Skip to content
Emping dan Ringgi: Makanan Tradisonal Masyarakat Pesawah di Negeri Kedah
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Kearifan Tempatan > Emping dan Ringgi: Makanan Tradisonal Masyarakat Pesawah di Negeri Kedah
Emping dan Ringgi: Makanan Tradisonal Masyarakat Pesawah di Negeri Kedah
Kearifan Tempatan

Emping dan Ringgi: Makanan Tradisonal Masyarakat Pesawah di Negeri Kedah

  • ZAIDIN ABADI
  • 20 Julai 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 9

EMPING dan ringgi ialah dua jenis makanan tradisional di negeri Kedah yang semakin tidak diketahui cara membuatnya. Makanan tradisional ini mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri dari segi bentuk, warna serta proses pembuatannya. Selain rasa enak dan sedap,  emping dan ringgi merupakan makanan tradisonal yang sering dinikmati oleh  masyarakat pesawah khususnya beberapa dekad silam.

          Menurut Kamus Dewan Perdana (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2021) emping merupakan sejenis makanan ringan yang dihasilkan daripada padi muda yang disangai dan ditumbuk sehingga pipih bentuknya.  Manakala ringgi pula ialah emping yang dibuat daripada padi pulut yang masih lembut isinya.

           Antara padi pulut yang biasa digunakan untuk membuat emping dan ringgi ialah pulut gantung alu, pulut galah, pulut sutera dan pulut hitam. Emping berwarna putih kerana  diperbuat daripada padi yang hampir masak, padi perlu direndam semalaman terlebih dahulu. Ringgi pula berwarna hijau kerana  diperbuat daripada padi muda atau padi yang beringgi, iaitu buah padi yang sedang berisi dan masih lembut isinya.

   Pembuatan emping dan ringgi di negeri Kedah merupakan salah satu kegiatan tradisional yang diwarisi turun-temurun. Proses pembuatannya agak rumit dan perlu melalui beberapa peringkat yang memakan masa sehingga hampir 12 jam lamanya. Lazimnya proses membuat emping dan ringgi ini dilakukan secara gotong-royong oleh kaum wanita di kampung.

          Emping dan Ringgi: Makanan Tradisonal Masyarakat Pesawah di Negeri Kedah

 Pada masa dahulu proses membuat emping dan ringgi biasanya dilakukan oleh para petani pada masa lapang  ketika menanti padi masak sepenuhnya sebelum dituai. Justeru, untuk mengisi masa yang terluang, mereka akan berpakat untuk membuat emping dan ringgi. Kegiatan ini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

         Secara tradisinya pembuatan emping dan ringgi oleh masyarakat pesawah di Kedah melalui empat peringkat prosesnya, iaitu mengetam, mengukur, menggoreng dan menumbuk. Selain daripada itu peralatan yang digunakan juga adalah peralatan tradisional yang diwarisi sejak zaman berzaman dahulu.

          Peringkat pertama ialah proses  pemilihan padi dari sawah. Kerja mengambil padi itu dikenali sebagai mengetam biasanya dilakukan pada waktu pagi ketika padi berada dalam keadaan segar.  Kerja-kerja mengetam biasanya dilakukan oleh kaum wanita kerana proses ini agak rumit dan perlu berhati-hati supaya tidak terketam padi-padi yang sudah terlalu tua (masak).

Emping dan Ringgi: Makanan Tradisonal Masyarakat Pesawah di Negeri Kedah

        Alat yang digunakan untuk mengetam padi disebut  sebagai renggam yang diperbuat daripada papan, buluh dan mata pisau. Papan bersaiz 4 x 3 cm ditebuk pada bahagian tengah sebelah atasnya. Sebatang buluh kecil kira-kira sejengkal panjang dimasukkan ke dalam lubang itu untuk dijadikan tangkai atau pemegang. Sebilah mata pisau kecil akan diletakkan di sebelah bawah papan tersebut untuk tujuan mengerat tangkai padi. Tangkai-tangkai padi yang diketam diikat dikenali sebagai gemal.

        Gemal-gemal padi yang dibawa pulang dari sawah akan dikumpulkan atau dilonggokkan di atas tikar mengkuang untuk meleraikan buah-buah padi daripada gemal-gemal tersebut. Proses meleraikan buah padi ini disebut mengukur (kukur). Cara mengukur ialah dengan meletakkan gemal di atas sebuah bangku kayu kecil dipanggil papan kuda dan dikukur menggunakan apa sahaja perkakas yang boleh mengikis buah padi daripada gemalnya sehingga terlerai kesemuanya.

          Buah-buah padi yang telah dileraikan kemudiannya dikumpulkan dan ditampi menggunakan nyiru.  Ia bertujuan untuk mengasingkan padi yang berisi dengan hampa padi (padi yang tiada isi) dan juga jerami padi.

