Karya satira memiliki daya tarikan yang unik kerana karya ini menggabungkan unsur tawa dengan kritikan sosial. Penulis berjaya menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap isu sosial, politik, budaya atau individu atau merangsang pemikiran pembaca dengan cara yang menghiburkan di dalam karya satira. Satira tidak hanya menghiburkan, tetapi juga membangkitkan refleksi dalam diri pembacanya tentang perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat.
Salah seorang tokoh yang memainkan peranan penting dalam genre satira dan layak diangkat di negara kita ialah Maya Rimba. Beliau ialah seorang penulis yang berjaya dalam genre satira tanah air. Nama sebenarnya adalah Haji Mohd Khairy Haji Halimi, dan dilahirkan pada 13 Disember 1954, di Kampung Seri Bukit Panjang, Pekan Nenas, Pontian, Johor. Mohd Khairy melanjutkan pendidikannya di Institut Pertanian Serdang, Selangor pada tahun 1973 dengan tajaan nstitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sebelum memulakan perjalanan kariernya di MARDI, di Bahagian Penyelidikan Sains dan Teknologi selama 34 tahun, bermula pada tahun 1976 hingga tahun 2010. Beliau bersara pada usia 55 tahun dan kini memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Perjalanan Mohd Khairy dalam dunia penulisan bermula dengan penyertaannya dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan penglibatannya dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Penglibatan ini mendorongnya untuk mendalamkan ilmu dalam bidang penulisan kreatif. Peluang dalam dunia penulis terbuka lebih luas apabila Mohd Khairy terpilih untuk mengikuti Kursus Penulisan Kreatif khusus kepada golongan profesional di Bukit Fraser, Pahang Darul Makmur, anjuran DBP pada 7 hingga 10 September 1989.
Sehubungan dengan itu, Dr. Othman Puteh yang menjadi pembimbing bengkel tersebut menjadi sumber inspirasi kepada Mohd Khairy serta arwah isterinya, Puan Hajah Asnani Haji Lasiman, untuk terlibat dalam dunia penulisan. Hingga ini, beliau masih mengingati nasihat berharga daripada Dr. Othman Puteh, iaitu jangan lupa untuk menggabungkan elemen alam seperti haiwan dan tumbuhan dalam karya satira yang dihasilkan kerana watak tersebut sangat dekat dengan bidang kerjanya.
Jika ditelusuri karya-karyanya, memang kesemua watak yang dicipta oleh Mohd Khairy di dalam novelnya adalah watak binatang, serangga, tumbuhan dan unggas. Hal ini disebabkan oleh kehidupan dan pekerjaannya dikelilingi oleh haiwan dan tumbuhan. Sedikit banyak hal ini mempengaruhi hasil penulisannya. Oleh sebab itu, sebagai pengarang karya kreatif, Mohd Khairy mahu dikenali dengan cara yang berbeza berbanding dengan pengarang genre lain. Dengan demikian, beliau mempunyai identitinya yang tersendiri sebagai penulis. Selain itu, beliau juga cenderung mengadaptasi peristiwa, latar, atau kejadian sebenar yang berlaku di dunia nyata dan mengambil inspirasi daripada apa-apa yang dilakonkan oleh manusia, yang memiliki kedalaman emosi dan perasaan ke dalam karyanya. Hal ini menjadikan watak binatang, serangga dan tumbuhan itu hidup dalam novel yang dihasilkannya dan dekat dengan masyarakat pembaca.
Sementara itu, cerpen beliau yang bertajuk “Anak Pesara” merupakan karya pertama yang berjaya dihasilkan oleh Mohd Khairy dan diterbitkan pada tahun 1993. Kemudian beliau mula bergiat aktif menghasilkan novel genre satira sehingga hari ini. Karya yang dihasilkan Mohd Khairy adalah seperti yang berikut:
Karya 1 – |
Warisan Pesara (DBP, 1993); Projek Khusus |
Karya 2 – |
Aksioma Ain (DBP, 1995) |
Karya 3 – |
Pahlawan Sang Kumbang Badak (DBP, 1997) |
Karya 4 – |
Lang Budi (DBP, 2005) |
Karya 5 – |
Nabatah (DBP, 2015) |
Karya 6 – |
Tatakrama (DBP, 2015) |
Karya 7 – |
Komuniti Aljabar (DBP, 2020) |
Yang menariknya, Mohd Khairy bukan hanya serius dalam penulisan novel satira, tetapi beliau turut menghasilkan skrip drama radio. Percubaan pertama beliau membuahkan hasil apabila Rancangan KABARE yang siarkan oleh RTM 101.9 Permata Selatan dan diterbitkan oleh A. Malik Endon. Drama ini mencakupi 120 episod dan siaran (dengan siri pertama bermula pada Januari 2012 hingga Disember 2014). Walaupun pada awalnya, beliau tidak mengetahui apa-apa tentang skrip drama dan setelah mengikuti Kursus Penulisan Skrip Drama Radio, karyanya berjaya menarik perhatian penerbit. Pertama kali disiarkan, reaksi pendengar sangat luar biasa dan namanya mula meniti di bibir para pendengar radio RTM 101.9 Permata Selatan.
