Dalam arus kemodenan dan globalisasi yang kian deras, dakwah Islam perlu disampaikan dengan pendekatan yang lebih kreatif dan inklusif. Salah satu medium yang kian mendapat perhatian di negeri Johor Darul Ta’zim ialah Galeri Aura Islam di Iskandar Puteri, Johor. Galeri Aura Islam mula dibuka kepada umum pada tahun 2019. Galeri ini bukan sahaja menyimpan khazanah bersejarah tetapi juga berfungsi sebagai pusat pendidikan yang memperkenalkan tamadun Islam dalam dimensi yang lebih menyeluruh dan bermakna.
Sehubungan dengan itu, nilai-nilai rohani, estetika dan keindahan yang berpaksikan dakwah Islam memenuhi ruang pameran sehingga menggamit sentimen aura yang bukan sekadar ruang pameran biasa, malah berfungsi sebagai wahana dakwah dan pemeliharaan budaya Islam yang berkesan merentasi sempadan bangsa, bahasa, budaya, seni dan latar sejarah.
Oleh hal yang demikian, Galeri Aura Islam yang diasaskan oleh Datuk Anuar Hassan, seorang usahawan serta peminat sejarah Islam yang komited dalam menghimpunkan artifak asli dan bernilai tinggi yang diperoleh dari pelbagai ceruk negara Islam serata dunia. Sebahagian koleksi yang terdapat di galeri ini diperoleh melalui pembelian peribadi, manakala selebihnya merupakan hadiah dan tajaan daripada pengumpul artifak dari luar negara. Kesemua artifak telah disahkan ketulenannya sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Secara umumnya, terdapat lebih 300 artifak asli yang merangkumi pelbagai aspek tamadun Islam dari zaman Rasulullah SAW hingga era empayar Turki Uthmaniyah dipamerkan di galeri ini. Antara koleksi yang paling mengagumkan termasuklah serban Rasulullah SAW sepanjang lebih lima meter, kain kiswah Kaabah yang berusia lebih 600 tahun serta al-Quran zaman Uthmaniyah yang bersadur emas yang berusia ratusan tahun. Selain itu, terdapat juga pedang Khalid al-Walid, iaitu panglima perang yang direkodkan tidak pernah tewas dalam setiap peperangan dan beberapa koleksi penting alat astronomi Mesir kuno. Terdapat juga busur dan panah milik Rasulullah SAW selain capal, helaian janggut dan rambut nabi.
Sementara itu, galeri ini turut mempamerkan naskhah al-Quran tulisan tangan dari era kegemilangan kerajaan Uthmaniyah serta kitab-kitab lama dalam tulisan Jawi. Terdapat juga anak kunci Kaabah dari zaman pemerintahan Uthmaniyah yang bertarikh 1245H dan 1056H serta pameran sejarah ekspedisi ketenteraan yang diketuai oleh Nabi Muhammad SAW.

Yang menariknya, para pengunjung tidak dibiarkan bersendirian jika berkunjung di galeri ini. Pelawat akan diberi pencerahan dan penerangan yang jelas oleh kakitangan galeri yang bertugas, yang terlibat secara langsung dalam penyampaian ilmu berkaitan dengan sejarah dan warisan Islam. Dengan pendekatan yang santai namun penuh informasi, mereka membawa pengunjung menghayati setiap artifak yang dipamerkan.
Seterusnya, artifak lain seperti al-Quran bertatah emas dari era Turki Uthmaniyah menggambarkan keagungan seni Islam dan penghormatan tinggi umat terdahulu terhadap kitab suci al-Quran. Artifak ini turut mencerminkan dedikasi serta kepakaran karyawan Islam dan pengukir zaman silam yang menghasilkan seni khat di kiswah Kaabah secara manual. Dalam konteks sejarah, artifak ini memberikan gambaran jelas tentang masyarakat Islam terdahulu yang menjadikan ilmu dan penulisan sebagai teras tamadun mereka. Kitab lama dalam tulisan Jawi pula merupakan bukti awal bahawa Islam telah tersebar dan berakar umbi dalam budaya Nusantara sejak ratusan tahun dahulu.
