Sebahagian daripada hayat hidup yang dilalui oleh sasterawan besar dan ulama tersohor Nusantara, Allahyarham Hamka (1908-1981) adalah apabila beliau terpaksa berhadapan dengan masalah yang membelenggu adat dan pergelutan pada zaman kolonialisme.
Perspektif di atas merupakan sebahagian fokus utama yang telah dibincangkan oleh calon sarjana doktor dari International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAQ–IIUM), Syakirah Yuslan dalam program Diskusi Figura yang membicarakan “Hamka: Cinta–Penjara–Ilmu”. Manakala, aktivis sosial dan peguam, Wan Norfarhan Liyana Wan Baharuddin pula tampil sebagai moderator dalam bicara ini.
Pogram anjuran Kesatuan Aksara & Seni Negeri Kelantan (KERSANI) yang berlangsung selama dua jam di Hamara’s Dining, Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan pada 2 November 2024 ini telah membicarakan Hamka sebagai seorang tokoh, di samping memperkatakan secara ringkas tentang beberapa buah buku karangan penting beliau. Turut tampil sebagai rakan penaja program ini ialah Karangkraf Network Sdn. Bhd. dan Penerbit Bookcafe.
Hamka, nama asalnya ialah Abdul Malik Karim Amrullah, dilahirkan di Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya, Syeikh Abdul Karim Amrullah, turut dikenali sebagai Haji Rasul, merupakan pelopor Gerakan Islam Tajdid, sekembalinya beliau dari Mekah pada tahun 1906.
Hamka membesar dan dewasa dalam lingkungan masyarakat Minangkabau, yang pada masa itu amat terkenal dan berpegang teguh dengan adat resam.
Namun, bagi Hamka, tidak semua kepercayaan dan amalan adat itu dianggap bersesuaian dengan pemikiran dan nuraninya. Menurut beliau, sesetengah adat resam itu direnungnya sebagai amalan yang tidak begitu sesuai dengan prinsip ajaran Islam.
Oleh hal yang demikian, kehidupan masyarakat pada waktu itu dianggap sebagai terbelenggu dalam masalah hidup disebabkan oleh amalan adat, dan pada masa yang sama turut menjepit dirinya .
Maka, sebahagian hasil kepengarangan karya sastera beliau, Hamka tampil mengemukakan pemikiran pertentangannya. Beliau begitu berani mengkritik secara halus tentang adat yang kukuh dan berakar umbi dalam kehidupan masyarakatnya sendiri.
Hal ini dapat diteliti, misalnya daripada beberapa buah novel beliau yang terkemuka hingga kini. Antaranya ialah Tenggelamnya Kapal Van Der Wick (1938), Di Bawah Lindungan Kaabah (1938), Merantau ke Deli (1939), Keadilan Ilahi (1940) dan lain-lain lagi.
Banyak pemikiran lain turut dijelmakan dalam kepengarangan beliau. Contohnya, masalah ketidakadilan sosial, kezaliman golongan feudal dan orang kaya, penindasan terhadap kaum wanita dan masalah pembahagian harta pusaka.
Persoalan lain lagi adalah tentang perbezaan keturunan dan darjat, konflik pemikiran antara golongan ulama tua dengan ulama muda, kesan buruk kolonialisme dan sebagainya.
Demikian juga ada diperkatakan tentang zaman hidup ketika awal dan pertengahan hayat beliau. Beliau menempuh pergelutan dan hal ini turut berlaku antara rakyat peribumi dengan penjajahan Belanda serta semasa Perang Dunia Kedua.
Sebagai masyarakat peribumi yang hidup dalam cengkaman era kolonialisme, tidak mudah untuk beliau lalui cabaran dan tentangan pada zaman tersebut. Pergelutan yang berlaku turut diabadikan dalam sebahagian hasil karya sastera, termasuk autobiografi beliau.
Beliau juga turut menentang penjajahan Belanda. Sebaliknya, pada zaman penaklukan Jepun, beliau beruntung kerana amat dihormati dan mempunyai hubungan baik dengan pihak atasan Jepun.
Namun, hal tersebut menyebabkan dirinya dipandang serong oleh segelintir masyarakat. Bahkan, beliau dianggap sebagai tali barut Jepun. Padahal, situasi dan peluang itu dimanfaatkan oleh beliau untuk menjaga kepentingan agama Islam dan demi kebajikan hal ehwal masyarakat.
Jelas dan nyata bahawa beliau berdepan dengan kemelut dan terjepit dengan masalah adat dan pergelutan pada zaman kolonialisme. Sungguhpun begitu, semua permasalahan itu sebenarnya telah memberikan kesan positif terhadap diri Hamka.
Bertitik tolak daripada kegetiran masalah itulah yang telah mendorong beliau menjadi seorang ulama dan pejuang Islam, intelektual, pejuang kemerdekaan, sasterawan dan filsuf terkemuka.
Berkenaan dengan karya kreatif Hamka, bicara oleh Syakirah bukan sekadar menyentuh isi cerita yang dikarang Hamka, malah juga menjurus kepada motif dan signifikan kepengarangan itu terhadap masyarakat.
Dihadiri lebih 50 orang peserta, diskusi ini telah menarik golongan muda yang sebelum ini kurang mengetahui secara mendalam tentang ketokohan Hamka. Mereka juga dapat menemukan dan membaca sebahagian besar karya beliau, di samping memahami matlamat kegigihan perjuangan Hamka melalui syiar Islam, kemasyarakatan, kemanusiaan dan kreativiti kesusasteraan.
Pada zaman awal Hamka memperjuangkan syiar Islam, beliau tidak begitu dihormati, termasuklah oleh segelintir ulama ternama. Hal ini kerana beliau tidak memiliki apa-apa kelulusan pendidikan.
