SALMAH OMAR (2015) dalam artikelnya, “Pengaruh Peranti Teknologi kepada Perkembangan Sosial dan Permasalahan Kesihatan Kanak-kanak” mengatakan bahawa teknologi merupakan satu keperluan utama dan bukan lagi kehendak bagi masyarakat Malaysia, terutama golongan yang menggunakan teknologi secara total dalam kehidupan seharian mereka.
Dasawarsa ini, penggunaan secara meluas peranti mudah alih seperti telefon pintar dan komputer tablet menyediakan pelbagai aplikasi baharu yang tidak dapat dinafikan kecanggihannya. Tidak hanya mempengaruhi cara kita berkomunikasi, peranti mudah alih telah menjadi wadah baharu pembacaan dan penerimaan maklumat termasuk perkembangan kesusasteraan kanak-kanak yang semakin berevolusi.
Aplikasi peranti mudah alih menyediakan banyak platform dalam mengukuhkan dampak signifikan perkembangan kesusasteraan kanak-kanak.
Ketersediaan dan kebolehpercayaan peranti mudah alih memberi impak besar terhadap kaedah kanak-kanak mengakses sesuatu bahan bacaan digital, aplikasi bacaan, dan laman sesawang pendidikan dengan lebih mudah dan pantas berbanding dengan bahan bacaan tradisional. Laporan kajian Print Books vs. E-books oleh Chiong, Ree, Takeuchi dan Erickson pada tahun 2012 menunjukkan bahawa buku-buku digital dan aplikasi memudahkan akses kepada kandungan bacaan untuk kanak-kanak dengan hanya beberapa ketukan pada skrin sesentuh. Kanak-kanak boleh mengakses pelbagai jenis bahan bacaan dari serata lokasi yang mempunyai rangkaian Internet. Hal ini menjadikan pengalaman membaca lebih mesra dan bersesuaian dengan gaya hidup moden kini.
Kelebihan ketersediaan dan kebolehpercayaan ini termasuk kemampuan untuk membawa koleksi bacaan yang besar tanpa perlu membimbit buku serta keupayaan untuk mencari bahan bacaan dengan cepat melalui fungsi carian dalam aplikasi yang tersedia. Bus et al. (2009) dalam artikelnya, “How Onscreen Storybooks Contribute To Early Literacy” menyatakan bahawa peningkatan permintaan, kebolehupayaan dan ketersediaan e-buku menjanjikan jenis bacaan versi baharu untuk menarik kanak-kanak, juga mempromosikan konsep dan kemahiran literasi awal mereka. Secara tidak langsung, ini membolehkan kanak-kanak untuk mengeksplorasi pelbagai genre bacaan dan membaca mengikut minat mereka dengan lebih fleksibel.
Ibrahim et al. (2023) dalam artikelnya, “Implikasi Gajet Terhadap Perkembangan Sosial dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak” menekankan ketersediaan dan kebolehupayaan memberi kelebihan yang jelas dalam memastikan bahawa kanak-kanak juga mampu mengakses kepada bahan bacaan berkualiti dan sesuai dengan tahap perkembangan afektif, kognitif dan psikomotor mereka kerana mereka mudah menyerap informasi yang diterima dari persekitaran.
Kontradiksinya, pengawasan daripada orang dewasa perlu dikekalkan bagi memastikan penggunaan peranti teknologi adalah seimbang, selamat dan bersesuaian dengan perkembangan sosial dan fizikal kanak-kanak. Dalam konteks ini, ketersediaan dan kebolehpercayaan yang disediakan perlu dimanfaatkan dengan aplikasi yang menarik dan interaktif, namun perlu diimbangi dengan pengurusan bijak oleh golongan dewasa bagi memastikan sesi pembacaaan yang lebih berkualiti dengan mengurangi impak negatif (Egitayanti, 2021).
Penceritaan interaktif dalam buku digital dan aplikasi membawa pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan berkesan kepada perkembangan kesusasteraan kanak-kanak. Kajian yang dilaksanakan oleh Roskos, Brueck dan Widman pada tahun 2009 menunjukkan bahawa elemen-elemen interaktif seperti animasi, suara dan aktiviti yang disertakan dalam buku digital dan aplikasi membantu dalam meningkatkan penyerapan dan pemahaman kanak-kanak terhadap kandungan bacaan. Elemen interaktif fiksyen seperti animasi banyak memperjelas konsep atau jalan cerita yang kompleks dengan visual yang lebih menarik dan padat. Kepelbagaian langgam suara berfungsi sebagai perencah menambah dimensi audio-visual kepada pengalaman idiosinkrasi terhadap perkembangan kanak-kanak dengan lebih responsif untuk pembelajaran secara lisan.
