Jika ditelusuri asas pemikiran dan idea para Sasterawan Negara (SN), kebanyakannya sangat berkait rapat dengan unsur alam yang menjadi satu daripada sumber ilham dalam penghasilan karya. SN Shahnon Ahmad dalam buku himpunan eseinya Pabila Hujan Turun menceritakan bagaimana Sungai Ceper di Kampung Banggol Derdap hidup bagaikan bernafas seperti manusia.
Shahnon mengasosiasikan unsur alam seperti sungai, hujan, halilintar, gunung, bukit-bukau, dan tumbuh-tumbuhan sebagai ranjau dalam kehidupan manusia. Jika manusia terus mencemarkan dan merosakkan sungai dan unsur alam yang lain, maka makhluk ciptaan Allah ini akan terkontang-kanting menentukan nasibnya sendiri.
Rasa cinta Shahnon terhadap alam banyak tergambar dalam karyanya yang bernostalgiakan alam semesta sama ada dalam bentuk esei, novel dan juga cerpen. Sama juga seperti SN A. Samad Said. Beliau menggunakan unsur alam dalam menamakan beberapa judul karyanya seperti Sungai Mengalir Lesu, Hujan Pagi, Langit Petang dan Di Hadapan Pulau.
Hal ini menunjukkan betapa pentingnya unsur alam dalam memberikan ilham. SN Zurinah Hassan juga membukukan tesisnya berdasarkan kajian tentang alam yang bertajuk Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden. Buku tersebut membahaskan bagaimana peranan dan penggunaan sumber alam dalam menghasilkan bait-bait puisi Melayu moden atau sajak.
Hal ini bermakna, sesuatu karya itu bukanlah bersifat etos, iaitu hanya menumpukan perihal bangsa sahaja. Akan tetapi, karya yang mengangkat unsur alam akan lebih menonjolkan keindahan karya dan kreativiti penulis. Sememangnya alam semesta yang terbentang luas itu dicipta dengan kesempurnaan dan keindahan, dan menjadi tanggungjawab manusia sebagai khalifah bumi untuk memakmurkannya, iaitu tidak membuat kerosakan di muka bumi.
Kamus Dewan Perdana mencatatkan definisi sungai sebagai aliran air tawar yang terbentuk secara semula jadi dan mengalir secara berterusan melalui kawasan daratan hingga ke laut, tasik atau sungai yang lebih besar. Kanun Tanah Negara pula mencatatkan “mana-mana sungai, anak sungai, caruk atau lain-lain aliran air semula jadi dan apa-apa cawangan sungai, alur, delta atau lencongan buatan darinya. Berdasarkan Enakmen Air 1967 pula, sungai bermaksud terusan, saliran dan aliran air semula jadi. Sungai juga diberikan tafsiran dalam pelbagai konteks dan perspektif seperti yang terdapat dalam al-Quran.
Tuntasnya, definisi sungai itu lebih meluas dalam al-Quran. Nahr atau perkataan jamaknya anhar dalam bahasa Arab bermaksud sungai manakala terdapat lagi istilah lain seperti al-yammu yang terkandung dalam Surah Taha dan Surah al-Qasas yang merujuk kepada Sungai Nil.
Selain itu, istilah sariyya juga bermaksud sungai dalam Surah Maryam. Dalam buku Tafsir Mawdu’i Sungai cetusan Zaini Ujang dan Zulkifli Mohd Yusoff, penulis telah mengkaji terdapat 41 ayat dalam al-Quran yang memperihalkan sungai sebagai salah satu nikmat syurga.
Maka itu, dapat disimpulkan bahawa sungai merupakan satu sumber semula jadi terpenting yang dicipta oleh Allah SWT sebelum wujudnya manusia. Sungai merupakan keperluan asas manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan di dunia. Jika sumber ini tiada, maka makhluk di muka bumi akan binasa. Antara kepentingan utama sungai dalam kehidupan termasuklah untuk penyucian dalam menunaikan ibadah, minuman, pengairan untuk tanaman dan sebagainya.
