Negeri Pahang Darul Makmur sangat bertuah kerana memiliki banyak batu permata berharga yang indah berkilauan di kepulauan sasteranya. Batu-batu permata ini bersinar-sinar dengan cahaya kecintaan terhadap sastera Melayu yang begitu kaya dengan keindahan bahasa serta sarat dengan pemikiran dan kebijaksanaan.
Salah seorang permata berharga itu tidak lain tidak bukan ialah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah. Uniknya, penulis ini memakai nama pena yang kedengaran feminin, iaitu M. Ashikin dalam menzahirkan perasaan melalui sajak-sajak beliau yang luar biasa indahnya. Kepengarangan beliau sudah tidak asing lagi di bumi Pahang, malahan beliau telah mengabdikan diri berpuluh-puluh tahun lamanya menukangi dan mencintai karya sastera.
Lahir pada 21 Februari 1945 di Kg. Sungai Durian, Teluk Anson, Perak, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah memegang kelayakan akademik tertinggi, iaitu Doktor Falsafah (PhD) dari Louisiana St. University, Amerika Syarikat yang diperoleh pada tahun 2000. Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam sistem pendidikan tinggi negara seperti menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula pada tahun 2001 hingga tahun 2003. Selain itu, disebabkan kepakarannya dalam bidang psikologi, beliau pernah dilantik sebagai Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia selama tujuh tahun. Berkaitan dengan kepakarannya sebagai ahli psikologi, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor pernah membentangkan kertas kerja tentang pencegahan dadah di Bangkok (Thailand), Bali (Indonesia) dan di Cebu (Filipina).
Bermula pada tahun 1961, beliau sudah gigih menukang rumah sastera dengan tiang kayu yang utuh dan berkualiti tinggi. Malahan hingga tahun 2024, beliau masih tekal melahirkan karya-karya baharu buat memeriahkan ranah sastera agar ranah ini tidak tandus lantaran kemajuan dan kemodenan yang begitu pesat. Buktinya, pada tahun 2023, beliau berjaya menghasilkan tiga buah novel berjudul Suria Tanjung Penaga, Ibuku Serikandi dan Kota Impian, di samping sebuah kumpulan puisi berjudul Cinta Terluka yang mengangkat tema kecintaan luar biasa terhadap manusia dan Tuhan Yang Esa di lembah mayapada.
Selama 63 tahun bergelumang dengan ratusan karya sastera benar-benar menjadikan beliau seorang yang taat setia terhadap inderaloka sastera, lebih-lebih lagi di negeri Pahang yang tercinta. Berlatarbelakangkan dunia psikologi sebagai bidang kepakaran dan kajian akademik, gagasan permikiran beliau rancak diperkatakan melalui Pemikiran Muhd. Mansur Abdullah (Penerbit Mentari, 2018). Buku ini diselenggarakan oleh Allahyarham Dr. Talib Samat dengan memuatkan percakapan dan perbincangan 17 orang penulis yang bersatu suara dalam memperkatakan kebaikan serta kehebatan karya-karya M. Ashikin.
Menyusuri hujahan dalam Pemikiran Muhd. Mansur Abdullah dapatlah dirumuskan bahawa Profesor Emiratus Dato’ Dr. Mohd. Mansor Abdullah bukanlah calang-calang penulis, sebaliknya setiap satu karyanya bercambah daripada gugus fikiran yang bagaikan pisau tajam yang menikam jiwa dan fikiran. Keberanian dan keperibadiannya teradun begitu sempurna sewaktu mengalihkan bidang psikologi ke dalam penulisan kreatif. Hal ini turut diulas lanjut oleh Allahyarham Dr. Talib Samat dalam tulisannya dengan mengatakan bahawa kefahaman penulis yang mendalami ilmu psikologi dengan baik telah menghidupkan watak serta perwatakan yang dibina dalam cerpen dan novel karyanya.
Sepanjang hidupnya, beliau tidak pernah sesekali berpaling tadah dalam dunia sastera. Malahan, beliau merupakan seorang penulis yang cukup versatil kerana mampu menulis lima genre penulisan sastera serentak, iaitu puisi, cerpen, drama radio dan TV, novel, kajian serta kritikan sastera, di samping bakat semula jadinya dalam menghasilkan lukisan yang cukup menarik. Di samping itu, beliau juga berkebolehan menulis buku-buku akademik dalam bidang profesional, iaitu pendidikan, kaunseling dan psikologi. Hingga tahun 2023, penulis mapan ini berjaya menghasilkan lebih 300 buah sajak yang tersiar dalam akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Minggu, Mingguan Timur dan beberapa majalah terkenal terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, dan Dewan Budaya, termasuklah majalah lain seperti Mastika, Wanita, Keluarga, dan Sarina.
