Meniti arus kepesatan dunia sastera Melayu khususnya di negeri Pahang Darul Makmur, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) kian melebarkan sayap. Sewaktu awal-awal penubuhannya pada 17 Mei 1957 di Sekolah Laki-laki Temerloh, hanya sekitar seratus orang ahli demi minat yang mendalam terhadap seni penulisan. Mereka terdiri daripada pendidik dan khalayak yang benar-benar mahu mengabdikan diri dalam dunia kesusasteraan.
Selari dengan objektif penubuhan DPMP, organisasi ini ditubuhkan tidak lain tidak bukan untuk menyatukan penulis, peminat dan penggiat sastera dan budaya dalam suatu organisasi yang berperlembagaan.
Terkini, DPMP mempunyai sekitar 400 orang ahli yang sering menyumbangkan idea dan tenaga dalam membangunkan persatuan. DPMP juga giat menganjurkan pelbagai program demi menggalakkan para ahli meneroka dunia penulisan yang pelbagai warna. Pada 28 September sehingga 1 Oktober 2023, DPMP kawasan Rompin menganjurkan Bengkel Penulisan Buku Cerita Kanak-kanak Bergambar di Salang Resort, Pulau Tioman. Seramai 31 orang ahli DPMP dari daerah Rompin dan Kuantan turut menyertai bengkel yang diadakan tersebut.
Menariknya, para peserta bengkel ini terdiri daripada ahli aktif yang berumur antara 16 tahun sehingga 61 tahun dengan matlamat untuk mempelajari kaedah dan teknik menghasilkan buku cerita kanak-kanak bergambar. Dua orang pelukis amatur turut diundang sebagai pembimbing dalam bengkel tersebut. Sementara, dua orang penceramah dijemput iaitu Encik Basari bin Mat Yasit dan Encik Nor Azhar bin Ishak atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Nai. Kedua-dua mereka ialah karyawan yang tidak asing lagi dalam dunia buku kanak-kanak di Malaysia, malahan di peringkat antarabangsa.
Secara umumnya, proses penulisan buku cerita terdiri daripada beberapa proses yang diberi akronim ABCDEF. A ialah reka cerita yang berkonsepkan 3P iaitu pengenalan, pertengahan dan penamat. B pula ialah bod cerita yang diwakili 3R iaitu reka watak, reka letak dan reka gerak. Sementara C ialah cerita yang perlu menarik dan memiliki kekuatan. Akronim D membawa maksud dummy iaitu buku lakaran awal yang dilukis oleh ilustrasi. E pula membawa maksud ilustrasi yang menguatkan cerita, menarik pembaca dan bersifat boleh berdiri sendiri. Akhir sekali, F sebagai fasa buku iaitu buku sebenar, namun masih boleh disunting dan menjadi panduan kepada pencetak.
Para perserta telah dibawa menelusuri sejarah Pulau Tioman yang cukup menarik dan unik. Beberapa versi cerita orang-orang dahulu tentang Pulau Tioman digali dan cuba diceritakan semula dalam bentuk buku cerita bergambar. Untung sekali, sepanjang berada di Pulau Tioman, para perserta dapat bermeditasi dengan keindahan alam semula jadi. Bunyi debur ombak yang cukup mendamaikan fikiran, air lautan sehijau zamrud yang menyuntik ilham ke dalam fikiran serta pemandangan ikan-ikan pelbagai bentuk dan corak sedang bermain-main di dasar lautan yang benar-benar menginspirasikan!
Berbekalkan bahan bacaan daripada pelbagai sumber serta cerita lisan orang-orang dahulu, sejarah asal usul Pulau Tioman memiliki berbeza-beza. Antaranya, asal usul Pulau Tioman bermula daripada kisah seekor naga yang meninggalkan Tasik Chini selepas kalah dalam pertarungan dengan naga penghuni tasik tersebut iaitu Naga Seri Gumum. Selepas tewas, naga jantan bernama Daik itu membawa diri dengan berenang ke Kepulauan Riau yang terletak di bahagian selatan Semenanjung Malaysia. Dalam perjalanan merentasi perairan Mersing, naga betina itu dikatakan tersangkut pada sebuah bubu lalu terkena sumpahan dan bertukar menjadi sebuah pulau. Pulau yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan adalah Pulau Tioman yang mempunyai dua ‘tanduk’ iaitu Gunung Nenek Semukut dan Batu Sirau.
Selain itu, nama Tioman juga dikatakan diambil bersempena nama seekor burung iaitu burung Tiong. Lantaran sejarah Pulau Tioman memiliki banyak versi, maka para peserta tampil dengan pelbagai tajuk buku cerita kanak-kanak seperti “Gunung Daik Cabangnya Tiga”, “Siraj Si Naga”, “Gunung Nenek Semukut Pulau Tioman” dan “Cip! Cip! Burung Tiong”. Judul-judul ini merupakan judul asal yang belum diperhalusi dan belum melalui proses penghasilan buku cerita kanak-kanak bergambar yang ternyata bukanlah mudah.
Lebih daripada itu, para peserta juga diminta menghasilkan skrip cerita dogeng atau moden rekaan sendiri. Lahirnya pelbagai idea menarik yang berupaya diketengahkan sebagai buku cerita kanak-kanak bergambar yang sesuai dibaca tanpa mengira umur. Antara draf judul yang ditulis oleh peserta ialah “Buku Catatan Amri”, “Di Mana Gobek Nenek?”, “Aku Budak Pulau” dan “Layang-Layang Terbang Tinggi”. Kebanyakan peserta memiliki kemampuan melukis dan menghasilkan ilustrai yang cantik dan memukau. Tambahan, latar belakang dan pengalaman mereka sebagai penulis banyak membantu mereka mengembangkan cerita dengan baik.
Selepas empat hari berbengkel, para peserta berjaya menghasilkan bod cerita dan dummy untuk diserahkan kepada Bahagian Buku Kanak-Kanak, Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dinilai. Secara keseluruhannya, para peserta sangat bertuah kerana mendapat bimbingan terus daripada dua orang tenaga pengajar yang pakar. Tenaga pengajar memperkenalkan teknik-teknik penting yang selama ini tidak diketahui secara mendalam seperti teknik penulisan yang betul, teknik melukis, teknik mewarna, teknik kolaj dan sebagainya. Setiap ahli DPMP berasa lebih yakin dan bersungguh-sungguh untuk menyerlahkan bakat terpendam, di samping mengangkat sejarah asal usul Pulau Tioman sebagai penghargaan dilahirkan serta dibesarkan di negeri Pahang Darul Makmur.