Perbincangan lebih jelas oleh Nurfarhana Shahira Rosly, Normaliza Abd Rahim dan Hazlina Abdul Halim (2016) dalam “Interaksi Ujaran Kanak-kanak Menerusi Elemen Pendigitalan dalam Penceritaan” tentang aktiviti interaktif yang disertakan dalam buku digital dan aplikasi banyak membantu meningkatkan interaksi aktif peranan kanak-kanak dalam menyelusuri sulur penceritaan dengan lebih efektif. Peranan ini membawa kesan positif terhadap pemahaman, kenikmatan kanak-kanak terhadap cerita serta menawarkan pengalaman dinamik dalam konsep warna-warni, meningkatkan kemahiran membaca untuk menyuburkan minat terhadap kesusasteraan Melayu, khasnya.
Namun, manfaat ini harus diimbangi dengan penekanan terhadap kandungan yang berkualiti dan pembelajaran yang spesifik. Che Ibrahim et al. (2021) menjelaskan bahawa terlalu banyak elemen interaktif yang tidak relevan atau terlalu mengganggu dapat mengurangkan fokus kanak-kanak terhadap penceritaan tersebut. Oleh itu, penggunaan elemen interaktif perlu diatur sebaiknya dan dicanai dengan bijak bagi memastikan manfaat yang sebenar dalam proses pembelajaran kanak-kanak dapat dicapai.
Penceritaan interaktif dalam buku digital dan aplikasi membawa kesan yang positif terhadap perkembangan kesusasteraan kanak-kanak dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan.
Walau bagaimanapun, perlu ada keseimbangan dalam penggunaan elemen interaktif bagi memastikan fokus pada pembelajaran yang efektif dan pemahaman yang mendalam dapat diimplementasi.
Perubahan dalam penulisan dan penerbitan kesusasteraan kanak-kanak adalah salah satu kesan penting daripada penggunaan peranti mudah alih. Pengaruh peranti mudah alih mampu merajai metode penulis dan penerbit dalam menghasilkan karya-karya kesusasteraan untuk kanak-kanak seperti yang dibincangkan dalam kajian, Children’s Interactions and Learning Outcomes with Interactive Talking Books oleh Underwood dan Underwood pada tahun 1998. Buku digital dan aplikasi memberi kelebihan kepada penulis dan penerbit dalam bentuk fleksibiliti yang lebih besar dalam memanifestasi sesebuah cerita dengan berkesan. Kebolehupayaan penulis dapat diaplikasi dengan bereksperimentasi melalui format yang lebih dinamik, inovatif dan kreatif seperti penggunaan animasi, audio, video, dan elemen interaktif yang mungkin sukar dicapai dalam bentuk percetakan konvensional bagi meneroka pembacaan yang lebih imaginatif.
Hussain Hashiroh dan Shiratuddin Norshuhada (2016) menyimpulkan bahawa memanipulasi teknologi dalam penciptaaan prosa cerita dinamik dapat menarik pembaca kanak-kanak dengan lebih efektif untuk menyampaikan nilai estetik atau pesanan moral. Namun, penekanan terhadap kualiti kandungan perlu diambil serius kerana penggunaan elemen teknologi dalam kesusasteraan kanak-kanak haruslah memberi tumpuan kepada pembangunan bahasa, kreativiti, dan nilai yang positif. Dalam konteks ini, pengaruh peranti mudah alih terhadap penulisan dan penerbitan kesusasteraan kanak-kanak adalah satu perkembangan penting dalam dunia literasi kanak-kanak sementelah keseimbangan terhadap nilai sosial dan pengembangan bahasa kreativiti kanak-kanak perlu dititiberatkan.
Pendidikan dan pembelajaran bahasa melalui penggunaan peranti teknologi, seperti aplikasi dan permainan interaktif bahasa menjadi topik penting dalam kesusasteraan kanak-kanak. Pada tahun 2016, Neumann melalui artikelnya, “Young Children’s Use of Touch Screen Tablets for Writing And Reading at Home: Relationships with Emergent Literacy” membahaskan bahawa peranti mudah alih ialah alat pendidikan yang efektif dan berpotensi membantu kanak-kanak memperoleh dan mengasah kemahiran bahasa dan membaca. Mereka tidak hanya menyediakan akses kepada bahan bacaan dan latihan, tetapi juga pencapaian maklumat adalah secara interaktif dan menyeronokkan sekaligus meningkatkan minat kanak-kanak terhadap pembelajaran bahasa.
