Setiap ibu bapa mengidamkan anak yang cergas dan pintar dalam pelajaran. Namun perkara ini tidak berlaku kepada semua kanak-kanak yang dilahirkan di dunia ini. Hal ini disebabkan, setiap kanak-kanak mempunyai potensi dan tahap pencapaian mengikut kemampuan individu tersebut.
Penguasaan 3M, iaitu menulis, membaca dan mengira merupakan salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap kanak-kanak. Namun, tidak semua kanak-kanak yang diajar oleh guru boleh menguasai kemahiran 3M dengan sempurna. Jika pelajar terbabit tergolong dalam kategori pelajar yang pintar, perkara terbabit tidak mendatangkan sebarang masalah, namun ia memberikan kesan yang besar kepada kanak-kanak yang menghidapi disleksia.
Perkataan disleksia berasal daripada perkataan Greek, iaitu dyslexia. Dys bermaksud kesukaran, manakala lexia bermaksud perkataan. Jadi, disleksia bermaksud kesukaran menggunakan leksikon, menurut Newton dan Thomson, 1974. Word Federation Of Neurology (1968) mendefinisikan disleksia sebagai kecelaruan bahasa yang berlaku dalam kalangan individu yang pernah mendapat pembelajaran bahasa di dalam kelas tetapi gagal memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengeja separa daripada daya inteleknya.
Berdasarkan takrifan ini dapat kita nyatakan bahawa disleksia merupakan salah satu fenomena kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira dengan setara berbanding kanak-kanak normal. Ramai beranggapan bahawa kanak-kanak disleksia merupakan pelajar yang lembap. Pandangan ini disandarkan bahawa kanak-kanak yang menghidapi disleksia dan kanak-kanak lembap mempunyai ciri yang sama, iaitu sukar menguasai kemahiran 3M.
Namun, takrifan ini perlu diperbetul daripada perspektif masyarakat kerana disleksia dan pelajar yang lembap mempunyai ciri perbezaan yang tertentu. Antara ciri terbabit ialah kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan intelek aras sederhana, iaitu aras 100 atau lebih daripada 100. Kanak-kanak disleksia juga mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi berbanding kanak-kanak lembap yang lebih suka mendiamkan diri. Kanak-kanak lembap dikatakan mempunyai daya intelek yang terhad, iaitu aras kecerdasan 70 atau kurang daripada 70, dan mempunyai masalah membaca serta menulis pada tahap membimbangkan.
Disleksia dikategorikan kepada empat, iaitu disleksia visual, disleksia auditori, disleksia visual-auditori dan disleksia genetik. Bagi kanak-kanak disleksia visual, mereka mengalami kesukaran mengingati huruf A hingga Z, di samping sukar membezakan, memahami, dan mengingati perkataan yang dilihatnya. Kanak-kanak disleksia kategori ini dapat dikesan melalui tidak balasnya yang cenderung membalikkan huruf (p-q), (b-d), (m-w), (v-n), dan (d-q). Mereka juga akan membalikkan beberapa perkataan seperti “gula” menjadi “lagu”, atau “ulat” menjadi “talu”.
Bagi kanak-kanak disleksia auditori, mereka mengalami kesukaran mempelajari dan mengekalkan bunyi huruf kerana tidak dapat mendiskriminasikan bunyi huruf bagi perkataan yang sama. Contohnya, perkataan “perang” dan “perang” dengan bunyi e taling dan e pepet. Kanak-kanak disleksia auditori juga kerap tersalah membunyikan perkataan, mencampuradukkan bunyi dan menceraikan huruf daripada perkataan.
Manakala, kanak-kanak yang menghidapi disleksia visual-auditori, golongan ini dikatakan lemah daripada segi tanggapan dan daya ingatan. Disleksia jenis ini berlaku disebabkan gangguan daripada dalam telinga, koordinasi mata, serta fikiran. Kanak-kanak yang menghidapi disleksia visual auditori mempunyai daya ingatan yang sangat lemah.
Disleksia genetik pula lazimnya diwarisi daripada ibu bapa atau keturunan yang mempunyai sejarah penghidap disleksia. Pasangan kembar seiras mempunyai potensi yang besar menghidapi disleksia berbanding kembar tidak seiras.
Punca disleksia masih lagi hebat diperdebatkan oleh ahli bahasa mahupun para ahli neurologi. Setelah bertahun-tahun spekulasi tentang punca disleksia dibincangkan akhirnya diketahui bahawa disleksia mempunyai kaitan dengan kecederaan otak kanan atau otak kiri. Menurut Loraine K. Obler dan Kris Gjerlow, otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera, iaitu hemisfera kiri dan hemisfera kanan yang disambung kepada korpus kalosim.