Emping dan Ringgi: Makanan Tradisonal Masyarakat Pesawah di Negeri Kedah

           Proses seterusnya ialah menggoreng padi di dalam kuali besar tanpa menggunakan minyak. Proses ini biasanya dilakukan secara tradisional, iaitu menggunakan kayu api sebagai bahan bakar. Ketika menggoreng, padi mestilah sentiasa dikacau dengan menggunakan sudip kayu. Menggoreng memerlukan masa yang agak lama supaya padi dapat masak secara serata. Sepanjang proses menggoreng,  hendaklah dipastikan api tidak terlalu marak menyala di samping padi di dalam kuali sentiasa dikacau. Sudip kayu yang agak panjang diperlukan supaya orang yang mengacau padi tidak berada terlalu dekat dengan kuali. Hal itu akan menghindarkan rasa bahang api dan asap yang tebal.

        Apabila padi yang digoreng itu berwarna kekuningan dan berkilat itu menandikan padi sudah masak sepenuhnya. Padi itu akan diangkat dan dimasukkan ke dalam bakul untuk melalui proses terakhir, iaitu menumbuk.

         Bagi emping, proses menumbuk dilakukan sebaik sahaja padi diangkat dari kuali dan ketika padi masih lagi panas. Proses menumbuk dilakukan dengan menggunakan lesung sama ada lesung tangan atau lesung hindik yang juga disebut lesung kaki. Padi yang ditumbuk ketika masih panas lebih mudah untuk diasingkan isinya daripada kulit dan mudah menjadi pipih serta berbau wangi. Sedikit air akan dimasukkan ke dalam lesung supaya padi menjadi lebih lembut. Selesai menumbuk, padi tersebut akan ditampi sekali lagi menggunakan nyiru agar terasing daripada kulitnya.

Proses menumbuk ringgi berbeza dengan emping. Kerja-kerja menumbuk ringgi hanya akan dilakukan setelah padi yang digoreng telah disejukkan terlebih dahulu. Apabila selesai ditumbuk pada kali pertamanya, padi tersebut akan ditampi dengan menggunakan nyiru, setelah itu, ia ditumbuk semula. Proses menumbuk ringgi biasanya dilakukan tiga hingga empat kali sehingga kulit padi betul-betul terasing daripada isinya.

        Emping dan ringgi biasanya disimpan di dalam daun pisang muda supaya ia tahan lama serta berbau wangi. Bagi masyarakat petani di negeri Kedah, emping dan ringgi juga disimpan di dalam sebuah bekas yang dinamakan enggak, iaitu bekas yang diperbuat daripada mengkuang dan dianyam menjadi berbagai bentuk mengikut kemahiran masing-masing.

     Terdapat sedikit perbezaan dari segi rasa dan keenakan antara emping dan ringgi. Ringgi mempunyai aroma yang lebih menarik daripada emping walaupun kedua-dua makanan tradisional ini lazimnya dijadikan hidangan sarapan pagi bersama-sama kopi panas.

Satu lagi perbezaannya, emping perlu diramas terlebih dahulu supaya lebih lembut dan mudah dikunyah, tetapi ringgi boleh sahaja terus dimakan. Ada juga sesetengah orang menghidangkan emping dengan susu cair atau santan.

       Emping mempunyai sedikit kelebihan berbanding dengan ringgi dari segi ketahanannya. Emping boleh disimpan hingga berbulan lamanya manakala ringgi hanya mampu disimpan selama kira-kira tiga atau empat hari sahaja.

          Keenakan makanan tradisonal ini akan pupus seandainya warisan ini tidak lagi diteruskan dalam kalangan masyarakat petani di negeri Kedah pada masa ini. Selain mengekalkan identiti, keaslian dan kewujudannya yang diamalkan sejak dahulu kala, emping dan ringgi ini akan dapat dijadikan makanan ringan yang berkhasiat. Generasi masa depan akan dapat terus mengenali warisan tradisional yang berharga ini. Malahan emping dan ringgi boleh menjadi ikon pemakanan jika dapat dikembangkan sehingga ke peringkat nasional. 

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #komsas (2) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (17) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (24) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Adiwira Bimasakti
Cerpen

Adiwira Bimasakti

  • 5 Ogos 2024
  • 160
  • 4.5
ڤمرڬين
Puisi Moden

ڤمرڬين

  • 20 Disember 2024
Andani
Cerpen

Andani

  • 20 Disember 2024
  • 89
  • 5
Seribu Memori (Dedikasi Buat Guru SMKA Sultan Muhammad, Melaka)
Puisi

Seribu Memori (Dedikasi Buat Guru SMKA Sultan Muhammad, Melaka)

  • 20 Mei 2024
  • 244
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP