Mengingat Matahari ialah buku sajak terbaharu penyair Kelantan, Rosli K. Matari, anak jati Kubang Kerian. Beliau merupakan Sasterawan Negeri Kelantan 2020 dan penerima S.E.A. Write Award 2021. Mengingat Matahari merupakan kumpulan sajak keenam Rosli selepas Nun Bulan, Tidakkah Kita Berada di Sana?, Anak Dusun, Matahari Itu Jauh dan Hanya Langit Meratap. Lebih menarik dan istimewa, Mengingat Matahari baharu saja diumumkan sebagai pemenang hadiah utama bagi Hadiah Puisi T. Alias Taib (2023) anjuran Penerbitan Kata-Pilar yang diketuai oleh penyair muda, Fahd Razy. Sejak dahulu, Rosli suka bercakap dengan angin, air hujan, bayang, cahaya, bintang, bulan, pohon, embun, cawan, gelap malam, langit, kunang-kunang, ranting, daun, rumah, api, senja dan segala benda yang berada di sekitarnya, atau yang dapat dilihatnya. Paling disukainya tentu sahaja matahari. Oleh sebab itu, nama penanya pun Rosli K. Matari. Matari itu matahari. Perkataan sama yang digunakan oleh Usman Awang dalam sajak terkenalnya “Kekasih.” Selain nama pena yang menguatkan lagi tanggapan kita tentang kesukaannya terhadap matahari ialah bukunya yang sebelum ini juga pernah menggunakan perkataan ‘matahari’ sebagai judul, iaitu Matahari Itu Jauh. Buku ini memenangi Tempat Kedua Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH ke-2 pada tahun 2015. Kita dapat lihat beberapa sajaknya yang diilhamkan daripada perkara biasa di sekitar kita, namun menjadi sumber ilham yang sangat bermakna kepada penyair. Bagi orang biasa yang bukan penulis, perkara dan hal tersebut mungkin tidak memberikan apa-apa rangsangan istimewa untuk difikirkan. Mungkin juga kepekaan orang biasa itu barangkali tidaklah setajam mata fikir seorang pengarang yang menyebabkan benda-benda dan perkara tersebut terlepas pandang serta dilupakan. Sajak “segala daun di halaman 2” yang dimuatkan pada halaman 13 hanya diinspirasikan daripada daun-daun yang ada di halaman rumah. Namun kita tidak pasti sama ada daun yang masih ada di pokok atau daun yang sudah gugur di halaman atau mungkin kedua-duanya sekali. Jelas sekali bahawa yang lebih penting daun-daun itu menarik perhatian penyair untuk berbicara dengannya dan menulis tentangnya. Hanya tentang daun yang ada di halaman, Rosli boleh menghasilkan sajak. Perhatikan karya tersebut:
pernah kautahu, segala daun di halaman
amat menyayangimu?