Selain itu, penggunaan peranti teknologi dalam pendidikan bahasa juga melegitimasi keupayaan kanak-kanak untuk belajar secara mandiri di dalam persekitaran yang tidak formal supaya berkadar terus dengan tahap perkembangan intelektual mereka. Kebolehan pembelajaran di luar bilik darjah memberi implikasi yang positif terhadap keberkesanan pembelajaran bahasa. Perkara ini disokong oleh Mihat (2022) yang mengatakanbahawa integrasi teknologi dalam pengajaran, terutamanya Bahasa Melayu menyediakan sukatan pelajaran lebih menarik, bermakna, produktif dengan elemen penggabungan multimedia..
Rumusan yang dapat disimpulkan bahawa ketersediaan dan kebolehpercayaan peranti mudah alih berkemampuan melacak bahan bacaan dengan cepat. Namun, keperluan pengawasan orang dewasa untuk memastikan bahan bacaan berkualiti dan sebanding dengan perkembangan sosial anak-anak tidak harus dilupakan. Penceritaan dalam buku digital dan aplikasi yang lebih interaktif menyumbang pada pengalaman belajar yang lebih efektif. Tetapi, penggunaan elemen interaktif perlu diatur dengan bijak untuk mempertahankan fokus pada cerita dan pembelajaran yang lebih tersusun. Penggunaan peranti mudah alih juga telah mempengaruhi metode penulis dan penerbit dalam penghasilan karya sastera untuk anak-anak. Ini memungkinkan mereka bereksperimen dengan format yang lebih dinamik dan kreatif dengan penekanan pada kualiti kandungan dan pembangunan bahasa, kreativiti, dan nilai pendidikan yang positif. Pendidikan dan pembelajaran bahasa melalui aplikasi dan permainan pendidikan perlu dirancang secara khusus untuk mendukung pembelajaran bahasa anak-anak yang seimbang. Secara keseluruhan, penggunaan peranti mudah alih dalam perkembangan sastera anak-anak memiliki dampak yang signifikan namun perlu diatur dengan bijak, efektif dan seimbang.
Bibliografi
Bus, A., de Jong, dan S. Neuman (ed.), 2009. Multimedia and Literacy Development. New York: Routledge, Taylor & Francis.
Che Ibrahim, Norfarhana Shahira Rusli, N. F., Shaari, M. R., dan Nallaluthan, K. “Students’ Perceptions of Interactive Multimedia Applications in the 21st Century Teaching and Learning Process” dlm. Online Journal for TVET Practitioners, 6:1, 2001. https://doi.org/10.30880/ojtp.2021.06.01.003
Chiong, C., Ree, J., Takeuchi, L., dan Erickson, I., 2012. Print Books vs. E-Books. The Joan Ganz Cooney Center.
Hashiroh Hussain dan Norshuhada Shiratuddin. “Kebolehpercayaan dan Korelasi Elemen Multimedia dan Antara Muka Tablet dalam Menilai Penceritaan Digital” dlm. Asia Pacific Journal of Educators and Education, 31, hlm. 27–45, 2016. http://dx.doi.org/10.21315/apjee2016.31.3
Mihat, M. D. “Tahap Penggunaan Multimedia bagi PdPc Kemahiran Membaca dalam Kalangan Guru Pemulihan Khas” dlm. Akademika, 92(1), 2022. https://doi.org/10.17576/akad-2022-9201-04.
Neumann, M. M. “Young Children’s Use of Touch Screen Tablets for Writing and Reading at Home: Relationships with Emergent Literacy” dlm. Computers & Education, 97, hlm. 61–68, 2016.
Nurfarhana Shahira Rosly, Normaliza Abd Rahim dan Hazlina Abdul Halim. “Interaksi Ujaran Kanak-kanak Menerusi Elemen Pendigitalan dalam Penceritaan” dlm. GEMA: Online Journal of Language Studies, 16(1), hlm. 89–108. http://journalarticle.ukm.my/10138/
Underwood, G., dan Underwood, J. D. M. “Children’s Interactions and Learning Outcomes with Interactive Talking Books” dlm. Computers & Education, 30, hlm. 95–102, 1998.