BAGAIMANA seorang remaja seawal usia 14 tahun mula timbul kesedaran tentang kemerdekaan tanah air telah dipaparkan di dalam sebuah novel remaja berjudul Berlumur Duka karya Hasan Baseri Budiman, seorang penulis berasal dari negeri Kedah yang mula berkarya sejak tahun 1980.
Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2024 dan setebal 263 halaman ini, mengandungi 23 bab berlatar belakang sebuah perkampungan, iaitu Kampung Sungai Korok yang terletak di pinggir Bandar Alor Setar. Latar peristiwa di dalam novel ini meliputi tiga fasa, iaitu zaman Tanah Melayu masih di bawah jajahan British hingga serangan dan penjajahan Jepun, kemudiannya kemunculan gerakan Komunis Bintang Tiga dan berakhir dengan kedatangan semula British ke Tanah Melayu.
Ketiga-tiga fasa tersebut ialah peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku di Tanah Melayu dan tercatat di dalam buku-buku sejarah. Walau bagaimanapun, penulis telah mengadun peristiwa-peristiwa tersebut menjadi satu jalur cerita yang menarik dengan mewujudkan watak-watak bagi menghidupkan keseluruhan cerita.
Watak utama ialah Mat Ripin, seorang remaja berusia 14 tahun, seorang anak yatim piatu yang dipelihara bapa saudaranya, Pak cik Jamaludin. Mat Ripin berserta rakan-rakan sebayanya digambarkan membesar di kampung yang penduduknya menggunakan surau sebagai tempat pertemuan mengadakan sebarang aktiviti komuniti. Mat Ripin serta rakan-rakannya sering “bersidai” di tingkap balai lintang surau sambil mendengar orang-orang tua berbincang. Malah jika ada penceramah undangan dari luar kawasan, mereka tidak ketinggalan hadir bersama-sama. Mat Ripin pernah dengar nama-nama penceramah yang pernah sampai ke surau kampung mereka seperti Tunku Abdul Rahman, Senu Abdul Rahman, Mohamad Khir Johari, Haji Hussin Che Dol, Haji Abdullah Abbas Nasution dan seorang tokoh wanita, Balkis Haji Abdullah. Kesemua nama tersebut merupakan figura yang memang wujud dalam sejarah bangsa kita.
Mat Ripin mungkin hanya berumur 14 tahun pada waktu itu, namun dia sudah didewasakan oleh rencah persekitaran yang dilingkungi oleh orang dewasa yang semakin menyedari peri pentingnya sebuah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Namun begitu, pada 10 Disember 1941, pasukan tentera Jepun diketuai Kolonel Saeiki mula menyerang sempadan Bukit Kayu Hitam. Tentera British yang berkawal di Asun telah diasak dan berundur ke Jitra. Pemakluman itu didengari oleh orang Kampung Sungai Korok melalui corong radio milik Pak cik Jamaludin yang dipasang di surau.
Penduduk kampung cemas dan risau dengan perkhabaran itu. Mat Ripin dan kawan-kawannya masih belum begitu faham tentang kemasukan tentera Jepun itu. Malah mereka mengharapkan tentera Jepun itu baik dan membawa gula-gula kepada mereka, seperti tentera Gurkha yang berkhidmat di Alor Setar sebelum itu. Orang dewasa pula berharap kedatangan Jepun akan memberi lebih kebaikan kepada penduduk setempat berbanding apa yang berikan oleh kerajaan British. Namun apabila Jepun sudah menawan seluruh Tanah Melayu hingga ke Singapura, keadaan yang diharapkan tidak pernah terjadi, yang ada hanyalah kekejaman dan kezaliman seperti tertulis di dalam naskhah-naskhah sejarah.
Penulis Hasan Baseri Budiman membawa pembaca dari satu episod ke episod-episod seterusnya dengan lancar dan terkawal sehingga ke episod Jepun menyerah kalah akibat bandar Nagasaki dan Hiroshima telah dibom oleh tentera Amerika. Lalu pada 12 September 1945, Jepun telah menandatangani dokumen menyerah kalah dan Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajahan Jepun.