Membina perspektif tentang persoalan ini, alam sekitar terdiri daripada unsur hidup (biotik) dan bukan hidup (abiotik) di bumi. Menurut teks 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar, alam sekitar yang berkait dengan hujan, sungai, tasik, akuifer, awan, laut dan ais di puncak gunung serta kutub termasuk dalam unsur hidrosfera atau boleh juga difahami sebagai unsur hidup (biotik) seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
Oleh hal yang demikian, kenyataan tersebut mengukuhkan kepentingan sumber air semula jadi yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai keperluan asas untuk kegunaan semua makhluk termasuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Semua makhluk yang bernyawa memerlukan sumber air bagi kelangsungan hidup. Sumber daripada Health Care Associates mengatakan bahawa manusia hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja tanpa air kerana 55%-60% badan manusia terdiri daripada air.
Islam juga mendidik umatnya agar berbuat ihsan terhadap tumbuh-tumbuhan dengan cara menyiraminya dengan air. Bahkan Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Haitami mengeluarkan hukum jika mengabaikan tanaman sehingga mati dan rosak. Sama seperti haiwan, tumbuh-tumbuh juga akan terkesan dengan stres haba dan dehidrasi sekiranya tidak mendapat air yang cukup dan penjagaan yang rapi.
Pencemaran sungai telah mencetuskan retorik yang berpunca daripada kelalaian sesetengah pengusaha ladang. Dari sebuah kilang pemprosesan plastik di Selangor hingga Sungai Air Merah di Kedah. Semuanya berpunca daripada ketipisan iman manusia terhadap pelestarian alam sekitar.
Sebuah kilang pemprosesan plastik di Selangor disyaki menjadi punca pencemaran sungai yang mengakibatkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA). Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kebocoran pada tangki simpanan Poly Methacrylic Acid (PMAA) di premis kilang telah menyebabkan bahan tersebut mengalir ke parit dan sungai, lalu mengakibatkan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah serta berlaku gangguan bekalan air kepada 1.1 juta pengguna.
Walaupun kilang tersebut berlesen dan beroperasi secara sah, tindakan tegas telah diambil untuk mencegah kejadian tersebut bagi mengelakkan “pisang berbuah dua kali” pada masa hadapan. Pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah yang berpunca daripada sisa buangan dari ladang itik menggambarkan isu serius yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia berkaitan pengurusan sisa dan perlindungan alam sekitar. Ketidakpatuhan terhadap peraturan pengurusan sisa oleh pengusaha ladang bukan sahaja menjejaskan kualiti air sungai tetapi juga mempengaruhi kehidupan harian masyarakat yang bergantung pada sumber air tersebut. Walaupun pencemaran ini tidak mempengaruhi bekalan air rawatan secara langsung, masyarakat di kawasan terjejas mungkin mengalami gangguan dalam aktiviti harian mereka, termasuk gangguan bekalan air dan kesihatan awam.
Kes pencemaran yang berlaku menunjukkan betapa pentingnya penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan tanggungjawab bersama dalam memastikan amalan pengurusan sisa yang betul. Langkah ini penting agar alam sekitar sentiasa dilindungi dan kesejahteraan masyarakat tidak terjejas. Terlalu banyak isu pencemaran air yang menghakis keharmonian hidup manusia, margasatwa dan tumbuh-tumbuhan.
Profesor Aminuddin Ab. Ghani dalam syarahan umumnya yang bertajuk “Pengurusan Sungai Mapan dari Perspektif Kejuruteraan Pengangkutan Endapan dan Keseimbangan Sungai” menyatakan sungai diramalkan akan menjadi mangsa pembangunan. Sungai Ceper yang dahulunya menjadi sumber ilham bagi SN Shahnon Ahmad untuk berkarya, kini sungai tersebut telah dicemari sisa minyak yang berpunca daripada operasi kilang yang tidak dikawal.
Antara peranan umum yang perlu dilaksanakan oleh setiap manusia, khususnya umat Islam dalam menjaga kelestarian sungai dan alam sekitar yang lain adalah dengan menghayati dan mensyukuri alam ciptaan Allah SWT. Setiap manusia harus menyedari bahawa keindahan ciptaan Allah perlu dilestarikan, bukan dicemari.
Kesimpulannya, berfikir dan mengamalkan gaya hidup lestari, iaitu menjaga alam sekitar bukanlah suatu perkara yang menjadi beban dalam kehidupan manusia. Allah SWT mencipta akal agar manusia boleh berfikir secara bijak dan waras bagi membezakan yang sahih dan batil. Siapa lagi yang akan memakmurkan bumi jikalau bukan manusia. Setiap manusia harus menyedari bahawa sumber air yang bersih membawa nikmat yang besar dalam kehidupan harian manusia