Tidak dinafikan oleh khalayak sastera bahawa falsafah etika atau moral merupakan unsur utama yang membangunkan makna sesebuah teks (karya kreatif). Bahkan, unsur inilah yang menjadi kayu ukur bagi menentukan keberkesanannya kepada pembaca. Mustahil bagi karya kreatif meminggirkan aspek moral apabila melagangkan konflik manusia di dalamnya. Menurut Ernest Renan (1823-1892) dalam Ikhtisar Kritik Sastera “kesusasteraan adalah pengumpulan perbuatan manusia, pengucapan bebas daripada hasrat insaniah, kerananya kesusasteraan itu mempunyai sifat-sifat moral dan tugas pengkritik ialah memberikan nilai-nilai moral yang dibawakan oleh sesebuah karya sastera”. Moral atau dirujuk sebagai falsafah etika ini ialah aspek yang menjadi kerangka kebijaksanaan seorang pengarang apabila berkarya kerana tujuannya berkait rapat dengan soal moral. Falsafah etika atau moral ini umumnya berkaitan dengan prinsip atau asas pegangan hidup yang mencorakkan tatakelakuan individu dan masyarakat atau norma bagi menentukan kriterianya (Abdul Hadi Ismail: 2000). Moral pada dasarnya berkaitan dengan cara untuk menentukan nilai sama ada nilai itu baik atau sebaliknya. Matlamat akhir falsafah adalah untuk melahirkan manusia yang bijaksana. Dalam konteks karya kreatif, pengaranglah individu penting yang menggalas tanggungjawab moral dirinya terhadap individu yang dibangunkan dalam pengkisahannya atau disebut sebagai watak dan perwatakan, latar zaman, masa dan tempat yang digunakan untuk mencetuskan konflik, persoalan dan pemikirannya.
Teks yang bermoral ialah teks yang mempunyai gagasan (moral) atau idea yang jelas bagi menjawab soalan “Apakah tujuan penting teks tersebut dihasilkan?” Secara imaginasi, pengarang sedar akan tanggungjawab moralnya. “Dengan lafaz bismillah … aku mulakan kisahnya. Moga bermanfaat dan terubat segala beban yang telah lama terpikul ini” (Putraery Ussin, 2020:2). Prolog atau ungkapan ini bersifat peribadi. Hanya pengarang sahaja yang tahu kebenarannya atau sekadar proses kepengarangan sahaja. Bertolak daripada sifat peribadi yang bermoral itu, pengarang membina gagasan moral yang lebih rumit melalui penampilan kisah benar, besar dan bersejarah dalam proses pembinaan peradaban bangsa malah dalam kerangka moral yang universal (sejagat) sifatnya. Kisah kezaliman tentera Jepun di Tanah Melayu ialah kisah realiti. Realiti kekejaman dan kezaliman itu telah ditanam kebenarannya dalam sejarah nasionalisme Tanah Melayu dan kemerdekaannya hinggalah ke hari ini. Di sebalik kejahatan dan kekejaman tentera Jepun (1941-1942) generasi muda sedang berhadapan dengan realiti negara Jepun hari ini yang amat maju dan bertamadun tinggi. Moral mereka yang tersungkur dahulu, kini mencanak tinggi setelah mereka diajar akan erti keamanan dan perdamaian oleh “Little Boy” (6 Ogos 1945) dan “Fat Man” (9 Ogos 1945). Moralnya, kezaliman harus diajar dengan kezaliman untuk perdamaian. Inilah hakikat peperangan. Moral mudah dibangunkan dalam peperangan selagi ada perjuangan untuk menentangnya. Tafsiran teks, yang menang itu bermoral dam yang tewas itu tidak bermoral. Adakah tafsiran itu tepat? Jika kekejaman dan kezaliman menjadi ukuran dan alasan untuk berpihak kepada mereka yang menjadi mangsanya (rakyat tempatan) bagaimana pula dengan pihak yang dituduh (tentera Jepun)? Adakah tentera Jepun tidak dibunuh? Atau mereka ditentang dan dibunuh kerana kekejaman dan kezaliman mereka sendiri? “Akibatnya bukan orang Cina yang disembelih, sebaliknya semua askar Jepun yang dibunuh kejam” (Putraery Ussin, 2020:111). Kekejaman dibalas dengan kekejaman. Inilah moral dalam peperangan. Membunuh dan dibunuh.
