“Maka sahaya lihat penuhlah pasar itu dengan perempuan dan segala yang berkedai dan berjaja itu perempuan belaka” (Abdullah Munshi, 1968).
“A women also has a powerful voice in important family affairs …” (William R.Roff, 1974).
“the breadwinner of the family” (Nik Zainab, 1985).
Kenyataan tersebut merupakan pendapat sarjana tentang wanita Kelantan yang terkenal dengan ciri dan keunikannya yang tersendiri. Wanita Kelantan kerap dikaitkan dengan pesona yang menarik serta bijak dalam dunia perniagaan. Dominasi kaum wanita dalam urusan perniagaan bukanlah sesuatu yang asing di Kelantan. Selain itu, peranan wanita Kelantan dalam masyarakat khususnya rumah tangga agak unik berbanding dengan wanita lain. Kenyataan ini telah diakui berabad lamanya apabila Sir Frank Swettenham (1906:314) menyatakan “… the women move about as freely as the men.” Kewibawaan yang dimiliki dalam memimpin dan menguruskan ekonomi rumah tangga membolehkan wanita Kelantan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki.
Jika dilihat dari sudut sejarah, banyak riwayat telah dirakamkan tentang wanita yang berasal dari golongan keluarga diraja atau bangsawan. Tun Kudu, Permaisuri Sultan Muzzafar Syah (1446-1459), Tun Teja anak Bendahara Pahang Seri Amar Bangsa Diraja dan Tun Fatimah anak Bendahara Tun Mutahir yang amat cantik. Tuhfat al-Nafis dan Hikayat Siak pula menyebut peranan politik beberapa orang wanita istana kerajaan Johor-Riau. Antaranya, Dang Anum isteri Megat Seri Rama, Puteri Janilan Minangkabau, Tengku Tengah dan Tengku Kamariah. Ringkasan Cetera Kelantan pula menceritakan tentang Raja Perempuan yang bernama Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong.
Cerminan Pemerintah Wanita
Kewibawaan puteri yang pernah memerintah negeri Kelantan suatu ketika dahulu dikatakan mempunyai hubung kait dengan peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat Kelantan kini. Wanita Kelantan dikatakan mempunyai keunikan tersendiri seperti yang dimiliki oleh Puteri Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong. Di Kelantan, Cik Siti Wan Kembang menjadi ikon wanita yang berperanan sebagai pemerintah. Puteri Sa’dong tidak kurang pentingnya dalam mempertahankan keutuhan dan kedaulatan Institusi Di Raja Kelantan (Haryati, 2014).
Cik Siti Wan Kembang
Cik Siti Wan Kembang dimasyhurkan menaiki takhta kerajaan Kelantan pada 1610 (Alias Mohamad 1975) dan baginda bersemayam di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan. Semasa pemerintahan baginda, pusat kerajaan ini menjadi masyhur dan dilawati oleh dagang sentri termasuk orang orang Arab. Mereka memanggil Cik Siti Wan Kembang dengan nama “Paduka Cik Siti” (Haryati, 2014).
Baginda Paduka Cik Siti juga sangat suka kepada kijang yang disembahkan oleh rakyat baginda di Gunung Ayam. Atas kecintaan ini, baginda menerapkan gambar kijang itu di atas wang mas perbelanjaan negeri dan kemudiannya gambar kijang itu dijadikan sebagai lambang kerajaan Kelantan sehingga sekarang. Dikatakan pada masa pemerintahan baginda inilah negeri Kelantan telah maju dalam bidang pertanian dan juga perdagangan (Zahir, 2006). Kehebatan Cik Siti Wan Kembang memerintah Kelantan dengan urusan perniagaan dalam dan luar negara ada tercatat dalam Ringkasan Cetera Kelantan melalui catatan Nik Mahmud (1934):
“… Cik Siti Wan Kembang menjadi raja banyaklah orang dagang senteri dari luar masuk berniaga terutama sekali orang-orang China. Dalam antara itu pada suatu masa masuklah sebuah bahtera dari Terengganu membawa berbagai-bagai dagangan; di dalamnya ada seorang Arab, apabila bahtera itu sampai ke Kuala Sungai (Kuala Sungai Nenggiri Ulu Sungai bagi Kuala Krai) berlabuhlah di situ dan turunlah beberapa banyak orang membeli barang-barang dengan buku-buku emas sambil berjual beli itu.”
Semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, di timur laut Kelantan terdapat sebuah kerajaan bertempat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti, anak angkat Raja Bersiong dan Kedah yang membawa diri ke Kelantan. Pada tahun 1649, Raja Sakti mangkat dan digantikan oleh Raja Loyor. Raja Loyor mendapat dua orang anak, seorang putera yang mangkat ketika kecil dan seorang puteri bernama Puteri Saadong. Kewujudan Kerajaan Jembal sampai kepada pengetahuan Cik Wan Kembang yang kemudiannya membuat perhubungan dengan kerajaan tersebut. Perhubungan baik ini menyebabkan Raja Loyor membenarkan Cik Wan Kembang mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat.