Sementara itu, bermula pada tahun 1993 sehingga kini, novel yang dihasilkan oleh Mohd Khairy adalah berbentuk satira. Beliau menganggap bahawa satira merupakan karya yang unik dan berbeza daripada yang lain kerana mempunyai lebih banyak maksud yang tersirat berbanding dengan yang tersurat. Beliau juga gemar menyampaikan ilmu, nasihat dan pandangan melalui karyanya. Oleh itu, beliau memilih penulisan dalam bentuk satira kerana penyampaiannya tidak secara terus terang seperti novel genre biasa. Mohd Khairy menganggap bahawa penulisan karya satira mempunyai kebebasan untuk menyatakan pandangan dan idea, yang disampaikan secara halus, sopan, dan terselindung di sebalik pembinaan watak dan penceritaan yang disampaikan.
Seperti yang ketahui umum, penulisan karya satira memang bukan perkara yang mudah dan semestinya ada halangan dan cabaran yang dihadapi oleh penulis. Namun begitu, bagi Mohd Khairy, hal ini tidak menjadikan halangan dan alasan untuk beliau berhenti mendalami genre ini. Satira sering kali bergantung pada pengetahuan mendalam tentang konteks sosial, politik dan budaya tertentu. Oleh hal yang demikian, Mohd Khairy sentiasa membuat rujukan, kajian tambahan serta lawatan kerja agar jalan cerita yang dihasilkannya tidak lesu dan membosankan. Melalui penyelidikan dan kajian tersebut, karya satira yang dihasilkan oleh Mohd Khairy berjaya menarik minat dan berhasil menyampaikan mesej yang baik kepada pembaca.
Sementara itu, isu kebuntuan idea juga boleh berlaku kepada penulis, sama ada penulis berpengalaman atau baharu. Hakikatnya kemampuan berfikir pengarang tidak sama, namun Mohd Khairy mengendalikan permasalahan tersebut dengan berehat terlebih dahulu bagi memberi ruang kepada otaknya berehat dan bertenang. Selain itu, beliau akan menonton televisyen atau membaca bahan bacaan untuk mendapatkan maklumat sebelum kembali menyambung penulisan karyanya. Pada pandangan Mohd Khairy, walaupun menghasilkan karya satira mungkin mencabar minda dan pemikiran, namun hasilnya berjaya mengubah pandangan dan memberi inspirasi kepada orang ramai dengan cara yang menghiburkan dan menarik.
Sehubungan dengan itu, pada tahun 2020 menyaksikan Mohd Khairy sekali lagi berjaya menerbitkan sebuah karya satira yang berkualiti dan dapat didekati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Melalui novelnya yang bertajuk Komuniti Aljabar, Mohd Khairy menyampaikan mesej secara langsung dengan menambah nilai-nilai positif untuk dinikmati dengan hikmah oleh masyarakat pembaca.
Seterusnya, Mohd Khairy telah dianugerahi Pingat Ibrahim Sultan (PIS) pada tahun 2009. Sebelum itu, beliau telah memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim pada tahun 1999 dengan novel Pahlawan Sang Kumbang Badak. Pada tahun 2007, Khairy sekali lagi berjaya meraih Hadiah Sastera Darul Takzim dengan novelnya, Lang Budi. Pada tahun 2016, Khairy berhasil meraih anugerah Tokoh Penulis Satira Negeri Johor daripada Persatuan Penulis Johor bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan ke-38. Seterusnya, beliau turut memenangi Anugerah Tokoh Aktivis Budaya Daerah Pontian pada tahun 2017.
Mohd Khairy mengharapkan agar akan ada pelapis dalam kalangan generasi muda yang dapat meneruskan penulisan karya satira selepas ketiadaannya kelak. Beliau bersedia berkongsi ilmu dan mencurahkan segala kemahiran dan kepakaran yang anugerahi Allah kepada generasi muda yang berminat dengan penulisan satira. Beliau mengharapkan agar karya satira tidak terhenti sampai di sini sahaja, namun perlu diteruskan oleh generasi muda agar teguran dan sindiran melalui karya kreatif genre satira disampaikan dengan cara yang berhemah dan cermat serta tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak. Penulis yang bijak berjaya menyampaikan pendapat dan nasihat kepada masyarakat tanpa kehilangan daya tarikan dan pesonanya.