berpagi-pagi mendoakan
moga-moga, kau selamat pergi dan kembali
pada petang hari masih mendoakan itu, ini
serba yang baik-baik untukmu
malam hari, dengan doa lebih panjang
bagai penuh seribu amin
namun, setiap lewat dinihari,
daun-daun itu selalu gusar
kalau-kalau kau, tengah malam tadi
sudah mendadak mati
bersekali tidak sempat habis mimpi,
di celah-celah amin
Dalam sajak “masih indah di situ” yang dimuatkan pada halaman 29 juga menarik. Rosli cuma menghayati suasana malam, dinihari dan menjelang cerah pagi. Di situlah dia menemui kunang-kunang selepas gerimis pada waktu malam dan bulan yang dilihatnya melalui celah ranting pada waktu dinihari. Manakala pada waktu pagi dia menemui titis-titis air hujan yang masih tertinggal di atas daun keladi. Pemerhatiannya terhadap beberapa hal pada tiga waktu tersebut menjadi inti kepada sajak berkenaan dalam bentuk catatan yang pendek sahaja:
kutemui dari celah-celah
ingatanku yang jauh
ada seeekor kunang-kunang
menyeberang malam, sesudah gerimis
bulan di celah ranting, dan gerdip-gerdap bintang
ketika sayup dinihari
waktu pagi, setitik hujan tertinggal
di atas daun keladi
semuanya masih indah di situ,
walau tidak ada lagi
Sajak “ia tetap ingat padamu” di halaman 33 pula sangat menarik dan penulis fikir sajak ini adalah sajak yang paling menarik terdapat dalam buku tersebut. Hal ini kerana Rosli ilhamkan sajak tersebut daripada peristiwa biasa kebanyakan anak kampung pada zaman kecil. Setiap anak kampung pada zaman dahulu yang membesar pada pertengahan atau hujung abad ke-20 tentu sahaja melalui pengalaman bermain lastik. Peristiwa bermain lastik sewaktu kecil itulah yang dirakamnya dengan begitu halus dan mendalam pemerhatiannya. Sajak ini lebih menakjubkan kerana penyair melihat dari sudut pandang pohon dan dahan kayu yang diselitkan perasaan. Perhatikan sahaja keseluruhan sajak berkenaan:
kau masih ingat,
lastik zaman kecilmu?
ketika tidak mengena burung,
anak batu itu tersasar
tepat melekukkan dahan,
melantun lekuk dahan satu lagi
kemudian sempat
menggelupas batang
sebelum ‘caplung’ ke parit,
hilang riwayat di situ
tetapi, riwayat sebenar
tidaklah selesai di situ
pohon itu sudah sangat tua.
kau pun tidak bermain lastik lagi
tetapi sehingga sekarang,
ia tetap ingat padamu
setiap kali melintas,
kau tidak mendengar
ia masih memaki hamun,
menyumpah-nyumpahmu
Pohon keladi yang ditanam di halaman rumah juga tidak terlepas daripada menjadi perhatian dan catatan Rosli dalam sajaknya. Dia bercerita tentang kisah keladi tersebut dalam sajak dengan bahasa yang mudah sahaja dan memahamkan kita bahawa hal-hal kecil yang biasa juga boleh menjadi bahan untuk sebuah karya sastera. Mari kita sama-sama perhatikan sajak “sejujuk keladi” tersebut:
rumah kita kecil, tidak berlaman luas
tetapi mujurlah masih ada seruang pasir putih
bersempadan pagar robek jiran, dan nangka juga
di laman pasir halus itulah kita jujukkan
pasu-pasu tua, ada yang retak dan berlumut
berisikan beberapa rencam keladi
kita selalu ketawa
bertengkar meneka dan mencipta nama keladi
yang tidak satu pun kita ketahui
tetapi kautahu
segala jenis keladi itulah
tumbuhan yang tercantik dalam jiwaku
setiap luang petang
kusiram sehingga penuh
air bertakung di dalam pasu
kau selalu merungut
keladi tidak perlukan
sebegitu banyak air
tetapi ada yang tidak dapat kauselami
di dalam jiwaku
aku sangat pengasih, walau pada tumbuhan
sungguh aku tahu
keladi ini mempertautkan kita
antara Firdaus dan Fairuz juga
kalaulah tidak kerana lucu
nescaya akan kupetik keladi merah
kuhulurkan padamu dengan kata-kata cinta
Rosli menulis “kopi, mawar” sekadar berasaskan hal dirinya yang barangkali sedang minum kopi pada malam hari, lalu dia kemudiannya teringatkan sekuntum mawar. Mawar itu barangkali seorang insan yang dicintai atau mungkin pernah mencintai Rosli. Itu tidak pasti, hanya penyair sendiri yang mengetahuinya. Adakah mawar itu memang betul-betul bunga yang berkembang di halaman rumah atau mungkin di sebuah taman? Ketakjuban kita terhadap karya ini tentu sahaja pada dua baris penyudah yang juga merupakan rangkap akhir sajak. Malah baris akhir sajak Rosli ini juga pernah menjadi bicara dan perbincangan dalam kalangan para penulis muda dan penyair generasi baharu. Hal ini kerana frasa akhir yang dicipta Rosli itu segar dan baru serta berupa stanza indah dan padu yang jarang-jarang dapat dicipta oleh para penyair. Ia jarang timbul dan cuma sesekali muncul kerana memerlukan penelaahan yang mendalam dan kehalusan seni penciptaan yang memakan waktu. Perhatikan sajak tersebut berserta rangkap akhirnya seperti yang diperturunkan di bawah:
tidurlah, mawar
malam hanya sebentar
jika lena.
