikan bahawa sastera kanak-kanak menggalas peranan penting dalam masyarakat sebagai unsur yang mempengaruhi corak pemikiran, pembentukan personaliti dan emosi kanak-kanak melalui pembacaan. Hal ini menunjukkan bahawa karya sastera merupakan dokumen penting yang menjadi medium utama dalam mendidik masyarakat.
Harus diakui bahawa cerita rakyat di alam Melayu kaya dengan nilai-nilai murni yang mendidik manusia menjadi insan yang lebih baik dan bijaksana orangnya. Hal ini disokong oleh kenyataan Dr. Surya Suryadi dalam laporan BHOnline bertarikh 26 Februari 2018, bertajuk “Miliki Semula Manuskrip Melayu Berharga di Belanda”. Dr. Surya Suryadi menjelaskan bahawa di Universiti Leiden, genre manuskrip Melayu yang paling banyak disimpan ialah cerita rakyat yang kaya dengan kandungan kearifan tempatan puak yang mendiami wilayah Nusantara. Cerita itu dirakam sama ada dalam bentuk historiografi tradisional seperti chronicle (kronikel) dan annal (babad), undang-undang atau cerita panji. Banyaknya penyebaran cerita rakyat Melayu pada zaman dahulu, bukan hanya sekadar hiburan semata-mata bahkan sebagai pendidikan kepada generasi muda yang ketandusan sumber ilmu. Penceritaan yang diwarisi daripada golongan tua, disebarkan dari cerita mulut ke mulut menghasilkan banyak karya cerita rakyat yang bertujuan mendidik masyarakat.
Kenyataan tersebut disokong oleh Tuan Siti Nurul Suhadah Tuan Adnan dan Mohd Firdaus Che Yaacob (2023: 95-107) dalam makalah bertajuk “Akal Budi dalam Cerita Rakyat” yang membuktikan bahawa cerita rakyat merupakan satu identiti kepada masyarakat Melayu kerana keluhuran hati yang terkandung di dalamnya. Cerita rakyat diolah oleh penglipur lara agar bersesuaian dengan keadaan kehidupan masyarakat Melayu pada ketika itu, sekali gus dijadikan sebagai pedoman kepada generasi muda seperti kanak-kanak dan remaja termasuklah orang dewasa.
Seterusnya, Mohamad Zuber Ismail dan Mohamad Mokhtar Abu Hassan (2017: 123-139) dalam makalah bertajuk “Prinsip Perancangan dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda” menyatakan bahawa cerita rakyat Melayu merupakan satu bentuk tradisi yang disampaikan dari mulut ke mulut dalam kalangan masyarakat Melayu. Cerita rakyat telah menjadi suatu kebiasaan yang kekal secara turun-temurun dalam sesebuah masyarakat bagi tujuan memberi nasihat yang bermanfaat. Melalui cerita, pelbagai adat resam masyarakat Melayu dapat diterapkan dan mampu beralih dari individu ke individu yang lain.
Kenyataan ini turut disokong oleh Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff et al. (2021: 355-365) dalam makalah “Masyarakat Orang Asli Jakun di Rompin, Pahang: Kajian Terhadap Pemuliharaan Cerita Lisan” yang menyifatkan cerita rakyat Melayu sebagai wadah yang diterapkan menjadi kepercayaan masyarakat yang mengamalkannya.
Sehubungan dengan itu, cerita rakyat dijadikan medium pengajaran yang mendedahkan adat resam kepada anak-anak muda. Akhirnya, cerita rakyat yang disampaikan berjaya mengangkat budaya yang dimiliki oleh masyarakat yang mengamalkannya. Oleh hal yang demikian, cerita rakyat yang kaya dengan kandungan kearifan tempatan ini menyokong kajian Rosnani Hashim (2006) yang menyatakan dalam makalahnya “Falsafah Penyelidikan Pendidikan dari Perspektif Islam: Konsep dan Matlamat” bahawa pengertian pendidikan menurut Aristotle ialah pemupukan tabiat-tabiat atau virtues terbaik yang apabila dihayati akan menjadikan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik. Tambahnya lagi, tabiat yang paling baik ialah penggunaan akal untuk menaakul atau berfikir.
Kesemua pemupukan tabiat atau virtues terbaik menurut Aristotle ini banyak terkandung dalam cerita rakyat yang terdapat di alam Melayu. Hal ini terbukti dengan kajian oleh Hashim Musa (2008) dalam bukunya Hati Budi Melayu: Pengukuhan Menghadapi Cabaran Abad ke-21 yang menemukan bahawa sifat amanah juga merupakan salah satu daripada keperibadian milik sepunya orang Melayu. Hal ini diakui oleh Sir Frank Swettenham (2015), dalam bukunya Perihal Orang Melayu (Diterjemahkan oleh Zubaidah Ibrahim) yang menyatakan bahawa orang Melayu digambarkan sebagai kelompok masyarakat yang amanah ketika menjalankan tugas dan mendengar arahan dengan baik. Perilaku mulia ini menjadi tunjang kepada pembentukan nilai luhur yang baik dalam kalangan masyarakat Melayu dan tamadun Melayu pada masa dahulu terbina berasaskan perilaku mulia masyarakatnya sehingga bangsa Melayu terkenal di seluruh dunia melalui kisah-kisah yang terpapar dalam cerita rakyat.
