Secara umumnya, ramai yang mengetahui bahawa penguasaan bahasa kedua sememangnya memberikan nilai tambah kepada individu yang berjaya menggunakan bahasa tersebut dengan cemerlang. Bahkan, pemimpin negara juga sering memberikan penekanan tentang keperluan menguasai bahasa kedua, misalnya bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris yang sering dianggap sebagai lingua franca abad ini, sentiasa diberi penekanan oleh kerajaan agar rakyat boleh menguasainya dengan baik. Namun, sedarkah kita ada satu lagi bidang atau fokus yang belum diusahakan dengan giat di samping penguasaan bahasa kedua di negara kita?
Penulis ingin menarik perhatian pembaca tentang kepentingan menguasai bidang penterjemahan yang bersangkut paut dengan usaha untuk memajukan negara dalam bidang keilmuan dan keintelektualan. Jika kita ingin membuat perbandingan, ternyata bidang penterjemahan yang dilaksanakan di negara jiran lebih giat dan aktif berbanding di negara kita. Namun, ada juga perkembangan positif yang menunjukkan bahawa bidang penterjemahan di negara kita kian meningkat apabila syarikat penerbitan buku seperti PTS Media Group Sdn. Bhd. dan The Biblio Press sedang melaksanakannya dengan menerbitkan kembali buku-buku bahasa asing ke bahasa Melayu.
Hal ini sangat menggembirakan para pencinta ilmu dan usaha seumpama ini sewajarnya disokong penuh oleh pelbagai pihak, terutamanya pihak kerajaan. Hanya melalui sokongan yang padu sahaja akan merealisasikan cita-cita penuntut ilmu dan ahli akademik yang ingin melihat kemajuan dalam bidang ilmu yang bersifat nuansa. Berdasarkan buku yang bertajuk Teori dan Teknik Terjemahan yang ditulis oleh Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, ada dinyatakan bahawa pentingnya masyarakat kita memiliki minda asli. Disebutkan dalam buku tersebut bahawa bangsa Melayu mempunyai minda asli, tetapi minda asli itu sirna apabila minda Melayu dikuasai oleh bahasa asing.
Keadaan ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat Jepun yang amat menitikberatkan penggunaan bahasa mereka sendiri. Memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Jepun sangat maju dalam bidang sains dan teknologi. Menurut Puan Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, apabila sesuatu bangsa menggunakan bahasa asing sebagai alat pengucapan intelektualnya, maka minda bangsa itu menjadi sambungan sahaja kepada minda asal bahasa asing tersebut. Menurut hemat penulis, kita tidak akan boleh menjadi jaguh dan pergi lebih jauh jika kita sekadar menjadi sambungan untuk sesuatu idea atau inovasi asal oleh pemilik bahasa tersebut. Hal ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh sesuatu bahasa kepada bangsa. Oleh hal yang demikian, kita sangat memerlukan karya-karya yang menggunakan bahasa asing dan diterjemahkan kepada bahasa ibunda dan sebaliknya.
Alangkah baik sekiranya bidang penterjemahan lebih diperkasakan dan diberi perhatian oleh kerajaan. Melalui bidang penterjemahan, kita bukan sekadar memperkaya ilmu pengetahuan, bahkan budaya kita juga pasti akan berkembang. Jika ditelusuri semula, sejarah Islam pada zaman Bani Abbasiyah sangat menumpukan usaha dalam bidang penterjemahan. Baitul Hikmah, perpustakaan di Baghdad, Iraq pada masa itu telah menjadi pusat keilmuan dan penterjemahan. Karya-karya dalam bahasa asing telah diterjemahkan ke bahasa Arab dan Parsi. Antara bidang yang menjadi tumpuan penterjemahan ialah bidang matematik, astrologi, pertanian dan perubatan. Hal ini menunjukkan peri pentingnya bidang penterjemahan sebagai wasilah perkembangan dan penyebaran ilmu yang bersifat multidisiplin.
Meskipun baru berjinak-jinak dalam bidang penterjemahan, penulis menyedari bahawasanya ramai orang yang dahagakan karya asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Namun, jumlah karya terjemahan ternyata masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Oleh hal yang demikian, sudah menjadi tanggungjawab penulis untuk mengajak dan menyeru semua pihak supaya memperkasakan usaha dalam bidang penterjemahan di tanah air kita. Tidak kira siapa diri kita, sama ada pihak yang memegang autoriti atau pihak yang terlibat dalam bidang penterjemahan, moga-moga kita sentiasa diberi semangat dan ilham yang mencurah-curah untuk memajukan bidang ini. Mudah-mudahan dengan usaha dan niat yang murni ini, kegemilangan umat Islam pada zaman lampau boleh diulang kembali di negara kita atau setidak-tidaknya hampir menyamai usaha mereka pada zaman tersebut.