Penyair yang baik akan dikenang dengan sajak-sajaknya yang memberikan pedoman hidup kepada masyarakat. Begitulah penyair negeri Pahang ini tumbuh dan mendewasa dengan sajak-sajaknya sehingga beliau dinobatkan sebagai Tokoh Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2024.
Majlis ini telah berlangsung pada 10 Ogos 2024 bersamaan hari Sabtu, bertempat di Akrib Negara Malaysia Negeri Pahang. Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Usdi bin Abdullah selaku Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Pahang yang dihadiri tetamu kehormat dan pelajar dari sekolah sekitar Kuantan.
Hari Puisi Kebangsaan disambut pada tarikh 12 Julai setiap tahun. Tarikh ini diputuskan dalam Resolusi Hari Puisi Nasional ke-21 yang diadakan di Pontian, Johor pada 29 hingga 30 Oktober 2021 bersempena dengan hari kelahiran Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang pada 12 Julai 1929. Sejajar dengan itu, negeri Pahang tidak terkecuali menyambut dan menganugerahkan Tokoh Hari Puisi Kebangsaan kepada penyair negerinya yang benar-benar layak.
Haji Saedon bin Ibrahim atau nama penanya, Saedon Ibrahim dilahirkan pada 1 Oktober 1946, di Kampung Tanjong Besar, Kuala Lipis Pahang. Beliau merupakan ahli Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) seumur hidup dan kini menetap di Rembau, Negeri Sembilan.
Tokoh ini mendapat pendidikan awal di SMK Clifford Kuala Lipis, SMK Mahmud Raub dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dengan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera (dengan Kepujian). Beliau telah membina kerjaya sejak 1966 dengan berkhidmat sebagai Pegawai Kerani Negeri, Pejabat Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kuantan. Haji Saedon juga pernah berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Hasil Dalam Negeri, Kuala Lumpur, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Kota Kinabalu, Sabah, dan turut berkhidmat sebagai Pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Kuala Lumpur hingga tahun 2001.
Penyair Saedon Ibrahim telah membuktikan kemampanan beliau dalam bentuk tulisan melalui karya kreatif, khususnya sajak dan puisi yang digarap sejak penghujung tahun 1967. Sajak pertama beliau berjudul “Pertak” telah disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 29 Disember 1967. Kesan tersiarnya sajak tersebut telah memberikan rangsangan kepada beliau untuk terus berkarya, seterusnya menempatkan nama dalam akhbar tempatan seperti Utusan Zaman, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Sabah Times, Mingguan Timur, Watan, Suara Merdeka, Muda Mudi, Harian Nasional, Harakah dan Harian Bumi.
Selari dengan kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap dunia sastera, sajak-sajak beliau turut termuat dalam majalah bulanan seperti Dewan Sastera, Mastika, Variasari, Al Islam, Pemimpin dan Berita Negeri Pahang. Penyair Saedon Ibrahim telah menghasilkan lebih 200 buah puisi yang berjaya mendapat tempat dalam ruang sastera pelbagai akhbar dan majalah. Antara lima buah sajak beliau yang pernah disiarkan berjudul “Mistri Kota Gelanggi”, “Di Pantai Telok Chempedak”, “Sejambak Setia Yang Retak”, “Di bawah Pokok Pohon”, dan “Luahkan Segalanya”. Sajak-sajak beliau yang tersiar dalam Dewan Sastera pula ialah “Sesuatu yang Tiba” (Disember, 1971) dan “Angin Laut di Pantai Semporna” (1984).
Kredibiliti penyair Saedon Ibrahim tidak dapat disangkal lagi apabila beliau berjaya menghasilkan 29 antologi puisi bersama. Antaranya, Suara dan Bicara Penyair (DPMP, 1973), Menuju Kemungkaran (JKBS Phg/DPMP, 1974), Gema Membelah Gema 3 (Jawatankuasa Hari Puisi ke 3, 1974), Hijrah Musafir (DPMP, 2008), Gaza, Penyair Membantah (Media Karya, 2012), Seribu Sajak Merdeka (Jabatan Penerangan Malaysia, 2013), Sebuah Poligenre (DPMP, 2015), Memahat Mentari (ITBM, 2016), Merekat Retak Cermin Nusantara (Gapenaniaga, 2018), Wangian Kembang (Penyair Malaysia, 2018), Sifat Rimba (Gapena, 2022), Merenung Bulan (Pena-padu Press, 2023), dan Cerita Bawah Meja (GAPENA, 2024).
Selain puisi, Haji Saedon turut menghasilkan tulisan berbentuk eceran dan travelog. Hal ini menyerlahkan bakat beliau lagi dalam arena kepenyairan. Lebih membanggakan lagi, tokoh ini telah mencurahkan khidmat bakti kepada Dewan Persuratan Melayu Pahang demi menyuburkan ranah sastera di bumi bertuah ini. Beliau menyandang jawatan sebagai Setiausaha 2, DPMP Negeri (1973-1977), Setiausaha 1, DPMP Cawangan Kuantan (1972-1977), Setiausaha Kertas kerja Simposium Siapa Tok Guru Peramu (DPMP, 1976) dan Ketua Editor Majalah Kalong terbitan DPMP Kuantan (1976-1977). Usaha murni beliau ini haruslah dipuji kerana beliau sentiasa meletakkan sastera sebagai keutamaan dan setia berbakti dengan pena yang tajam dan bermakna.
Berkat kesungguhan beliau menekuni puisi-puisi yang indah dan bermakna, maka penyair Saedon Ibrahim telah menerima pelbagai hadiah dan anugerah sastera. Antaranya, Hadiah Pertama Peraduan Menulis Puisi, Kelab Social Economy Research Unit, Jabatan Perdana Menteri, Malaysia (1985), Hadiah Galakan Sayembara Menulis Puisi Sejarah Nasional, anjuran Persatuan Sejarah Wilayah Persekutuan (1991), Tempat Kedua Sayembara Menulis Puisi Alam, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sains dan Teknologi, Malaysia (1997), Hadiah Penghargaan, Hadiah Sastera Darul Makmur (2015) dan Sagu Hati Sayembara Penulisan Cerpen dan Puisi DPMP/PKPP (2017).
Sememangnya penganugerahan sebagai Tokoh Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang telah melonjakkan lagi nama Haji Saedon di pentas sastera tanah air. Beliau juga tidak lokek berkongsi ilmu pengetahuan dengan menjadi hakim serta juri untuk beberapa program sastera tanah air. Sudah terang lagi bersuluh, penyair Saedon Ibrahim memang layak dinobatkan sebagai Tokoh Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2024. Semoga beliau terus cemerlang sebagai seorang penyair yang melahirkan sajak-sajak indah untuk dinikmati oleh khalayak peminat puisi.