Bagi menambahkan kefahaman kepada pengunjung yang hadir, pihak pengurusan Galeri Aura Islam menyediakan paparan yang menarik dalam galeri ini, iaitu seksyen ekspedisi yang diketuai oleh Rasulullah SAW. Di ruang ini dipamerkan koleksi grafik peta laluan ekspedisi dan beberapa artifak yang berkaitan secara langsung dengan perjalanan ketenteraan Nabi Muhammad SAW di Semenanjung Arab. Peristiwa seperti Perang Badar, Uhud dan Tabuk diperincikan dalam papan infografik yang menarik dan lengkap dengan huraian dan tujuan perjuangan yang dibawakan oleh baginda dan para sahabat.

Visi utama Galeri Aura Islam ditubuhkan adalah untuk mendidik masyarakat agar memahami dan menghargai dakwah dan sejarah ketamadunan Islam, serta memuliakan perjuangan suci Rasulullah SAW. Galeri ini menyasarkan untuk menarik satu juta pengunjung dari seluruh dunia setiap tahun bagi menjadikannya destinasi wajib buat pencinta sejarah dan pengembara rohani. Galeri ini bukan sekadar ruang pameran tetapi juga merupakan pusat pendidikan yang berterusan yang menyemarakkan semula minat terhadap nilai spiritual dan intelektual Islam. Selain itu, Galeri Aura Islam menyediakan ruang pembelajaran yang bermakna untuk semua lapisan masyarakat daripada peringkat kanak-kanak sehingga golongan dewasa.
Penubuhan galeri ini menjadi medium dakwah yang halus dan menyentuh jiwa. Berbanding dengan ceramah atau khutbah yang bersifat lisan, seni visual menyampaikan mesej dalam bentuk yang lebih universal dan merentas emosi. Kaligrafi ayat suci al-Quran, reka bentuk geometri Islam, himpunan unik kain kiswah Kaabah dan artifak Islam mencetuskan rasa kagum terhadap perjuangan para ulama, sahabat-sahabat nabi dan Rasulullah SAW sendiri dalam menyampaikan dakwah Islamiah. Pameran ini juga mendedahkan kemunculan ilmuwan Islam dalam bidang sains perubatan dan kajian cakerawala yang lebih awal daripada kemunculan cendekiawan Barat.
Galeri Aura Islam merupakan medium dakwah dan budaya yang kian menjadi ikon terkini dan terpenting di negeri Johor. Penubuhan galeri ini bukan sahaja mengangkat keindahan Islam melalui seni tetapi juga menyampaikan mesej dakwah secara simbolik dan berkesan. Galeri ini menjadi benteng mempertahankan warisan budaya Islam yang kian terhakis terutamanya dalam meraih perhatian generasi muda. Usaha memperkasakan dan memperluas fungsi galeri perlu digiatkan oleh semua pihak terutamanya daripada pihak kerajaan negeri dan masyarakat umum.
Dengan gabungan nilai sejarah, seni dan agama, Galeri Aura Islam bukan sekadar ruang pameran artifak tetapi merupakan pusat yang menghubungkan warisan silam dengan generasi masa kini dan akan datang. galeri ini mampu menjadi medan penghargaan mendalam terhadap identiti dan perjuangan umat Islam serta menunjukkan bahawa sejarah bukan sekadar untuk dikenang tetapi untuk dihayati dan diwarisi.
Bagi mereka yang ingin berkunjung dan merasai sendiri pengembaraan rohani, Galeri Aura Islam dibuka pada setiap hari kecuali Isnin, dari pukul 9:30 pagi hingga 6:00 petang. Harga tiket bagi warganegara Malaysia antara RM10.00 hingga RM30.00, manakala untuk pelawat antarabangsa antara RM20.00 hingga RM40.00. Maklumat lanjut mengenai lawatan berkumpulan dan pakej lawatan khas boleh diperoleh di kaunter galeri atau melalui laman rasmi mereka, iaitu https://www.galeriauraislam.com/