Tetapi sesudah berada di Mekah, ketokohannya mulai disegani. Pengajaran dan dakwah Islam yang dikembangkan oleh beliau kian mendapat sambutan masyarakat di pelosok tanah airnya. Malah, agak luar biasa kerana masyarakat berpusu-pusu hadir untuk menyaksikan kepetahan, hujah, pidato dan pengajaran beliau.
Hamka juga tidak terlepas daripada cemuhan segelintir pihak. Beliau pernah dinista sebagai ulama roman kerana turut melibatkan diri dalam menghasilkan novel, cerpen, esei agama, hal kemasyarakatan, isu semasa dan juga hal ehwal antarabangsa. Beliau sangat tekal kerana mampu menyebarkan dakwah Islam dan menerapkan pemikiran didaktisisme.
Hamka pernah terpenjara pada tanggal 27 Januari 1964 selama dua tahun empat bulan oleh Soekarno yang merupakan Presiden Indonesia ketika itu. Hal ini amat menghairankan kerana Soekarno pernah bersahabat baik dengan Hamka.
Mengapa Hamka Terpenjara?
Syakirah dalam bicaranya memberitahu terdapat tiga faktor utama menyebabkan Hamka dipenjarakan oleh Soekarno. Pertama, tuduhan melawan dan ingin menggantikan pemerintahan kerajaan dengan doktrin dan bercita-cita mendirikan kerajaan Islam.
Kedua, tuduhan menerima suapan wang jutaan ringgit daripada pemerintah Malaysia supaya menentang kerajaan Soekarno.
Ketiga, tuduhan kerana terlibat dalam merancang rapat umum di Tangerang bagi merencanakan pembunuhan terhadap Soekarno.
Di penjara, Hamka beberapa kali meminta untuk ditunjukkan bukti yang beliau terbabit dalam semua tuduhan itu. Namun tidak pernah dilayan, tidak dapat dibuktikan, malahan terus dibiarkan tinggal dalam penjara selama lebih empat tahun.
Menurut Syakirah lagi, terdapat pendapat lain yang mengatakan bahawa tindakan memenjarakan Hamka itu memang disengajakan oleh Presiden Soekarno disebabkan oleh keakraban mereka.
Alasan?
Alasan pertama, Soekarno ingin menyekat Hamka daripada terpengaruh dengan kancah pergelutan idealisme politik dan negara Islam. Kedua, mengelakkan Hamka daripada diperdayakan dan diperalatkan oleh segelintir golongan pejuang pada ketika itu. Ketiga, menyelamatkan nyawa Hamka daripada menjadi mangsa muslihat musuh politik dan perbuatan jahat Parti Komunis Indonesia (PKI).
Meskipun Soekarno membiarkan Hamka tinggal dalam penjara, terdapat sisi positif lain dan menarik yang telah Hamka pelajari. Selama tempoh itu, beliau bertungkus-lumus menyiapkan karangan besar dan penting, Tafsir al-Azhar, tafsir al-Quran yang lengkap 30 juzuk dan telah diterbitkan sebagai buku untuk lima jilid.
Banyak orang menyangka bahawa Tafsir al-Azhar itu dinamakan demikian oleh Hamka bersempena dengan nama Universiti al-Azhar, Mesir.
“Sebenarnya, tidak!” tukas Syakirah.
Beliau menjelaskan, tajuk karangan tafsir itu sebenarnya adalah bersempena dengan nama masjid bersebelahan kediamannya. Tempat beliau selalu mengajar. Masjid itu kemudian dinamakannya sebagai Masjid Azhar apabila didatangi seorang tokoh penting dari Universiti al-Azhar dan bersempena dengan menghormati kunjungan tokoh tersebut.
Menurut Syakirah lagi, jumlah keseluruhan buku karangan Hamka dikatakan sebanyak 118 buah. Namun, jumlah sebenar dalam selidikannya hanya 103 buah sahaja. Terdapat beberapa terbitan mutakhir yang menggabungkan buku Hamka dan menyebabkan wujud judul baharu dan disangka sebagai buku lain.
Satu soalan menarik yang dikemukakan kepada Syakirah oleh penulis muda terkenal Kelantan, Nik Mohd Hafiz Abdullah adalah tentang wibawa sebenar ketokohan Hamka.
Soalan tersebut berbunyi, “Jika kita perlu memilih dan merumuskan satu sahaja tentang figura Hamka, adakah beliau seorang negarawan, pejuang kemerdekaan, pemikir, intelektual, sasterawan, agamawan atau filsuf?”
Syakirah menjawab dengan menarik dan jawapannya diterima tepat oleh orang ramai, iaitu sebagai agamawan.
Hujah beliau ialah “Hamka menyalurkan pemikiran Islam melalui semua aspek, iaitu bidang dakwah dan syiar Islam, keintelektualan, kemasyarakatan, kemanusiaan, politik semasa, kesusasteraan dan falsafah”.
Hamka dikurniakan gelaran Doktor Kehormat oleh Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1959, Guru Besar (Profesor) oleh Universitas Prof. Dr. Moestopo, Jakarta (1960) dan Doktor Kehormat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1974). Beliau berpulang ke rahmatullah pada Jumaat, 24 Julai 1981.
Program Diskusi Figura ini merupakan siri kedua diskusi yang diadakan selepas program Bicara Tokoh Dr. Burhanuddin al-Helmy yang berlangsung di Kotak Seni, Kota Bharu, Kelantan pada 21 Jun 2024 lalu.
Syakirah Yuslan (kiri) membicarakan Diskusi Figura.
Peserta yang hadir.
Kredit foto: Dahri Zakaria