Selepas pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, Kelantan telah diperintah oleh seorang lagi wanita iaitu Puteri Saadong. Beliau memerintah dari tahun 1667-1671 dan merupakan pemerintah wanita yang terakhir memerintah negeri tersebut. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah, dari Jembal (Zahir, 2006).
Fizikal Wanita Kelantan
W.A. Graham (1908:26) memperihalkan ciri-ciri fizikal wanita Kelantan dengan terperinci seperti mana yang tercatat dalam bukunya Kelantan; a state of the Malay Peninsula.
Wanita Kelantan ketika muda, mempunyai kerangka badan yang kecil dan terbentuk dengan baik. Kebiasaan mereka membawa beban berat yang seimbang di kepala dan memberikan kelebihan dalam membentuk struktur badan yang tegak dengan gaya yang lemah gemalai. Wanita Kelantan mempunyai rambut yang hitam lurus biasanya panjang dan sering diikat di bahagian belakang kepala dan kerap dihiasi dengan bunga. Mereka berkulit sawo matang, bersikap periang, sopan dan sederhana namun tetap mempunyai daya tarikan.
Gambar fizikal wanita Kelantan
Sumber: Kelantan; a state of the Malay Peninsula
Namun begitu tempoh keremajaan wanita kelantan ini agak pendek kerana faktor perkahwinan awal serta terpaksa bekerja keras memudarkan pesona yang dimiliki.
Kostum wanita Melayu Kelantan yang biasa digunakan melibatkan tiga helai kain. Yang pertama iaitu ‘Sarong’ diikat kemas dipinggang dan labuh hingga ke pergelangan kaki. Kain yang kedua dipanggil ‘Kembau’ dipakai mengelilingi badan di bawah lengan dan dada labuhnya beberapa inci di bawah pinggul. Kain ketiga iaitu ‘Kelumbong’ merupakan selendang longgar yang sepatutnya digunakan untuk menutupi kepala, wajah, dan bahu, tetapi biasanya ‘Kelumbong’ hanya diletakkan sekadar di bahu tanpa menutupi kepala dan wajah. Wanita dalam semua kelas sosial memakai kostum yang sama, yang berbeza hanya pada kualiti kain bukannya pada bentuk mahupun kuantiti.
Peranan Wanita Kelantan dalam Ekonomi
Wanita Kelantan telah melibatkan diri dalam bidang ekonomi sejak dahulu lagi. W.A.Graham (1908) ada mencatatkan hampir setiap rumah terdapat satu atau lebih alat tenunan yang digunakan untuk menambah pendapatan keluarga. Kebiasaannya suri rumah dan anak perempuannya akan menenun sarung sutera untuk dipasarkan. Kemahiran turun-temurun ini membolehkan wanita Kelantan menghasilkan campuran warna yang menarik serta membentuk fesyen pola berpetak-petak menjadikan sarung sutera yang dihasilkan unik dan menarik. W.A. Graham (1908) juga melaporkan kain tenunan yang dihasilkan adalah yang terbaik serta berkualiti namun murah harganya.
Gambar ekonomi wanita Kelantan
Sumber: Kelantan; a state of the Malay Peninsula
Selain menenun sarung sutera, wanita Kelantan turut terlibat dalam urusan perniagaan dan jual beli barang dagangan. Kegiatan wanita dalam urusan perniagaan ini terdapat dalam catatan Abdullah Munshi (1968:87):
“Kemudian maka bertemulah sahaya dengan orang menjual bunga melor bercucuk-cucuk terlalu banyak, ada kira-kira segantang atau dua gantang, harganya tiga pitis maka apabila petanglah hari maka kelihatanlah beratus-ratus perempuan, seorang satu bakul hendak dibawanya ke pasar, maka adalah di dalam bakul itu serba jenis makanan dan sayuran dan pisang, tebu dan segala jenis hulam-hulam dan sebagainya. Maka sahaya lihat penuhlah pasar itu dengan perempuan dan segala yang berkedai dan berjaja itu perempuan belaka.”
Wanita Kelantan Kini
Kegiatan wanita Kelantan dengan perniagaan amat akrab. Kecenderungan dalam urusan perniagaan berterusan hingga ke saat ini apabila Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu terkenal bukan sahaja dengan hasil jualannya, tetapi kerana peniaganya didominasi oleh kaum wanita. Hampir kebanyakan kedai dan tapak pasar di situ dimiliki oleh kaum wanita. Dominasi kaum wanita di Pasar Siti Khadijah ini dikatakan menyerupai dengan pasar di Padang, Sumatera (Mohd Nor Hakimi & Mohd Rafi, 2010). Nik Zainab (1985) turut mendapati bahawa wanita Kelantan akan menjalankan perniagaan sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran walaupun berada di luar Kelantan. Keistimewaan wanita Kelantan dalam bidang ekonomi ini sangat luar biasa hinggakan diberi gelaran sebagai ‘business-minded’.