Masyarakat kita yang telah melalui sejarahnya menjatuhkan hukuman bahawa tentera Jepun ialah tentera yang kejam dan melewati batas kemanusiaan hanya kerana terlibat dengan “perang” yang sia-sia. Tidak salah dari segi moral untuk menghukum begitu tetapi hakikatnya tidak semua tentera Jepun bersikap kejam dan zalim. Gagasan moral inilah yang diketengahkan oleh pengarang sekaligus mahu mengubah persepsi yang tidak salah itu kepada persepsi yang lebih terbuka. Melalui watak Tatsugi Sato, isu moral itu dibangunkan oleh pengarang terhadap sikap dan cara berfikir Tatsugi Sato yang sarat dengan nilai moral dan kemanusiaan. Tatsugi Sato ialah tentera Jepun yang terperangkap dalam “perang yang sia-sia”. Kenapakah Tatsugi Sato menolak kezaliman dan kekejaman dalam peperangan? Bagi Tatsugi Sato, perang ialah neraka, perang menyebabkan semua orang hilang pertimbangan, perang ialah malapetaka yang menghancurkan kebahagiaan. Kekejaman bukan sifat manusia, perang menjadikan manusia hilang kewarasan dan tidak berperikemanusiaan. Peperangan hanya tiket untuk menjajah dan membolot sumber kekayaan orang lain malah mengorbankan rakyat yang tidak bersalah. Kembali kepada fitrah ialah persoalan dasar dalam falsafah etika (moral) kerana beretika (bermoral) itu bersifat azali dan sesuai dengan fitrah kejadian manusia.
Dalam kalangan fuqaha, fitrah manusia meliputi lima hak, iaitu hak diri (agama), hak jiwa, hak akal, harga diri dan cinta (Guntur Cahaya Kesuma: 2013). Perang memang tidak mengenal hak diri, jiwa, akal, harga diri dan cinta kerana yang ada dalam perang ialah pembunuhan, penyeksaan, kekejaman dan kezaliman tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan. Peperangan ialah sesuatu yang dipaksa dan terpaksa. Hal ini bermakna, tiada sesiapapun yang rela berperang sedangkan tujuan akhir peperangan adalah untuk mengecapi keamanan dan kebebasan. Tujuan moral itu hanya boleh dipenuhi oleh manusia yang beretika (bermoral), manusia yang benci akan peperangan, manusia yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan. Apakah manusia perlu berperang untuk memperoleh tujuan yang baik itu? Jawapannya tentulah tidak perlu. Selalunya, manusia yang beretika (bermoral) akan terperangkap dalam kancah kehidupan yang tidak beretika (tidak bermoral) seperti yang terjadi kepada Tatsugi Sato. Dia terpaksa dan dipaksa oleh propaganda peperangan yang tidak pernah menyebut tentang kematian dan penderitaan. “Yang disemat dan dipropagandakan dalam kepala mereka setiap hari adalah mempertahankan maharaja yang menjadi satu kewajipan bagi lelaki di Jepun. Seperti kepercayaan agama Shinto, maharaja adalah jelmaan Tuhan di bumi. Wajib dijaga dan dipertahankan” (Putraery Ussin, 2020:19) dan “Sungguh-sungguh dia mula merasa kecewa dan sedih kerana tidak seindah khabar dari rupa”(Putraery Ussin, 2020:20). Kekecewaan dan kesedihan terhadap kejahatan, kegembiraan dan kebahagiaan terhadap kebaikan ialah fitrah hidup manusia. Fitrah itu perlu diasuh dan dididik dengan cara yang betul. Tatsugi Sato ialah anak yatim, bersekolah di sekolah anak yatim. Di sekolah itu, teras utama pendidikan ialah seni mempertahankan diri (samurai), diajar melawan dan membunuh seawal umur empat tahun. “Maka membunuh adalah perkara biasa dan normal bagi mereka untuk mempertahankan diri dan terus hidup” (Putraery Ussin, 2020:24). Mempertahankan diri wajar tetapi membunuh bukanlah tuntutan bagi fitrah manusia. Tatsugi Sato terpaksa berhadapan dengan dua nilai yang bertentangan dan dia terperangkap di dalamnya.