Sumbangan beliau terhadap kesusasteraan negeri Pahang juga sangat banyak dan selayaknya diberikan penghargaan. Beliau merupakan salah seorang penggerak utama Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPM) dengan menjadi ahli seumur hidup melalui DPMP cawangan Pekan, Pahang dengan memegang jawatan setiausaha pada tahun 1968 hingga tahun 1978. Antara kegiatan yang beliau laksanakan pada ketika itu termasuklah mengadakan kursus dan bengkel penulisan bagi ahli-ahli DPMP, persatuan belia serta pelajar sekolah menengah di daerah Pekan.
Beliau juga menerbitkan TINTA, iaitu majalah sastera DPMP Pekan, sebanyak 12 keluaran (1974 hingga 1978) sebelum majalah itu dihentikan penerbitannya disebabkan faktor kekangan kewangan. Walaupun beliau berpindah ke UTM, Kuala Lumpur kerana membina karier, beliau tetap komited dengan DPMP sehingga dilantik menjadi Ketua 2 DPMP Pusat pada tahun 2000. Selanjutnya, pada tahun 2008 beliau menyandang jawatan Ketua 1 DPMP dan mewakili DPMP ke Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
Bagi mengenali M. Ashikin dengan lebih mendalam, elok kiranya ditelusuri lautan hasil karyanya. Antara tajuk kumpulan puisinya yang istimewa termasuklah Selasihku Bercambah (1970), Bebayang Diri (1975), Laut Kelabu (1979), Salam Anak-anak Inderapura (2002), Lembah Damai (2007), Akulah Perantau Itu (2013), Lampu Penyuluh Nurani (2022) dan Cinta Terluka (2023). Kumpulan cerpennya pula ialah Hati yang Terguris (1983), Susah Hendak Dikatakan (1978), Tiga Tanda Tanya (1983), Nina Adikku Sayang (1985), Dari Tulang Rusukku (1991), Sewangi-wangi Tulang (1992), Mencari Kebenaran (1992), Bercerai Kasih Bertalak Tidak (2009), Di Penjara Rindu (2011) dan Si Kunani Ayam Raja (2015). Dalam pada itu, antara novel terawalnya adalah seperti Putih (1974), Kembali Bergelut (1976), Permata-permata di Lumpur (1978), dan Daerah Tercinta (1979).
Tajuk karya yang disenaraikan itu hanyalah sebahagian besar karya yang telah dihasilkan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor. Hal ini membuktikan ketekunan luar biasa yang sentiasa ditampilkan oleh sasterawan negeri Pahang ini. Berkat kecekalannya juga, beliau telah dianugerahkan pelbagai anugerah kesusasteraan sama ada peringkat negeri Pahang mahupun di luar negeri. Antara hadiah dan anugerah yang pernah beliau terima ialah Anugerah Penulis Pahang oleh kerajaan Negeri Pahang (1974/75), Anugerah Penulis Perak Darul Ridzuan (1987), Hadiah Buku Kebangsaan Singapura (1989), Anugerah Tokoh Sasterawan Darul Makmur oleh kerajaan Negeri Pahang (2015), Anugerah Tokoh Penyajak GAPENA/DPMP 2022, dan Anugerah Profesor Emeritus daripada Universiti Teknologi Malaysia (2021).
Melihat senarai hadiah dan anugerah yang telah diterimanya, dapatlah dirumuskan bahawa penulis yang merupakan susuk penting dalam menggerakkan Dewan Persuratan Melayu Pahang ini sebenarnya seorang penulis yang begitu berdedikasi, prolifik dan luar biasa. Keunikan M. Ashikin terletak pada kemampuan beliau menulis dalam pelbagai genre dengan begitu baik, dan keunikan yang dimilikinya itu patut menjadi sumber inspirasi kepada penulis lain, terutama penulis generasi muda dan penulis pemula. Kegigihan dan ketaatan penulis sepanjang zaman ini membuktikan bahawa sastera bukanlah bidang yang sukar diceburi dan bukan bidang yang hanya milik orang yang berlatarbelakangkan kesusasteraan. Sastera sebenarnya berhak diterokai oleh semua penulis yang datang daripada apa-apa bidang akademik. Yang diperlukan hanyalah menulis dan berkarya menggunakan ketajaman akal dan kebijaksanaan pemikiran masing-masing. Begitulah juga gagasan yang dibawa oleh karyawan Pahang yang memegang nama Mohd Mansor Abdullah, malah beliau selayaknya digelar pengkarya sepanjang zaman.