Gambar Pasar Siti Khadijah
Sumber: Facebook Pasar Besar Siti Khadijah Kota Bharu
Keunggulan wanita Kelantan dalam urusan perniagaan turut diakui di peringkat antarabangsa apabila anak jati dari Kelantan diiktiraf sebagai usahawan dan penginovasi muda berjaya di Asia. Beliau turut tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017. Nama Noor Neelofa binti Mohd Noor sudah tidak asing lagi dalam dunia perniagaan. Pelakon yang juga jutawan muda ini merupakan antara ikon wanita Kelantan yang mewarisi kehebatan Cik Siti Wan Kembang dalam urusan perniagaan hari ini.
Peranan Wanita dalam Keluarga dan Masyarakat
Antara perkara menarik yang dimiliki oleh wanita Kelantan selain daripada perniagaan ialah peranan wanita dalam masyarakat yang dikatakan sangat unik. Wanita di Kelantan dikatakan mempunyai status yang sama dengan suami mereka dalam banyak perkara (Raybeck 1974).
Keunikan wanita Kelantan dalam keluarga yang paling ketara ialah berperananan dalam menguruskan hal ehwal kewangan. Kenyataan ini diakui oleh Raymond Firth (1946) dan Rosemary Firth (1966) apabila mendapati kaum wanita menjadi ‘banker’ kepada suami. Dalam hal ini, isteri akan menguruskan perihal kewangan keluarga dengan mengawal perbelanjaan dan aliran wang. Sehubungan itu, suami akan meminta wang daripada isteri untuk perbelanjaan sama ada bagi membeli jaring, tembakau dan lain-lain (Fatimah Abdullah, 1995).
Dalam hal ini, sarjana bersetuju bahawa wanita dan lelaki Kelantan mempunyai status yang sama dalam pemilikan harta serta bebas membuat keputusan-keputusan kecil sendiri. Melalui statusnya ini kaum wanita dapat menyumbang pendapatan keluarga melalui hasil jualan ikan, sayur-sayuran, kuih-muih, tikar, mengendalikan kedai runcit, mengerjakan sawah dan tembakau (F.Raymond 1946; F.Rosemary 1966; Narendran 1975).
Wanita Kelantan juga mempunyai peranan besar dalam membuat keputusan berkaitan dengan memilih calon menantu. Hal ini diakui oleh William R.Roff (1974) melalui kenyataannya “A women also has a powerful voice in important family affairs ….” Suara dan pendapat kaum wanita ini diambil kira dalam perbincangan keluarga seperti berperanan dalam menentukan jodoh untuk anak-anak mereka (Fatimah Abdullah, 1995). Dalam hal ini kebiasaannya, ‘kata ibu merupakan kata seluruh keluarga.’ Ibu memainkan peranan penting dalam rundingan perihal jodoh anak-anak. Jika ibu membantah, maka kurang berjayalah rundingan itu. Suami selalunya hanya menurut kata isteri dalam hal ini (Nik Zainab, 1985).
Namun begitu, walaupun dapatan sarjana sebelum ini (Raybeck 1974; Sir Frank Swettenham 1906; Raymond Firth 1946) menyatakan wanita di Kelantan mempunyai peranan yang sama dengan lelaki, bagi pembuat keputusan penting masih lagi memerlukan persetujuan suami/lelaki. Kenyataan ini dijelaskan oleh William R.Roff (1974) melalui catatannya “In cases where they disagree the wife should and, usually does, concede to her husband.” Begitu juga dengan dapatan Mohd Nor Hakimi & Mohd Rafi (2010) apabila majoriti responden yang dikaji menyatakan keputusan dalam keluarga diperoleh secara perbincangan dengan kata putus terletak pada golongan lelaki.
Penutup
Wanita Kelantan diakui mahir dalam berurus niaga sama ada secara kecil-kecilan mahupun dalam skala yang lebih besar. Darah berniaga dalam kalangan wanita Kelantan ini diwarisi sejak dari turun-temurun. Kepetahan dalam berbicara dan lembut cara sapaannya membantu melariskan barang jualan yang didagangkan. Keistimewaan wanita Kelantan melalui peranan mereka dalam bidang ekonomi ialah apabila mereka berada sama ada di negeri sendiri mahupun di rantau orang, mereka tetap dengan peranan sebagai peniaga baik secara kecil-kecilan atau secara besar-besaran. ‘Business minded’ yang dipunyai oleh wanita Kelantan ini bukan sahaja dapat menjana ekonomi keluarga, malah negara. Kegigihan wanita Kelantan dalam mencari pendapatan diakui masyarakat hinggakan digelar sebagai “the breadwinner of the family” (Nik Zainab, 1985).