Tarikh 17 Mei 2025 menjadi saksi lembaran sejarah penuh bermakna bagi Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-69.
Bertempat di Rumah Mubarak, Jalan Kemunting, Kuantan, majlis sambutan yang diadakan bukan sahaja sekadar meraikan usia sebuah institusi persuratan yang disegani itu, tetapi yang lebih penting, menjadi medan penyuburan semangat dan pengukuhan iltizam dalam meneruskan agenda memartabatkan bahasa, sastera, dan budaya Melayu di bumi Pahang Darul Makmur.
Majlis dimulakan dengan suasana penuh khusyuk melalui bacaan tahlil dan doa selamat. Sesi yang dipimpin oleh Naib Presiden DPMP, Yang Hormat Dato’ Dr. Ahmad Munawar bin Abdul Jalil, ditujukan khas buat ahli DPMP yang telah kembali ke rahmatullah.
Doa dipanjatkan semoga segala jerih payah dan sumbangan mereka dalam memperjuangkan serta memelihara kelestarian budaya, bahasa, dan nilai murni agama di Pahang diterima sebagai amal ibadah yang diredai oleh Allah SWT.
Kehadiran tokoh ulung dalam persada bahasa dan sastera negara menyerikan majlis yang penuh bersejarah ini. Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin bin Datuk Wira Borhan, Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), telah sudi hadir dan seterusnya merasmikan majlis sambutan ulang tahun DPMP.
Kehadiran beliau bukan sahaja satu penghormatan besar tetapi juga melambangkan sokongan padu dan pengiktirafan badan induk penulis kebangsaan terhadap perjuangan dan sumbangan DPMP selama ini.
Turut menyampaikan ucapan yang penuh bersemangat ialah Presiden DPMP sendiri, Yang Dihormati Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Mohd Mansor bin Abdullah. Beliau bukan sahaja mengimbau perjalanan DPMP tetapi turut mendeklamasikan sebuah sajak yang dicipta khas untuk DPMP dan seluruh warganya.
Sajak tersebut sarat dengan mesej mendalam, mengingatkan perihal amanah dan maksud perjuangan sebenar yang harus dipikul, terutamanya setelah DPMP mengharungi pelbagai ranjau pahit manis selama berdekad-dekad dalam memperjuangkan peradaban bangsa di negeri Pahang.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pahang, Encik Rizal bin Ismail, yang baru dua minggu memulakan tugasnya di Pahang. Kehadiran beliau menandakan harapan untuk jalinan kerjasama yang lebih erat antara DPMP dengan JKKN Pahang.
Tidak ketinggalan, Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Pahang, Encik Usdi bin Abdullah, turut hadir, mengisyaratkan kepentingan pendokumentasian sejarah dan sumbangan DPMP.
Semangat persahabatan serantau jelas terpancar dengan kehadiran Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Tuan Kamarulzaman Ismail. Kehadiran beliau bersama-sama delegasi dari negeri jiran bukan sahaja memeriahkan suasana tetapi juga memperkukuh jaringan kerjasama antara persatuan penulis di Wilayah Pantai Timur.
Cuaca yang redup dan tenang pada hari tersebut seolah-olah meraikan majlis yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh kedamaian. Setiap hadirin berpeluang untuk berkongsi maklumat, bertukar-tukar fikiran, dan menawarkan apa-apa jua bentuk bantuan serta khidmat yang boleh disumbangkan.
Pertemuan tidak formal sebegini terbukti amat bermanfaat, menjadi medium untuk DPMP terus bangkit dengan gagah, serta merealisasikan segala niat murni yang telah menjadi asas penubuhannya sejak hampir tujuh dekad yang lalu.
Sebagai tanda penghargaan dan selaras dengan keindahan budaya Melayu yang sentiasa menghargai tetamu, DPMP turut menyampaikan cenderamata kepada para hadirin. Pemberian ini menjadi simbol kasih sayang dan ikatan silaturahim yang erat, mencerminkan semangat saling menyokong dalam apa-apa juga keadaan.
Ukhuwah yang begitu kental ditunjukkan sepanjang majlis ini pastinya akan terukir sebagai satu monumen dan kenangan indah buat seluruh ahli DPMP dan menjadi suntikan semangat untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih yakin.
DPMP bertekad untuk terus mengorak langkah menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang eksklusif dan berwibawa, khususnya dalam mendidik dan memimpin ahlinya untuk terus berjuang mengangkat martabat peradaban bangsa Melayu di bumi Pahang ini.
Perjuangan DPMP, yang bermula sejak penubuhan Lembaga Persuratan Melayu Pahang (LPMP) pada tahun 1956, dan seterusnya penubuhan rasmi DPMP pada 17 Mei 1957 di Temerloh oleh tokoh seperti Saiyed Ahmad Saiyed Abdullah (Sahmad Malaya), Arman Sani (Armuhata), Hasan Haji Abu Bakar (Hasni), dan Abdul Karim Abdullah (Bung Karim), suatu legasi yang tidak ternilai.
Semangat dan idealisme yang telah diwariskan oleh para pejuang terdahulu akan terus menjadi suluh panduan. Majlis ulang tahun ke-69 ini bukan sekadar satu perayaan, tetapi satu penegasan semula komitmen DPMP untuk terus menjadi benteng bahasa dan persuratan, menyumbang kepada pembangunan akal budi bangsa, serta memelihara warisan untuk generasi akan datang, seiring dengan cabaran dan tuntutan zaman.