Bagi Tatsugi Sato, dia tidak menyokong kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh bangsanya sendiri. Dia tidak boleh hidup atas dasar kepura-puraan. Dalam menilai moral Tatsugi Sato jelas memiliki semua ciri moral yang diperlukan bagi seseorang yang mahu kembali kepada fitrah. Antaranya termasuklah kebenaran, keberanian, menepati janji, tidak memusnahkan harta benda, tidak menipu, menghulurkan pertolongan jika perlu, tidak menghukum dan boleh dipercayai. Kesemua ciri moral ini ada pada diri Tatsugi Sato. Dia berani berpaling tadah daripada perjuangan (peperangan) yang sia-sia. Dia memilih nilai kemanusiaan secara realistik kerana dia ialah manusia yang mempunyai aspek kesedaran yang tinggi.
Terdapat tiga elemen yang menentukan pemilihan etika. Pertama, Tuhan yang mempunyai kuasa yang mutlak. Menentang Tuhan bermakna tidak beretika. Kedua, masyarakat yang menentukan baik buruknya. Mengikut kehendak masyarakat bermakna beretika dan ketiga ialah diri sendiri. Tatsugi Sato ternyata memilih dirinya dalam membuat pertimbangan moral apabila terperangkap dalam perang dan baginya “Sudah tiba masanya untuk dia menghindari diri daripada kekejaman peperangan. Dia pasrah dengan merancang agendanya sendiri” (Putraery Ussin, 2020:36). Dia membangunkan dirinya atas dasar” ihsan dan belas” dan mahu menghapuskan dendam tentera Jepun terhadap orang Cina di Borneo yang ternyata tiada kaitan dengan perang Manchuria. Ihsan ialah konsep etika yang berkaitan dengan agama, iaitu orang yang ikhlas melaksanakan ibadah tetapi konsep itu dikaitkan juga dengan kebaikan, perbuatan yang baik (kebajikan) dan amanah. Dalam novel ini, soal keagamaan tidaklah dipinggirkan oleh penulis secara total tetapi realiti Perang Dunia Kedua manusia mungkin tidak sempat berfikir tentang agama. Oleh sebab itu, agama tidak diangkat oleh penulis sebagai unsur yang mempengaruhi etika bagi Tatsugi Sato, iaitu agama Shinbutsu Shugo (Shinto dan Buddha) yang dianutinya. Bahkan, agama itu hanya dipelajari tetapi tidak diamalkannya dalam kehidupan.