Tetapi kebebasan itu bukan bermaksud merdeka. Tanah Melayu diancam oleh kebangkitan komunis Bintang Tiga yang mula mengamuk secara kekerasan. Ramai orang awam yang dibunuh hanya kerana disyaki menjadi tali barut Jepun. Pasukan komunis Bintang Tiga juga mula melancarkan gerakan gerila di hutan dengan alasan untuk membebas dan memerdekakan Tanah Melayu. Penduduk kampung pedalaman sering diancam dan dipaksa untuk menyerahkan makanan kepada mereka. Di bandar-bandar pula ramai yang menjadi ejen komunis, terutama kaum Cina.
Kekacauan yang dicetuskan oleh Bintang Tiga berlaku di mana-mana dan keadaan dalam negara tidak aman sama sekali. Serangan dan pembunuhan ke atas pengurus ladang getah berketurunan British di Perak telah menyebabkan British, apabila kembali semula ke Tanah Melayu, mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Selanjutnya novel ini membawa pembaca ke era selepas keganasan militan Bintang Tiga, iaitu setelah British kembali memerintah Tanah Melayu. Gerakan rakyat dalam kalangan orang Melayu yang menyedari pentingnya kemerdekaan yang sebenar telah tumbuh di merata tempat seperti di Perak, Johor dan Selangor. Kedah juga tidak ketinggalan.
Mat Ripin yang sudah berusia 18 tahun mula mengenali satu gerakan orang Melayu di Seberang Perak, berhampiran kampungnya. Kumpulan itu dinamakan SEBERKAS. Mat Ripin mula berjinak-jinak dengan kumpulan tersebut, sementelah dia sudah mengenali nama-nama seperti Senu Abdul Rahman, Mohamad Khir Johari dan Balkis Haji Abdullah. Perlahan-lahan jiwanya disemai rasa benci kepada penjajah British dan mula memahami maksud merdeka yang sebenarnya.
Apabila gagasan Malayan Union yang dicanang oleh British mendapat tentangan orang Melayu, api semangat itu juga meredap ke Kedah. Mat Ripin dapat tahu melalui pergaulannya dengan orang-orang SEBERKAS, telah mengajak rakan-rakan dan orang Kampung Sungai Korok untuk menyertai satu rapat umum membantah cadangan tersebut apabila ada berita menyatakan Harold Mac Micheal, seorang Pentadbir British akan datang ke Kedah untuk bertemu dengan Sultan Kedah. Tujuan kedatangannya ialah untuk memujuk Sultan menyokong gagasan Malayan Union.
Mat Ripin yang sudah memahami makna merdeka telah berusaha bersungguh-sungguh mengajak pemuda-pemuda di Sungai Korok, Seberang Perak, Kilang Ais dan kampung-kampung sekitar untuk turun ke Padang Court di tengah bandar Alor Setar bagi menyampaikan bantahan orang Kedah terhadapan gagasan Malayan Union. Pada 19 Januari 1946, seramai lebih kurang 50,000 rakyat Kedah telah berhimpun di Padang Court untuk membantah dan menentang Malayan Union. Mat Ripin berada bersama-sama 50,000 orang di Padang Court pada tarikh itu. Semangat cinta akan tanah air serta perjuangan menuntut kemerdekaan berkobar-kobar di dalam jiwanya.
Watak Mat Ripin itu adalah watak sebenar, dilahirkan pada tahun 1928 dan diberi nama Ahmad bin Ariffin. Ahmad Ariffin adalah seorang penyair yang berpegang kepada prinsip “Sastera untuk Masyarakat”dan amat kuat semangat dan jati diri sebagai orang Melayu. Dalam bidang penulisan beliau menggunakan nama pena Affrini Adham. Beliau meninggal dunia pada 22 September 2005 ketika berusia 78 tahun.
Pembaca pasti tidak akan berasa jemu membaca novel ini oleh sebab penceritaannya yang menarik dengan gaya bahasa yang mudah difahami.