SYAIR merupakan bentuk sajak Melayu lama yang telah lama diatur dan didendangkan oleh orang Melayu sejak dahulukala. Kehebatan syair sama seperti pantun dan gurindam yang sering menjadi pilihan masyarakat Melayu silam. Kekuatan syair terletak pada lafaznya berurutan, terikat dalam suatu penceritaan ataupun penghuraian panjang. Tujuan syair dikarang adalah untuk menyampaikan sesuatu cerita atau peristiwa, amanat ataupun pesan. Syair Melayu yang telah lama berevolusi dalam sastera Melayu merupakan genre yang telah mantap dari sudut penyebaran dan penggunaannya.
Menurut Alwi (1983:61), perkataan syair berasal daripada bahasa Arab yang beerti perasaan yang menyedari dan syair itu merujuk kepada suatu karangan yang tersusun rapi perkataan secara berangkap-rangkap, seimbang serta mempunyai pertentangan bunyi yang sama pada hujung tiap-tiap barisnya. Kebiasaan syair terbit daripada ketinggian cara berfikir dan dilafazkan dengan bahasa yang indah dan berhias. Oleh sebab itu, syair dapat mengharukan perasaan atau membangkitkan rasa gembira di hati seseorang. Syed Naquib (1968:1) menyatakan syair terawal di Nusantara berasal dari Sumatera pada abad ke-16 karangan Hamzah Fansuri. Syair pada peringkat awal berbentuk keagamaan kerana terpengaruh dengan bentuk syair dari Arab-Parsi yang berlandaskan karya-karya sufi. Namun begitu, setelah bertapak kukuh di alam Melayu, syair mula berkembang kepada idea yang berkaitan dengan dunia Melayu secara khusus (Mohd Yusof, 1986:9). Walau bagaimanapun, seperti pantun dan genre puisi Melayu lama yang lainnya, syair juga mengalami polemik yang panjang dan berterusan berhubung dengan asal usul penciptaan dan penyebarannya dalam kesusasteraan dan kehidupan masyarakat Melayu.
Syair merupakan puisi terikat yang terdiri daripada empat larik serangkap, empat perkataan selarik, mempunyai jeda yang sama. Setiap rangkap syair berkronologi dan bertautan antara setiap rangkap kepada rangkap seterusnya bagi menyampaikan keseluruhan idea dan cerita. Istilah-istilah syair seperti syair romantis, syair panji, syair sejarah, syair agama, syair simbolik dan sebagainya ialah sebahagian daripada tema atau isi bukan mewakili jenis atau bentuk (Harun Mat Piah, 1989:19). Syair memiliki kekuatannya tersendiri kerana syair dapat membangkitkan pelbagai emosi seperti emosi riang, gembira, sedih, duka, bangga dan dendam. Setiap syair dihasilkan oleh pengarang mempunyai tema dan isi yang tersendiri. Tema dan isi ini memperlihatkan keluasan ruang lingkup yang ada pada syair dan cara pemakaiannya dalam kesusasteraan dan kehidupan masyarakat Melayu. Dalam erti kata lain, setiap syair yang dihasilkan mempunyai wadah-wadahnya yang tersendiri.
Syair Duka Nestapa karangan Sultan Ahmad Tajuddin adalah bertemakan sastera sejarah dan ditulis di Melaka. Syair ini dikarang pada 1842 dan mempunyai 450 rangkap, bersifat romantik iaitu, penuh dengan simbolik yang melukiskan penderitaan dan untung nasib serta duka nestapa yang dialami oleh beliau sewaktu dalam buangan di Melaka. Syair ini begitu meruntun jiwa emosi kepada sesiapa sahaja yang membacanya kerana dikarang sendiri oleh Sultan Ahamad Tajuddin. Kesedihan ini dapat dirasai melalui petikan-petikan syair di bawah:
Dengarkan tuan suatu warita,
Ke jalan diri pula dinyata,
Perinya nasib untungnya beta,
Selama-lamanya berdukacita.
Dukacita malam dan siang,
Semangat melapi arwah melayang,
Asyik Binudama ditayang-tayang,
Seperti budak gilakan bayang.
Tiada kuasa merawan sayu,
Laksana kembang asakan bayu,
Pilu dan belas duduk merayu,
Badan pun bagai pandan layu. (Syair Duka Nestapa, 2021:1-2)
Kesedihan ini berlaku kerana Sultan Ahmad Tajuddin telah diturunkan dari takhta kerajaan pada tahun 1821 kerana Kedah telah diserang oleh Siam. Sejarah telah membuktkan bahawa Kedah merupakan negeri naungan Siam pada ketika itu, namun yang lebih menyedihkan beliau turut ditipu oleh Inggeris yang berjanji akan membantu Kedah sekiranya diserang oleh Siam. Namun begitu janji itu yang tidak pernah ditunaikan oleh Inggeris. Selain itu, setelah kekalahan tersebut Sultan Ahmad Tajuddin terpaksa melarikan diri ke Pulau Pinang dan meminta bantuan Inggeris. Namun permintaan ini ditolak kerana kedudukan Inggeris turut tergugat berikutan serangan yang diterima daripada Burma juga melemahkan pentadbiran Inggeris. Kekecewaan akibat ditipu oleh Inggeris dapat dirasai dalam rangkap syair seterusnya:
Sakitnya kakak menahan pilu,
Jam jam diraja cerai bertalu,
Hatiku sangat belas dan pilu,
Bagai dihiris dengan sembilu.