Agama dan etika ialah dua dimensi yang berbeza tafsirannya (dari sudut filsafatnya). Tentera Jepun amat terkenal dengan falsafah moral “Kamikaze”. Mati membunuh diri daripada menyerah diri kepada musuh adalah lebih mulia. Tatsugi Sato menentang falsafah moral ini sebagai sesuatu yang tidak bermoral (tidak beretika) kerana falsafahnya bertentangan dengan nilai kemanusiaan bahkan dalam sejarahnya Saburo Sakai seorang juruterbang zaman perang pernah mengkritik falsafah kamikaze ini sebagai kerja yang bodoh. Tatsugi Sato mempunyai prinsip moral yang kental. Dia tidak boleh melihat kekejaman dan kezaliman. Oleh sebab itulah dia memilih untuk menjadi pembela kaum Cina yang dibunuh dan dizalimi atas alasan benci dan dendam. Kemuncaknya, Tatsugi Sato membunuh Jeneral Jepun kerana terpaksa walaupun dia amat membenci kezaliman dan pembunuhan. Membunuh Jeneral Jepun yang tersohor dengan kekejaman yang secara simboliknya membawa pengertian terhapuslah kekejaman itu. Hakikat, kekejaman dan kezaliman manusia tidak pernah luput daripada lanskap moral manusia tetapi bagi seorang moralis, Tatsugi Sato berpendirian “Perjuangannya belum berakhir. Perjalanannya masih panjang. Semua detik itu dirakamkan untuk menjadi simpanannya. Bersama-sama kamera di leher dan pedang di pinggang, dia melangkah pergi dan hala tujunya akan ditentukannya nanti” (Putraery Ussin, 2020:261). Dalam konteks falsafah moral yang lebih luas, menentang kezaliman merupakan suatu kewajipan manusia. Kewajipan ialah faedah terakhir (kebaikan) yang diperoleh sesuai dengan Teori Deontologikal (Teori Prinsip Kewajipan) oleh Immanuel Kant (1724-1804). Dalam teori ini, niat adalah keutamaan dalam sesuatu tindakan. Tatsugi Sato, mempunyai niat yang jelas untuk lari daripada peperangan yang sia-sia.”Tiada alasan yang dapat diberikan untuk keluar daripada menjadi tentera melainkan dia perlu lari dan tidak pulang semula ke Jepun. Idea sebegitu sentiasa melingkari fikiran untuk dilaksanakan pada masa yang sesuai kelak” (Putraery Ussin, 2020:35).
Selain Tatsugi Sato, novel ini diperkaya etikanya dengan kisah percintaan antara Kemat dengan Mie Hua, iaitu percintaan yang “terlarang”, dilarang oleh perbezaan bangsa dan agama malah dilarang oleh perbezaan status (antara orang kaya dengan orang miskin) tetapi tidak dilarang oleh keadaan. Keadaan tidak boleh menghalang percintaan. Semakin kuat halangan, semakin hebat perjuangan dan pengorbanannya. Itulah nilai moral sebuah percintaan. Kemat menolak alasan bangsa dan agama tetapi dia memilih alasan perbezaan status sebagai punca utama Tauke Hua (bapa Mei Hua) menolaknya. Hal ini berbeza dengan Tauke Hua yang meletakkan soal perbezaan bangsa dan agama sebagai alasan moralnya untuk menghalang percintaan antara Kemat dengan anaknya, Mei Hua. Pengarang memberikan tumpuan penceritaan kepada kisah percintaan antara Kemat dengan Mei Hua dalam novel ini. Kemat mempunyai prinsip moralnya tersendiri demi cintanya terhadap Mei Hua. Dia sanggup berjuang dan berkorban apa-apa sahaja demi mendapatkan cintanya. Jika perang sebagai alasan sehingga menyebabkan dia dipisahkan dengan Mei Hua, dia sanggup berperang demi menyelamatkan Mei Hua daripada menjadi mangsa (hamba seks) tentera Jepun. Dia tiada pilihan melainkan menjadi Kempeitai Jepun walaupun dia sedar bahawa moralnya hancur apabila menjadi tali barut tentera Jepun. Niat menghalalkan cara. Apatah lagi, Mei Hua sendiri menjadi sumber kepada kekuatan dirinya untuk berhadapan dengan cacamarba peperangan. Kemat berjaya merealisasikan impiannya walaupun impian yang menjadi kenyataan itu amat tragis sifatnya. Dia berjuang untuk memiliki Mei Hua dengan kasih dan cinta yang mendalam. Hal ini demikian kerana moral dalam cinta tidak dibentuk oleh persekitaran, bangsa dan agama.