Sebagai contoh, kisah Puteri Saadong yang terkenal sebagai seorang raja yang bijaksana dan sayang akan rakyatnya. Diceritakan bahawa Puteri Saadong pergi bersiar-siar di tepi pantai kerana baginda berasa risau dan bimbang kerana belum menemukan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyatnya. Ketika sedang berjalan di pantai, Puteri Saadong melihat seorang nelayan yang baru pulang dari lautan dan sedang menjual hasil tangkapannya itu kepada masyarakat sekitar di tepi pantai. Puteri Saadong terfikir untuk melakukan hal yang sama dan melalui cara tersebut, masalah pedagang yang datang ke Pantai Pengkalan Datu tidak perlu menginap di Pengkalan Datu, sebaliknya mereka boleh terus menjual barangan dagangan di tepi pantai dari perahu atau kapal yang membawa barangan dagangan.
Kisah ini jelas memperlihatkan perlakuan Puteri Saadong yang gigih memikirkan penyelesaian terhadap masalah dihadapi oleh kerajaannya. Oleh sebab itu, Puteri Saadong dilihat berfikir secara kritis sehingga mendapatkan idea yang bernas setelah melihat seorang nelayan menjual ikan kepada masyarakat sekitar menggunakan perahu. Maka, Puteri Saadong mencadangkan supaya para pedagang juga berdagang di atas perahu atau kapal mereka. Dengan cara tersebut, pedagang tidak perlu mencari tempat penginapan dan tempat penyimpanan barang dagangan. Cara ini juga lebih menjamin keselamatan pedagang dan barang dagangannya. Jalan penyelesaian itu diambil setelah difikirkan bersesuaian dengan keadaan pada waktu itu. Oleh hal yang demikian, akal budi yang dizahirkan ini memperlihatkan watak Puteri Saadong yang berfikir secara kritis untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku.
Sehubungan dengan itu, sikap kepimpinan merupakan suatu bentuk pengaruh besar yang dilakukan oleh seseorang bagi menggerakkan sesebuah organisasi atau pemerintahan. Seseorang yang berjiwa pemimpin akan sentiasa memiliki keupayaan berfikir yang luar biasa bagi memastikan struktur organisasinya mengekalkan aspek kecemerlangan. Oleh hal yang demikian, seseorang pemimpin akan sentiasa menyusun strategi bagi menyatukan orang bawahannya dengan struktur kerja yang digariskan. Kesannya, setiap pemimpin mampu mempertingkatkan usaha organisasinya agar kekal cemerlang dari semasa ke semasa. Menerusi Legenda Puteri Saadong, dapatlah disimpulkan bahawa, seorang raja yang baik dan jujur akan memikul amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas, sentiasa membantu menyelesaikan masalah rakyat dan memudahkan urusan pelbagai pihak, menjaga keselamatan dan memajukan ekonomi rakyat demi kelangsungan kehidupan.
Lantaran itu, Mohd Firdaus Che Yaacob dan Normaliza Abd Rahim (2016: 48-57), telah menyatakan dalam makalahnya, “Nilai Baik Hati Menerusi Cerita Rakyat Melayu Terhadap Masyarakat Melayu Suatu Aplikasi Teori Pengkaedahan Melayu,” bahawa tingkah laku menggambarkan keluhuran nurani seseorang dalam tindakannya bagi melakukan sesuatu perkara. Keperibadian ini wujud melalui didikan ibu bapa yang baik lalu diterapkan sebagai jati diri kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, akal budi melalui perlakuan baik hati bermaksud tingkah laku yang mempunyai hati nurani dalam tindakan yang memberi impak kepada masyarakat sekeliling.
Hal ini terbukti apabila dalam kisah Puteri Saadong dan Hikayat Cik Siti Wan Kembang yang lahir sebagai pemimpin yang hebat kerana dibesarkan dengan didikan orang tua yang bijak dan berhati mulia. Puteri Saadong diajar oleh ibundanya, Cik Siti Wan Kembang dengan latihan ketenteraan yang ketat. Puteri Saadong juga diberi pendidikan agama, bahasa, sains, seni, dan budaya sama seperti Cik Siti Wan Kembang, yang mewarisi tradisi dan budaya kebijaksanaan ayahandanya, Raja Hussien. Kebijaksanaan tersebut diperoleh melalui pendidikan, dan hal yang sama dilakukan Cik Siti Wan Kembang kepada Puteri Saadong agar legasi pemerintahan keluarganya diwarisi pula oleh puterinya.