Kakak menanggung duka nestapa,
Tiadakah tuan belas dan papa,
Sungguhpun tiada memandang rupa,
Di dalam hati tiadalah lupa. (Syair Duka Nestapa, 2021:3-4)
Sudahlah karangan nasib kakanda,
Janji suara nan demikian ada,
Menanggung masyghul berganda-ganda,
Bagai bekah di dalam dada. (Syair Duka Nestapa, 2021:12)
Ungkapan “bagai dihiris dengan sembilu” melihat kesedihan dan juga kekecewaan yang tidak dapat disembuhkan lagi. Nada mendayu-dayu dan melankolik ini sudah pasti meruntun jiwa pembaca. Rangkap syair di atas bukan sahaja berkaitan dengan kesedihan tetapi juga penyesalan kerana telah terjatuh ke dalam perangkap Inggeris yang menyebabkan nasibnya bertambah malang. Sultan Ahmad Tajuddin telah membenarkan Inggeris membuat penempatan di Kedah dengan harapan Inggeris akan membantu dari aspek ketenteraan. Namun begitu, Inggeris telah memungkiri perjanjian kerana dalam masa yang sama telah menjalin hubungan dengan Siam dan kepentingan Inggeris akan lebih terjamin dengan adanya Siam sebagai salah satu kuasa ketenteraan yang terkuat dan ditakuti di rantau asia Tenggara ketika itu (Muhammad Yusoff Hashim,1980:15). Simbol sayu dan hiba di tambah lagi melalui episod cinta Raden Kertapati dan Raden Galuh Cendera Kirana dari kisah panji Jawa yang terpaksa berpisah dan akhirnya menyatu kembali
Jikalau ada penguasa dan sakti,
Seperti Raden Kurta Pati,
Baik paras yang sejati,
Dapatlah tuan bila ku mati.
Jika seperti panji kelana,
Di panca pentaka aji serana,
Ketika masuk ke dalam istana,
Memalingkan Raden Candra Kirana. (Syair Duka Nestapa, 2021:7)
Kematian kakak supaya berguna,
Masyur warita ke mana-mana,
Mati berahi seorang kelana,
Sebab kalah Candra Kirana. (Syair Duka Nestapa, 2021:13).
Seperti Raden Kurta Pati,
Dengan Ratu Anum berosak hati,
Sakit berahi bagaikan mati,
Masa bekerja seribu pati. (Syair Duka Nestapa, 2021:27)
Namun perpisahan yang di alami oleh Raden Galuh Cendera Kirana dan Raden Kertapati hanyalah bersifat sementara apabila kerana mereka juga akhirnya bersama kembali begitu juga dengan kisah sengsara Sultan Ahamd Tajuddin. Setelah 20 tahun berada dalam buangan dan Kedah dalam cengkaman Siam akhirnya pada 1841 Kedah dapat dibebaskan atas desakan Inggeris dan Sultan Ahmad Tajuddin kembali menaiki takhta Kedah. Sultan Ahmad Tajuddin telah diiktiraf sebagai wira dan juga pejuang kemerdekaan Kedah. Dalam masa yang sama beliau juga merupakan penaung kesusasteraan dan telah menghasilkan Syair Sultan Maulana yang menceritakan peperangan Siam-Burma dan penglibatan tentera Kedah dalam peperangan tersebut.
Penutup
Syair Duka Nestapa merupakan syair yang penuh elemen kesedihan dan dukalara yang dialami oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Meskipun diasak oleh kekuasaan Siam dan Inggeris kesultanan Kedah masih mampu bertahan dan berdiri dengan megahnya sebagai salah satu kesultanan tertua di alam Nusantara.
Rujukan.
Alwi Salim. 1983. Puisi Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Harun Mat Piah. 1989. Puisi Melayu Tradisional Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Yusof Md.Nor. 1986. Puisi Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Muhammad Yusoff Hashim. 1980. Pensejarahan Melayu Nusantara. Singapura: Teks
Publisihing Sdn. Bhd.
Syed Naquib al-Attas. 1968. The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya Press.
Wan Roshazli Wan Razali. 2021. Syair Duka Nestapa. (peny). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.