Otak kiri berfungsi menguruskan penggunaan bahasa, menerbitkan perkataan, membentuk bunyi-bunyi serta mengimbangkan tatabahasa dengan peraturan sintaksis, dan pemikiran logik. Manakala, otak kanan pula berfungsi mengendalikan pengecaman pola, imej, pemikiran kreatif serta kemahiran seni. Vijayaletchumy Subramaniam dalam makalahnya Disleksia Daerah Bahasa yang Kecil, menyatakan bahawa kanak-kanak dapat mengimbangkan kedua-dua hemisfera otak tetapi lazimnya hanya satu bahagian sahaja yang dominan.
Kajian berkenaan disleksian masih lagi baharu di Malaysia dan tidak ramai ahli akademik benar-benar serius mengetengahkan isu ini untuk dibincangkan. Menurut laporan akhbar Berita Harian bertarikh 24 Mac 2012, terdapat 50 peratus atau 90,000 kanak-kanak negara ini menghadapi masalah pembelajaran seawal usia lima hingga enam tahun yang berpunca daripada masalah disleksia.
Manakala, menurut laporan Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember 2005 menyatakan bahawa 350,000 murid sekolah rendah kebanyakannya bangsa Melayu menghidapi disleksia. Berdasarkan laporan kedua-dua akhbar berkenaan, dapat disimpulkan bahawa masalah disleksia ini bukanlah satu masalah remeh yang boleh dipandang sebelah mata sahaja. Jika dibiarkan, perkara ini dikhuatiri memberikan impak kepada negara dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti.
Terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan masalah disleksia belum mencapai penyelesaian yang sistematik. Antaranya, kurangnya pengetahuan guru dan ibu bapa berkenaan masalah disleksia. Hal ini disebabkan, guru mahupun ibu bapa tidak tahu mengesan petanda awal wujudnya masalah disleksia cara diagnosis, serta tidak tahu bentuk bantuan khas untuk kanak-kanak tersebut.
Di samping itu, terdapat juga sebilangan ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka mengalami masalah disleksia dan beranggap perkara ini berlaku secara semula jadi. Tidak kurang juga ibu bapa memberi jangkaan bahawa sistem pembelajaran yang ada sekarang mampu memulihkan masalah disleksia yang dihidapi oleh anak mereka.
Pada hari ini, teknologi moden telah banyak memberikan bantuan kepada kanak-kanak yang diskleksia. Salah satunya ialah perisian Phonics Tutor Software yang diperkenalkan oleh Profesor Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM). Melalui perisian ini, guru-guru dapat mengajar kanak-kanak disleksia dengan lebih mudah. Bukan sahaja sesi pengajaran lebih bersifat interaktif dan menyeronokkan, kanak-kanak berkenaan juga dapat dipulihkan dengan cepat.
Selain itu, peranan yang dimainkan oleh Persatuan Disleksia Malaysia (PDM) dalam membantu golongan penghidap disleksia dengan mengadakan kelas pemulihan dan juga membuka beberapa kelas pemulihan disleksia di sekolah-sekolah terpilih, harus dipuji. Mekanisme ini diambil oleh PDM sebagai langkah membantu kanak-kanak disleksia dalam menguasai kemahiran 3M dan melonjakkan kualiti modal insan di Malaysia.
Sehingga kini difahamkan seramai 118 guru dikhususkan untuk membimbing kanak-kanak disleksia melalui sekolah khas. Namun, jumlah guru ini amat sedikit berbanding bilangan pengidap disleksia yang jauh lebih besar jumlahnya. Oleh yang demikian, peranan masyarakat amat diperlukan dalam membantu menangani masalah disleksia terutama dalam kalangan ibu bapa.
Menurut Leong, kanak-kanak disleksia memerlukan arahan berulang-ulang kali agar mereka tidak ketinggalan dalam mengikuti pelajaran. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan yang sewajarnya dengan meluangkan masa secukupnya untuk berkomunikasi dengan anak-anak disleksia dan memberikan semangat kepada mereka. Ibu bapa juga digalakkan membacakan buku kepada anak-anak ini supaya mereka dapat menyebut huruf dengan betul. Di samping itu, para guru juga perlu mempelbagaikan corak pengajaran, iaitu dengan menggunakan teknik mendengar, melihat dan menyentuh bagi meningkatkan tahap kemahiran membaca kanak-kanak disleksia. Bagi kanak-kanak yang tidak boleh membaca, pengajaran boleh dilakukan dalam kumpulan yang lebih kecil.
Kesimpulannya, semua pihak merangkumi guru, ibu bapa mahupun masyarakat perlu berganding bahu menangani masalah disleksia dalam kalangan kanak kanak di negara ini. Masalah ini tidak mencapai matlamat penyelesaian sekiranya ibu bapa menyerahkan tugas dan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru untuk membimbing kanak-kanak disleksia. Hal ini disebabkan, masa guru bersama kanak-kanak hanya terhad di sekolah dan selebihnya bersama ibu bapa di rumah. Oleh itu, ibu bapa bersama-sama guru perlulah menjalin kesepakatan dalam menyelasaikan hal ini bak kata pepatah Melayu “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.