Johor diiktiraf sebagai negeri pintar pada tahun 2025 apabila 16 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini berjaya mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 dalam Smart City Early Adopter bagi penarafan negeri pintar. Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mencatat sejarah tersendiri apabila muncul sebagai PBT pertama di Malaysia yang mencapai standard Tahap 3, iaitu Kepimpinan Bandar Pintar sekali gus mengangkat Johor sebagai peneraju utama dalam memperkasakan bandar pintar negara sehingga berjaya memacu transformasi digital dan tadbir urus pintar secara menyeluruh.
Inisiatif utama dalam pencapaian tersebut ialah penubuhan pusat kawalan pintar, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang dikenal pasti sebagai “Greater Johor Bahru”, pemasangan alat pengesan pencemaran udara di kawasan perindustrian dan perumahan, pengurusan trafik pintar, sistem aduan bersepadu, pendigitalan lesen perniagaan, penggunaan tenaga diperbaharui, pengurusan sisa pintar dan keselamatan bandar berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI).
Johor terus melangkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi untuk muncul sebagai hab digital ASEAN menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan NEOJapan Inc. (NEOJapan), iaitu sebuah syarikat teknologi terkemuka dari Jepun. NEOJapan akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Asia Tenggara dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sekali gus bakal menjadi pusat tumpuan pembangunan inovasi digital dan tenaga kerja berteknologi tinggi. Pusat tersebut bakal menyediakan latihan kepada lebih 1,000 anak tempatan dalam bidang teknologi infrastruktur awan (perkomputeran awan) selain sokongan teknologi maklumat (IT) serta pembangunan perisian tanpa kod. Pembangunan pusat berkenaan dijangka mewujudkan 300 pekerjaan berkemahiran tinggi di Johor yang selari dengan hasrat kerajaan negeri mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sebagai sasaran utama (MDJ, 2025). NEOJapan yang berpangkalan di Yokohama bertindak sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan aplikasi berasaskan awan dan penyelesaian transformasi digital yang mampu menjadikan JS-SEZ pemangkin utama pembangunan ekonomi digital Johor.
Yang lebih menjadi tumpuan apabila Johor menjadi hab kecerdasan buatan (AI) terkemuka di Asia yang membuka lembaran baharu dalam naratif pembangunan teknologi di Malaysia. Jika sebelum ini Johor dikenali sebagai nadi pelabuhan, industri berat dan pintu masuk selatan negara, kini negeri yang berkoordinasi di selatan tanah air telah mendepani gelombang automasi, analitik data, robotik serta inovasi generatif. Perubahan ini bukan muncul secara tiba-tiba tetapi hasil daripada perancangan strategik yang diperincikan sepanjang dekad ini. Lonjakan teknologi Johor banyak digerakkan oleh infrastruktur digital bertaraf dunia. Kawasan Sedenak Tech Park (STeP) misalnya, kini menempatkan rangkaian pusat data berskala mega yang menjadi nadi pemprosesan dan penyimpanan data utama untuk syarikat antarabangsa. Dengan sambungan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi dan sistem bekalan tenaga yang stabil, kawasan ini berfungsi bak jantung elektronik yang mengepam data ke seluruh rantau. Di sekelilingnya terdapat puluhan syarikat teknologi yang mula bertapak, membentuk kelompok inovasi yang saling berinteraksi seperti gugusan bintang yang menyinarkan idea baharu. Projek STeP yang sebelum ini dikenali sebagai Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex) bakal mewujudkan kira-kira 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat (Bernama, 2022). STeP dibangunkan oleh TPM Technopark Sdn. Bhd., iaitu syarikat milik 100 peratus Johor Corporation yang mendapat sokongan penuh daripada agensi-agensi kerajaan pusat dan negeri termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Johor telah beberapa tahun menenun jaring ekosistem teknologi yang kukuh dari loji pusat data berskala mega di STeP sehinggalah rangkaian pelaburan asing bernilai berbilion ringgit. Pergerakan ini mencipta landskap yang memikat syarikat antarabangsa untuk menjadikan Johor sebagai tapak inovasi automasi, pembelajaran mesin, keselamatan siber dan pembangunan model generatif. Pada masa yang sama, kerajaan negeri telah melaksanakan pelan pembangunan tenaga kerja yang disusun rapi. Universiti awam di Johor pula telah memperkemas program yang berkaitan dengan AI, data raya dan kejuruteraan perisian untuk membekalkan anak tempatan yang berdaya saing dan bertahan lama. Generasi pelajar baharu tidak lagi hanya mempelajari teori di bilik kuliah tetapi mengaplikasikannya secara langsung di makmal inovasi dan syarikat teknologi bagi memegang sendiri ‘roda’ masa depan yang sedang berputar. Johor seolah-olah membina jambatan antara dunia akademia dan industri tanpa memerlukan peta tambahan. Sebuah syarikat terkemuka dunia, iaitu YTL Power bersama-sama NVIDIA Cloud Partners telah menjadi pelabur utama dalam aspirasi peneraju AI serantau dengan menjadikan daerah Kulai sebagai Pusat Data Mega. YTL Power telah melaburkan 10 bilion dalam inisiatif AI termasuklah pembangunan Large Language Models (LLM) yang dikenali sebagai ILMU sebagai jaminan kedaulatan data dan pemilikan harta intelek tempatan dalam menyokong ekosistem AI di Malaysia.