esok terjaga
hari cepat sekali pagi.
bahkan, mimpi
bergegas pergi
aku tahu,
kau tak mengingatku
malam,
hitam
bagai namaku pun
padam,
persis embun
dilupakan, terpendam
aku mengenangmu
dari jauh,
payah lelap mataku,
lambat lagi subuh
secangkir kopi,
rawan hati, dan sepi
memang tak ada lagi
cintamu.
kukenang sebagai puisi,
berhujung noktah kelabu
aku bagai cawan pecah,
tak ada dalam mimpi indah
moga-moga,
kaulena
esok hari lain,
aku sudah kelmarin
Bagi segelintir penyair muda, dua baris akhir yang juga rangkap penutup sajak ini sangat menakjubkan. Ada unsur kekaguman di situ. Kekaguman kepada nilai falsafahnya. Kehairanan terhadap daya cipta Rosli yang masih bertenaga seperti penulis muda. Malah pengarang muda sendiri adakalanya tidak mampu mencipta ungkapan yang menakjubkan seperti itu. Begitulah agaknya tanggapan penulis muda tersebut.
Sajak terakhir yang wajar kita petik sebagai antara karya yang bertolak dari hal biasa menjadi karangan luar biasa hanya kerana semata-mata ia ditangani Rosli ialah “ingin kulupakan sejenak” pada halaman 53. Sajak ini juga ringkas, pendek dan padat seperti kebanyakan karya-karya Rosli yang lain sebelumnya. Namun peristiwa dan hidupnya yang dilalui dalam sehari dipadatkan menjadi sebuah sajak pendek yang memikat dan melekat. Setelah lelah dan letih menjalani kehidupan selama sehari suntuk, Rosli merumuskan dan menyimpulkan kehidupannya pada hari tersebut dengan sedikit kekecewaannya terhadap roda ganas putaran dunia, sebelum dia kembali tidur pulas di perbaringan. Ceritanya cuma hal biasa tetapi masih mampu memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca. Perhatikan sajak itu sebaik-baiknya, sedalam-dalamnya:
1
jauh malam ini,
aku ingin tidur, nyenyak
ingin kulupakan sejenak
segala simpang-siur masalah
yang kuredah
setiap hari
dengan rasa tajam, retak
dan pecah
2
engkau –
wahai dunia,
bergeraklah, walau ke mana-mana
kauingin
letih aku
mengekorimu
kutunggu
rasa kantuk
tanpa peduli
esok, aku akan ada lagi
atau tidak
Begitulah beberapa buah sajak Rosli dalam buku Mengingat Matahari yang sempat diteliti dan diilhamkan daripada benda dan hal-hal biasa di sekeliling kita. Kehalusan penelitian dan kedalaman taakulan penyair terhadap benda-benda di sekeliling dan hal-hal biasa yang setiap hari dilalui membuktikan bahawa ilham untuk penulisan tidak perlu dinanti dan ditunggu ketibaannya. Ilham sentiasa ada pada bila-bila masa sahaja dan di mana juga kita berada. Rosli K. Matari telah membuktikan hal ini dengan berjaya sekali. Sajak-sajaknya sangat menjadi, dihargai dan dinanti-nanti.