Pendirian moral Kemat itu amat berbeza daripada pendirian sahabatnya Burhan dan Duan. Pada Peringkat awal Burhan tidak berminat untuk menjadi kempeitai atas alasan tidak mahu menjadi tali barut Jepun akhirnya berubah atas pujukan Kemat sendiri. Burhan banyak didorong oleh kepentingan diri, iaitu mahu berkuasa, mahu dihormati dan ditakuti oleh masyarakat. Dia tidak hiraukan soal kebencian masyarakat terhadapnya. Dia menyokong perjuangan tentera Jepun yang menindas bangsa Cina malah bangsanya sendiri yang menentang kuasa tentera Jepun turut menjadi mangsanya. Dia menerima wadah perjuangan tentera Jepun yang zalim itu dengan rela hati, jujur, bersungguh-sungguh dan tidak mahu mengubah pendirian walaupun didesak oleh masyarakatnya. Biar apa-apa pun yang bakal terjadi, dia tidak menoleh ke belakang lagi.
Demikianlah pendirian moral Burhan. Prinsip moral dirinya tidak boleh dipengaruhi oleh situasi malah sanggup mati dalam mempertahankan hak dirinya, iaitu hak kebebasan untuk hidup atas keyakinan dirinya sendiri. Pendirian moral Burhan ialah pendirian yang ditentang oleh masyarakatnya kerana persoalan moral bukanlah hak milik diri semata-mata tetapi persoalan moral (etika) turut menjadi hak milik masyarakat, adat-resam, budaya malah agama sendiri. Burhan berhadapan dengan kecelaruan prinsip, bertegas tidak bertempat sehingga tidak wujud pertimbangan yang rasional dalam memilih antara kebaikan dengan keburukan. Penindasan, kekejaman dan kezaliman ialah sesuatu yang antimoral dan kehadirannya boleh mencetuskan kepincangan sosial. Hal ini cukup berlainan bagi Sapri dan Sungkup. Sapri dan Sungkup berjuang atas landasan moral yang jelas. Mereka berjuang atas landasan kemanusiaan, menolong orang yang tertindas tanpa memilih bangsa, agama dan kepercayaan. Mereka menentang idealisme penjajahan Jepun ke atas tanah kelahiran mereka (Borneo – Sarawak). Dalam tubuh mereka ada semangat nasionalisme tulen. Nasionalisme tulen ialah kecintaan yang mendalam terhadap bangsa berdasarkan nilai kemanusiaan yang tidak bertelagah dengan nilai sejagat. Sungkup dan Sapri ternyata tidak ada kecenderungan untuk melakukan khianat dalam perjuangan. Mereka tidak seperti Burhan dan Duan yang berjuang atas kepentingan diri, tidak juga seperti Kemat yang berjuang semata-mata mahu membebaskan Mei Hua kekasihnya.
Dalam novel ini, fokus perjuangan lebih terarah kepada “membebaskan” masyarakat Cina yang terkepung dalam gua di Bukit Matang. Perjuangan tentera Jepun pula lebih terarah kepada “menghapuskan” masyarakat Cina atas sebab marah, benci dan dendam. Mereka mempergunakan masyarakat Melayu sebagai alat untuk mencapai matlamat mereka. “Membebaskan” dan “menghapuskan” merupakan dua kata yang menjadi inti dalam perjuangan. Dalam etika kemanusiaan terdapat istilah altruisme, iaitu istilah yang bermaksud amalan yang mengutamakan diri orang lain berbanding diri sendiri. Dalam Kempeitai, terdapat ramai tokoh (watak) yang bersifat altruisme ini selain Sungkup dan Sapri. Paparan nilai moral dalam novel ini pada hakikatnya mencerminkan keupayaan penulis yang cermat, ada nilai kebijaksaan yang tinggi untuk mendewasakan karyanya. Hal ini demikian kerana bukanlah sesuatu yang mudah untuk merealisasikan nilai sejarah dalam proses penulisan kreatif. Karya ini wajar ditekuni pembacaannya oleh generasi baharu yang semakin meminggirkan sejarah bangsa. Sejarah yang kaya dengan nilai moral perlu diterjemahkan secara kreatif harus dinobatkan sebagai karya yang bermakna untuk membina peradaban bangsa dan negara.