Faktor geografi turut memberikan kelebihan kepada Johor. Dengan kedudukan yang berdekatan dengan Singapura, Johor menyerap aliran pelaburan, kepakaran dan rangkaian serantau yang deras mengalir merentasi Selat Tebrau. Johor menerima manfaat tambahan daripada kedudukannya yang strategik bersebelahan dengan Singapura. Malahan, Singapura terlebih dahulu merintis perkembangan LLM yang dikenali sebagai Sea-Lion yang dilatih khusus dalam konteks budaya dan bahasa Asia Tenggara. Penggunaan teknologi AI juga telah digunakan secara menyeluruh di Singapura terutamanya dalam bidang pendidikan, perubatan, pertanian dan perkhidmatan awam. Kejayaan negara jiran ini merupakan antara faktor penting untuk Johor merintis kejayaan yang sama dalam perkembangan AI di Malaysia (International Trade Administration, 2024). Hubungan dua hala ini mencipta pusaran sinergi yang mempercepat lahirnya syarikat rintis, pusat kajian AI berimpak tinggi serta projek perintis automasi bandar. Bukan sekadar menjadi bayang-bayang negara jiran, Johor kini membentuk identitinya sendiri sebagai pintu inovasi Malaysia.
Hubungan ekonomi dan teknologi antara kedua-dua wilayah ini ibarat dua ombak yang bergerak serentak dan saling menguatkan momentum. Pelaburan teknologi tinggi dari Singapura mengalir ke Johor, sementara tenaga kerja tempatan dan graduan universiti tempatan menampung keperluan syarikat global yang ingin mengembangkan operasi di rantau Asia. Keadaan ini menempatkan Johor sebagai alternatif kos efektif kepada bandar teknologi besar tanpa mengorbankan akses kepada rangkaian antarabangsa. Lebih menarik lagi, Johor merangka visi AI yang bukan hanya berasaskan keuntungan ekonomi tetapi berpusat pada kesejahteraan rakyat. Projek bandar pintar, sistem ramalan banjir, pertanian pintar, automasi logistik dan kenderaan autonomi dirangka untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih selamat, ringkas dan produktif. AI bukan lagi istilah futuristik yang tergantung di udara tetapi teknologi yang mengalir dalam rutin harian masyarakat. Johor menyertai barisan bandar global sama seperti Dubai, Seoul dan Shenzhen sebagai kuasa AI yang sedang meningkat. Perjalanan masih panjang tetapi momentum ini menandakan bahawa Johor sudah berada pada satu aras penting yang bukan sekadar mengejar arus perubahan tetapi sedang mencipta kemodenan mengikut rentaknya yang tersendiri. Kini di persimpangan masa depan digital Asia, Johor berdiri di tengah pentas dengan semangat yang menyala. Hab AI yang terkemuka ini bukan sekadar projek pembangunan tetapi cerita baharu tentang sebuah negeri yang memilih untuk tidak hanya menjadi pemerhati perubahan tetapi pengemudi masa hadapan.
Ekosistem AI di Johor tidak mungkin berkembang tanpa kehadiran institusi pengajian tinggi yang menjadi tunjang penyelidikan, pembangunan bakat dan eksperimen teknologi. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antara yang terkehadapan bertahun-tahun membina reputasi sebagai gedung ilmu kejuruteraan dan teknologi. UTM membangunkan usaha penyelidikan dalam bidang pembelajaran mesin, keselamatan siber, rangkaian neural dan pengkomputeran awan yang memberikan kesan langsung kepada industri. UTM juga menerajui agenda AI negara dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk pembangunan teknologi AI, termasuk menubuhkan fakulti khusus untuk AI dan program latihan untuk menjayakan transformasi digital (UTM Newshub, 2025). Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula menyumbang kepakaran dalam kejuruteraan industri, robotik terapan dan automasi. Projek penyelidikan mereka meliputi sensor pintar untuk keselamatan industri, rangkaian robot kolaboratif, kecerdasan buatan untuk pengeluaran makanan serta sistem pemantauan struktur bangunan yang berasaskan data masa nyata (Publisher UTHM, 2023).
Dengan gabungan pelaburan infrastruktur, kekuatan akademia, sokongan industri dan dasar kerajaan, Johor kini disebut sebagai antara calon utama untuk menjadi pusat AI paling berpengaruh di Asia Tenggara. Pengiktirafan ini membawa implikasi besar bukan sahaja kepada ekonomi negeri tetapi kepada Malaysia secara keseluruhannya. Hal ini membuka peluang pekerjaan yang bernilai tinggi, meningkatkan reputasi negara sebagai pemain teknologi dan mencipta ekosistem inovasi yang mampu bersaing di pentas global. Johor berdiri sebagai sebuah negeri yang melakar masa hadapan dengan tangannya sendiri. Daripada pembinaan pusat data sehinggalah ke geseran robot di lantai makmal dan kekuatan intelektual penyelidik universiti maka terpancar masa hadapan ekonomi digital Asia di negeri Johor. Johor sedang melakar sejarah baharu dan sejarah ini tidak ditulis dengan dakwat semata-mata tetapi dengan algoritma dan visi yang menjangkau masa hadapan.