Kehebatan dan kebijaksanaan Puteri Saadong mewarisi kebijaksanaan bondanya, Cik Siti Wan Kembang yang ditabalkan sebagai pemerintah ke-6 kerajaan Serendah Sekebun Bunga. Kebijaksanaan bondanya luar biasa apabila menolak lamaran dengan sopan, dengan alasan sekiranya baginda menerima salah satu daripada peminangan raja-raja tersebut, maka pastinya raja lain akan terasa dan boleh mencetuskan peperangan.
Sementara itu, ketokohan dan kebijaksanaan Cik Siti Wan Kembang sebagai seorang pemerintah yang bijaksana banyak dicatatkan dalam sejarah. Baginda berasa bahawa kemasyhuran namanya sebagai pemerintah wanita pertama akan menimbulkan kegusaran dan kecemburuan pemimpin lelaki yang lain, yang boleh menimbulkan konflik peperangan. Maka baginda memindahkan pusat pemerintahan baginda dari Gunung Cinta Wangsa ke Cerang Tegayung. Baginda bersama-sama para hulubalang dan rakyat baginda segera mendirikan istana di Cerang Tegayung sebagai langkah keselamatan dan memulakan pemerintahan dari sana.
Sehubungan dengan itu, pemilihan tempat yang baik dan strategik telah menjamin kedudukan istana di Cerang Tegayung, dan pentadbiran baginda berkembang dengan baik dan pelabuhan semakin pesat serta berjaya menarik perhatian para pedagang dari Jepun, China, Eropah, India, Indo-China dan Arab untuk menjejakkan kaki ke Cerang Tegayung. Pedagang Arab yang datang berniaga di Serendah Sekebun Bungalah yang memberikan gelaran “Paduka Cik Siti” kepada Wan Kembang yang kononnya mengikut catatan sejarah bermaksud Perempuan Mulia.
Hal ini membuktikan bahawa ahli keluarga berperanan penting dalam usaha membentuk persekitaran yang dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak. Demikian halnya yang terhasil daripada Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong yang berjaya menjadi manusia yang hebat kesan persekitaran keluarga yang mempengaruhi proses tumbesaran baginda berdua. Menurut Urie Bronfenbrenner (1979) dalam bukunya The Ecology of Human Development: Experiments by Nature and Design dan Noralina (2018: 127-144) menjelaskan bahawa kajian ekologi keluarga dan kesejahteraan hidup kanak-kanak mendapati bahawa sistem mikro merupakan pola aktiviti, peranan dan perhubungan interpersonal yang dialami oleh seseorang dalam latar yang mempunyai ciri fizikal dan material tertentu serta berjaya membentuk identiti sosial kanak-kanak. Sebenarnya, persekitaran yang melingkungi kanak-kanak terdiri daripada ahli keluarga, rakan, guru, jiran, peraturan, organisasi, nilai, agama, budaya serta perubahan yang berlaku dalam kehidupan turut memainkan peranan penting terhadap perkembangan sahsiah, tingkah laku, emosi dan akademik kanak-kanak.
Jelaslah bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan proses dan usaha yang praktikal untuk menghasilkan sesuatu, mengubah pandangan, atau cara berfikir, yang seterusnya membawa kepada paradigma atau perubahan dalam tingkah laku seseorang. Pendidikan merupakan proses yang berlaku secara berterusan kerana pendidikan bukan hanya boleh didapati di dalam kelas-kelas pengajian sahaja, bahkan boleh diperoleh daripada pengalaman, pemerhatian, penggunaan akal rasional, autoriti, dan ilham. Dengan demikian, pembinaan tamadun Melayu dapat diwujudkan dengan lahirnya bangsa yang berilmu sekali gus mempercepat perkembangan ekonomi dan tamadun bangsa yang dirancang pemerintah.
Seterusnya, hal yang penting ialah pendidikan yang menjadi tonggak utama dalam pembinaan masyarakat bertamadun. Pendidikan merupakan satu daripada usaha untuk merealisasikan seoptimum mungkin segala potensi kebaikan yang dimiliki oleh manusia. Pendidikan merupakan suatu latihan jasmani dan rohani bagi mencapai kecantikan dan kesempurnaan dalam usaha membina sebuah tamadun Melayu yang unggul dan kuat untuk menghadapi pelbagai ujian dan cabaran pada masa depan. Oleh itu, semuanya mestilah bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak. Penggunaan cerita rakyat sebagai modul utama pendidikan awal kanak-kanak yang paling ampuh berjaya melahirkan bangsa Melayu yang berilmu dan bertamadun. Modul ini berguna sebagai kunci utama dalam pembinaan tamadun bangsa yang utuh dan unggul.